menterijpmxxxx

Keputusan kes Nik Elin tidak jejas Mahkamah Syariah – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR – Semua pihak berkepentingan dan yang terlibat dengan Mahkamah Syariah akan segera dipanggil bagi membincang serta menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi mahkamah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan pindaan atau reformasi undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, ia akan segera dilakukan.

Bekas Ketua Hakim Syarie itu, yang menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan Jumaat.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mohd Na’im berkata, sebagai tindakan segera juga, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes itu bagi tujuan kajian serta perancangan selanjutnya.

“Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

“Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksana.

Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam akan mengkaji isu berkaitan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau juga akan segera memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah serta Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes itu hari ini. – BERNAMA-9/2/2024

mokhzani-mirzan-mukhriz-sprm

Mirzan dan Mokhzani minta SPRM sabar…

Mirzan dan Mokhzani yakni anak Tun Dr Mahathir Mohamad yang diminta SPRM isytihar harta mereka dalam tempoh 30 hari mengeluarkan satu kenyataan bersama pada Khamis.

Dua tokoh koprat besar ini minta SPRM sabar.

Ini sebagai respon pada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa 6 Februari, di mana beliau kata mereka masih belum menyerahkan pengisytiharan aset.

Menurut Azam sekiranya tidak membuat pengisytiharan dalam tempoh 30 hari ditetapkan, mereka boleh dituduh gagal mengisytiharkan harta.

“Mirzan dan Mokhzani berkata “tugas mengumpul maklumat selama 43 tahun adalah satu usaha yang mustahil dan kami memohon kesabaran serta persefahaman untuk kami memenuhi permintaan SPRM,” katanya.

“SPRM meminta senarai aset sejak 1981, tahun bapa kami, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Kami sedang menyusun maklumat yang ada dan melibatkan diri dengan pihak-pihak berkaitan untuk membantu dan menasihati kami mengenai proses terbabit.

“Bagi mengelakkan sebarang kenyataan salah atau ‘prejudgement’, adalah wajar untuk semua mengeluarkan kata-kata tanpa kawalan ketika mengulas kes ini, lebih-lebih lagi apabila kami tidak dimaklumkan secara spesifik mengenai siasatan kes yang berkaitan dengan bapa kami,”kata mereka.

Pada 18 Januari lalu, SPRM menerusi kenyataannya mengesahkan SPRM sudah menyerahkan satu perintah notis kepada Mirzan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis itu mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis itu.

Katanya, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

SPRM berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mokhzani pula dilaporkan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.– 8 /2/ 2024

daim-getty

SPRM syak Daim ada banyak lagi harta belum diisytihar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin memanggil Daim Zainuddin sekali lagi bagi membantu siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu.

Ini selepas agensi antirasuah itu mengesyaki Daim mungkin mempunyai lebih banyak harta yang belum diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Malaysiakini.com melaporkan pada Khamis menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pegawai penyiasat agensi itu baru-baru ini menerima maklumat baru mengenai aset milik Daim dan kini sedang berusaha untuk menyiasat kesahihan dakwaan tersebut.

“Siasatan (terhadap Daim) masih diteruskan.

“Kita kena buat banyak pengesahan harta-harta yang tak diisytiharkan. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menyemak harta-harta yang kita dapat maklumat tak isytiharkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Azam bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu menyebut antara aset lain yang disiasat ialah hartanah, saham dan akaun bank di Malaysia dan di luar negara.

Pegawai SPRM itu berkata pegawai penyiasat memerlukan lebih banyak masa memandangkan suruhanjaya itu memerlukan bantuan daripada agensi berkaitan di luar negara.

“Pada peringkat ini belum (panggil untuk soal siasat). Biar pegawai penyiasat kumpul (maklumat) harta-harta lainyang kita syak di dalam dan luar negara.

“Saya jangka kalau banyak maklumat lagi diperolehi, dia akan dipanggil kemudian,” kata Azam ketika ditanya sama ada Daim akan dipanggil sekali lagi.

Minggu lalu, Daim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta meliputi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.

Dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selain itu, SPRM berkata mereka juga meneruskan siasatan lain terhadap jutawan itu atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.- 8/2/2024

zahid-najibxxx

Mohon pengampunan penuh santuni permintaan Najib, keluarga – Zahid

PERTIMBANGAN memfailkan permohonan baharu untuk pengampunan penuh bagi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebagai menyantuni permintaan bekas Perdana Menteri itu dan anggota keluarganya, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bagaimanapun berkata langkah-langkah yang akan diambil nanti berhubung perkara itu perlu mengambil kira rasa hormat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kita ke arah menyantuni permintaan Najib dan ahli keluarganya.

“Eloklah langkah yang akan dibuat nanti mengambil kira rasa hormat kita kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 kerana baginda mempunyai kuasa sepertimana termaktub dalam Perlembagaan (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Khamis.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilapor berhasrat memfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan pengampunan penuh daripada Sultan Ibrahim.

Semalam, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilapor berkata pihaknya akan berbuat demikian pada masa yang sesuai dan menunggu arahan anak guamnya itu.

Baca artikel lain: Pihak pembelaan Najib mahu dapatkan pengampunan penuh Sultan Ibrahim

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan keputusan pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya fikir untuk kita hormati keputusan yang (telah) dibuat Lembaga Pengampunan kerana Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang pengerusikan.

“Mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa itu adalah hak mutlak sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong. Maka siapa pun individu termasuk peguam hendaklah menghormati keputusan ini dan selanjutnya kita ambillah langkah-langkah dari segi perundangan dan langkah perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada (Datuk Seri) Najib,” katanya.

Pada 2 Feb lepas, media melaporkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas perdana menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.— BERNAMA- 8/2/2024

1mdbxx

Wang, aset 1MDB lebih RM23 juta diperolehi semula – SPRM

Sebanyak lebih RM23 juta hasil daripada pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk wang dan aset berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2023 dan bulan ini.

SPRM dalam kenyataan Khamis memaklumkan wang dan aset berkenaan berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan sukarela lima individu dan ia telah dipulangkan semula kepada kerajaan.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejayaan memperoleh semula wang tersebut adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaru adalah pada Isnin lepas (5 Feb).

“Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, yang individu ini mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu berkata pada 29 Sept tahun lepas, wang berjumlah US$972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 telah dipulangkan kepada kerajaan menerusi penyerahan secara sukarela Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Effendi menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Pada 8 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur juga telah memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Najib, Mohammad Kamal Yan Yahaya.

SPRM berkata individu berkenaan yang mempunyai kepentingan, telah menerima dana 1MDB menerusi projek Magnolia, Maximus dan Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Ltd di BSI Bank, Singapura.

“Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

“Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM,” menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan permohonan lucut hak itu dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001.

Suruhanjaya itu memaklumkan secara keseluruhannya dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

Bernama- 8/2/2024

muh1xx

Akhirnya…Muhyiddin boleh ke Bangkok

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertolak ke Bangkok pada 15 Februari ini setelah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur benarkan beliau mendapatkan semula pasportnya secara sementara.

Pasport bekas Perdana Menteri itu ditahan selepas dia berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Beliau akan berada di ibukota Thailand itu selama lapan hari sehingga 23 Februari.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu hari ini Khamis.

Pada 31 Januari lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya secara sementara untuk ke Bangkok, Thailand atas tujuan menziarahi ahli perniagaan Malaysia di sana.

Beliau juga akan melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam.

Muhyiddin juga berkata diundang melancarkan sebuah restoran masakan Thai bernama Phrigkiao, milik kenalan rapatnya yang juga rakyat Malaysia.

Dalam prosiding hari ini, Azura berkata Muhyiddin tiada risiko untuk meninggalkan Malaysia bagi mengelak perbicaraan mahkamah.

Katanya, walaupun sebab yang dinyatakan Muhyiddin tidak mendesak, mahkamah ada budi bicara yang luas untuk memulangkan semula pasport secara sementara mengikut keadaan.

“Walaupun ada sekatan perjalanan terhadap pemohon, tidak wajar untuk menghalangnya daripada terus menjalani kehidupannya, selagi dia belum disabit bersalah,” katanya kepada peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Nuralis Mat.

Pada 29 Disember tahun lalu, mahkamah sama turut memulangkan sementara pasport Muhyiddin untuk bercuti di London dan membuat pemeriksaan kesihatan di Singapura, namun menolak permohonan agar pasport dipulangkan secara kekal.- 8/2/2024

lemas-tapahx

Tragedi kepala air Bidor: 2 mayat terakhir ditemukan

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor ditamatkan susulan penemuan mayat dua beradik perempuan sekitar 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata mayat pertama yang dikenal pasti sebagai Hanum Marissa Azam, 2, telah ditemukan di Jambatan Kampung Poh yang berjarak tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Mayat kedua yang dikenali sebagai Hanna Mikayla Azam, 7, telah ditemukan 600 meter dari lokasi kejadian.

“Susulan daripada penemuan ini juga pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Poh ditamatkan serta-merta,” katanya pada sidang media di Tapah Khamis.

Dalam kejadian 4.03 petang semalam, enam sekeluarga dan seorang pembantu rumah terperangkap dalam tragedi kepala air sewaktu sedang berkelah di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Mayat ibu tiga beradik itu Aszura Bani, 37, ditemukan petang semalam manakala mayat anaknya Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemukan jam 9.45 malam tadi.

Mohd Naim berkata buat masa ini lokasi perkelahan tersebut ditutup kepada kunjungan orang ramai sehingga siasatan kes selesai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata kejadian berkenaan berlaku disebabkan faktor cuaca selain arus deras yang menyebabkan semua mangsa tidak berupaya untuk menyelamatkan diri.

“Kalau kita lihat semua mangsa adalah perempuan dan kanak-kanak. Jadi apabila berlaku aliran deras (kepala air) mereka pula pada waktu itu berada di tengah-tengah sungai maka keupayaan untuk menyelamatkan diri amat terbatas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menasihatkan orang ramal supaya berhati-hati sewaktu menjalankan aktiviti beriadah di lokasi berdekatan sungai dan punca air.

“Kalau boleh dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya nasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti di tempat berair bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – BERNAMA-8/2/2024

Fahmi-pc

Calon KP J-Kom bakal diumum, struktur jabatan akan dirombak – Fahmi

PUTRAJAYA – Calon Ketua Pengarah (KP) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah dimuktamadkan dan akan diumumkan setelah selesai beberapa proses dokumentasi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurutnya nama calon tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet dan pada masa yang sama kementerian itu dalam proses merombak struktur J-Kom.

“Yang lebih penting daripada pelantikan KP J-Kom seperti yang saya telah sebut sebelum ini adalah kita sedang dalam proses merombak struktur itu jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan kepada Kementerian (Komunikasi).

“Saya lihat jabatan ini perlu disuaimanfaatkan, diselaraskan semula beberapa tindakan gerakan kerja,” beliau berkata pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya Rabu.

Apabila ditanya adakah proses pelantikan KP yang baharu itu melibatkan rombakan pegawai yang lain beliau hanya menjawab : “la akan melibatkan perubahan”.

“Proses rombakan ini melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kita kena lalui proses itu.

“Saya menjangkakan proses dalam J-Kom ini akan mengambil sedikit masa,” katanya.

KP J-Kom yang bakal diumumkan namanya tidak lama lagi bakal menggantikan penyandangnya Datuk Mohammad Agus Yusoff setelah beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 15 Disember lepas.

Mohammad Agus dilantik sebagai KP J-Kom pada Februari 2023.

Mengulas mengenai pengganti jawatan Speaker Dewan Negara susulan pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Negeri, Fahmi berkata pengumuman nama calon tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum persidangan Dewan Negara akan datang.

“Nama telah dicadangkan dan diserahkan kepada PM untuk diumumkan,” katanya. – BERNAMA-7/2/2024

lada-china

Pelancong China berbondong-bondong ke Langkawi

INI khabar gembira untuk industri pelancongan di Langkawi Kedah selepas menerima kemasukan lebih 2,000 pelancong dari wilayah Chengdu dan Chongqing, China mulai bulan ini menerusi lapan penerbangan sewa khas.

Penerbangan sewa khas terus dari China ke Langkawi, yang pertama bagi 2024, selamat mendarat di Pulau Legenda itu pada Selasa dengan membawa 178 pelancong dari Chengdu.

Lebih menarik, kumpulan pelancong terbabit kelihatan teruja apabila disambut dengan perarakan bunga manggar, sireh junjung, paluan gendang pribumi dan persembahan tarian singa.

Majlis sambutan itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Amin Yahya.

Pada sidang medianya, Haslina berkata, LADA yakin penerbangan sewa khas dari Chengdu yang dikenali bandar bersejarah juga pusat perniagaan dan Chongqing (bandar pergunungan) memberi impak positif kepada pulau ini.

“Kerapkali apabila prestasi memberangsangkan, penganjuran penerbangan sewa khas akan diikuti dengan pengoperasian penerbangan berjadual tetap yang pasti membawa masuk lebih ramai pelancong ke pulau ini.

“Malah, pulau ini akan menerima peningkatan pelancong dari Asia Barat, Eropah dan Afrika pula sebaik syarikat Flydubai memulakan penerbangan terus Dubai-Langkawi, mulai Sabtu ini,” katanya.

Haslina berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan dari Poland bagi mengadakan sekurang-kurangnya 30 penerbangan terus Poland-Langkawi selama tiga tahun.

“Semua usaha dan pendekatan yang kita laksanakan ini bertujuan membantu kita mencapai sasaran kemasukan 3.5 juta pelancong tahun ini dengan purata 250,000 setiap bulan,” katanya.

kansel3

Kematian akibat kanser meningkat kepada 12.6 peratus

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 menunjukkan kanser adalah punca kematian keempat tertinggi di Malaysia, menyaksikan peningkatan kepada 12.6 peratus pada 2022 berbanding 10.5 peratus bagi tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, kanser juga adalah antara punca utama kematian di hospital swasta meliputi 26.44 peratus dan yang keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 9.29 peratus.

“Kematian yang tinggi ini juga dapat dikaitkan dengan pengesanan penyakit di tahap yang lewat iaitu tahap III dan IV yang tinggi melebihi 60 peratus daripada keseluruhan kanser yang dilaporkan, berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Malaysia,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata data Registri Kanser Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 168,822 kes baharu telah dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 manakala kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser limfoma dan kanser hati merekodkan kadar insiden tertinggi bagi tempoh berkenaan.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia bertema Close the Care yang berlangsung hari ini, Dr Dzulkefly menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan selain aktif secara fizikal, tidak mengambil alkohol dan tidak merokok.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga perlu menyokong usaha KKM dalam mencegah penyakit kanser di Malaysia seperti pemberian vaksin hepatitis B kepada bayi menerusi program Imunisasi Kebangsaan dan vaksin Papillomavirus Manusia (HPV) yang ditawarkan kepada remaja perempuan berumur 13 tahun.

“Jalani saringan kanser bagi tujuan pengesanan lebih awal kerana ia dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup, mengurangkan morbiditi dalam kalangan pesakit kanser dan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser,“ katanya.

Dr Dzulkefly juga berkata pihaknya akan memastikan rakyat menerima perkhidmatan komprehensif yang tidak terikat kepada kemampuan termasuk penjagaan kesihatan bagi pesakit kanser.

“Selain itu, misi dalam mempertingkat promosi kesihatan dan pencegahan penyakit termasuk kanser dengan memperkukuh fungsi kesihatan awam akan diteruskan melalui aktiviti promosi serta pencegahan terutama di fasiliti kesihatan primer KKM,“ katanya.

Sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini memberi penekanan kepada penjagaan kanser yang memfokus kepada keperluan pesakit secara keseluruhan meliputi kepentingan kesejahteraan fizikal dan psikologi.