akmal-sampah3

Awas…Ketua Pemuda UMNO nak longgok sampah depan rumah orang

Mungkin ada yang kata ini bab remeh dan benda kecil sampai wakil rakyat nak kena susah payah turun padang.

Namun kalau dilihat dalam konteks sebenar ini adalah gejala harian yang amat menyakitkan mata dan hati diserata tempat seluruh negara hari demi hari.

Sampah…sampah…sampah …dimana mana. Sana sini orang mengeluh.

Malah ada yang bergaduh kerana sampah.

Ini bukan isu baru tetapi sudah berkurun tak beres.

Kempen…macam macam kempen sudah dibuat…tetapi kebanyakan tinggal sekadar kempen saja.

Ini terbukti dengan apa yang ada di depan mata kita.

Siapakah nak pelopori satu gerakan serius benteras kutu sampah habis habisan?

Pada Khamis…perhatian bertumpu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau,Melaka Dr Akmal Saleh.

Ini gara gara beliau ambil inisiatif turun padang selongkar sampah yang dibuang merata tempat dalam kawasan pilihanrayanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia bertindak begitu kerana sudah fedup dengan perbuatan yang tidak bertanggongjawab ini.

Mana beliau tidak naik angin.Katanya sebelah siang sudah dibersihkan namun sebelah malam sudah ada balik sampah.

“Tadi kita dah kemaskan siang tadi dah clear dah ni. Tapi ini jam 12:55 malam tiba-tiba dah ada sini kita round ni,” katanya.

Menerusi rakaman video semasa gerakan itu Dr Akmal bagi warning akan cari siapa yang buang sampah itu dan akan bertindak longgokan sampah itu di depan rumah mereka.

“Saya nak bagi tahu, pesanan yang sangat tegas kepada semua, jangan sampai kalau saya dapat tangkap korang,”tegasnya.

Semasa gerakan itu beliau terjumpa satu plastik ubat yang tertulis nama “Aida”, jenis ubat, nama klinik serta tarikhnya.

“Kalau jumpa sampah ini semua saya akan letak depan rumah Cik Aida,” katanya.

“Rumah nak bersih, tapi buang sampah dan kotorkan tempat orang lain.Mana pergi tanggungjawab kita,”ujarnya.

Apa yang dilakukan oleh Dr Akmal ini nyata adalah satu tindakan diluar kotak.

Soalnya mampukah beliau mengubah tabiat buruk kaki buang sampah merata?

Juga apakah wakil rakyat atau pemimpin masyarakat lain lain hendak jadikan tindakan Dr Akmal sebagai teladan? – 4/1/2024

ngeh1xxx

Isu Ngeh Koo Ham ….BERSATU masih tak puashati

Bagi parti BERSATU isu Ahli Parlimen DAP Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang baru ini didakwa cuba campur urusan agama Islam belum boleh tutup buku.

Ia berpendirian begitu sekalipun Koo Ham sudah mohon maaf melalui Facebooknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ketua Bahgian Bersatu Bangi pada Khamis keluar kenyataan mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap isu yang didakwanya ‘tak serius’.

Katanya BERSATU Bangi menolak permohonan maaf Koo Ham yang kononnya menarik balik cadangan supaya orang bukan Islam dilantik ke jawatankuasa berkaitan urusan orang Islam, dan turut menolak juga alasan-alasan yang diberikan oleh DAP mengenai perkara ini.

“BERSATU Bangi merasakan bahawa ini adalah taktik lama DAP yang telah berlaku berulang kali dan telah menjadi kebiasaan mereka, iaitu melontarkan pandangan yang biadap dan mengancam perpaduan negara kemudian dengan sambil lewa menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja.

“Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil pelbagai tindakan segera. Tetapi apabila DAP, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup,”katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan DAP itu sengaja dilakukan, malah menyifatkan ia sebagai taktik lama yang sering dilakukan bagi parti itu untuk mengancam perpaduan negara.

Menurut beliau BERSATU Bangi mendesak agar ada ketegasan dalam isu ini dari dua sudut.

” Pertama, pihak berkuasa, baik PDRM mahupun SKMM, mesti membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen DAP yang sengaja menyentuh isu 3R.

“Kedua, para pemimpin UMNO perlu mengambil sikap tegas dan berusaha kembali menjadi jantan dengan cara menarik sokongan daripada Anwar Ibrahim sekiranya dia terus berlembut dengan kebiadapan DAP.

“BERSATU Bangi menuntut para pemimpin UMNO berhenti menjadi “apologist” dan jurukempen DAP di kalangan orang Melayu-Islam”.

Koo Ham cetus kontroversi barui baru ini bila cadang kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.-4/1/2024

bomiran

Malaysia gesa dalang serangan bom di Iran didakwa…

MALAYSIA menggesa agar dalang insiden pengeboman di Wilayah Kerman, bahagian tenggara Iran yang meragut hampir seratus nyawa, semalam diheret ke muka pengadilan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook berkata Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti atas insiden berkenaan yang telah mengakibatkan lebih 200 orang cedera.

“Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu,“ katanya.

Anwar berkata sempena tahun baharu, Malaysia ingin mengajak dunia untuk bersama-sama membantah budaya ganas dan rakus seterusnya menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

Menurut laporan media antarabangsa, dua siri letupan bom berlaku berhampiran makam Qasem Soleimani, jeneral tentera Iran yang terbunuh pada 2020.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani.

Sementara itu, Presiden Iran memberi amaran kepada Israel yang rejim Zionis itu perlu ‘membayar harga yang mahal’ terhadap setiap jenayah dilakukan mereka.

Dalam masa sama, Presiden Ebrahim Raisi menyalahkan Israel atas letupan berkembar yang membunuh lebih 100 orang di tenggara Iran pada Rabu.

“Saya memberi amaran kepada rejim Zionis. Jangan ragu-ragu bahawa kamu akan membayar harga yang tinggi untuk jenayah ini dan jenayah yang telah anda lakukan,” kata Raisi dalam ucapan beliau yang disiarkan di televisyen.

Raisi, yang merupakan ketua kerajaan Iran memberi amaran bahawa hukuman yang akan dikenakan ke atas Israel juga sesuatu yang akan “dikesali dan berat.”

Kepada agensi berita CNN, “tiada komen” dikeluarkan angkatan pertahanan Israel mengenai letupan di Iran.

Sehingga kini juga, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas letupan yang digelar Iran sebagai “serangan pengganas.”

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matt Miller memberitahu wartawan bahawa AS tidak “mempunyai maklumat bebas” mengenai letupan itu dan Jabatan Negara juga “tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa Israel terlibat.”

biker-kental

Tiada keputusan lesen B2 tukar ke B full automatik

TUNGGU punya tunggu tapi tak ada keputusan… itulah nasib geng-geng rider yang sabar menanti keputusan kerajaan atas cadangan supaya pemegang lesen motorsikal B2 boleh bertukar secara aotomatik ke B full.

Mulanya, kata kajian akan siap bulan Disember lepas, namun hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya masih dalam kajian berhubung cadangan tersebut.

Menurutnya, cadangan itu masih di peringkat perbincangan di peringkat MOT kerana terdapat pelbagai pandangan mengenainya.

“Keputusan belum dibuat. Memang ada kajian dilakukan tapi ia masih di peringkat perbincangan lanjut kerana lesen B ini untuk motosikal berkuasa besar.

“MOT perlu melihat sejauh mana mereka yang mempunyai lesen kelas B2 ini mampu untuk membawa motosikal berkuasa besar, jadi itu juga menimbulkan kebimbangan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tahun lalu berhubung cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada MOT untuk diteliti terlebih dahulu.

Ahmad Zahid seperti dilaporkan media berpendapat, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengesa cadangan itu diteliti sedalam-dalamnya terlebih dulu kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara ini.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar, sebelum ini berkata langkah itu boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia membabitkan kompetensi seseorang penunggang.

Loke berkata MOT ketika ini membantu pelajar memandu dengan menggabungkan ujian teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP Test) 01 untuk lesen B2 dan D.

Menurutnya, mana-mana individu yang telah mengambil lesen motosikal, mereka tidak perlu lagi mengulangi ujian itu untuk lesen D (kereta).

“Perkara ini telah digabungkan. Ini memudahkan pelajar-pelajar kerana mereka tidak perlu ulang KPP 01 untuk teori,” katanya.

fahmi4

Apa lagi dengan J-KOM ?…

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baru baru ini hangat dilanda isu rakaman ‘perbualan lucah antara dua lelaki’ dijangka akan terus menjadi jabatan yang curi perhatian.

Ini gara gara pengumuman Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Rabu bahawa J-KOM akan dirombak bagi memastikan ia bergerak dengan modus operandi baharu.

Kalau dibuka balik latar belakang J-KOM ia ibarat sebuah jabatan yang ‘tak beres beres’.

J-KOM yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebelum ini duduk dibawah bumbung Kementerian Penerangan ( Kementerian Komunikasi).

Kemudian ia dipindahkan ke bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri dan terbaru sudah balik ke Kementerian Komunikasi.

Fungsi JASA pernah dipersoalkan sebagai agensi kerajaan yang tidak cekap walaupun mempunyai 1046 kakitangan dan perbelanjaan besar sebanyak RM74 juta.

Selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan BN, Perdana Menteri baharu Tun Dr Mahathir Mohamad umum bahawa JASA serta beberapa buah agensi dan jabatan kerajaan akan dihapuskan.

Dr Mahathir berkata JASA telah dibubarkan kerana memiliki terlalu banyak unsur politik.

JASA dibubarkan sepenuhnya pada 15 Oktober 2018 dengan 300 orang penjawat awamnya diserap ke jabatan dan kementerian lain, sementara kakitangan kontraknya yang kebanyakannya berunsur politik ditamatkan.

Bagaimanapun pada 2020 kerajaan Perikatan Nasional umum JASA akan dijenamakan semula menjadi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan pengurangan peruntukan daripada jumlah asal.

Katanya J-KOM tidak akan disalah guna sebagai alat propaganda.

Baru ini selepas isu rakaman perbualan panas melibatkan bekas Ketua Pengarahnya dengan seorang pegawai bawahan J-KOM,jabatan itu dipindah balik ke Kementerian Komunikasi.

Belum reda isu itu….peranan J-KOM dalam isu Langkah Dubai telah dipersoalkan.

Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop pada Sabtu lalu telah mendedahkan wujud ‘Langkah Dubai’ ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga bekas Ketua Pengarah JASA menggangap imej J-KOM semakin merudum.

Dakwanya selain isu rakaman perbualan panas,analisis yang dilakukan Ismail Yusop berkenaan Langkah Dubai cetek.

“Analisis tersebut cetek, ia mengakibatkan kerajaan pula jadi defensif kerana beberapa nama disebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, Ismail Yusop mendakwa gerakan tersebut untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.

Ia didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ejen untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Puad turut mempersoalkan mengenai keperluan Ismail Yusop yang memainkan isu Langkah Dubai.

“Lebih sesuai J-KOM fokus naratif kerajaan tebuk atap musibah dan tidak akan tercapai. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan kata fatamorgana (khayalan),” tambahnya.

Fahmi Fadzil berkata, wujud keperluan untuk penyelarasan dilakukan terhadap fungsi dalam jabatan berkenaan pada masa depan bagi memastikan ia selari dengan hasrat Kerajaan Madani.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat pengumuman berkenaan perkara (rombakan dan penyelarasan J-KOM) berkenaan.

“Sebelum isu ini berbangkit memang saya sudah meneliti semula fungsi J-KOM dan melihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas,” katanya.

Katanya, selepas ini, pihaknya akan mengubah modus operandi J-KOM, namun ia akan mengambil sedikit masa dan bergerak lebih positif selepas ini.

Mengenai pendedahan Ismail Yusop pasal Langkah Dubai ,Fahmi Fadzil menjelaskan beliau difahamkan kenyataan itu pada mulanya berasal daripada perbualan daripada Group Whatsapp yang disebarkan.

Sehubungan itu katanya, penyelarasan perlu dibuat bagi mengelak kejadian yang sama berulang semula.-3/1/2024

sanusi-dubai

Sanusi ‘gebang’ pasal Langkah Dubai: Dia ambil boleh….kita tak kan nak marah

Sebagai ahli politik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nampaknya tahu beliau ada point untuk tembak balik pasal gembar gembur isu Langkah Dubai.

Ketika pembangkang dikatakan nampak terperangkap dengan pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Selasa sahkan adanya gerakan itu untuk tumbangkan kerajaan perpaduan,beliau
tidak nampak dimana salahnya langkah itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terus tembak pasal lima Ahli Parlimen PN yang umum sokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gara gara kemelut wang peruntukan untuk kawasan.

“Lima orang (Ahli Parlimen PN) depa sokong (kerajaan) itu tak ada masalah, tak ada siapa complaint. Digambarkan sebagai tindakan yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi (maka) tindakan sebaliknya pun biasa saja.

“Kalau dia boleh ambil lima, kita boleh ambil 10 tak kan nak marah. Kalau sokong dia tak apa, kalau tak sokong dia tak kan tak boleh. Tentulah boleh juga, itu proses biasa dibenarkan Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di Alor Star Rabu.

Lima orang Ahli Parlimen PN yang mengambil tindakan mengejut itu ialah Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin,Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Selepas itu timbul desas desus mengatakan ada sekitar tujuh lagi Ahli Parlimen PN yang akan bertindak sama.

Bagi Sanusi gerakan seperti Langkah Dubai adalah proses demokrasi yang tidak melanggar perlembagaan.

Ini pula,katanya tambahan dengan kelompongan yang ada pada Akta Anti Lompat Parti.

“Saya rasa proses yang dibenarkan oleh undang-undang boleh dijalani (kecuali) yang tidak berperlembagaan itu tak boleh lah. Tapi yang selari dengan Perlembagaan untuk menyatakan sokongan kepada siapa boleh.

Menurut Sanusi ‘Langkah Dubai’ atau apa sahaja panggilan yang diberikan bukanlah permulaan ke arah gerakan itu kerana hal-hal berkaitan telah dibincangkan lebih awal.

“Ada orang kata bukan Langkah Dubai, Langkah Chow Kit saja. Pasal benda itu dibincang di Kuala Lumpur saja pun. Tak payah pergi Dubai. Saya rasa Dubai itu dummy saja. Dulu depa namakan Langkah Sheraton, (sebenarnya) bukan kerana Sheraton itu makan-makan saja. Benda itu berlaku sebelum itu lagi,” katanya.

Serentak dengan itu sama ada beliau gempak atau acah saja itu cuma Sanusi sendiri yang tahu.Beliau mendakwa tahu bila peralihan kuasa akan berlaku.

Katanya beliau yakin kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak boleh bertahan sehingga habis penggal.

“Saya tahu (tarikh) tapi tak boleh beritahu (bila) menerusi peralihan sokongan yang akan berlaku. Secara demokrasinya tidak mustahil akan berlaku dan saya nampak ianya akan terjadi,” katanya.- 3/1/2024

masjidsheikhzayed-1536x1023

Masjid megah hadiah negara UAE kepada Indonesia

SALAH satu perhentian saya ketika kembara melintasi Pulau Jawa Disember 2023 adalah Kota Solo Jawa Tengah. Tempat yang terkenal kerana Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi berasal dari sini.

Ketika melewati pekan Solo, saya minta pemandu untuk ke Masjid Raya Sheikh Zayed yang dikatakan masjid baru termegah di Jawa Tengah.

Masjid ini baru di muka kepada umum pada 1 Mac 2023, merupakan hadiah persahabatan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada rakyat Indonesia yang diberikan melalui Presiden Jokowi.

Dari jauh kita sudah melihat menaranya yang menjulang tinggi, dan petugas-petugas mengarahkan kenderaan ke arah tempat letak kereta yang disediakan. Agak jauh perlu berjalan kaki, pemandu saya yang merupakan orang tempatan tahu jalan lain yang lebih dekat.

Kenderaan kami membelok di antara gerai dan lorong sempit untuk mendapatkan tempat letak kereta yang dekat. Syukur kerana beliau orang tempatan, tahu bahasa dan ‘kode’nya, mudah sahaja dapat tempat parkir.

Ketika kami berjalan ke arah masjid, anak saya, menunjukkan Gereja Sola Gratia yang terletak betul-betul di seberang jalan masjid. Memang masjid sebelah gereja bukan sesuatu yang pelik di Indonesia, Masjid Istiqlal (macam Masjid Negara) di Jakarta juga terletak sebelah menyebelah dengan Gereja Katedral.

Semacam menunjukkan toleransi agama yang kuat bersandarkan falsafah Pancasila negara tersebut.

Untuk masuk ke kawasan masjid, kawalan keselamatan juga ketat, semua beg akan diperiksa, dan perlu masuk ke mesin scan seperti di airport selain pengunjung diberikan plastik hitam untuk meletakkan kasut masing-masing pada tempat disediakan.

Kami sampai kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu Maghrib, jadi ada peluang untuk meninjau dan membaca info-info berkenaan masjid ini di kawasan yang disediakan.

Jangan terkejut masjid ini merupakan replika Masjid Agung Sheikh Zayed di Abu Dhabi, ia ditiru sebiji dengan masjid asalnya tapi dengan keluasan yang lebih kecil.

Masjid ini mempunyai empat menara yang menjulang tinggi, satu kubah utama, dikelilingi oleh kubah kecil, dan hiasan bangunan Timur Tengah.

Binaan masjid ini memang nampak hebat terutama pada bahagian kubah dan lantai. Masjid ini dilengkapi dengan 82 kubah ala Maghribi yang dihiasi marmar putih.

Lantai dan beberapa dinding Masjid Sheikh Zayed di Solo menggunakan marmar Itali. Masjid Sheikh Zayed dibina di dua tingkat, dengan keluasan bangunan masjid utama sekitar 8,000 meter persegi.

Masjid ini dilengkapi dengan bilik VIP, perpustakaan seluas 20 meter persegi dan ruang bawah tanah yang digunakan untuk berwuduk lelaki dan wanita.

Apa yang menarik, masjid ini barangkali satu-satunya masjid yang tidak menyediakan tabung derma.

Ya, Masjid Raya Sheikh Zayed Solo ini tidak menerima sedekah atau infak dari jamaah dalam bentuk apapun. Semua kos untuk pembiayaan bulanan masjid ini disumbangkan oleh kerajaan UAE, termasuk gaji imam, bilal dan semua petugas, selain kos baik pulih.

Selepas solat Maghrib, kami bergambar di sekitar masjid dan meneruskan perjalanan ke Surabaya.

wilko

Lebih banyak syarikat besar dijangka muflis pada 2024

LEBIH banyak konglomerat raksasa antarabangsa dijangka muflis tahun ini berikutan kos pinjaman yang tinggi dan tekanan ke atas perbelanjaan pengguna, menurut pakar insolvensi.

Dalam laporan pada hari Isnin, pentadbir dan pakar penstrukturan semula turut memberi amaran bahawa syarikat seperti firma teknologi mungkin antara mereka yang menghadapi pergolakan kewangan.

Ketua insolvensi PwC David Kelly sebagai berkata sektor pembinaan dan industri perkhidmatan perniagaan menyaksikan hampir satu perlima daripada jumlah kes insolvensi.

Oleh itu, beliau berkata beliau menjangkakan sektor terbabit “kekal terjejas teruk pada 2024”.

Manakala sektor hospitaliti dan peruncitan juga bermasalah berikutan kos tenaga yang lebih tinggi, tekanan ke atas kewangan pengguna dan kos pinjaman.

Kira-kira 17 peratus daripada semua insolvensi datang daripada sektor hospitaliti, dan 14 peratus datang daripada peruncit, katanya.

Ini termasuk kegagalan berprofil tinggi seperti Wilko, yang mempunyai 400 kedai dan menggaji lebih daripada 12,000 pekerja.

Paperchase, Planet Organic dan Le Pain Quotidien juga merupakan antara syarikat yang mengalami insolvensi pada tahun 2023.

Rob Hornby, rakan kongsi dan pengarah urusan AlixPartners, berkata beliau menjangkakan syarikat muflis akan berterusan pada 2024.

“Kami menjangkakan tahun depan menjadi tahun besar untuk insolvensi,” katanya.

“Itu mungkin berlaku secara menyeluruh, baik dari segi geografi dan sektor.”

SALEH

Israel bunuh pemimpin kanan Hamas

TIMBALAN Ketua Hamas terbunuh selepas Israel menyerang pejuang Palestin di Lubnan, pada Selasa, kata kumpulan dan pegawai keselamatan di Lubnan.

Pegawai keselamatan peringkat tinggi memberitahu AFP, Saleh al-Aruri terbunuh bersama pengawal peribadinya dalam serangan oleh Israel yang berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan luar jangka pada 7 Oktober lalu.

Israel sebelum ini mengumumkan pembunuhan komander dan pegawai Hamas di Gaza semasa perang, tetapi Aruri adalah tokoh paling berprofil tinggi untuk dibunuh, dan kematiannya berlaku dalam serangan pertama ke atas ibu negara Lubnan sejak peperangan bermula.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari bagaimanapun, tidak mengulas secara langsung mengenai pembunuhan Aruri tetapi berkata tentera ‘sangat bersedia untuk sebarang situasi’ selepas itu.

Pegawai keselamatan kedua di Lubnan turut mengesahkan maklumat mengenai pembunuhan Aruri.

Media negara Lubnan melaporkan serangan itu berlaku di pejabat Hamas di pinggir selatan Beirut, kubu kuat pergerakan Hizbullah yang disokong Iran Lubnan, sekutu Hamas.

TV Hamas berkata Israel membunuh Aruri di Lubnan, dan media Lubnan berkata seramai tujuh orang terbunuh dalam serangan oleh dron Israel.

Serangan itu menambah kebimbangan serantau mengenai perang yang sudah meletus selama tiga bulan itu akan berpanjangan.

Hamas berkata pembunuhan itu tidak akan membawa kepada kekalahannya, manakala Hizbullah berikrar kematian Aruri tidak akan ‘tidak dihukum’.

Hizbullah menyebutnya ‘serangan serius ke atas Lubnan… dan perkembangan berbahaya semasa perang’.

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengecam pembunuhan itu dan berkata ia ‘bertujuan untuk menarik Lubnan’ lebih jauh ke dalam perang Israel-Hamas.

Serangan pada 7 Oktober mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel terkini.

Pejuang Hamas, yang pergerakannya telah memerintah Semenanjung Gaza sejak 2007, turut mengambil kira-kira 250 tebusan, 129 daripadanya masih dalam tawanan, menurut angka Israel.

padu1

Padu jamin kemudahan kerajaan dinikmati penerima berhak – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Berucap melancarkan PADU di Putrajaya hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan.

“Kita bangunkan sistem negara yang lebih canggih, yang mampu bersaing.

“Perlu tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, banyak kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara,” katanya.

PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Anwar menegaskan penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan maha kaya dan warga asing mendapat manfaatnya.

“Subsidi diberi kerajaan dikira dengan nilai ringgit sekarang cecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki,” katanya.

Anwar berkata keupayaan membina PADU jelas menujukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada konsultan antarabangsa yang melibatkan kos tinggi.ADS

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini berkata PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), di samping kerjasama pelbagai agensi lain.

Sementara itu Anwar meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat yang diidamkan.

“PADU penting, ia menjamin saluran susbidi sampai, dan ia tunjukkan keupayaan serta penyertaan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

“Kaedah PADU memaksa setiap warganegara faham mengenai transformasi digital dan guna sistem PADU, dan ia menunjukkan ada kecelikan budaya dan digital,” katanya yang turut mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar tidak meninggalkan masyarakat miskin bandar, pedalaman dan desa dalam pelaksanaan PADU.

PADU dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sehingga 31 Mac ini bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU itu bermulai hari ini hingga 31 Mac ini. Bernama- 2/1/2024