ANWAR-MOF

Bayaran insentif awal penjawat awam dibayar 23 Februari ini…

PUTRAJAYA — Bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam, dibayar sekali gus pada 23 Februari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya Selasa.

“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

“Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Bayaran Insentif Awal itu disalurkan sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimukatamadkan.

Beliau berkata, laporan akhir Kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan, sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan kelulusannya.

“Saya dah mulakan mesyuarat pelarasan gaji penjawat awam (SSPA) dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), (mereka) setuju untuk dipercepatkan.

“Saya tak mahu kata ia sengaja dilengah-lengahkan, sudahlah 12 tahun tunggu, kita ambil laluan pantas,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Laporan Interim 1 Kajian SSPA telah diserahkan kepada Anwar pada 19 Januari lalu.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Okt lepas dilaporkan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025. – BERNAMA – 6/2/2024

spanco

Awas…SPRM akan siasat semua terlibat beri kontrak pada Spanco termasuk bekas PM dan Menteri Kewangan …

Tidak lama lagi kita akan lihat ramai yang akan berarak keluar masuk ke bangunan SPRM dalam siasatan kes Spanco Sdn Bhd yakni syarikat tunggal yang pegang konsesi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan sejak 1993.

‘Hu ha’ mengenai syarikat berkenaan juga bukan cerita baru.

Malah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Isnin secara terbuka menyifatkan kontrak perolehan Spanco sebagai hanya merugikan negara.

Beliau berjanji tindakan penguatkuasaan tegas termasuk oleh SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, dalam memerangi rasuah dan penyelewengan.

Menurutnya kes Spanco sebagai contoh antara usaha kerajaan membasmi rasuah.

Bulan lalu, SPRM menyerbu rumah seorang taikun, serta pejabat dan syarikat yang berkaitan dengan ahli perniagaan itu, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Spanco.

Dokumen mengenai 100 akaun persendirian dan korporat dilaporkan turut dirampas untuk siasatan semasa serbuan berkenaan.

Susulan itu, akaun bank hartawan yang dikatakan memiliki puluhan juta ringgit tersebut, dilaporkan dibekukan.

Pada Selasa Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberitahu agensinya akan menyiasat semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat Spanco Sdn Bhd pada 1990-an.

Mereka termasuk perdana menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

Katanya semasa satu program di Kuching keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kita akan panggil sesiapa saja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada Spanco.

“Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999, jadi sesiapa saja yang terbabit ketika itu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes,” katanya.


Konsesi yang dipegang Spanco sejak 1993 sepatutnya berakhir pada 2019.

Tender terbuka dibuat pada tahun berkenaan dimana usahasama Kumpulan Berjaya dan Naza Sdn Bhd perolehi LOI konsesi itu.

Namun Berjaya telah saman kerajaan dan Spanco tahun lalu setelah mendakwa konsesi untuknya dibatalkan dan ia diberikan kepada Spanco pada 2020.- 6/2/2024

lolos1

KEMASKINI: Lagi 43 tahanan lolos masih diburu…

Setakat ini seramai 86 pendatang asing tanpa izin dari 131 yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah, Khamis lalu berjaya ditahan semula.

Polis menahan 64 orang manakala 22 lagi ditangkap pihak Imigresen.

Dua dari mereka terbunuh dalam kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri beritahu demikian dalam satu kenyataan Selasa.

Mereka yang lolos itu adalah etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh.

Mohd Yusri turut menyeru orang ramai bekerjasama untuk mengesan tahanan yang telah meloloskan diri itu.

“Kejayaan yang amat dibanggakan sepanjang operasi ini dijalankan dengan jumlah penangkapan yang telah dibuat,”katanya.- 6/2/2024

BERITA SEBELUM INI : 90 lagi PATI lari dari Depot Imigresen Bidor sedang diburu …

Sehingga Ahad malam seramai seramai 39 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor Khamis lalu sudah ditahan semula.

Ini bermakna ada 90 orang lagi yang sedang diburu.

Dua dari 131 PATI yang lolos itu maut akibat kemalangan jalanraya.

Seorang maut di Lebuhraya Utara Selatan tidak lama selepas mereka lolos manakala yang kedua pada malam tadi juga di lebuhraya itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata polis menerima laporan kejadian terbabit daripada orang awam kira-kira jam 9.20 malam.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan seorang pejalan kaki.

“Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Yusri berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian malam tadi diminta membantu polis.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095.- 5/2/2024

anwar-najibxxx

Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib muktamad…- PM

Fakta yang ada di depan mata sekarang ialah apa sekalipun…keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan berubah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berselindung mengenai hal ini dicelah kehangatan perbahasan dan perbincangan sekarang pada keputusan yang dibuat lembaga berkenaan pada mesyuarat 29 Januari baru ini.

Perdana Menteri menyampaikan mesej itu pada amanat di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Isnin.

Serentak dengan itu beliau meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu dihentikan.

“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan,”katanya.

Perdana Menteri mengingatkan ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.

“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.

Anwar juga menjelaskan sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara antara asas yang dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dalam memberi pengurangan hukuman.

Perdana Menteri berkata sumbangan Najib itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk kaedah lain yang diperincikan.

“Pertama apa asas rayuan selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.- 5/2/2024

BERITA SEBELUM INI : Anwar kata Sultan Abdullah ambil kira semua pertimbangan sebelum buat keputusan pengampunan Najib…

Dalam wawancara dengan Al Jazeera Jumaat malam….Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pertimbangan telah diambil kira sebelum bekas Yang Dipertuan Agong,Sultan Abdullah membuat keputusan terhadap pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ,“saya pernah duduk dalam Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain.

“Tetapi sudah tentu Agong sebagai raja berperlembagaan, berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi. Baginda sudah tentu benteng untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dan semua pertimbangan itu diambil kira dan kemudian Yang di-Pertuan Agong, selepas mendengar daripada lembaga, akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermakna (pembebasan) pada 2028,” katanya.

Anwar kata Najib boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika dia tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Menurutnya proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif Perdana Menteri dan kerajaan.

“Saya menghormati keputusan Agong sebelum ini. Sekarang kita ada Agong yang baru. Apa pun yang dirasakan seseorang itu – sudah tentu ia bersifat politik – ada yang menyokong, ada yang tidak.

“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa anda mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

“Sekarang Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati (dengan keputusan tersebut), itu adil, jika tidak memuaskan (tuntutan mereka) dia masih mempunyai ruang untuk merayu pada tahap berikutnya,” katanya dalam wawancara itu.

Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, yang bermakna bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan seawal 23 Ogos 2028.

Lembaga pengampunan juga mengurangkan denda yang dikenakan terhadap Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, kegagalan membayar denda itu boleh menyebabkan Najib dipenjarakan setahun lagi, di mana dia hanya akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029 – 2/2/2024

rasuahqqq

PM Anwar nafi dakwaan Kerajaan Perpaduan longgar dalam permasalahan rasuah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak tegas terhadap permasalahan rasuah susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Isu yang dibangkitkan konon kita longgar terhadap permasalahan rasuah, itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata proses badan kehakiman itu diteruskan dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi kata dua kepada beliau berhubung keputusan terhadap Najib itu.

“Ada hak dia (Najib) atau parti, supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Isnin.

Anwar berkata banyak perkara yang perlu diutamakan Kerajaan Perpaduan antaranya berhubung soal ekonomi dan penyelarasan gaji penjawat awam.

Perdana Menteri berkata soal tatakelola dan penegasan terhadap membanteras rasuah itu dilaksanakan secara menyeluruh dan pentadbiran hari ini, tidak ada langsung pendirian untuk berundur.

“Paling kuat saya diserang apabila mengarahkan semua agensi tegas supaya dapat selamatkan negara dari kecurangan pemimpin-pemimpin, menggeledah dan memunggah kekayaan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam perlu memberi kerjasama sepenuhnya dalam memerangi rasuah untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai salah guna kuasa dan pemunggahan kekayaan supaya dapat meningkatkan semula keyakinan rakyat serta hasil negara.

“Kalau dapat selamatkan RM10 bilion hingga RM20 bilion, bukan untuk perbaiki rumah Perdana Menteri atau elaunnya. Apa yang kita dapat daripada pulangan itu, kita kembalikan kepada rakyat, noktahkan kemiskinan, beri pendidikan bermutu, selamatkan anak-anak daripada semua kaum, agama, wilayah. Jadi tidak lagi kita bergaduh soal peruntukan kecil,” katanya.

Beliau mengakui kehilangan hasil dari ketirisan minyak mentah dan diesel masih belum terkawal sepenuhnya malah terdapat kelompok kecil di peringkat tertentu termasuk di sempadan, pelabuhan dan bahagian percukaian masih meneruskan aktiviti rasuah.

Anwar berkata tekad kerajaan dapat dilihat dengan tindakan tegas diambil oleh badan penguat kuasa antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam perkara memerangi rasuah dan penyelewengan.

Beliau berkata sebagai contoh, tindakan SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap isu melibatkan Spanco Sdn Bhd, sebuah syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.

“Tindakan, sikap saya keras terhadap Spanco itu sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu.

“Jadi siasat, saya tidak tahu di mana salahnya tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara, saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam tetapi kita lesu, tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak,” katanya.

Untuk rekod sejak 1993, Spanco Sdn Bhd memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan, namun apabila kontrak tamat pada 2019, tender terbuka dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.

Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan memperoleh kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun itu, bagaimanapun, LOI ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.

Pada Julai tahun lepas, pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan menfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung LOI yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih tinggi.

Tindakan itu mendorong SPRM membuka siasatan terhadap isu terbabit.- BERNAMA 5/2/2024

umno-mt1

Isu Najib : Tiada berita gempar dari mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO…

Bukan rahsia lagi ada pihak yang terus buat ramalan UMNO pasti akan bergegar sakan ekoran keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Segala meriam kemarahan atas kegagalan dapatkan pengampunan penuh untuk bebaskan bekas Perdana Menteri itu dari hukuman penjara 12 tahun dijangka sudah tentu akan dihalakan pada Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sebab itu ramai yang ternanti nanti untuk dengar apa cerita yang muncul dari mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada pagi Sabtu di PWTC.

Zahid telah menangguhkan Kolokium Ekonomi Bumiputera yang sepatut dihadiri 2,000 orang semata mata untuk beri laluan kepada mesyuarat khas berkenaan.

Namun tidak ada khabar gempar muncul dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selama tiga jam itu.

Mesyuarat juga berlangsung tenang tenang saja.

Ketenangan juga terpancar dari raut wajah Ahli majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Nor Adam yang dikenali sebagai salah seorang ‘panglima’ Najib.

Beliau biasanya tampil garang bila bercakap isu isu berkaitan Bossku.

Lokman menjadi jurucakap UMNO yang bersua dengan para wartawan selepas mesyuarat selesai.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah mengeluarkan satu kenyataan enam perenggan mengenai isu pengampunan Najib.

KENYATAAN MEDIA:

UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke- 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.

UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan Dato’ Seri Najib diteruskan.

UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Dato’ Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO

3 Februari 2024

Sementara itu bercakap kepada wartawan di lobi bangunan UMNO Lokman antara lain minta supaya semua pihak dan ahli-ahli UMNO bertenang.

“Alhamdulillah, kita menjunjung kasih keputusan telah dibuat Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah) dan Lembaga Pengampunan. Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.

“Ia belum selesai lagi, usaha kita akan berterusan.”Kita juga minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

“Kita nak pastikan supaya satu lagi pengampunan baru dapat diusahakan ke bawah Yang di-Pertuan Agong yang baru untuk dipertimbangkan,”katanya.

Beliau memberitahu UMNO akan terus berusaha dan akan kumpul tandatangan k dari seluruh negara untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja pada Najib.

Menurut Lokman kepimpinan parti komited dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib dan turut mengharapkan agar Perdana Menteri bersama dalam usaha itu.

“Kepimpinan parti secara konsensus berdiri teguh bersama Presiden untuk meneruskan usaha, dalam masa sama kita harap Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga bersama kita dalam usaha mendapatkan keadilan untuk Datuk Seri Najib,”katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Zahid yang menurutnya membolehkan petisyen Najib kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan “didengar awal”.

Lokman berkata petisyen untuk pengampunan lazimnya akan didengar selepas banduan menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman mereka.

“Kita juga nak ucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kalau nak ikutkan, Najib punya pengampunan diraja, sepatutnya sudah satu per tiga jalani hukuman baru boleh dapat didengar oleh Lembaga Pengampunan.

“Tetapi atas usaha oleh Presiden dan dengan dibawa oleh Perdana Menteri, maka Najib punya petisyen dapat didengar awal oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.

Lokman juga mengulas mengenai pengurangan tempoh penjara Najib dari 12 ke 6 tahun dan bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Katanya bekas ahli parlimen Pekan itu boleh dibebaskan lebih awal dan menyifatkan kenyataan Lembaga Pengampunan yang mengatakan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 itu kurang tepat.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan dan juga menjalani hukuman tahanan di rumah.

“Hukuman penjara separuh bukan sepenuhnya enam tahun, biasanya hanya dua pertiga daripada keseluruhan tempoh hukuman.

“Jadi, tak semestinya 23 Ogos 2028 akan dibebaskan. Pada masa sama, Datuk Seri Najib juga boleh memohon parol dan kita akan usahakan (untuk) tahanan di rumah,” katanya.-3/2/2024

hasan-k9

Hassan MP PKR sedia dipecat kerana cadang Zahid undur sebagai Presiden UMNO…

Satu krisis kecil timbul dalam PKR bila Ahli Parlimen parti itu dari Pasir Gudang,Johor Hassan Karim mempertahankan cadangan agar Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi undur diri.

Beliau yang diberi amaran keras oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil agar tidak menjaga tepi kain parti lain…kata sedia dipecat.

Hassan pada 31 Disember baru ini kata Zahid harus berundur untuk beri laluan kepada pemimpin baru mengetuai UMNO agar dapat tarik sokongan orang Melayu.

Katanya Zahid tidak boleh tunggang PKR untuk hadapi pilihanraya umum ke 16 nanti.

Kenyataan ini telah cetuskan kemarahan kalangan pimpinan UMNO khususnya Datuk Lokman Nor Adam dan Datuk Dr Puad Zakarshi.

Pada Sabtu bercakap kepada wartawan di acara dekat Kuantan Fahmi menegaskan Hassan perlu menghormati rakan daripada parti lain yang berada dalam kerajaan perpaduan.

Fahmi mengakui kesal dengan desakan Hassan supaya Presiden UMNO itu berundur dan parti itu perlu diterajui pemimpin baru.

“Jangan jaga tepi kain parti orang lain. Kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.

“Tapi jangan komen orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan,” katanya.

Hassan tidak tunggu lama untuk jawab menerusi satu kenyataan.

Katanya beliau bersikap positif dan bersangka baik atas teguran Fahmi terhadap dirinya.

“Memang wajar YB Menteri Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat untuk menegur dengan keras anggota parti yang dianggap telah melakukan kesalahan disiplin kerana bersuara lantang.

“Saya telah menjadi anggota parti secara rasmi 46 tahun yang lalu pada tahun 1978 sebagai anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sepanjang tempoh lebih 4 dekad itu, inilah kali pertama saya ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik. Saya tidak berkecil hati.

“Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran YB Menteri Fahmi Fadzil selaku Jurucakap Kerajaan dan Ketua Penerangan Parti Keadilan.

“Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan ingin memulakan prosiding disiplain ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini.

“Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti,”katanya.- 3/2/2024

hassan-karim4

Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib manasabah dan berpatutan – Hassan Karim

Saya anggap keputusan Lembaga Pengampunan petang Jumaat ini 02 Februari 2024 terhadap Datuk Seri Najib Razak bersabit kes SRC International adalah menasabah dan berpatutan.

Keputusan Lembaga Pengampunan yang mesti dipengerusiksn oleh Yang diPertuan Agong sebagai Raja yang berkuasa ke atas Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah, sama ada kita bersetuju dengannya ataupun tidak.

Ia tetap tidak boleh dibicarakan di mahkamah undang-undang sama ada Yang diPertuan Agong menerima nasihat Lembaca Pengampunan ataupun tidak.Kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang diPertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budibicara baginda dengan syarat sebelum Baginda Agong membuat keputusan terbut, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh Baginda.

Sama ada kita bersetuju atau tidak tentang hal semacam ini, itu adalah persoalan lain.Tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai sebuah negara walaupun demokrasi berparlimen, tetapi masih mengekalkan saki baki sistem feudal yang bersifat raja berperlembagaan.

Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ehsan ( court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa ( court of laws).

Saya menghormati dan sedia dengan hati terbuka menerima keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana Lembaga Pengampunan secara hakikinya tidak memberikan Pengampunan terhadap sabitan kesalahan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Undang-undang.

Dalam undang-undang ada dua perkara apabila seseorang dihukum oleh mahkamah.Yang pertama orang yang dituduh itu disabitkan bersalah.Kunci perkataannya ialah sabitan atau conviction dalam bahasa Inggeris.Selepas disabit bersalah maka orang yang dituduh itu dijatuhkan hukuman ke atasnya.Kata kuncinya ialah hukuman atau sentencing. Ini berlaku jika si tertuduh itu didapati bersalah.

Keputusan Lembaga Pengampunan ini tidak melepaskan Najib Razak.Sabitan bersalah ke atas Najib tetap kekal.Yang diringankan ialah jumlah hukuman dari 12 tahun kepada 6 tahun sahaja. Selain itu jumlah denda yang wajib dibayar daripada RM200 juta kepada RM50 juta sahaja.

Dalam isu pengurangan tahun penjara dan pegurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan tetapi soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormarti keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Datuk Najib Razak adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan Pengampunan.

Sebagai seorang anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009, saya melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak dalam kes SRC International akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan agensi memerangi rasuah SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah di Malaysia ini.

Keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib Razak telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
dan
Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)

istananegara2

Yang di-Pertuan Agong miliki kuasa pengampunan mengikut Perlembagaan

Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya.

Hal ini dinyatakan dalam peruntukan bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 42 (2), tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri bagi meremit, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau mahkamah sivil dalam Wilayah Persekutuan dan kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tempat kesalahan itu dilakukan.

Perkara 42 (3) pula menyatakan jika sesuatu kesalahan dilakukan secara keseluruhan atau sebahagian di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu negeri, atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu dilakukan maka ia hendaklah dikira telah dilakukan di negeri tempat kesalahan itu dibicarakan.

Sementara itu, Perkara 42 (5) menyatakan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa, melalui surat cara secara bertulis, mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada orang lain dan Raja atau Yang Dipertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.

Menurut Perkara 42 (6), anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah bagi tempoh tiga tahun dan layak dilantik semula namun boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

Perkara 42 (8) pula menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang Dipertua Negeri dan Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

Berdasarkan Perkara 42 (9), sebelum memberi nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan pendapat bertulis yang mungkin dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

Menurut Perkara 42 (10), kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman atau meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri terbabit.

Perkara 42 (11) pula menyatakan bagi maksud Perkara itu maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai secara mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan kecuali sebutan mengenai Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah ditafsirkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai Ketua Menteri hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Urussetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap beliau.

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan Urussetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman ke atas Najib, 70, yang kini meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.– BERNAMA – 2/1/2024

akmal-najib10

Isu pengampunan Najib : “Kita dipermainkan akhirnya”…- kata Ketua Pemuda UMNO

Seperti yang diduga – apa sekalipun…samaada dapat, tidak dapat atau separuh seperti sekarang – keputusan Lembaga Pengampunan keatas Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencetuskan kontrovesi panas.

Ini kerana nyata terdapat dua kumpulan besar yakni penyokong bekas Perdana Menteri itu yang mahu beliau diberi pengampunan penuh dan satu lagi kumpulan yang tentang sebarang bentuk pengampunan atas kesalahan yang mereka anggap serius itu.

Lembaga Pengampunan umum petang Jumaat bahawa tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikurangkan dari 12 tahun ke 6 tahun.

Manakala denda RM210 juta yang dikenakan keatasnya dikurangkan ke RM50 juta.

Beliau dijangka akan kekal dalam penjara sampai 23 Ogos 2028.

Paling mencuri perhatian setakat ini ialah kenyataan pedas Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh yang membangkitkan segala macam tandatanya – apakah maksud beliau?

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman facebooknya beliau nampak macam tidak puashati terhadap keputusan berkenaan.

“Kita dipermainkan akhirnya.Jangan ingat kami tidak tahu apa yang berlaku.Sudah tiba masanya” …itu saja katanya.

Beliau yang dihubungi seorang wartawan sebuah portal berita kemudian enggan mengulas lanjut apa sebenarnya maksud kata kata itu.

Beliau juga kata pihak tertentu pasti mengetahui maksud di sebalik hantaran itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi juga tidak berselindung perasaan kecewanya.

Dalam kenyataan ringkas di facebooknya beliau berkata : Najib terus dilukakan…

“Najib gagal dapat pengampunan penuh. Ia amat melukakan. Orang lain boleh, dia tidak boleh. Ada yang mahu ia tidak dibolehkan.

Banyak pihak akan berpesta. Najib adalah “wow” faktor pemulihan UMNO. Kini senjata kebangkitan UMNO ditumpulkan.

Najib mesti kembali aktif memberi idea dan kritikan dalam isu ekonom dan kesejahteraan rakyat. Fizikal terkurung tetapi pemikirannya tidak.

Buatlah apa sahaja kepada Najib, yang setia tetap bersama. Kifarah tidak akan salah alamat.” kata Puad.

Sementara itu anak Najib,Nooryana kecewa beliau tidak diberi pengampunan penuh.

“Datuk Seri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah,” katanya.

Nooryana berkata mereka yang mengikuti kes secara dekat sudah tentu setuju dengan penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa berlaku ketidakadilan besar terhadap Najib.

Justeru, kata Nooryana keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat berkata, Lembaga Pengampunan perlu memberi penjelasan alasan pengurangan hukuman penjara dan denda keatas Najib yang kini menjalani hukuman berkaitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihtan itu berkata, walaupun lembaga itu tidak terikat untuk menjelaskan keputusan mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun itu tetapi ia perlu dilakukan atas kepentingan awam.

“Saya rasa ini adalah kes berkepentingan awam yang tinggi. Ia membabitkan seorang bekas perdana menteri dan masih ada pengikut dan terlibat dalam jenayah yang dianggap ramai rakyat Malaysia sebagai serius.

“Ini satu keputusan yang sukar, dan kita hormatinya kerana dibuat mengikut undang-undang. Saya rasa penting wakil lembaga menjelaskan alasan pengurangan itu diberikan,” katanya.

Pada Khamis semalam, pada Khamis dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di YouTube Khairy berkata, sebarang keputusan dibuat Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib akan memberi implikasi besar terhadap negara.

Beliau berkata, sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu diampunkan, namun kes yang lain masih dibicarakan, ia akan merumitkan keputusan lembaga tersebut.

“Apa-apa keputusan yang dibuat atau diumumkan nanti memberi implikasi yang sangat besar kerana perlu ingat bahawa Najib ada kes yang sedang berjalan.

“Ia akan rumitkan lembaga kerana boleh ampunkan beliau untuk kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC), tapi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dibicarakan.

“Jadi, bagaimana keputusannya, adakah ia sekali dengan pakej pengampunan dan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)? Saya tidak tahu,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat malam umum parti telah menangguhkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur esok, Sabtu.

Sebaliknya, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pagi esok untuk membincangkan perkembangan politik mutakhir khususnya bersangkutan dengan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib oleh Lembaga Pengampunan.

Kenyataan itu tidak menyebut tarikh baru kolokium itu akan diadakan.

Kolokium yang diketuai Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani itu sepatutnya dihadiri 2,000 pemimpin Umno daripada semua 191 bahagian di seluruh negara.- 2/2/2024