anwar-melaka1

Laungan keramat ‘merdeka’ kembali bergema di Banda Hilir selepas 68 tahun

Laungan keramat ‘merdeka’ kembali bergema di Banda Hilir selepas 68 tahun

LAUNGAN keramat “merdeka” kembali bergema di Banda Hilir, Melaka malam ini bagi mengenang perisitiwa bersejarah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj daripada cengkaman penjajah di Padang Banda Hilir pada tarikh ini.

Sambutan ini dianggap penuh bersejarah kerana ia pertama kali diadakan selepas Tunku Abdul Rahman pertama kali mengumumkan kemerdekaan negara kira-kira 68 tahun lalu.

Perarakan bermula dari Bangunan Merah Stadhuys menuju ke Dataran Memorial Kemerdekaan sejauh kira-kira 600 meter dengan perarakan diketuai sebuah kereta antik bernombor pendaftaran M4442 yang dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kenderaan berjenama Nash Rambler Custom jenis ‘convertible’ buatan 1951 itu pernah dinaiki Tunku Abdul Rahman dan wakil Sultan Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz ketika negarawan itu bersama rombongan merdeka pulang dari London ke Padang Banda Hilir pada 20 Februari 1956.

Sebaik tiba di pentas utama dataran berkenaan, Anwar, yang melakonkan watak Tunku Abdul Rahman, membuat pemeriksaan barisan pemuda sebelum Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang bertindak sebagai Tun V.T. Sambanthan, mengalungkan bunga malai kepada Anwar sambil diperhatikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang melakonkan watak Setiausaha Agung MCA Tun Tan Cheng Lock.

Sambutan diteruskan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Acara Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Tun Abdul Ghafar Baba yang dilakonkan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, disusuli ucapan oleh Ab Rauf yang memegang watak Datuk Panglima Bukit Gantang.

Laungan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali kemudiannya bergema sejurus Anwar, yang memegang watak Tunku Abdul Rahman membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati sambutan ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Keris Sapukal, yang merupakan keris sebenar pernah dipegang oleh Tunku Abdul Rahman semasa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu turut diserahkan kepada Anwar oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin yang memegang watak Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Melaka pada 1956 iaitu Zainab Samdin.

Sambutan diteruskan dengan Malam Aneka Warna yang menampilkan persembahan teater muzikal bertajuk “Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baharu” yang mempersembahkan babak-babak menarik dari bermulanya Jepun menjajah Tanah Melayu sehinggalah detik Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kira-kira 1,500 peserta terlibat dalam perarakan dan Malam Aneka Warna itu membabitkan anggota pasukan badan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta parti politik.

Pengisytiharan rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bagaimanapun berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Melaka turut mengumumkan 20 Februari sebagai cuti umum negeri bermula pada tahun ini.— BERNAMA-20/2/2024

mokhzani-mirzan-mukhriz-sprm-2

KEMASKINI : SPRM lulus lanjut tempoh sebulan pada Mokhzani isytihar harta…

Sebelum ini SPRM telah luluskan permohonan Mirzan Mahathir untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi bagi mengisytihar harta.Terbaru…kelulusan sama turut diberikan kepada adiknya Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut memohon untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi bagi mengisytihar harta seperti abangnya.

“Tan Sri (Mokhzani) telah memohon untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta. SPRM akan benarkan tambahan 30 hari lagi,” beliau dilaporkan sebagai berkata demikian pada Selasa.

Ikut notis asal,SPRM hanya beri tempoh 30 hari kepada kedua mereka.- 20/2/2024

SPRM beri lanjutan 30 hari Mirzan isytihar harta…

Menjelang tamatnya tempoh asal selama 30 hari pada pertengahan bulan ini…pihak SPRM telah luluskan permohonan Mirzan Mahathir untuk dapatkan tempoh lanjutan 30 hari lagi untuk isytihar harta.

Bagaimanapun permohonan sama seorang lagi anak Tun Dr Mahathir Mohamad yakni Mokhzani ditolak.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu Mirzan telah buat permohonan untuk lanjutan tempoh itu untuk dirinya dan adiknya Mokhzani.

Lanjutan itu hanya diberikan kepada Mirzan manakala Mokhzani masih perlu mematuhi notis asal 30 hari itu.

“Ya kami benarkan lanjutan. 30 hari lagi.

“Untuk Mirzan je, Datuk Mokhzani rasanya tak ada lagi (tempoh lanjutan),” tambah Azam.-16/2/2024

drm-ijn2

Gambar yang matikan desas desus pasal Dr Mahathir

Siapa agaknya empunya angkara…baru baru ini beredar gambar di media sosial konon keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad teruk sangat sedang dirawat di hospital.

Gambar beliau pakai alat penafasan yang cetuskan desas desus itu nyata palsu.

Hari ini Selasa…seorang jurucakap bekas Perdana Menteri hantar kepada media dua keping gambar terbaru beliau.

Katanya Dr Mahathir kini masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Dr Mahathir yang akan mencecah usia 99 tahun pada 10 Julai depan dimasukkan ke IJN pada 26 Januari lalu.

Beliau kini masih menjalani proses pemulihan akibat jangkitan.

Satu gambar menunjukkan beliau nampak steady saja sedang membaca surat khabar dan satu lagi sedang menulis sesuatu di situ.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata, tidak dapat dipastikan bila Dr Mahathir akan dibenarkan discaj.

Beliau menduga mungkin sehingga pihak IJN berpuas hati dengan tahap pemulihan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya tidak boleh beritahu bila Dr Mahathir dibenarkan keluar, buat masa ini kecuali IJN puas hati dengan tahap pemulihan beliau,” katanya. – 20/2/2024

tangkap3

Buruh binaan pesalah khalwat pertama dihukum sebat di Terengganu

Seorang buruh binaan pada Isnin menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Hakim Syarie Hamidi Shafie menjatuhi hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 selepas Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah.

Hamidi juga memerintahkan Mohd Affendi dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Affendi menjalani hukuman sebat dalam tempoh 14 hari jika tertuduh tidak mengemukakan rayuan.

Mohd Affendi mengaku berada bersama seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang bukan isteri atau mahramnya di antara 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Jan lepas di tingkat tiga sebuah premis kosong dalam proses baik pulih di Kemaman.

Hukuman sebat dikenakan ke atas lelaki itu kerana ini adalah kesalahan keduanya yang pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Dalam penghakimannya, Hamidi berkata hukuman itu bertujuan mendidik pesalah dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Sebab itulah sebatan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil jauh berbeza. Di Mahkamah Sivil pada zahirnya nampak azab sedangkan di Mahkamah Syariah (sebatan) jauh lebih ringan dengan harapan didikan daripada Allah itu sampai,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala Mohd Affendi tidak diwakili peguam.- Bernama-10/2/2024

beras

PM nafi cadangan beras putih Malaysia Madani akan wujudkan campurtangan kartel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh bahawa jika cadangan beras putih Malaysia Madani dilaksanakan ia akan menghapuskan beras putih tempatan yang lebih murah di pasaran.

Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, cadangan asal oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.

Anwar sebaliknya kata adalah tidak benar cadangan berkenaan akan mewujudkan campurtangan kartel dalam industri beras negara.

“Tidak, ini boleh sekat campur tangan kartel,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Kuala Lumpur.

Apapun Anwar menjelaskan kerajaan belum membuat ketetapan mengenai cadangan mewujudkan Beras Malaysia Madani yang diumumkan Syed Abu Hussin sebagai pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup (Naccol).

“Ia akan dibincangkan dalam Naccol dan belum ada keputusan,” katanya lagi.

Semalam,Ahad Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, juga berkata kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani yang diumumkan jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup, Rabu lalu.

Menjelaskan kekeliruan pengumuman oleh Syed Hussin, Mohamad berkata sebarang ketetapan harus berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada kabinet.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan lanjut.- 19/2/2024

pn-mpxxx

Ding dong….Bersatu VS ‘enam jahanam’

Siapa saja boleh naik bingung kalau ikuti ‘tembak menembak’ antara pimpinan Bersatu dengan enam Ahli Parlimen parti itu atau digelar ‘enam jahanam’ yang telah lompat sokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah riwayat politik mereka akan tamat bila parti gabungan Perikatan Nasional itu luluskan pindaan perlembagaan pada Perhimpunan Agung Khas 2 Mac ini?

Kalau ikut cakap pimpinan Bersatu kedudukan enam jahanam akan gugur sebagai Ahli Parlimen dan pilihanraya kecil perlu diadakan.

Ia melibatkan kerusi Labuan yang diwakili oleh Datuk Suhaili Abdul Rahman,Kuala Kangsar – Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Gua Musang – Mohd Azizi Abu Naim, Jeli – Zahari Kechik , Bukit Gantang – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – Bukit Gantang dan Tanjong Karang – Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Enam mereka cuma umum sokongan pada Anwar tetapi kekal sebagai ahli Bersatu.

Maka Akta Lompat Parti yang mewajibkan Ahli Parlimen kena kosongkan kerusi tidak boleh diguna pakai dalam kes mereka.

Kelompongan ini yang menjadi polimek semasa kerana ia mewujudkan senario yang agak aneh.

Bersatu nampaknya cukup yakin ia dapat cantas dan rebut balik enam kawasan Ahli Parlimen yang didakwa khianat pada parti jika pilihanraya kecil diadakan.

Betul tidak betul anggapan mereka ia sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Apapun setakat berita ini ditulis pada 19 Februari belum ada penentuan rasmi mengenai hal ini.

Perhimpunan Agung khas pada 2 Mac itu akan diadakan susulan keputusan mesyuarat pimpinan parti itu pada 29 Januari lalu untuk memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan.

Menjelang perhimpunan itu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris telah ‘ hulur salam’ dengan berkata enam Ahli Parlimen yang berpaling tadah, akan terselamat daripada dipecat jika menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya mereka juga tidak perlu mengosongkan kerusi jika mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan kepada Anwar sebelum Perhimpunan Agung Khas parti, 2 Mac ini.

Bagaimanapun, katanya, enam ahli Parlimen itu mungkin hanya dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan parti.

“Peluang buat mereka yang mengisytiharkan menyokong Anwar masih terbuka jika umum tarik balik sokongan, keahlian dan kedudukan sebagai ahli Parlimen selamat.

“Kita difahamkan, ada dalang dan individu tertentu cuba menghasut enam ahli Parlimen itu kekal menyokong Anwar dengan memberi alasan pindaan fasal 10 perlembagaan parti tidak akan memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Namun setakat ini ia tidak langsung bikin geng enam jahanam goyang.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili secara terbuka dakwa hanya Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mahkamah sahaja yang boleh ‘menamatkan riwayat’ politik enam ahli Parlimen Bersatu itu.

Beliau mendakwa pindaan Perlembagaan Bersatu itu tidak akan memberi kesan pada mereka.

“Macam mana nak tamat riwayat enam Ahli Parlimen Bersatu yang sokong PMX (Anwar), sedangkan untuk mengosongkan kerusi Parlimen ini adalah bidang kuasa pertama ialah Speaker Dewan Rakyat…kedua mahkamah bukan perlembagaan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Suhaili turut menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Razali bahawa pindaan Perlembagaan parti itu akan menamatkan riwayat enam ahli Parlimen itu yang digelar ‘enam jahanam’ sebagai tidak berasas.

Malah, kata beliau, cadangan untuk meminda Perlembagaan Bersatu itu juga tidak akan mengubah pendiriannya untuk kekal menyokong Anwar.

Suhaili turut bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Labuan dalam pilihan raya kecil sekiranya ia diadakan.

Itu satu hal…bagaimanapun tentang kemungkinan yang didakwa oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang ini.

Baru baru ini Syed Abu Hussin dakwa bukan 1, bukan 2, bukan 10 tapi sekurang-kurangnya 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri menjelang 28 Febuari ini.

I“Jadi, sama-sama kita tunggu dan lihat jika lebih ramai ahli Parlimen akan mengisytiharkan sokongan kepada (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya selepas program Jualan Rahmah di Changkat Jering, Perak, Rabu 7 Feb lalu.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Syed Abu Hussin Hafiz juga menafikan bahawa beliau telah menjadi perantara “urus niaga” untuk ahli Parlimen lain menyokong kerajaan, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Saya bukan ‘broker’. Saya bercakap benar dan saya (tidak menghubungi) mana-mana daripada mereka.

“Apa yang saya boleh beritahu Pembangkang melakukan sesuatu yang tidak bermakna… mustahil jika ada ahli parlimen (kerajaan) mahu menyertai pembangkang.

“Mereka tidak jaga dengan baik,” tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan Bersatu akan diambil terhadapnya, beliau berkata beliau bersedia untuk menghadapi akibatnya.

“Kalau mereka nak ambil tindakan undang-undang, saya terima dan kita akan lawan di mahkamah.

“Tetapi apa yang mereka rancangkan akan menjadi sia-sia kerana tidak ada dalam perlembagaan parti yang menyatakan tindakan boleh diambil… selagi perlembagaan parti tidak dipinda (ini tidak boleh berlaku).

“Saya dan rakan-rakan hanya menyokong kerajaan tetapi kami tidak meninggalkan parti,” tegasnya.

Jika betul seperti dakwa Syed Abu Hussin ia sudah tentu membuka satu eposid baru dalam krisis dalaman Bersatu.

Juga jika betul dakwaan pimpinan Bersatu ia boleh tamatkan riyawat politik enam jahanam menerusi pindaan perlembagaan parti rakyat Malaysia akan berdepan dengan banyak pilihanraya kecil tidak lama lagi.

Buat masa ini semuanya masih satu tandatanya.- 19/2/2024

rafizi-anwarxxxxsakit

KEMASKINI : Rafizi jalani pembedahan tulang belakang…

Ingat balik…Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Oktober tahun lepas pernah dilapor media mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Beliau kemudian dilaporkan stabil dan seterusnya kembali berkerja.

Kini Rafizi sedang dirawat di sebuah hospital.

Beliau telah jalani pembedahan tulang belakang.

Rafizi memberitahu menerusi facebook beliau akan berada di hospital selama dua minggu lagi.


‘Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan. Tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu.


‘Saya kena serangan jantung dalam bulan Oktober 2023. Saya tidak fikir ia disebabkan tekanan kerja dan seumpamanya, lebih kepada keadaan kolesterol saya yang memang tinggi sejak saya muda.

‘Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolesterol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat.

‘Alhamdulillah, prosedur untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat berjalan dengan baik. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menjaga saya dengan baik.


Di minggu ketiga Januari 2024 pula, saya kena COVID (buat kali pertama). Saya tidak pernah kena COVID sebelum itu. Akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang menyebabkan berlaku slipped disc.


Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit.


Diagnosis dari MRI menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan (compression) dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang (yang menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.


‘Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan UPM yang merawat saya’, katanya.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi beliau.

Dalam perkongsian menerusi laman Facebook dan X pada Isnin, Perdana Menteri mendoakan ahli parlimen Pandan itu diberikan kesembuhan segera.

“Berkesempatan ziarah Menteri Ekonomi, saudara Rafizi Ramli yang sedang dirawat di hospital.

“Alhamdulillah keadaannya bertambah baik. Mendoakan saudara Rafizi diberikan afiyah sesegera mungkin, insya-Allah,” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan tarikh dan waktu serta hospital Rafizi dirawat.- 19/2/2024

pas2

PAS sokong MKI cadang pindaan perlembagaan bagi atasi kekaburan ,martabat undang undang syariah dan pindaan Akta 355

PAS mendapati polemik dan perdebatan yang berlaku dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan orang Islam, berkaitan kedudukan dan masa depan undang-undang Syariah menuntut penyelesaian segera dan efektif bagi menghindari kesan buruk yang lebih besar.

Dalam konteks ini, PAS mengalu-alukan dan menyokong inisiatif yang kini dijalankan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh KDYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini termasuklah usaha Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan jika perlu bagi mengatasi permasalahan yang timbul, selain memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

Bukan rahsia lagi bahawa polemik ini berpunca daripada beberapa keputusan dan alasan penghakiman mahkamah yang menyaksikan undang-undang Syariah negeri-negeri bukan sahaja tercabar malah terbatal dan seterusnya terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa-masa akan datang.

Sebagai sebuah masyarakat Islam yang menerima Syariah bukan sahaja sebagai suatu tanggungjawab tetapi juga hak agama, PAS percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang Syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan.

Dalam hal ini, PAS yakin Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri yang memikul peranan sejarah yang utama sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai dan susila serta perpaduan dan kerukunan umat akan terus mendapat sokongan dan dokongan dari rakyat jelata terutama umat Islam.

PAS akan terus komited pada saranan al-Quran supaya bekerjasama dan bertolong-tolongan (ta’awun) dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan dan taqwa (birri wa at-taqwa) dalam semua usaha serta kegiatannya ke arah menzahirkan sebuah negara yang makmur dan mendapat Keampunan Tuhan (Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur).

Pada masa yang sama PAS turut mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa Kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen pada tahun ini.

PAS berharap semua pihak yang berkepentingan yang juga bersifat rentas parti seharusnya dijemput untuk turut sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran bagi memastikan hasrat mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.
Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh : 18 Februari 2024

passport-feat-image

Berita gembira untuk isu paspot Malaysia

Sekarang tempoh sah lalu paspot Malaysia ialah lima tahun.Kini ada kemungkinan tempoh berkenaan jadi 10 tahun.

Untuk tujuan itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji pelaksanaan memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengesyorkan tempoh sah laku paspot Malaysia ditambah daripada lima kepada 10 tahun.

Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu para wartawan di Putrajaya Isnin kini kebanyakan negara ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura sudah berbuat demikian.

“Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan satu kajian untuk memperkenalkan pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.

“Pasport kita sekarang (tempoh sah laku selama) lima tahun, sama ada kita nak kekal lima atau menuju 10 tahun, kita akan melakukan satu fasa kajian,” katanya.

Menurutnya, kajian itu dibuat dalam tempoh yang munasabah sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Kajian ini dalam tempoh munasabah, ia akan ada keputusan dasar, tetapi kita mulakan dahulu dengan aspek kajian sebelum kita peroleh keputusan dasar

“Kita ambilkira semua perkara, maklum balas orang awam dan pemegang taruh,” katanya.- 19/2/2024

bakar-ok

KEMASKINI : Cabaran Lim Sian See…ini jawapan Rafizi

Rafizi Ramli yang sedang berada di hospital setelah menjalani pembedahan tulang belakang pada Isnin menjawab cabaran seorang blogger yang guna nama samaran ‘Lim Sian See’ untuk berentap
dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Katanya menerusi laman facebooknya selain Lim Sian Se beliau juga sedia berdepan dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zakarshi dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil.

Ketiga mereka dikenali sebagai orang kuat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Rafizi podcastnya akan kembali bersiaran pada Mac ini selepas beliau keluar hospital.

Katanya beliau perlu jalani rawatan di hospital selama dua minggu lagi.

Apapun sebelum berentap dengan mereka…Rafizi kata beliau perlu mendapat pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden Umno)

“Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani,”katanya.

BERIKUT IALAH TULISAN PENUH RAFIZI BAB CABARAN LIM SIAN SEE DAN PODCASTNYA DI FACEBOOKNYA PADA ISNIN

Sebelum ini, ada watak-watak seperti Isham Jalil dan Lim Sian See yang menawarkan diri untuk bersemuka dengan saya dalam YBM.

Saya tidak ada masalah sebenarnya. Dalam kerjaya saya, saya telah hadir dan bersemuka dalam pelbagai perdebatan, forum dan lain-lain. Malah saya pernah mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak berdebat pun sebelum PRU15 yang lepas.

Kini, watak-watak seperti Isham Jalil, Lim Sian See dan Puad Zarkashi menjadi ayam tambatan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering menyerang saya (dan kerajaan), sedangkan mereka ini adalah penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak (yang partinya adalah sebahagian dari Kerajaan Madani).

Watak-watak seperti inilah yang dilambung oleh aktivis maya PN, sedangkan tidak ada seorang pun pemimpin atau aktivis maya PN yang berani hadir bersemuka dengan saya dalam YBM.

Saya tahu watak-watak seperti ini mahu hadir kerana mereka membawa agenda tertentu. Mereka juga tahu saya terikat dengan tertib bersama dalam kerajaan, yang bermakna saya tidak bebas menyatakan sesuatu yang boleh menimbulkan kekeruhan dengan UMNO, iaitu salah satu parti yang menganggotai Kerajaan Madani.

Tetapi jika saya tidak bersuara mengenainya, yang lebih galak ialah pimpinan dan aktivis maya PN.

Oleh itu, saya terbuka untuk mereka hadir bersemuka di YBM selepas saya mendapat maklum balas dari YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi (Presiden Umno). Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani.

Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See.

Begitu juga dengan Isham Jalil, hatta Puad Zarkashi pun. Saya pun berminat untuk mendengar idea-idea mereka untuk membantu negara mengemudi suasana ekonomi dunia yang mencabar sekarang ini.

Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu. Insya Allah kita akan tahu menjelang Mac nanti.- 19/2/2024

Come on Rafizi…ada yang dah tunggu lama nak berentap

Rafizi Ramli mungkin ada alasan tersendiri kenapa hingga sekarang tidak sahut cabaran orang yang bernama ‘Lim Sian See’ untuk bersemuka dengannya di podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Kini sudah hampir dua minggu berlalu sejak ‘Lim Sian See’ secara terbuka memohon Menteri Ekonomi itu mengundangnya ke podcast itu.

Langkah Rafizi berdiam diri tidak beri sebarang respon sudah tentu akan mengundang pelbagai reaksi..termasuk yang dakwa beliau takut.

‘Lim Sian See’ ini special sikit.Sehingga ke hari ini umum tidak tahu identiti sebenar orangnya.

Ada yang kata dia bangsa Cina dan ada yang kata dia sebenarnya orang Melayu.

Apakah dia lelaki atau wanita?

Apa yang pasti nama ‘Lim Sian See’ itu adalah nama pena atau nama samaran orang misteri ini.

Namun namanya sering muncul dari masa ke semasa dalam pelbagai komentar di media sosial khususnya berkaitan dengan isu ekonomi.

Pengetahuan orang ini mengenai bidang itu nampaknya cukup meluas.

Dari tulisannya orang ini nampak totok penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadi sudah tentu cukup menarik untuk melihat Rafizi berentap dengan orang ini di podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Lim Sian See membuat permohonan hendak minta diundang tampil di podcast Rafizi dalam ruangan komen Facebook Menteri Ekonomi itu yang membuat hantaran berkaitan isu kejatuhan nilai ringgit.

Dia tegas tidak bersetuju dengan pendapat Rafzi ringgit melemah sekarang disebabkan 1MDB.

“Untuk kali kedua YB Menteri, saya dengan amat rendah diri minta peluang untuk dijemput ke podcast YBM.

Juga cukup menarik ialah “Lim Sian See’ kata dia akan dedah identiti sebenarnya di podcast berkenaan.

“Jika diizinkan, saya akan tampil dengan identiti sebenar saya untuk bertukar pandangan dengan YB,” katanya.

Ini tentu sangat dinantikan …kerana ramai yang sejak sekian lama nak tahu identiti sebenar orang ini.

Podcast ‘Yang Bakar Menteri’ Rafizi mula bersiaran pada 8 Januari lalu.Tetamu pertama YBM adalah Nazri Hamdan @nazribiztalk.

Episod kedua ialah bersama Prof. Barjoyai Bardai pada 22 Januari lalu dan episod ketiga bersama Faiz Azmi (Financial Faiz) pada 5 Feb lalu.

Kata Rafizi podcast YBM bertujuan untuk merancakkan ruang diskusi rakyat mengenai isu ekonomi dan negara.

“Lebih banyak dibincangkan, lebih banyak perspektif dapat dibawa yang akhirnya membantu masyarakat dan negara.

“Pimpinan kerajaan boleh mendengar sendiri perspektif rakyat yang mungkin kami terlepas pandang. Orang ramai boleh mendengar perspektif kerajaan kenapa sesuatu diaturkan sedemikian rupa.

“Yang penting rakyat perlu membuat penilaian dan keputusan berasaskan ilmu dan fakta yang betul.

“Saya akan ke udara setiap dua minggu sekali dan bersemuka dengan tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat. Kami akan terus mencari geng pertikaian yang terpaling ekonomis dari kalangan PN, walaupun setakat ini semua yang dijemput tidak berani dan banyak berdalih,”katanya.

Baru baru ini Rafizi berkata, beliau telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis maya Perikatan Nasional yang berpotensi untuk ‘membakar’ dirinya dalam podcast YBM.

Bagaimanapun sehingga kini semuanya telah menolak dan tidak berani bersemuka termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim.

“Jadi, saya akan berpegang kepada matlamat utama podcast YBM; iaitu memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

“Oleh kerana setakat ini belum ada pemimpin atau penyokong PN yang berani tampil, kami buka juga kepada individu lain. Mereka bukan pembangkang, tetapi ada kecenderungan kritikal dan sinikal dengan kerajaan,” katanya.

Pada Disember lalu timbul sikit kontroversi bila Rafizi yang menukar pelawaannya daripada debat kepada sesi podcast dengan seorang pengiat media sosial ‘YB Viral’.

“YB Viral’ yang giat mengkritik kerajaan Madani bertegas hanya mahu bersemuka dengan Rafizi di acara debat.

“Lebih baik hubungi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk ‘Keluar Sekejap’ jika mahu adakan sesi podcast,”katanya.- 13/2/2024