masjid-kgbaruxxx

Insentif RM20,000 untuk tandas 5 bintang di masjid, surau Wilayah Persekutuan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setiap enam masjid atau surau di Wilayah Persekutuan yang mencapai kebersihan tandas bertaraf lima bintang akan menerima insentif sebanyak RM20,000. 

Beliau berkata insentif itu adalah untuk program keilmuan serta pembangunan dan penyelenggaraan bagi masjid atau surau yang mengikuti Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau bertaraf lima bintang peringkat Wilayah Persekutuan yang dilancarkan pada Jumaat.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) atas usaha yang amat bermakna ini untuk menyerlahkan keindahan Islam serta institusi masjid dan surau.

“Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas dan Surau Bertaraf 5 Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan ini amat besar maknanya untuk kita menyerlahkan qudwah kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Mohd Na’im juga berkata masjid dan surau perlu memberikan contoh terbaik dalam aspek kebersihan selain Islam harus diserlahkan sifatnya yang menjulang tinggi nilai rahmah dan dakwah. 

“Inilah usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memulakan usaha ini di Wilayah Persekutuan. Semoga ia memberikan kebaikan dan manfaat kepada semua pihak,” katanya. – BERNAMA -16/2/2024

penang-international-airport-02

PM mahu projek pembesaran Lapangan Terbang P.Pinang dipercepatkan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dipercepatkan, disebabkan keperluan mendesak susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata Pulau Pinang kini menjadi satu tarikan pelancongan yang sangat berjaya menyebabkan lapangan terbang itu mengalami kesesakan, sekali gus menjadi antara faktor kerajaan bersetuju untuk memperbesarkannya.

“Ini memerlukan kajian dan perancangan. Kalau ikut perancangan Kerajaan Persekutuan ia akan bermula akhir tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, di Permatang Pauh Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Berikutan itu, katanya beliau akan mendapatkan laporan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan sama ada projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) boleh dipercepatkan.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan bercadang untuk menambah 186 lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,097 PEDi berbanding 911 ketika ini.

Beliau berkata transformasi digital merupakan antara agenda penting ekonomi MADANI dan sekiranya negara hendak menjadi lebih maju, tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang baharu harus segera dikuasai rakyat.

“Sekarang alhamdulillah, keadaan kita memungkinan pemusatan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan ekonomi dan transformasi digital.

“Soal digital kalau kita tidak lakukan dengan baik akan menyebabkan berlaku kesenjangan antara golongan terpinggir dan masyarakat bandar, antara orang kaya, golongan elit dan rakyat kebanyakan,” katanya.

Justeru beliau menggesa jentera kerajaan merangkumi pelbagai jabatan untuk bekerjasama menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan dan kecerdikan digital di negara ini.— BERNAMA-16/2/2024

anwar-masjidx

“Saya tidak mahu bertolak ansur…makilah berbakul”….- Anwar

“Ini hang belajar dari mana?”

“Dia orang tua, jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh?

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim usia dan pangkat tidak sepatutnya dijadikan alasan, untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat rasuah.

Perdana Menteri membangkitkan hal ini ketika menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan ‘perompak-perompak’ besar di negara ini.

“Saya tidak mahu bertolak ansur…makilah berbakul, seranglah macam mana pun saya tidak akan bertolak ansur untuk bersihkan negara ini daripada perompak-perompak besar.

“Saya sudah beritahu hang Datuk Seri ka, Tan Sri ka, hang Tun ka, hang baik kita salute , hang rompak kita tangkap, sumbat dalam penjara. Bilik saya di Sungai Buloh masih ada, kosong,” katanya.

Anwar mengulangi ketegasan terhadap isu rasuah dan penyelewengan ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani – Barangan Basah dan Kering di Lembah Makanan, Bandar Perda, di Permatang Pauh, Jumaat.

Beliau turut membidas ahli Parlimen yang menyokong golongan seumpama itu dengan alasan kasihan melihat mereka diheret atau dihadapkan mahkamah.

Serentak dengan itu beliau mengulangi pendiriannya mencampuri urusan mana- mana pihak berkuasa, termasuk SPRM, Anwar berkata usaha memerangi rasuah dilakukan secara menyeluruh.

Sambil menggesa pihak berkuasa supaya tidak perlu takut untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat rasuah, perdana menteri menegaskan pangkat dan peringkat umur tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Kalau orang itu (amalkan) rasuah, dia patut bimbang… kalau tak rasuah dia tak perlu takut.

“Ini orang yang rasuah berpuluh billion tak berani sentuh, kalau polis sarjan kena (terima rasuah) kes RM200 orang marah habis. Saya tak kata betul (terima rasuah), kalau salah… salahlah.

“Tapi orang yang ambil RM10 billion tak berani sentuh, sebab ada kuasa tak berani sentuh.

“Ini kata dendam, kes lama, kalau ambil RM200 ringgit saya maafkan, tapi kes lama ambil RM20 billion ringgit, itu bukan duit aku, duit hang, tapi itu duit rakyat…” katanya.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya Na’imah Abdul Khalid mengingatkan perdana menteri bahawa kuasa itu singkat dan perhitungan menunggu mereka yang menyalahgunakannya apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kekayaan mereka.

Pada 23 Jan lalu, Naimah, 68, didakwa gagal mengisytiharkan hartanya.

Daim pula didakwa pada 29 Jan lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

SPRM juga telah mengarahkan anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani, untuk mengisytiharkan harta mereka.-16/2/2024

azam-daim (1)

Daim saman Azam Baki…

Tun Daim Zainuddin yang didakwa di mahkamah pada 29 Januari lalu kerana gagal isytihar harta telah saman Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Tuntutan saman itu dibuat kerana antara lain mendakwa tindakan SPRM tidak berlandaskan prosedur.

Beliau maklumkan hal ini ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog ‘Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?’ yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, Khamis malam.

“Saya tak boleh dedahkan maklumat kerana kes itu sudah masuk mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun ia dipercayai berkaitan dengan beberapa kenyataan dibuat Azam Baki serta pendedahan maklumat mengenai kes melibatkan bekas Menteri Kewangan itu.

Sebelum ini pasukan undang-undang mewakili Daim mendakwa Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dihadapi bekas Menteri Kewangan itu dan isu perundangan yang sedang dihadapi.

Mereka berkata, kenyataan berulang Azam mengenai Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis, kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Azam termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah

Katanya, kenyataan itu seolah-olah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan ‘sumber’ memburukkan lagi keadaan.

Dalam kes Daim didakwa gagal mematuhi notis isytihar harta sebelum ini, bekas menteri kewangan itu diwakili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Azam menegaskan SPRM bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama, jika ada pihak tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kadang-kadang kami (SPRM) tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Kami generasi baharu mungkin tak tahu.

“Betul… saya mungkin hidup pada waktu itu, tetapi saya tak berada dalam sistem ketika itu. (Jadi sekarang) tindakan perlu diambil kerana ia tanggungjawab saya,” katanya.-16/2/2024

aman

Dua orang kuat Aman Palestin hadapi 164 tuduhan di mahkamah

Ada pihak yang mempersoalkan tindakan SPRM membekukan akaun milik Aman Palestin Bhd dan beberapa syarikat lain, membabitkan dana lebih RM15.8 juta pada November lalu.

Bagi mereka tindakan ini menjejaskan usaha Aman Palestin dalam kerja amal mereka untuk bantu warga Palestin.

Pada 31 Jan, Aman Palestin memfailkan cabaran undang-undang terhadap perintah pembekuan SPRM, dan Jabatan Peguam Negara kemudiannya berkata ia akan memfailkan bantahan terhadap permohonan itu.

Pada Khamis tiga termasuk dua orang kuat Aman Palestin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mereka ialah Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58 dan CEO, Awang Suffian Awang Piut, 52 serta pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49 didakwa atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram melibatkan RM39.5 juta.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu kedua-dua pihak bersetuju kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM1 juta.

Separuh daripada jumlah itu akan dibayar kepada mahkamah hari ini dan bakinya perlu dijelaskan sebelum 14 Mac depan.

Anita kemudian menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebulan kes tersebut.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu kepada wang dibelanjakan termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Pelaburan jongkong emas Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria juga disiasat.

Pada November lalu, SPRM mengesahkan membeku 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.-15/2/2024

tik-bakar

Ini bukan cerita dongeng…

Rasa macam tidak percaya…namun ini kisah benar.

Siapa sangka ada orang boleh buat onar sampai begitu gara gara nak popular.

Tidak silap ini kali pertama ada orang bikin ini macam.

Harap harap ia berakhir di sini dan tidak pula ada yang nak tiru aksinya.

Bayangkan jika sabit kesalahan dia boleh kena hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Khamis…polis pada jam 10 pagi telah menahan seorang pekerja p-hailing berusia 25 tahun di rumahnya di Flora Damansara.

Dia ditahan ekoran kejadian pada 1.42 pagi itu dimana sebuah kereta milik polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad terbakar.

Kejadian dipercayai akibat dibaling molotov cocktail berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara.

Apa yang agak mengejutkan ialah suspek itu memuat naik video kejadian tersebut bagi mendapatkan perhatian di aplikasi TikTok.

Dia juga melakukan vandalisme dengan menconteng carutan antikerajaan di dinding hentian bas berhampiran kenderaan yang dibakar itu.

Polis juga menyiasat jika suspek dikaitkan dengan mana-mana parti politik atau kumpulan pelampau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata ketika suspek ditahan polis turut merampas tukul besi serta botol air berisi petrol disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu kerana mahu mendapatkan rating tinggi di aplikasi TikTok dengan cara memuat naik video kejadian melalui telefon bimbitnya selain mahukan perhatian,” katanya dalam kenyataan.

Video suspek berlatar belakangkan kereta berkenaan yang sedang terbakar turut tular di laman sosial.

Ia disertai kapsyen yang mendakwa berpuas hati kerana telah membakar kereta tersebut.

Mohamad Fakhruddin berkata semakan mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing, namun tiada rekod jenayah lampau.

Menurutnya lelaki tersebut akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.-15/2/2024

anwar-ss

Kerajaan Persekutuan sambut baik titah Sultan Selangor – PM

KERAJAAN Persekutuan menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata titah Sultan Selangor, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) itu, juga dilihat tepat pada masanya bagi menurunkan suhu hangat politik berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.

Anwar berkata, titah Sultan Selangor dalam Mesyuarat MKI kali ke-71 di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri beliau itu, dilihat sebagai satu kenyataan tegas dalam mempertahankan semangat Perlembagaan Negara.

“Mungkin masyarakat Cina tidak rasa tekanan itu, tapi bagi masyarakat Melayu dan Islam seluruh negara, isu ini jadi isu politik sangat hangat, cerca-mencerca, penghinaan hakim-hakim, kerajaan dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Khamis.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Presiden ACCCIM Tan Sri Low Kian Chuan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baca artikel lain: Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, kedudukan Perlembagaan – Sultan Selangor

Baginda bertitah demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas memutuskan bahawa 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jejayah Kelantan batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Perdana Menteri berkata dalam mesyuarat tersebut juga, Sultan Selangor bertitah bahawa sebagai negara berlandaskan peraturan hukum, maka negara perlulah patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi keputusan Mahkamah Persekutuan itu, menurut Tuanku (Sultan Selangor) harus dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat Perlembagaan. Tidak timbul nak meringankan dan meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah,” katanya.

Anwar berkata sekiranya terdapat cadangan mahupun pandangan baharu berhubung isu syariah, ia boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Pada Disember lepas, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas itu yang bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.— BERNAMA-15/2/2024

ismail1

Ismail Sabri sedang intai gelaran ‘Dr’ dari UUM

Kalau nak kira Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah berjaya capai sesuatu yang mungkin beliau sendiri tidak pernah mimpi…yakni jadi Perdana Menteri Malaysia.

Namun rupanya itu belum cukup baginya.

Kini bekas Perdana Menteri Malaysia ke 9 itu sedang mengintai satu lagi matlamat yakni ada gelaran ‘Dr’ di hujung namanya.

Jangan lupa Ismail merupakan graduan undang-undang dari Universiti Malaya pada tahun 1980-an.

Sebelum bergiat aktif dalam bidang politik beliau ialah seorang peguam.

Dalam usaha untuk mengejar Doktor Falsafah beliau perlu bereskan tesis.

Maka pada hari Khamis Ismail buka cerita pada hari ini beliau mendapat kad pelajar kerana sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk tujuan itu.

“Alhamdulillah hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar. Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar.

“Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” katanya.

Bekas pegawai kanannya, Kamarul Zaman Yusoff yang juga pensyarah kanan akan menjadi penasihat tesisnya.

Kali ini, tesisnya berkenaan tindakan yang diambil negara dalam menangani wabak Covid-19.

Katanya beliau telah membentangkan cadangan penyelidikan untuk ijazah doktor falsafahnya (PHD).

“Tesis saya mengenai tindakan Malaysia dalam memerangi Covid-19.

“Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik dalam memerangi Covid-19,” katanya.

Ismail berkata tiada satu pun negara yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan wabak itu kerana ia kali pertama melanda dunia.

“Saya berharap dunia dapat melihat bagaimana pengalaman dan tindakan Malaysia memerangi Covid-19,” katanya lagi.-15/2/2024

prabowo_gibra

Hitung cepat Probowo-Gibran menang besar pemilihan Presiden Indonesia

HASIL hitung cepat (quick count) pemilihan Presiden Indonesia ke lapan, menunjukkan pasangan calon nombor urut dua, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka menang besar merebut jawatan tertinggi negara tersebut.

Hasil hitung cepat itu menunjukkan Prabowo – Gibran menang lebih 55 peratus undi menjadikan mereka unggul berbanding dua lagi calon Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan GanjarPranowo-Mahfud MD.

Keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Komiti Pemilihan Umum (KPU) tiga minggu dari sekarang.

Prabowo dalam ucapan menyambut kemenangannya di depan para pendukungnya menyambut baik hasil hitung cepat tersebut.

“Prabowo-Gibran dan seluruh Koalisi Indonesia Maju, kami akan merangkul semua unsur dan kekuatan,” ujar Prabowo dalam pidatonya didampingi Gibran di Istora Senayan, Jakarta, Rabu malam.

“Kami akan menjadi pemerintah untuk seluruh rakyat Indonesia,” janjinya.

Prabowo–yang kini dikenal sebagai Menteri Pertahanan–berkata beliau sudah berkali-kali menegaskan bila terpilih memimpin bersama Gibran akan menyantuni seluruh rakyat Indonesia.

“Apapun sukunya, apapun kelompok etnisnya, apapun rasnya, apapun agamanya, apapun latar belakang sosialnya, seluruh rakyat Indonesia akan menjadi tanggung jawab kami untuk menjaga kepentingannya,” tegas Prabowo.

“Saudara sekalian atas nama tim Prabowo-Gibran dan Koalisi Indonesia Maju, kita bersyukur atas hasil penghitungan cepat yang sudah ada,” kata Prabowo.

Bagaimanapun, dia mengingatkan penyokongnya untuk menunggu pula hasil resmi dari KPU.

Pemilu 2024 meliputi pemilihan presiden dan wakil presiden, anggota DPR RI, anggota DPD RI, anggota DPRD provinsi, serta anggota DPRD kabupaten/kota dengan daftar pemilih tetap (DPT) tingkat nasional sebanyak 204.807.222 pemilih.-14/2/2024

pilpres

Debaran pemilihan Presiden Indonesia…

Cara kita ialah pangkah.Di Indonesia pula istilahnya ialah coblos yakni cucuk sampai tembus pada gambar calon di kertas undi.

Perbezaan besar antara sistem Malaysia dengan Indonesia ialah di negara jiran serumpun itu rakyat secara langsung pilih Presiden lima tahun sekali.

Manakala kita Perdana Menteri dipilih menerusi majoriti sokongan kalangan Ahli Parlimen yang menang pilihanraya umum.

Mulai hari ini Rabu perhatian bertumpu ke Indonesia bila negara dengan jumlah penduduk 280 juta ini adakan pemilihan Presiden atau ringkasnya di sana disebut sebagai ‘pilpres’.

Semua sedia maklum tiga pasangan calon presiden dan Naib Presiden akan berentap.

Mereka terdiri dari gandingan Anies Baswedan – Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto – Gibran Rakabuming Raka (anak Presiden Jokowi) dan Ganjar Pranowo – Mahfud MD.

Soalan terbesar bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan ialah apakah kesan pilpres itu kepada negara kita.

Pilpres ini adalah pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia melibatkan lebih 204 juta pengundi.

Memetik kata kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia,Datuk Hermono hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia akan terus kukuh walau siapapun yang bakal dipilih sebagai presiden negara itu.

Hermono meluahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga calon presiden cukup arif mengenai Malaysia.

“Saya tahu betul ketiga-tiga calon, semuanya sudah mengenal sangat baik soal Malaysia dan saya yakin semuanya berkepentingan untuk terus membangun hubungan yang lebih kuat antara kedua-dua negara,” katanya.

Itu bukan cakap basa basi sebagai penyedap bicara.

Probowo,72 misalnya pernah belajar masa sekolah menengah selama dua tahun di Victoria Institution di Kuala Lumpur.

Anies,54 bekas Menteri Pendidikan dan Gabenor Jakarta dan Ganjar,55 bekas Gabenor Jawa Tengah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kalangan pimpinan Malaysia.

Hermono malah menyifatkan hubungan kukuh Malaysia dan Indonesia sebagai sauh (anchor) untuk kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara.

Isu yang banyak menyangkut hubungan Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama ialah tenaga kerja.

Hermono berharap presiden yang bakal dipilih nanti akan mempercepatkan penyelesaian isu sempadan dan isu pekerja migran Indonesia di Malaysia yang disifatkannya sebagai “homework” untuk pemimpin kedua-dua negara.

“Kalau dua isu ini boleh kita selesaikan, saya kira hubungan Malaysia dan Indonesia akan lebih kuat lagi. Tiada lagi halangan kerana kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama (common interest) dan ingin maju dan memperkuat hubungan dua hala,” katanya.

Ditanya mengenai bidang kerjasama baharu, Hermono berkata, kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan kerjasama membangunkan bidang keselamatan makanan dan tenaga bersih.

Bidang berkenaan sangat strategik untuk Malaysia dan Indonesia memandangkan kedua-dua negara saling melengkapi antara satu sama lain.

“Indonesia mempunyai tanah yang luas dan pekerja yang banyak. Malaysia tanahnya tidak seluas Indonesia, pekerja pertanian juga tidak banyak, tetapi Malaysia mempunyai teknologi yang lebih tinggi (advance) di bidang pertanian.

Macam macam analisa dan hasil survey muncul mengenai siapa mengatasi siapa sejak kempen rasmi pilpres bermula November lalu.

Kebelakangan ini hasil survey yang dibuat terus menerus letak gandingan Prabowo-Gibran paling atas.

Anies-Muhaimin kedua dan Ganjar-Mahfud ketiga.

Namun kalangan penyokong gandingan dua calon itu telah mempertikaikan hasil survey itu.

Gandingan Anies-Muhaimin misalnya buat kejutan bila kempen penutupnya pada 10 Februari lalu di Jakarta International Stadium melimpah ruah dihadiri penyokong baik di dalam dan luar stadium.

Stadium yang dibina masa Anies Gabenor Jakarta itu boleh mengisi lebih 80,000 orang.

Perhimpunan gandingan Prabowo-Gibran di Stadium Gelora Bung Karno di Senayan,Jakarta juga sesak dan padat dihadiri penyokong.

Ganjar dan Mahfud pula adakan perhimpunan kempen terakhir mereka yang tidak kurang hebat di dua bandar Jawa Tengah iaitu Surakarta dan Semarang.

Surakarta adalah kampung halaman Jokowi dan di mana Gibran adalah Datuk Bandar, manakala Semarang adalah kampung halaman Ganjar dan ibu kota provinsi Jawa Tengah.

Soalan paling menarik tentunya apakah Prabowo mampu menebus kegagalannya untuk capai jawatan Presiden Indonesia.

Beliau dua kali tewas berentap dengan Presiden Joko Widodo yakni pada pilpres 2014 dan 2019.

Jokowi hulur salam persahabatan seleps pilpres 2019 yang tegang dengan melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan.

Lebih hebat Probowo kali ini bergabung dengan keluarga Jokowi dimana anaknya Gibran dipertatuhkan sebagai Naib Presiden.

Mampukah ‘pengaruh Jokowi’ menerusi Gibran menjadi talian hayat hasrat Prabowo?

Ini kerana Gibran dikira masih mentah dan baru sangat pada Februari 2021 pegang jawatan Datuk Bandar Surakarta.

Dalam pada itu pencalonan beliau sebagai Naib Presiden diwarnai kontroversi pasal had umur.

Mahkamah Konstitusi telah meluluskan penurunan had umur bawah 45 tahun yang bolehkan Gibran yang berusia 36 tahun bertanding.

Lebih hangat…keputusan bagi membenarkan Gibran bertanding itu diputuskan oleh hakim utama Indonesia yang jugar ipar kepada Jokowi, Anwar Usman.

Ia telah cetuskan isu nasional yang riuh rendah. Jokowi didakwa hendak mewujudkan dinasti politik setelah tempoh khidmatnya selama 10 tahun berakhir Oktober ini.

Peraturan di Indonesia tidak benarkan Presiden pegang jawatan lebih dari dua penggal.

Untuk menang setiap calon harus dapat lebih 50 peratus undi.

Jika bawah dari peratusan itu maka pusingan kedua pilpres akan diadakan pada Jun nanti.

Keputusan pilpres ini akan ambil masa beberapa hari sebelum diumumkan.

Sementara itu debaran akan berterusan.-14/2/2024