sultan-selangor1

Sultan Selangor ingatkan orang bukan Islam tidak campuri hal berkaitan agama Islam

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office Jummat, Sultan Selangor turut bertitah bahawa MKI yang dipengerusikan baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Justeru, Sultan Selangor mengharapkan supaya ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Malah, titah baginda penganut agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Baginda memetik ayat keenam Surah al-Kafirun daripada al-Quran yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Sultan Sharafuddin turut mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke.

Terdahulu, media melaporkan Loke menegaskan bahawa cadangan Ngeh itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dan DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati dan keharmonian antara agama serta kaum. – BERNAMA-29/12/2023

pasdap

PAS kesal pemimpin DAP terus timbul isu divisif dan provokatif undang polimek

PAS merakamkan rasa kesal berhubung kecenderungan berterusan pemimpin DAP, khasnya yang berada di luar kerajaan, membuat kenyataan-kenyataan yang bersifat divisif, mengundang polemik tidak perlu, diragui kejujurannya, selain berpotensi besar mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Terbaru ialah cadangan Ahli Parlimen Beruas Dato’ Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar undang-undang dalam kalangan orang bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Menurut beliau, langkah itu perlu setelah mendapati tiada orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa tersebut “untuk mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang yang memberi kesan kepada kaum dan agama dibuat”.

Beliau juga dilaporkan berkata, “dalam mengharmonikan undang-undang Syariah dan Perlembagaan adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas”.

Umum mengetahui bahawa keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa ini adalah bagi menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), KDYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dapatan dan syor jawatankuasa ini akan dikemukakan kepada MKI dan kemudiannya kepada Majlis Raja-raja untuk tindakan seterusnya.

Secara khusus jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menasihati MKI dan Majlis Raja- raja berhubung isu-isu berkait konflik undang-undang yang melibatkan undang- undang Syariah yang jelas hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Berdasarkan keadaan itu, PAS mendapati cadangan dan kenyataan Ngeh tersebut adalah bukan sahaja sangat lewah tapi tidak perlu, sementara kebimbangan yang ditimbulkannya itu bukan sahaja pramatang dan provokatif, malah bersifat andaian semata-mata.

PAS sentiasa bersikap terbuka dan percaya bahawa semua pihak harus memberi ruang yang secukupnya kepada jawatankuasa terbabit untuk menjalankan kajian dan libat urusnya berdasarkan terma lantikan yang dibuat tanpa sebarang gangguan atau perbuatan menabur tanggapan dan prasangka negatif terhadap kemampuan dan kompetensinya untuk apa-apa tujuan sekali pun.

PAS turut hairan bagaimana sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Ngeh langsung tidak peka terhadap proses dan prosedur mahu pun berhati-hati dalam kenyataannya yang bercenderungan menimbulkan kontroversi serta konflik, dan ini hanya boleh ditafsirkan sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggotanya sendiri.

Untuk kesekian kalinya PAS juga memberi peringatan bahawa tindakan berterusan begini berpotensi mencetuskan polemik dan ketidakharmonian berpanjangan mengikut garis kaum dan agama dalam masyarakat yang seharusnya dihindari sepenuhnya.

Kita patut insaf dan bersyukur kerana selaras dengan ajaran Islam itu sendiri, sehingga kini masyarakat majoriti di negara ini tidak pernah menimbulkan suasana konfrontasional atau dilihat mencampuri urusan mana-mana ajaran dan amalan agama lain.

Sikap yang sama haruslah bertimbal-balik dan menjadi pegangan serta amalan semua pihak kerana tindakan sebaliknya hanya akan merosakkan keharmonian yang ada dan seterusnya menjadi bom jangka yang boleh memusnahkan semua.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS

Bertarikh : 29 Disember 2023

rafizi-padu111

Data PADU tidak akan diintegrasi dengan sistem bank – Rafizi

PUTRAJAYA – Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 tidak akan diintegrasikan dengan mana-mana sistem maklumat daripada bank, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pada sidang media PADU di Putrajaya Jumaat beliau berkata, ia susulan sistem bank yang termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tidak membenarkan sebarang perkongsian berkaitan sistem data itu.

“Kalau berkaitan dengan bank tak ada sebab bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian sedemikian,” katanya ketika diminta mengulas sama ada data bank akan diintegrasikan dalam PADU sekali gus meredakan kegusaran orang ramai mengenai persoalan itu.

PADU adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan dan dijadual dilancarkan pada 2 Januari depan.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Rafizi berkata, antara contoh integrasi data adalah maklumat peribadi rakyat akan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, maklumat pendidikan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, manakala maklumat alamat boleh didapati daripada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad serta operator air.

Beliau berkata, PADU turut bekerjasama dengan sektor swasta bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini data mereka dalam sistem itu antaranya Touch ‘n Go yang menawarkan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) secara percuma kepada 3,000 pendaftar terawal.

Rafizi juga berkata, PADU menjalin kerjasama dengan Mydin dengan menawarkan diskaun pembelian kepada orang ramai yang berdaftar dengan sistem tersebut, namun sebarang perincian akan dikemukakan oleh pasar raya itu kemudian.

Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat atau peruncit untuk turut serta dalam inisiatif kementeriannya supaya dapat merancakkan lagi pendaftaran orang ramai ke dalam sistem PADU.

“Kita galakkan seberapa banyak peruncit dan khidmat lain untuk turut serta… bagi membolehkan mereka mewujudkan tawaran mereka sendiri dan mengambil peluang terhadap fokus serta keterujaan mengenai PADU untuk beberapa bulan akan datang tanpa menggunakan duit kerajaan.

“Kami meramalkan akan terdapat banyak keterujaan dan juga pendaftaran orang nak masuk PADU. (Terbuka kepada) Mana-mana pihak ketiga yang ingin menggunakan ini untuk mendapatkan lebih ramai khalayak ke kedai anda atau menggunakan perkhidmatan digital dengan apa jua cara,” katanya.

Rafizi berkata, sebaik sahaja dilancarkan oleh Perdana Menteri, kerajaan akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat sehingga 31 Mac 2024 bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

“Kita buka kepada orang ramai untuk sahkan, sudah tentu kita dapatkan semua data, masuk dalam pautan data dan kebanyakan proses ni pakai Protokol Pemindahan Fail yang selamat, maknanya keseluruhan pangkalan data yang ada dalam sistem akan ada ketetapan daripada agensi terlibat untuk memastikan secara berkala data terbaru dikemas kini.

“Pada masa yang sama, orang ramai pula bila ada portal PADU dibuka, mereka boleh mengemas kini data terbabit pada bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menambah kerajaan menggalakkan rakyat mengemas kini maklumat mereka bagi memastikan apa yang terdapat dalam PADU adalah yang terkini.

Beliau merujuk pekerja di sektor tidak formal dan berkata, golongan itu diberi peluang mengemas kini maklumat termasuk pendapatan di bawah PADU bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan seperti subsidi.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengemas kini atau membuat pengesahan maklumat, Rafizi berkata, tiada tindakan akan diambil.

“… tapi kerajaan hanya akan menggunakan maklumat yang sedia ada dalam pangkalan data untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan dapat atau tidak subsidi bersasar berdasarkan maklumat itu… jadi kalau tak kemas kini, dia tiada masalah tapi jika anda tidak dapat (subsidi), jangan marah,” katanya. – BERNAMA-29/12/2023

naim-ok

Menteri Hal Ehwal Agama jawab cadangan Pengerusi DAP Perak….

Cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali.

Ini ditegaskan dalam kenyataan pada Jumaat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Dr Mohd Naim Mokthar sebagai reaksi kepada cadangan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Dalam kenyataan itu Dr Mohd Naim memberitahu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam (“Jawatankuasa Khas”) telah pun ditubuhkan dan Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas ini berlangsung pada 5 Disember 2023.

” Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

” Kesemua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.

“Anggota Jawatankuasa Khas yang telah dilantik pada masa ini untuk menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing.

” Selanjutnya, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

“Oleh yang demikian, cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut Dr Mohd Naim dalam perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.

” Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam. Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan.-29/12/2023

Asyraf-Wajdi-Dusuki-Pemuda-PAU22-14

Tidak perlu pakar bukan Islam dalam jawatankuasa mengkaji undang undang Syariah

Tidak perlu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan YB Ngeh Koo Ham ini tidak berpijak di bumi yang nyata malah hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

Sejak merdeka, Mahkamah Syariah adalah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam. Malah proses menambah-baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui Kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Malah sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

Ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan; pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini.

Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan. Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agong UMNO

scam

Awas… tipu wang secara ‘online’ dalam trend menaik

PELBAGAI pendekatan dan peringatan dilaksanakan, baik oleh pihak berkuasa ataupun institusi perbankan, namun jenayah penipuan kewangan dalam talian di negara ini masih menunjukkan trend peningkatan.

Mangsa pula daripada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan berjaya. Semuanya tidak terlepas daripada diperdaya, sama ada dikatakan terbabit dalam kegiatan haram ataupun digoda dengan pelaburan yang kononnya membawa pulangan lumayan.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus kepada 32,366 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 23,608 kes.

Polis percaya angka sebenar mangsa dan jumlah kerugian adalah lebih besar kerana ramai yang didapati tidak tampil melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa atas pelbagai faktor, termasuk berasa malu kerana melibatkan status sosial dan kerjaya mereka.

Hal ini disokong oleh kaji selidik firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia yang pada 19 Dis lalu mendedahkan tidak sampai 50 peratus mangsa penipuan di negara ini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, dengan sebahagian kecil pula memilih berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.

Hakikatnya, jenayah itu bukan sahaja memberikan impak kepada mangsa tetapi turut meninggalkan kesan ke atas negara, yang menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, jenayah tersebut, secara terancang, boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.

Mengambil kira situasi semasa, pakar berpandangan akta yang berkaitan perlu dipinda, khususnya dari segi hukuman, kerana kata mereka, setakat ini belum ada usaha bersungguh ke arah itu.

Pada masa sama, mereka juga menggesa agar usaha meningkatkan kesedaran masyarakat diperhebat.

Menurut Ts Syahrul Nizam Junaini, pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak, kebanyakan pengguna siber kurang pengetahuan dalam mengenal pasti laman sesawang yang sahih dan palsu, sekali gus merisikokan mereka kepada penipuan.

“Satu kajian sebelum ini mendapati 78.5 peratus daripada penduduk Malaysia merupakan pengguna aktif media sosial. Peningkatan akses kepada media sosial membuatkan lebih banyak traksaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.

“Situasi ini membuka peluang lebih tinggi kepada penjenayah untuk memerangkap pengguna laman sesawang dan aplikasi perbankan dalam talian selain e-dompet dan platform e-dagang, khususnya tanpa langkah keselamatan oleh pengguna,’’ katanya.

Jelas Syahrul Nizam, ancaman jenayah siber tidak akan dapat ditangkis jika infrastruktur keselamatan siber tidak cukup kuat, yang membuka ruang kepada penipu untuk mengeksploitasi kelompongan yang ada pada struktur itu.

“Kita akui jenayah ini mula tertumpu pada aplikasi WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas kerana aplikasi terbabit digunakan hampir di seluruh dunia dan jutaan orang di Malaysia aktif menggunakannya.

“Penipu juga menggunakan aplikasi yang sama, jadi sukar untuk kita kesan sebab penipu juga mendaftar nombor telefon meskipun menggunakan akaun WhatsApp atau Telegram palsu,” katanya.

Menurut beliau, setiap hari masyarakat menerima 99 peratus maklumat sahih melalui WhatsApp, namun apabila satu peratus maklumat palsu berunsur penipuan itu muncul, ramai yang cenderung mempercayainya dan kemudian mengongsi maklumat palsu tersebut dengan rakan lain.

Ipsos Malaysia dalam tinjauannya, turut mendapati tiga perempat daripada penduduk Malaysia menjadi sasaran penipuan dan peningkatan dalam suku tahun terakhir menyerlahkan kelemahan itu apabila 76 peratus daripada 1,000 responden yang terlibat dalam kaji selidik tersebut menyatakan pernah terjerat.

Menurut Ipsos Malaysia lagi, sebanyak 51 peratus responden melaporkan mereka berdepan penipuan tiga bulan lepas, 26 peratus berdepan penipuan sebulan yang lalu dan 14 peratus berdepan penipuan seminggu lepas.

Justeru, Syahrul Nizam menyeru ahli masyarakat yang menjadi mangsa penipuan kewangan agar tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata berdepan dengan stigma, malu dan sukar untuk mempercayai diri telah ditipu, merupakan batu penghalang bagi mangsa untuk membuat laporan.

Dalam perinciannya, Ipsos Malaysia menyatakan hanya 48 peratus daripada 657 responden yang menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian kewangan atau hampir menjadi mangsa penipuan tetapi menyedarinya sebelum sebarang kerugian kewangan berlaku, melaporkan insiden kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun 12 peratus tidak mengambil sebarang tindakan.

“Selain itu, mangsa mungkin tidak tahu tentang prosedur membuat laporan dan kurangnya kesedaran tentang aspek tersebut membuatkan mangsa teragak-agak atau berasa prosedurnya rumit sehingga akhirnya langsung tidak membuat laporan.

“Jangan berdiam diri, mangsa hanya perlu pergi ke agensi berkaitan di kawasan masing-masing termasuk balai polis dan juga bank mereka. Jika tidak ada laporan, bagaimana pihak berkuasa mahu membuat siasatan,?” soal beliau.

Katanya ini kerana setiap laporan yang diterima akan diselaraskan dengan pihak berkuasa lain termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagi pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Azuan Ahmad, beliau berkata kepelbagaian aplikasi yang dibangunkan seiring kecanggihan teknologi digital turut membuka peluang kepada penipu dalam talian menjerat mangsa.

Kewujudan pelbagai aplikasi yang senang dimuat turun ini sebenarnya berpotensi menjadi pintu gerbang kepada penjenayah untuk mengakses maklumat peribadi termasuk kewangan mangsa, ujarnya.

“Apabila lebih terdedah kepada dunia siber, secara tidak langsung lebih banyak data peribadi kita berada di alam siber, dan sekiranya keselamatan data itu tidak dititikberatkan, hal ini akan mendedahkan pengguna kepada risiko kecurian dan kebocoran data.

“Ini membolehkan scammer kewangan mengakses maklumat mangsa dengan menjadikannya modal untuk memancing kepercayaan mangsa sehingga akhirnya mereka terjerat,” tambah beliau.

Selain itu, Azuan berkata sejak belakangan ini, kumpulan penipu ini turut memanfaatkan aplikasi mudah alih sebagai modus operandi mereka, termasuk menyamar sebagai agensi pihak berkuasa seperti polis.

“Contohnya, hanya dengan mengetahui nama penuh mangsa, penjenayah dapat mengesan maklumat peribadi lain seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor pendaftaran kereta, dan adanya maklumat tambahan ini membuatkan mangsa lebih mudah terpedaya sebab yakin mereka adalah daripada pihak boleh dipercayai.

“Terdapat juga scammer membangunkan pelbagai aplikasi palsu yang apabila dimuat turun atau diklik oleh pengguna, membolehkan penipu mengakses aplikasi perbankan mangsa. Ada juga yang menggunakan logo bank seakan bank sebenar bagi meyakinkan mangsa mereka adalah institusi sah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azuan berkata sikap manusia yang mudah dieksploitasi, cepat panik dan kurang pengetahuan tentang dunia digital dan siber, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian di negara ini.

Penjenayah juga bijak dalam memanipulasi psikologi mangsa sehingga si mangsa percaya sepenuhnya apa juga yang dinyatakan oleh penipu, katanya.

“Mangsa yang mudah panik dan percaya akan mendedahkan butiran kewangan mereka termasuk maklumat perbankan kepada scammer yang akhirnya menjerat diri mereka,” kata beliau, menambah, disebabkan oleh kurang kecaknaan akan ancaman siber ini, masyarakat akan terus terdedah kepada jenayah itu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pihak berkepentingan meningkatkan kempen kesedaran selain sentiasa menyebar luas modus operandi terkini penipu dalam talian berkenaan.

Beliau juga mengesyorkan pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi yang dapat menyaring pemanggil seperti Whoscall dan Truecaller, bagi melindungi diri mereka daripada jerat sindiket penipuan.

Beliau juga melihat NSRC yang diwujudkan pada tahun lepas sebagai platform terbaik dalam mengekang serta menangani kes penipuan siber dengan lebih menyeluruh dan bersepadu.

Katanya ini kerana pusat itu menghubungkan sumber dan kepakaran jenayah termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, SKMM, institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi negara.

“Selain menyebarkan kesedaran berkaitan jenayah ini kepada masyarakat, NSRC menerusi agensi terlibat, giat melakukan pengesanan keldai akaun yang digunakan sebagai medium transaksi wang oleh penjenayah penipuan.

“Sebagai pusat respons setempat berkaitan jenayah scam, NSRC juga diakui bertindak pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian termasuk mengesan dana yang dicuri dengan lebih cepat, sekali gus dapat mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah terbabit,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada Oktober 2022 hingga 30 Nov 2023, NSRC merekodkan kes dengan jumlah kerugian RM173 juta, dan daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat daripada jatuh ke tangan penjenayah ialah sebanyak RM33 juta.

— BERNAMA

ferilabuan

Ratusan terkandas, feri Labuan-Menumbok henti operasi

BERATUS pengguna khidmat feri antara Labuan dan Menumbok di Sabah terkandas selepas satu daripada dua pengendali feri laluan tersebut menghentikan operasinya semalam.

Tindakan Juta Bonus Sdn Bhd telah menimbulkan kesusahan kepada pengguna yang merancang perjalanan sempena cuti Krismas dan cuti sekolah akhir tahun.

Notis yang dikeluarkan semalam oleh syarikat pengurusan tiket pengendali, Binabalu Sdn Bhd melalui laman Facebook rasminya, menyatakan isu teknikal yang tidak dijangka telah menjejaskan dua ferinya – Galaxy dan Blue Ocean – sebagai punca pemberhentian perkhidmatan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun ia tidak menyatakan bila kedua-dua feri itu akan beroperasi semula.

Beratus-ratus pengguna yang terkandas cuba mendapatkan bayaran balik atau menjadualkan semula perjalanan mereka, keadaan di terminal feri Menumbok juga tegang apabila kekecewaan memuncak, menyebabkan beberapa individu melepaskan kemarahan dan menyuarakan rungutan mereka di media sosial.

Syarikat pengurusan tiket itu menggesa penumpang yang terjejas pergi ke kaunter untuk mendapatkan bayaran balik atau menyerahkan gambar tiket mereka sebagai bukti pembayaran balik secara dalam talian melalui WhatsApp di talian 016-8189040.

Dengan penggantungan sementara Galaxy dan Blue Ocean, hanya empat feri – Kimanis 1, Putrajaya 1, Goodwill Star dan Joystar – beroperasi. Keempat-empat feri ini dikendalikan oleh Labuan Mainland Link Sdn Bhd.

covid19-4

Covid-19: Khabar gembira dari Menteri Kesihatan…

Bagi yang risau dan tertanya tanya mengenai situasi terbaru Covid-19 gara gara macam macam khabar angin berlegar mengenainya…sila dengar apa kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dari kenyataan yang dikeluarkan pada pagi Jumaat rasanya buat masa ini kita boleh menarik nafas lega.

Beliau antara lain memberitahu setakat ini tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.

“Jenis sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1,”katanya.

Menurut menteri itu subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.

Secara keseluruhan Dr Dzul kata situasi semasa Covid-19 di negara ini terkawal.

“Kadar kemasukan pesakit yang dijangkiti virus itu ke hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus sekali gus menunjukkan kedua-dua parameter itu kekal pada tahap rendah.

“Kebanyakan jangkitan kes Covid-19 yang dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Untuk Minggu Epid ME-51 (17-23 Disember), kadar kemasukan pesakit yang menghidap Covid-19 ke dalam hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus.

“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menteri itu memberitahu lagi virus Covid-19 akan terus berada bersama kita sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti Influenza.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan daripada segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,” katanya.

Beliau mengingatkan kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri seperti pemakaian pelitup muka pada situasi memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera, melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk Covid-19 di sumber boleh dipercayai.

“Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi Covid-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya. -29/12/2023

rusazombi

Penyakit rusa zombi dibimbangi jangkiti manusia

PULAK DAH… Ini satu lagi penyakit yang baru dikesan pada haiwan dan berpotensi membawa mudarat kepada manusia selepas selsema burung.

Penyakit Chronic Wasting Disease (CWD) atau rusa zombi yang boleh membawa maut serta dikhuatiri merebak kepada manusia, kata pakar kesihatan awam Amerika.

Ia merebak pada sebilangan rusa di sekitar Amerika Utara, manakala baru-baru ini, ia dikesan di Taman Negara Yellowstone (melibatkan negeri Wyoming, Idaho dan Montana) buat kali pertama.

Penyakit tersebut menyebabkan perubahan pada otak haiwan yang menjadikannya lesu, tidak tentu arah dan air liur kerap meleleh.

Haiwan yang dijangkiti itu termasuk rusa, elk, moose dan karibu. Ia kebiasaannya akan merenung kosong dari kejauhan sebelum menghidap penyakit tersebut.

CWD membawa maut dan tiada rawatan atau vaksin yang diketahui setakat ini.

Menurut saintis, CWD adalah ‘bencana yang bergerak perlahan’ dengan pihak berkuasa digesa bersiap sedia menghadapi kemungkinan ia merebak kepada manusia.

Penyelidik CWD, Dr. Cory Anderson memberitahu akhbar The Guardian: “Kita berdepan penyakit yang sering membawa maut, tidak boleh diubati dan sangat menular.

“Kita tidak mempunyai cara mudah yang berkesan untuk membasminya, sama ada terhadap haiwan yang dijangkiti mahupun persekitaran yang tercemar.

“Tiada siapa yang menyatakan bahawa ia pasti akan berlaku, namun adalah penting bagi orang ramai untuk bersedia.”

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, CWD telah dikesan di sekurang-kurangnya 31 buah negeri AS selain Kanada, Norway, Finland, Sweden serta Korea Selatan.