novel

Kerjaya baharu punca Bumiputera beralih bidang

KEMUNCULAN kerjaya baharu yang terbentuk daripada minat seperti pempengaruh dan menawarkan pendapatan lumayan dilihat menjadi antara punca golongan Bumiputera beralih daripada menyertai sesetengah bidang profesional.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Izwan Mahmud berkata meskipun penghijrahan kerjaya itu belum menunjukkan perkembangan ketara namun ketidakseimbangan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang profesional perlu dikurangkan.

“Ketidakseimbangan kerjaya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan menyumbang kepada isu ketidakseimbangan ekonomi.

“Sebab itu dalam ekonomi dan kerjaya ini, kita kena pastikan jurang antara kaum tidak boleh terlampau besar kerana bila satu-satu kerjaya dimonopoli oleh satu-satu kaum, di sini akan timbul pula isu perpaduan,” katanya kepada Bernama.

Statistik Bumiputera 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia minggu lepas merekodkan penyertaan golongan Bumiputera di bawah 50 peratus bagi kerjaya sebagai arkitek (41.2), peguam (38.2) dan akauntan (31.8).

Bagaimanapun, Bumiputera masih menyumbang sebanyak 92.7 peratus menerusi penyertaan dalam bidang profesional dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan serta jururawat pada 2022.

Justeru, Mohd Izwan berkata dalam usaha melahirkan graduan kalis masa depan serta memastikan Bumiputera mengisi kerjaya profesional, minat perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan pengubahsuaian kurikulum di peringkat universiti juga harus dilakukan.

“Penempatan dengan pihak industri juga perlu dilakukan lebih awal dalam memupuk minat pelajar sehingga mereka menamatkan pengajian seperti yang dilakukan beberapa negara luar dengan menempatkan pelajar dengan pihak industri sejak awal pengajian lagi,” katanya.

Pensyarah Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad pula berkata ramai graduan tidak bekerja dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan akademik mereka disebabkan peluang pekerjaan agak terbatas.

“Keadaan ini memaksa mereka untuk bertahan tidak kiralah bekerja dalam sektor apa sekalipun, janji dapat menyara hidup,” katanya.

Beliau berkata peratusan guna tenaga tidak penuh siswazah menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun lepas yang menyaksikan 2020 merekodkan 31.2 peratus diikuti 33.8 peratus pada 2021 dan 34.4 peratus bagi 2022.

Mohd Mursyid berkata situasi ini, sekiranya tidak diatasi, boleh menyebabkan perpindahan tenaga kerja muda ke luar negara kerana tawaran gaji yang lebih kompetetif dan sesuai dengan kelayakan mereka sekali gus menambah parah situasi brain drain atau larian cerdik pandai di Malaysia.

benderasarawak

Nama bendera Sarawak dikenali sebagai ‘Ibu Pertiwi’

BENDERA negeri Sarawak kini dikenali sebagai ‘Ibu Pertiwi’, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari mengumumkan perkara itu semasa berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri yang diadakan di Tebingan Kuching di sini, malam ini.

Menurut Abang Johari sebelum ini bendera Sarawak tidak mempunyai sebarang nama tersendiri seperti bendera Malaysia yang digelar Jalur Gemilang.

“Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning.

“Semua anak Sarawak hendaklah tekad bekerja kuat mempertahankan Ibu Pertiwi dan sama-sama membangun negeri ini agar lebih maju,” katanya.

Antara pengisian sambutan ambang tahun baharu bertemakan ‘Let’s Celebrate Together’ itu ialah persembahan pentas, pertunjukan bunga api serta acara kiraan detik tahun baharu.

Sambutan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Amy Search dan Datuk Zainal Abidin selain perasmian tiang bendera Sarawak.

kerajaan1

Langkah Dubai…antara realiti dan fantasi

Ketika orang sedang bercuti sana sini dalam mood nak sambut masuk tahun baru 2024…ramai juga yang sedang halakan teropong kearah kota Dubai di Timur Tengah.

Nama kota ini tiba tiba mencuri perhatian bila seorang pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mendakwa satu perancangan yang dipanggil ‘ Langkah Dubai’ nak jatuhkan kerajaan perpaduan sedang diatur oleh musuh politik di sana.

Alkisahnya bunyi operasinya macam cerita James Bond dalam siri 007.

Ada juga yang buat jenaka tanya kenapa perancangan seumpama itu perlu dibuat begitu jauh sampai memerlukan 8 jam penerbangan dari Malaysia.

Kata mereka sedangkan ia boleh diatur di Kepong,Sungai Buloh,Petaling Jaya atau di Shah Alam saja.Paling tidak di Langkawi atau jauh sikit di Hadyai.

Mungkin dalam politik kena ada unsur sensasi sikit…atau yang berbau internasional baru syok.

Di celah ini semua…satu hakikat dalam politik yang diterima pakai satu dunia ialah….’tiada yang mustahil dalam politik’.

Siapa sangka kerajaan yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pilihanraya umum 2018 boleh tumbang dalam tempoh 22 bulan menerusi ‘Langkah Sheraton’.

Kenangan tentang kejutan seperti ini mungkin membuat ada yang berpeluh tengok kiri kanan depan belakang atas bawah bila timbul sosek tentang bab ‘ langkah’.

Apapun bercakap diatas kertas…setelah campur tolak bahagi dan daraf…tidak ramai pemerhati politik veteran yang boleh telan begitu saja cerita ‘Langkah Dubai’.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man adalah antara pimpinan politik yang pandang sepi kisah ini.

“Lebih ramai pemimpin politik berkunjung ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah berbanding ke Dubai.

“Kerajaan sudah memiliki majoriti dua per tiga, apa hendak dibimbangkan?

“Kalau diikutkan, pemimpin ke Makkah lagi ramai, terutama pada musim cuti (sekolah) ini tetapi tidak ada pula ditimbulkan Langkah Mekah,” katanya seperti dipetik BH Online.

Tuan Ibrahim juga menilai dakwaan tersebut adalah rekaan semata-mata.

“Ia hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi. Lebih baik memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat, malah banjir pun belum selesai lagi,” katanya.

Bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Mazlan pula bersusah payah mengunakan istilah yang bombastik yakni ” fatamorgana’.

Kalau kita cari di google…Fatamorgana membawa maksud pembiasan cahaya melalui kepadatan yang berbeza, sehingga boleh membuat sesuatu yang tidak wujud menjadi seolah-olah wujud.

Dalam istilah lain ia cuma fantasi….atau seperti kata Tuan Ibrahim rekaan semata mata.

Dari sudut realitinya,Ahmad Mazlan yakni orang lama yang cukup arif dengan sepak terajang politik nyata bukan sembang kosong.

“Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana. Utk 30 MP #UMNO/#BN, kami sudah tandatangan kena bayar rm100 juta seorang jika ingin lompat.

“Siapa MP ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, Kjaan masih kekal, dgn 122 sokongan. (147+5-30). #Rakyat inginkan kestabilan & kekuatan ekonomi.’kata Ahli Parlimen Pontian itu menerusi aplikasi X.

Beliau jelas merujuk kepada 147 ahli parlimen kerajaan serta lima ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan baru-baru ini.

Juga jangan lupa bos kerajaan perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dua kali baru baru ini berkata cubaan untuk ‘tebuk atap’ jatuhkan kerajaan tidak akan berlaku.

Beliau beritahu semasa pertemuan dengan para pengarang media di Putrajaya ini kerana sokongan padu dari blok Sarawak.

Anwar berkata Premier Sarawak Abang Johari dalam pertemuan dengan beliau mendedahkan ada beberapa percubaan yang agak terdesak untuk memujuk beliau dan partinya, namun cubaan itu ditolak dengan tegas.

“Katanya dalam beberapa pertemuan terakhir ada percubaan itu dan beliau secara konsisten menolak dengan tegas bahawa tidak akan melayani sebarang perbincangan untuk meretakkan hubungan Sarawak dan Persekutuan serta hubungan dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

“Dalam senario politik semasa ini, peranan atau pendirian GPS itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan itu (kerajaan) berlaku.

Sebelum itu dalam satu majlis lain Anwar menegaskan bahawa bumbung kerajaan perpaduan kini diperbuat dari konkrit dan sebarang cubaan untuk tebuknya pasti gagal.- 31/12/2023

parking

Bukan semua parkir ‘free’ lepas waktu pejabat: DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menjelaskan bahawa bukan semua parkir kereta dibawah seliaannya boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan terdapat 11 parkir kereta yang telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar bandar raya ini.

“Berkenaan aduan yang tular menerusi media sosial dan media elektronik berkenaan ulat parkir mengenakan caj parkir di Bukit Bintang, siasatan mendapati tapak yang dimaksudkan adalah tempat letak kereta terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail.

“Tapak ini merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir. Bayaran dikenakan pada waktu pejabat iaitu hingga 5 petang. Pada masa sama, DBKL telah menyewakan urusan parkir ini kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan pihak operator joki juga telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi parkir kereta joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan itu.

Baru-baru ini tular video menerusi laman TikTok seorang pengguna memaparkan terdapat kesan calar pada bahagian pintu keretanya dipercayai dilakukan ulat parkir kerana enggan membayar parkir sebanyak RM15.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pihaknya mengambil serius mengenai sindiket ulat parkir di sekitar ibu negara dan sejak tahun lepas sehingga kini, sebanyak 75 ulat parkir telah diambil tindakan di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pasukan DBKL akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Granier bagi membanteras ulat parkir.

“DBKL juga ingin menasihatkan orang awam supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian terutama di kawasan pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta membantu usaha DBKL mengurangkan pelepasan karbon,” menurut kenyataan itu.

polis-repot1

Polis terima laporan dakwaan salah guna RM700 juta dua kerajaan terdahulu

Polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu Sabtu.

“Kita akan membuat siasatan termasuk menghubungi pihak Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata pegawainya membuat laporan berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Setapak kira-kira dua petang.

“Perbelanjaan tersebut besar…kita (rakyat) mahu tahu ke mana perginya perbelanjaan RM700 juta, ada sumber mendakwa bahawa ada penyalahgunaan kuasa melibatkan bekas petugas perdana menteri sebelum ini.

“Kami mahu polis menyiasat perkara ini dan diikuti siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan persekutuan membelanjakan sehingga RM700 juta untuk kerja pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan oleh dua pentadbiran terdahulu adalah bagi menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

-Bernama- 30/12/2023

ngeh-ok

Campurtangan hal ehwal Islam…Ngeh Koo Ham mohon maaf

Setelah timbul kontroversi atas cadanganya yang dilihat cuba campur hal ehwal agama Islam….Ahli Parlimen DAP Beruas Dato Ngeh Koo Ham memohon maaf.

Petang Sabtu orang kuat DAP Perak itu buat permohonan maaf itu menerusi satu kenyataan.

Beliau telah cadangkan agar bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang merupakan pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana mengharmonikan undang-undang Shariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Ia telah cetuskan kontroversi dan undangan reaksi pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH DATO NGEH KOO HAM

Kenyataan Media

Permohonan maaf atas tanggapan campurtangan dalam Hal-Ehwal Islam

Saya merujuk kepada kenyataan media saya bertarikh 28hb Disember 2023 di mana saya mencadangkan bahawa bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang merupakan pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana mengharmonikan undang-undang Shariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Saya menjangkakan proses ini akan melibatkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambilkira sebelum apa-apa cadangan pindaan di buat.

Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Selangor, oleh itu saya dengan ini menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati.

Saya tiada niat langsung untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam.

Bertarikh pada 30hb Disember 2023
Dato Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Beruas

bantah-tk3

Penduduk Teluk Kumbar bantah projek asrama 32,000 pekerja asing….

Cuba bayangkan kehadiran lebih 32,000 pekerja asing tinggal membanjiri kawasan Teluk Kumbar di selatan bahagian pulau Pulau Pinang.

Juga bayangkan sekarang ini setiap waktu puncak sebelah petang berlaku kesesakan teruk di jalan lama dua lorong antara Bayan Lepas ke Teluk KUmbar untuk ke Balik Pulau.

Apa jadi kalau sekitar 300 buah bas kilang juga akan berulang alik angkut pekerja asing setiap shif guna jalan itu nanti bila projek siap.

Malah ada yang kata kehadiran lebih 32,000 pekerja asing di situ membolehkan dibuka satu kawasan Dewan Undangan Negeri khusus untuk mereka.

Ini kerana penduduk di kawasan Teluk Kumbar sendiri tidak seramai itu.

Kita belum lagi cakap mengenai pelbagai masalah sosial yag mungkin berbangkit dari sebegitu ramai pekerja asing.

pada Sabtu pagi….lebih 1,000 orang penduduk Teluk Kumbar berhimpun di situ untuk menyuaraka n bantahan mereka kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Demonstrasi aman itu turut disertai pemimpin politik setempat tanpa mengira parti antaranya Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau; Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas yang juga Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Prof. Dr Muhamad Idiris Saleh berkata, hampir keseluruhan penduduk tempatan di Teluk Kumbar membantah pembinaan asrama pekerja asing di kawasan tersebut kerana bimbang dengan pelbagai masalah yang akan timbul pada masa depan.

Katanya, resolusi bantahan itu merupakan yang kedua dihantar kepada kerajaan negeri memandangkan resolusi bantahan yang dihantar pada Oktober tahun lalu tidak mendapat maklum balas.

”Kenapa kerajaan negeri tidak membina sahaja penempatan warga asing di dalam kawasan kilang-kilang dan mahu mengganggu kawasan penduduk tempatan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mengkaji tindakan undang-undang yang sesuai sekiranya kerajaan negeri tetap dengan keputusan membina penempatan warga asing di Teluk Kumbar.- 30/12/202

azam-daim

Siasat Daim…SPRM ‘buka cerita’

Isu siasatan SPRM keatas bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah mengundang pelbagai tafsiran dan spekulasi.

Antara lain ini mungkin kerana tiada maklumat yang jelas mengenai isu ini yang mula pecah dengan tersebar berita tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat miliknya di Jalan Binjai,Kuala Lumpur pada Khamis malam 21 Disember.

Mengikut notis SPRM sitaan keatas bangunan terletak tidak jauh dari KLCC itu sebenarnya berkuatkuasa 18 Disember.

Pada 23 Disember Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki secara ringkas memberitahu agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau tidak beri maklumat lanjut mengenai siasatan berkenaan kecuali kata proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Dalam pada itu laporan media yang berlegar kata SPRM menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Ia menjadi makin hangat bila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad buat kenyataan bernada sinis ‘siasat semua Tun’ yang dipercayai merujuk kepada siasatan keatas orang diketahui umum rapat dengannya.

Selepas itu Daim menerusi kenyataan dakwa siasatan itu adalah ‘buruan politik’ terhadapnya.

Pada pagi ini Sabtu 30 Disember SPRM telah mengeluarkan kenyataan memberitahu maklumat lebih terperinci mengenai siasatan berkenaan.

Katanya SPRM ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Daim mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Sambil mempertahankan bahawa SPRM bertindak secara profesyenal ia memberitahu dalam siasatan kes Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Katanya Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

“Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih),”katanya.

Kenyataan SPRM itu menjelaskan SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Katanya ia berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SPRM

TUN DAIM DISIASAT BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG, AKTA SPRM 2009 DAN AMLATFPUAA 2001.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Abdul Daim bin Zainuddin mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Pertamanya, SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Abdul Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Berhubung siasatan kes Tun Abdul Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih).

Tun Abdul Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah Suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA
30 DISEMBER 2023

rokok3

Awas…merokok di premis makanan

Ingat balik ….larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan semasa Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kali pertama memegang jawatan Menteri Kesihatan (21 Mei 2018 – 24 Februari 2020) selepas pilihanraya umum 2018.

Pada 12 Disember 2023 baru ini beliau kembali pegang jawatan itu dalam rombakan kabinet yang dibuat oleh kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama Dr Dzul sinonim dengan peraturan larangan merokok di premis makanan yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

Semasa ketiadaan beliau selama tiga tahun di jawatan berkenaan ada yang merasa penguatkuasaan peraturan itu semakin longgar dan banyak kejadian orang merokok di premis makanan tanpa tindakan.

Ditemui wartawan selepas satu majlis di Kuala Selangor yakni kawasan parlimennya pada petang Jumaat menteri itu mengingatkan bahawa bukan sahaja peraturan itu kekal malah akan dipertingkatkan menerusi pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata individu yang merokok di premis tumpuan umum itu dinasihatkan mengamalkan penguatkuasaan kendiri.

Katanya pihaknya bukan mahu menghukum, namun sebarang tingkah laku seseorang itu perlu bermula dengan kesedaran.

Beliau menjelaskan sesuatu perundangan itu tidak akan berjaya sekiranya semua pihak tidak memahami objektif utama pelaksanannya.

“Tujuan kita adalah mahu mengelak kaki rokok berkongsi asap ‘basi’ dengan kumpulan sasaran yang tidak merokok.

“Ia terutamanya melibatkan golongan warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak kecil,” ujarnya.

Dibawah peraturan yang ada merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis makanan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun RM250 boleh dikenakan.

Jika gagal membayarnya, mereka akan didakwa di mahkamah dengan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara.-30/12/2023

anwar-sultan

Kontroversi campur urusan agama Islam…Anwar bersuara

Kontroversi campur urusan agama Islam…Anwar bersuara

Kontroversi isu cadangan Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang dilihat cuba campur urusan agama Islam turut mengundang reaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu,Perdana Menteri menegaskan beliau mendukung penuh peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya rakyat khususnya bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Anwar berkata namun jika terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berkata ia bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab.

Ngeh yang juga Pengerusi DAP Perak cadang kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Katanya langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Turut sama bersuara menentang cadangan Ngeh itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyifatkan cadangan itu tidak berasas sama sekali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Koo Ham ‘tidak berpijak di bumi nyata.’

Beliau mengingatkan cadangan wakil rakyat DAP berkenaan hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

PAS turut membantah cadangan Ngeh.Ia disuarakan oleh Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengulas hal ini berkata cadangan itu Koo Ham itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.- 30/12/2023