penjara1

PM, menteri, ‘jerung’ dadah tidak lagi terlepas….

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas ketegasan dan keberanian kedua-dua badan itu dalam mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan kedudukan individu.

Beliau berkata ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen negara dalam aspek tatakelola dan usaha membanteras rasuah serta isu dadah dengan memastikan tidak ada orang kenamaan, ‘jerung’ dadah mahu pun ‘ikan bilis’, terlepas daripada penyiasatan dan tindakan pihak berkuasa.

“Alhamdulillah kita sudah catat kesungguhan kita yang jarang dapat berlaku dalam mana-mana negara, apa lagi di negara membangun. Tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh yang dianggap terlepas daripada apa saja bentuk penyiasatan dan tindakan.

“Kamu curi dana negara, kamu punggah kekayaan negara, sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, menteri-menteri, kamu ingat.. kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yakni pangkalan data sosio ekonomi negara bersepadu yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan juga pemastautin tetap, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Memberi contoh kejayaan PDRM menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan, apatah lagi ketika negara membelanjakan ratusan juta ringgit bagi membendung masalah penggunaan dadah khususnya dalam kalangan anak muda.

Pada 26 Dis lepas, media melaporkan seorang penaung badan bukan kerajaan (NGO) berpangkat ‘Datuk’ antara 10 lelaki ditahan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu.

“Yang ditangkap juga puluhan ribu dalam kalangan penagih dan pengedar peringkat bawah dan sukar diambil tindakan terhadap pengedar-pengedar besar, tauke besar terlibat dalam dadah, maka saya salute PDRM kerana telah jelajah ke Sabah.

“Jadi cerita bahawa ‘jerung’ terlepas tak timbul lagi, sekarang tumpuan kita itu kepada jerung-jerung supaya anak-anak ikan (bilis) ingat,” katanya.

Mengulas tindakan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di pelabuhan negara, Anwar berkata walaupun tindakan itu menyebabkan sedikit kerugian, namun beliau percaya ia akan memberikan banyak ‘keberkatan’ kepada negara.

Perdana Menteri berkata langkah itu jelas menunjukkan Malaysia mempunyai keyakinan dan sifat perikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang ditindas Israel.

Beliau seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Jemaah Menteri khususnya Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana membangkitkan mengenai kebenaran kepada syarikat itu untuk berlabuh di Malaysia, yang diberikan Jemaah Menteri pada tahun 2002.

“Saya kata ini aneh, tidak mungkin satu negara yang merdeka, berdaulat, yang punyai perikemanusiaan, yang benci dengan kezaliman, boleh biarkan mereka berleluasa tanpa tindakan.

“Kita tidak ada kekuatan lebih daripada itu tapi sekurang-kurangnya kita ada kesungguhan dan tekad perbetulkan keterlanjuran yang berlaku dahulu,” katanya.

  • Bernama- 2/1/2024
anwar10

‘Sampai hari ini PM masih Anwar Ibrahim, alhamdulillah’…

Sejak timbul isu ‘ Langkah Dubai ‘ Sabtu lalu ini kali pertama para wartawan berpeluang minta komen Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenainya.

Ditanya selepas melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya,Selasa beliau berkata,
“Tumpuan kita bangunkan negara jaga rakyat.Sampai hari ini perdana menteri masih Datuk Seri Anwar Ibrahim? Alhamdulillah.”

“Saya ada baca mengenai Langkah Dubai tapi bagi saya kita tumpu soal kerja.

“Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat,”ujarnya.

Sabtu lalu Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.- 2/1/2024

langkahdubai1

Zahid sahkan wujud gerakan ‘Langkah Dubai’…kata ia hanya buang masa

Sekarang ini sudah sah bahawa ‘Langkah Dubai’ bukan fantasi atau fatomorgana dan sebaliknya satu realiti.

Orang yang kata gerakan ini wujud ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu mendakwa ‘Langkah Dubai’ bukan saja disertai oleh pemimpin dari parti pembangkang bahkan juga melibatkan pemimpin tertentu dari blok kerajaan.

Bercakap dalam sidang akhbar di Putrajaya Selasa beliau bagaimanapun menilai gerakan mereka ‘buang masa’ kerana kerajaan perpaduan mendapat sokongan lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau enggan sebut nama mereka yang terlibat.

“Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya.

Zahid menasihatkan mereka yang terlibat gerakan itu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.

“Pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa,”katanya.

“Bukan soal-soal politik. Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kalau mereka mahu tukar kerajaan. Kerajaan yang ada akan beri tumpuan untuk perkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Isu ‘Langkah Dubai’ mula meletop Sabtu lalu bila Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, mendakwa ada rancangan sulit digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dakwanya gerakan itu tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN serta ahli parlimen kerajaan di Dubai baru-baru ini.

Bagaimanapun ada kalangan pimpinan kerajaan dan juga pembangkang tidak yakin wujud gerakan itu.

Malah bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Mazlan menilai khabar itu satu ‘fatamorgana’ yakni benda tak wujud yang dikatakan wujud.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dakwa ia cerita rekaan semata mata.- 2/12/2024

rayyan1

Polis tak klasifikasi kes Zayn Rayyan NFA walau tiada petunjuk baru

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mencari petunjuk dalam menyelesaikan kes ini,” katanya kepada Bernama Selasa.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Dis tahun lepas di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu.

  • Bernama-2/1/2024
NURUL-OK

Cabaran PKR menjelang PRU16

TAHUN baharu 2024 sepatutnya menjadi permulaan buat Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum kali ke-16 (PRU16).

Rekod pencapaian PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022 lalu tidak begitu memuaskan berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

PKR memenangi 49 kerusi Parlimen menerusi PRU14 tetapi dalam PRU15, parti itu kalah sebanyak 18 kerusi yang pernah dimenangi sebelumnya.

PKR mengalami kekalahan teruk di negeri Utara Semenanjung dan juga Pantai Timur misalnya parlimen Kangar di Perlis, Kulim Bandar Baharu, Merebok, Kuala Kedah, Padang Serai serta Alor Setar di Kedah.

Tidak termasuk Alor Setar, kesemua calon yang kalah di Kedah dan Perlis itu ialah calon Melayu PKR, mujur Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dapat mempertahankan kerusi walaupun hanya kemenangan majoriti tipis.

Prestasi PKR juga jatuh merosot di Pulau Pinang, parti tersebut kalah buat pertama kali di kubu kuatnya di Permatang Pauh.

Bagaimanapun, Fadhlina Sidek menang di Parlimen Nibong Tebal dengan merampas kembali kerusi yang pernah dikhianati dalam episod ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 lalu.

Mujur juga Bakhtiar dan Sim Tze Sin masing-masing berjaya mempertahankan kerusi parlimen Balik Pulau dan Bayan Baru, tetapi kekalahan Nurul Izzah iaitu anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh menjadi satu kejutan buat PKR.

Malah di Selangor, benteng PKR sejak PRU 2008 sehingga berjaya mengetuai kerajaan negeri selama tiga penggal telah menerima tamparan hebat apabila berdepan kekalahan di dua kerusi parlimen yang selama ini dianggap kebal iaitu parlimen Kuala Langat dan Kapar.

Kedua-dua kerusi berkenaan tewas kepada calon profesional iaitu ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali daripada parti Perikatan Nasional-Pas (PN-Pas).

Namun begitu, PKR masih dapat menarik nafas lega kerana Datuk Seri Amirudin Shari berjaya merampas kembali kerusi parlimen Gombak daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Bersatu).

Sejak 2008, PKR telah memenangi dua kerusi parlimen di Pahang iaitu parlimen Kuantan dan Indera Mahkota malah rekod itu dapat dikekalkan pada PRU13 serta PRU14.

Tetapi, kedua-dua kerusi Parlimen tersebut tumbang kepada PN pada PRU15, kini tiada seorang pun Ahli Parlimen PKR dari Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.

Rekod buruk PKR di Terengganu dan Kelantan kekal berlarutan hingga 2024, pada PRU tahun 1999, PKR yang ketika itu dinamakan sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) telah memenangi tiga kerusi Parlimen di Kelantan iaitu di parlimen Kota Bharu, Ketereh serta Tanah Merah.

Terdapat dua faktor utama kemenangan tersebut iaitu akibat berlakunya kebangkitan reformasi bermula pada akhir tahun 1998 ketika Anwar dizalimi dan dipenjarakan selain sokongan Pas waktu itu terhadap calon PKN.

Calon PKN yang menang di Kota Bharu ialah Ramli Ibrahim, Muhammad Mustapha di Ketereh manakala Saufi Daud di Tanah Merah.

Di Terengganu pula, PKN pernah memenangi parlimen Kemaman dalam PRU tahun sama yang mana calonnya ialah Abdul Rahman Yusof, tetapi menerusi PRU15 lepas, PKR kalah di semua kerusi dipertandingkan di dua negeri Pantai Timur itu.

Trend merosot sokongan terhadap PKR kini merebak ke negeri di selatan Semenanjung, contohnya Melaka apabila kerusi parlimen Tangga Batu yang PKR menangi dalam PRU14 tewas di tangan calon PN-Pas, namun nasib agak baik bila mana parlimen Hang Tuah Jaya dapat dipertahankan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim.

Di Sabah dan Sarawak juga mencatatkan rekod buruk apabila PKR tewas di parlimen Ranau, Putatan serta Tawau yang pernah dimenangi pada PRU14, namun Mustaffa Sakmud berjaya merampas kerusi parlimen Sepanggar menerusi Parti Warisan (Warisan).

Begitu juga dengan prestasi PKR di Sarawak dalam PRU15 bila mana kalah di parlimen Selangau, Saratok dan Puncak Borneo, ketiga-tiga kawasan terbabit tumbang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, PKR bernasib baik di Negeri Sembilan kerana secara relatifnya dapat mempertahankan kerusi parlimen Port Dickson meskipun disebabkan faktor calon bertanding iaitu Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hanya di Johor, PKR dapat mengekalkan kekuatannya dengan mempertahankan kesemua tujuh kerusi parlimen yang pernah dimenangi pada PRU14.

Dalam PRU15, PKR di Johor berjaya memenangi kawasan Segamat, Ledang, Sekijang, Batu Pahat, Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang dan mampu merampas kembali tiga kerusi parlimen yang dikhianati dalam ‘Langkah Sheraton’ seperti Segamat, Batu Pahat serta Tebrau.

Namun percubaan PKR untuk merampas parlimen Sembrong dan Tenggara masih gagal.

Persoalannya, apakah yang patut PKR lakukan?

Ada tiga perkara yang wajar PKR lakukan untuk kembali kuat sepertimana Presidennya, Anwar kini memegang jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini.

Pertama, PKR wajib merampas kembali semua kerusi parlimen yang telah tewas dalam PRU15, biarpun senarainya agak panjang dari Kangar, Perlis hingga ke Tawau, Sabah dan Puncak Borneo, Sarawak.

Kedua, kesemua calon yang berpotensi, berkaliber dan berpengalaman seperti Nurul Izzah perlu mengetuai usaha untuk menawan semula kerusi parlimen yang telah kalah itu.

Jika Nurul Izzah yang mempunyai watak kepimpinan karismatik seperti Benanzir Bhutto dan Megawati Sukarnoputeri berjaya dalam misi tersebut, maka tidak syak lagi beliau memiliki ciri-ciri seorang Perdana Menteri (‘Prime Minister material) serta bakal muncul kembali sebagai pemimpin masa depan PKR.

Ketiga, pemimpin utama PKR sekarang seperti Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad perlu mencontohi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Ketua Pemuda dan Naib Presiden Pas yang suatu masa dahulu pernah menang di kerusi parlimen Kubang Kerian, Kelantan iaitu kubu kuat Pas pada 2008.

Tetapi, Salahuddin mengambil cabaran dengan pulang ke Johor pada PRU13 dan beliau sanggup meninggalkan kerusi selamat di Kubang Kerian itu untuk bertanding di parlimen Pulai.

Walaupun Salahuddin kalah dalam pilihan raya tersebut, tetapi beliau tidak lari sebaliknya terus berkubu di parlimen Pulai.

Akhirnya pada PRU14 dan PRU15, Salahudin menang di parlimen Pulai, apabila beliau meninggal dunia pada 2023 satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan menyaksikan Suhaizan Kaiat dari Parti Amanah Negara (Amanah) telah mencapai kemenangan di kawasan tersebut.

Justeru, moral ceritanya ialah Rafizi perlu berani mengambil cabaran untuk kembali bertanding di Terengganu yang merupakan negeri asalnya dan wajar diingatkan bahawa PKR pernah menang di parlimen Kemaman pada PRU 1999.

Nik Nazmi juga perlu berani mengambil risiko untuk pulang ke negeri asalnya di Kelantan bagi memimpin medan perang pilihan raya dengan kesedaran bahawa pada 1999, tiga kerusi Parlimen Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah telah dimenangi PKR.

Kesimpulannya, PKR wajib sedar akan satu realiti politik, sekarang Anwar menjadi ketua Pakatan Harapan (PH) dan ketua Kerajaan Perpaduan kerana beliau sekurang-kurangnya memiliki 31 kerusi parlimen dari PKR.

Sekiranya PKR tidak bersedia dengan strategi ampuh untuk memenangi PRU16 akan datang, ada kemungkinan kerusi PKR bakal hilang 50 peratus dan ia mungkin hanya memiliki sekitar 15 kerusi termasuk parlimen Tambun.

Jika senario seperti itu benar-benar berlaku ketika Anwar masih sihat, idealistik, bersemangat tinggi serta mempunyai perancangan dan komitmen rapi untuk dilaksanakan demi rakyat serta negara, tetapi memiliki lebih kurang 15 kerusi parlimen sahaja, adakah parti politik lain masih sudi untuk memilih beliau menjadi Perdana Menteri bagi penggal keduanya?

Inilah yang perlu direnungkan.

*Tulisan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR-PH), Hassan Abdul Karim.- 2/1/2024

haytai

Meriah… orang Malaysia belanja sakan di Hatyai

MAKANAN halal yang murah serta kepelbagaian aktiviti pelancongan menjadikan selatan Thailand sebagai destinasi utama pelancong Malaysia ke luar negara.

Sejak akhir-akhir ini trend rakyat Malaysia bercuti singkat di bandar-bandar sempadan di utara tanah air itu terus menjadi perhatian di kalangan pemain industri pelancongan negara.

Saban minggu, deretan kenderaan untuk melintasi sempadan Malaysia-Thailand bertambah banyak.

Menurut Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai (Hatyai Songkhla Hotels Association), Sitthipong Sitthiprapha pelawat dari Malaysia meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan musim cuti hujung tahun, menyumbang lebih 2 bilion Baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum tahun berakhir.

Jelasnya, daya tarikan Hatyai yang tidak dapat dinafikan terletak pada gabungan pilihan makanan yang enak dan beraneka, akses yang mudah dan pilihan penginapan pada harga berpatutan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata Hatyai telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi penggemar pelancongan yang mencari percutian yang menarik dan mesra bajet.

Pada hari biasa sepanjang tahun, beliau berkata Hatyai pada kebiasaannya menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

“Hatyai mengalami peningkatan yang ‘menggembirakan’ dalam bilangan pengunjung dari Malaysia sepanjang musim cuti hujung tahun.

“Pada hujung minggu musim puncak (Krismas dan Tahun Baru), Hatyai menerima purata 20,000 rakyat Malaysia setiap hari, manakala pada hari biasa terdapat kira-kira 10,000 pelawat.

“Semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru, perbelanjaan purata pelancong Malaysia bagi setiap perjalanan mencecah 10,000 baht bagi setiap orang.

“Oleh itu pelancong Malaysia dianggarkan menyumbang kira-kira 2 bilion baht kepada ekonomi Hat Yai semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru ini,” katanya.

Sitthipong juga menyatakan hotel Hatyai telah menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan penginapan di pusat bandar, kawasan popular untuk pelancong Malaysia, ditempah sepenuhnya semasa kemuncak minggu percutian.

Beliau berkata Hatyai kini mempunyai kira-kira 20,000 bilik, termasuk 8,000 hingga 12,000 yang tertumpu di pusat bandar.

Kementerian Pelancongan dan Sukan berkata Thailand menyambut 27.25 juta pelancong dengan pelancong Malaysia mendahului senarai dengan 4.43 juta, diikuti oleh China (3.41 juta) dan Korea Selatan (1.6 juta), India (1.58 juta) dan Rusia (1.42 juta), setakat 24 Dis lepas.

bydvstesla

BYD pengeluar kenderaan elektrik no 1 di dunia…

BERMULA sebagai syarikat pengeluaran beteri pada tahun 1995, siapa sangka BYD kini menjadi raja industri kereta elektrik di dunia.

Syarikat China tersebut memintas Tesla untuk merangkul kedudukan sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) nombor satu dunia 2022 dengan jualan keseluruhan 1.86 juta unit sepanjang tahun lalu yang sebahagian besar di China.

Jualan kenderaan BYD sepanjang Disember lalu ialah 235,197 unit, meningkat 4 peratus berbanding prestasi November 2022. Sebagai perbandingan, BYD pada Disember 2021 cuma menjual 93,945 unit kenderaan.

Pengeluar itu turut meneroka beberapa pasaran baharu seperti Eropah, Jepun dan Malaysia pada tahun lalu. Sebagai makluman, firma pelaburan milik taikun Warren Buffett, Berkshire Hathaway juga memiliki pegangan dalam BYD.

Antara punca jualan BYD melonjak naik adalah senario semasa seperti perubahan dalam industri teknologi di China, jualan pukal kereta sewa dan teksi, dan perubahan trend pembelian pelanggan selain pandemik Covid-19.

Pelanggan di China juga lebih cenderung membeli EV lebih murah dan buatan tempatan berbanding jenama asing atau model import seperti Tesla. Pengurus Kanan firma Suolei, Eric Han berkata, “BYD mendapat manfaat ‘penurunan penggunaan’ ketika ekonomi China semakin merosot.

“Kenderaan untuk pasaran massa mereka diterima baik pengguna kelas pertengahan di negara itu yang melihat jenama tersebut sebagai produk berbaloi untuk wang.”

China dengan polisi sifar Covid-19 menyaksikan perintah berkurung dan arahan penutupan serata Tanah Besar sepanjang tahun lalu yang memberi impak terhadap negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. Kesannya mendorong pengguna mengawal perbelanjaan terhadap produk tertentu seperti pembelian kenderaan.

Pengurus Jualan Yiyou Auto Service di Shanghai, Tian Maowei berkata, “Harga EV bawah 200,000 yuan popular dalam kalangan pengguna kolar putih kerana mereka mahu jimatkan perbelanjaan.

“Di pasaran tempatan, EV dan hibrid BYD lebih mudah dijual kerana dilengkapi bateri prestasi tinggi yang dipercayai setanding komponen digunakan pengeluar EV premium.”

BYD mencatat rekod jualan baharu 10 bulan berturut-turut sejak Mac 2022 dengan merampas kedudukan Tesla milik Elon Musk sejak suku kedua tahun lalu. Berkshire Hathaway memiliki 14.9 peratus saham BYD di Bursa Hong Kong setakat 8 Disember 2022.

Tesla pula membuat kiriman 405,278 unit EV ke pasaran dunia sepanjang tiga bulan terakhir tahun lalu. Kiriman global terkumpul tahun lalu naik 40 peratus kepada 1.31 juta unit, tetapi angka itu masih ketinggalan 29 peratus berbanding jualan BYD.

BYD diasaskan bilionair China, Wang Chuanfu pada 1995, bermula sebagai pengeluar bateri sebelum terlibat dalam pembuatan kenderaan pada 2003.

Produk pek bateri jenis litium ferum fosfat blade BYD terbukti berkualiti hingga meraih keyakinan dalam kalangan pemandu di China dan pengeluar kenderaan.

Sel pek bateri disusun dalam format tertentu yang membantu meningkatkan ketumpatan tenaga, dan mampu menambah baik rintangan terhadap isu panas lampau (overheating). Malah pek bateri Blade itu juga pernah dibekalkan ke kilang Tesla di Berlin, Jerman.

Kebanyakan model EV BYD dijual di China, tetapi pengeluar itu juga bercita-cita menjadi pemain global dengan rancangan meluaskan perniagaan ke pasaran baharu. Tahun lalu, BYD sudah mendarat di Malaysia menerusi Atto 3 dan dua model lain, iaitu Seal dan Dolphin yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Pertumbuhan kiriman EV di China dijangka menurun 30 peratus tahun ini selepas peningkatan berganda tahun lalu kepada anggaran 6.4 juta kenderaan. Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) meramalkan penurunan itu juga disebabkan tiada lagi subsidi tunai bermula Januari 2023.

Bagaimanapun, China tetap menjadi pasaran EV terbesar dunia dengan setiap tiga daripada lima kenderaan baharu di jalan raya negara itu dijangka dikuasakan bateri menjelang 2025.

Pada masa sama, Tesla masih kekal sebagai peneraju segmen EV premium di China. Dalam tempoh 11 bulan pertama 2022, Gigafactory Tesla di Shanghai sudah mengirim lebih 390,000 unit Tesla Model 3 dan Tesla Model Y kepada pelanggan tempatan.

Jumlah itu 21.5 peratus lebih tinggi berbanding keseluruhan jualan 321,000 unit Tesla sepanjang 2021 – SCMP

muh2

Benarkah wujud perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan ini? …Muhyiddin Yassin tanya

Setahun yang lalu, Malaysia bereksperimen dengan sebuah kerajaan yang dianggotai oleh parti-parti yang berlainan ideologi.

Parti DAP, iaitu parti terbesar dalam kerajaan, adalah sebuah parti yang mempunyai ideologi berhaluan kiri yang tidak mengiktiraf kewujudan masyarakat Bumiputera di negara ini. Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi asas ideologi DAP secara terang-terangan menolak kategori masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera di Malaysia.

Bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain, bagi DAP semua mesti dilayan sama rata. Ini menjadi asas perjuangan Malaysian Malaysia DAP.

Parti UMNO pula, iaitu sebuah parti yang dominan pada suatu masa dahulu, kini menjadi parti komponen yang kecil dalam kerajaan. Perjuangan UMNO jauh berbeza dengan perjuangan DAP.

Tetapi mereka berada di dalam kerajaan yang sama, iaitu Kerajaan Perpaduan.

Benarkah wujud perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan ini?

Berdasarkan apa yang kita lihat dalam tempoh setahun lalu, tidak ada perpaduan sesama mereka. Mereka saling bantah membantah sesama sendiri.

Bantah-membantah ini pula membabitkan soal-soal dasar yang penting. Ini termasuk dasar mengenai ekonomi Bumiputera, pilihan raya pihak berkuasa tempatan, undang-undang Islam dan banyak lagi. Akibatnya, kerajaan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam hal-hal penting termasuk mengenai ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Sebuah kerajaan tidak akan stabil dan gagal berfungsi dengan baik tanpa hala tuju yang jelas. Apatah lagi kegagalan mempunyai hala tuju yang jelas ini disebabkan oleh perbezaan ideologi yang ketara antara parti-parti yang menganggotai kerajaan.

Akhirnya, kita mempunyai sebuah kerajaan yang buntu, iaitu sebuah kerajaan yang tidak tahu berbuat apa-apa kerana masalah perbezaan dalaman mereka sendiri.

Lebih memburukkan keadaan, setelah buntu mereka mencari mangsa politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka sendiri.

Bertentangan dengan janji reformasi institusi yang dilaungkan dahulu, mereka rakus menggunakan institusi kerajaan secara terang-terangan untuk melakukan siasatan dan pendakwaan terpilih terhadap musuh-musuh politik. Hak kebebasan bersuara rakyat disekat dan ruang demokrasi diancam. Dengan cara itu, mereka fikir mereka akan kekal berkuasa selama-lamanya walaupun terlihat gagal dan tidak berguna di mata rakyat.

Inilah kerajaan yang kita ada dalam tempoh setahun ini. Sebuah kerajaan yang buntu, gagal dan tidak boleh diharap.

Adakah kita akan hanya berpeluk tubuh melihat kegagalan kerajaan secara berterusan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa Malaysia ke tahap kemajuan yang lebih cemerlang?

Malaysia memerlukan perubahan.

Mudah-mudahan tahun 2024 akan menyinsing sinar baharu untuk kita semua.

Saya mendoakan semoga seluruh rakyat Malaysia sentiasa cekal menghadapi cabaran yang mendatang dan dikurniakan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang berkekalan.

Saya juga mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang sedang dizalimi oleh rejim zionis Israel. Mudah-mudahan mereka akan dilindungi oleh Allah s.w.t. dan diberikan kemenangan dalam perjuangan.

Selamat menyambut tahun baharu!

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional
31 Disember 2023

zahid-mail-ok

Langkah Dubai…biar gambar bicara

Kalau tolak sebelah desas desus politik semasa…pertemuan seperti ini dikira biasa saja.

Namun gambar bekas Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob bersua tidak sengaja dengan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu sewaktu sama sama tunai umrah di Masjidil Nabawi di Madinah agak mencuri perhatian.

Ini gara gara isu Langkah Dubai yang mendakwa ada sebilangan musuh politik kerajaan perpaduan sedang mengatur gerakan di kota Timur Tengah itu.

Siapa yang faham mengenai percaturan politik dalaman UMNO kebelakangan ini tidak terkejut kalau nama Ismail Sabri diheret sama.

Beliau dikatakan tak begitu ‘ngam’ dengan Zahid.

Ketika timbul isu konon ada pakatan Langkah London pada awal Januari 2023 bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO itu telah bersuara bila namanya dikaitkan.

Apa tidaknya ketika didakwa terlibat dalam Langkah London….beliau sedang bercuti di Dubai.

“(Sedangkan) saya bercuti dekat Dubai pun ada orang kata (saya terlibat dengan) ‘Langkah London’. Jadi, bagi saya (ketika itu) biarlah keadaan tenang,” katanya.

Gambar pertemuan Ismail Sabri-Zahid di Madinah disiar oleh Affifi Aris yakni pegawai khas bekas Perdana Menteri itu di laman facebooknya kelmarin.

Ismail Sabri tunai umrah bersama keluarganya…begitu juga Zahid.

Beliau telah pulang ke Malaysia pada awal pagi 31 Disember.

Dari cara catatan Affifi beliau nyata ingin membetulkan persepsi yang berlegar tentang bosnya.

Ini bila beliau mengakhiri catatan itu dengan jelas memberitahu penerbangan Ismail Sabri waktu pergi ialah terus dari Kuala Lumpur ke Madinah dan waktu pulang dari Jeddah ke Kuala Lumpur tanpa singgah dimana-mana ( maksudnya dipercayai jelas ….Dubai)

Tanpa menyebut desas desus Langkah Dubai…Affifi minta jangan libatkan Ismail Sabri dengan pelbagai teori dongeng.

Katanya,” saya kira janganlah libatkan cerita karut mengenai Bos saya dengan pelbagai teori dongeng. Sepanjang YB DSIS tidak menjadi Perdana Menteri, saya lihat aktiviti Dato Sri sendiri sudah sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah dihujung minggu.

“Kepada yang berada di Kerajaan, jalankan tanggungjawab dengan keyakinan bahawa mandat kerajaan kukuh. Apa yang kalian janji cuba laksanakan agar Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima rakyat.

“Kepada mereka yang bercita cita mahu kembali ke Putrajaya, Rezeki dalam politik tidak pernah salah alamat tetapi jangan memijak dan membunuh saudara kita demi cita cita politik kalian. Atur dengan tertib bukan asyik bercerita esok tumbang. Kalian pembangkang, kerajaan dengan pelbagai agensi ini mestilah ada strategy juga. Jadinya tempur besar kita pada PRU 16.

Mengenai pertemuan dengan Zahid beliau memberitahu bosnya Ismail Sabri berjemaah dalam saf yang sama dijarakkan dengan 6 Jemaah sahaja.

“Dato Sri Ismail Sabri telah dimaklumkan keadaan YAB Dato Sri Ahmad Zahid yang tidak berapa sihat tempoh hari, dek kerana keadaan kesihatan yang tidak pulih sepenuhnya hasrat DSIS untuk menziarahi beliau tidak dapat dipenuhi.

“Tetapi perancangan Allah itu sememangnya pasti, seramai- ramai jemaah ketika di Masjid Nabi, Allah mempertemukan mereka dalam saf solat yang sama.

“Usai solat Zuhur, Dato Sri Ismail Sabri terus bangun ke arah YAB Presiden UMNO itu bersalaman dan bertanya kabar,”katanya. -1/1/2024

BERIKUT IALAH CATATAN PENUH AFFIFI ARIS


Alhamdulillah, perjalanan ibadah umrah yang sangat mendamaikan.

Pertamanya ingin saya maklumkan, kesihatan Perdana Menteri ke-9 dan keluarga sihat sepanjang mengerjakan ibadah umrah. Syukur Alhamdulillah.

Keduanya, diri saya menjadi saksi kami semua tinggalkan seketika perihal politik negara dengan tumpuan mencari keredhaan Illahi dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat untuk meraih pahala berganda.

Ketiganya, dengan izin Allah SWT, Masjidil Nabawi di Madinah al Mukaramah menjadi saksi – dua sahabat akrab dipertemukan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Ismail Sabri berjemaah dalam saf yang sama dijarakkan dengan 6 Jemaah sahaja.

Dato Sri Ismail Sabri telah dimaklumkan keadaan YAB Dato Sri Ahmad Zahid yang tidak berapa sihat tempoh hari, dek kerana keadaan kesihatan yang tidak pulih sepenuhnya hasrat DSIS untuk menziarahi beliau tidak dapat dipenuhi.

Tetapi perancangan Allah itu sememangnya pasti, seramai- ramai jemaah ketika di Masjid Nabi, Allah mempertemukan mereka dalam saf solat yang sama.

Usai solat Zuhur, Dato Sri Ismail Sabri terus bangun ke arah YAB Presiden UMNO itu bersalaman dan bertanya kabar.

Alhamdulillah “terputusanya hubungan kita sesama manusia hanyalah kerana kematian”. Jadinya, sahabat bertegur sambil pulang ke hotel berbual-bual perihal keadaan juga menenangkan. Haaaa jangan fikir gerakan madinah pulak.

Saya kira janganlah libatkan cerita karut mengenai Bos saya dengan pelbagai teori dongeng. Sepanjang YB DSIS tidak menjadi Perdana Menteri, saya lihat aktiviti Dato Sri sendiri sudah sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah dihujung minggu.

Kepada yang berada di Kerajaan, jalankan tanggungjawab dengan keyakinan bahawa mandat kerajaan kukuh. Apa yang kalian janji cuba laksanakan agar Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima rakyat.

Kepada mereka yang bercita cita mahu kembali ke Putrajaya, Rezeki dalam politik tidak pernah salah alamat tetapi jangan memijak dan membunuh saudara kita demi cita cita politik kalian. Atur dengan tertib bukan asyik bercerita esok tumbang. Kalian pembangkang, kerajaan dengan pelbagai agensi ini mestilah ada strategy juga. Jadinya tempur besar kita pada PRU 16.

Akhir kalam, Saya kongsikan gambar-gambar sepanjang ibadah YB Dato Sri ketika di sana.

p/s : Penerbangan terus KUL – Madinah / Jeddah – KUL (tanpa singgah dimana-mana)

spr1

SPR tak rancang laksana kajian semula persempadanan di Semenanjung dan Sabah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata bagi Sarawak, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.

Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Abdul Ghani berkata sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip berhubung persempadanan pilihan raya antaranya ialah kewajaran memudahkan semua pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri, serta mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu, bagi pendaftaran dan pengundian.

“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan dan perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” katanya.-Bernama-1/1/2024