TAHUKAH ANDA

Jangan politikkan program Malaysia My Second Home

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa program Malaysia My Second Home (MM2H) tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia terbuka kepada penyertaan warga asing dari seluruh dunia.

Beliau berkata, program tersebut bukan hanya tertumpu kepada peserta dari negara tertentu seperti China dan Taiwan, sebaliknya memberi peluang kepada semua individu yang memenuhi syarat untuk memohon.

“Jangan politikkan isu ini, kerana semua warganegara boleh menyertai program ini.

“Kementerian akan terus membuat promosi di negara-negara lain termasuk di Timur Tengah yang mana penyertaannya masih kurang mengalakkan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Perikatan Nasional-Dungun) yang ingin tahu statistik dan jumlah terkini rumah yang telah dijual kepada warga asing melalui MM2H sejak 023 hingga 2025 mengikut kategori negara asal mereka dan jumlah yang telah mendapat kewarganegaraan.

Tambah King Sing, MM2H atau MyPR merupakan pas lawatan sosial jangka panjang yang disertakan dengan kemudahan visa masuk berulang bagi membolehkan warga asing tinggal di Malaysia antara lima hingga 20 tahun.

Program ini menawarkan empat kategori utama iaitu Platinum, Gold dan Silver masing-masing sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui sehingga tamat tempoh kelayakan masing-masing.

“Setakat 31 Disember 2025, seramai 744 peserta MM2H telah membeli rumah di bawah program ini, manakala 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian, termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenal pasti lokasi kediaman yang sesuai.

“Mengikut rekod, pembelian rumah tertinggi melibatkan peserta dari China dengan 304 unit, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), Indonesia (14) dan Jepun (14) dan lain-lain negara,” katanya lagi.

Kerajaan, kata beliau komited memastikan program MM2H terus memberi manfaat kepada ekonomi negara tanpa menjejaskan kepentingan rakyat tempatan bagi menarik pelaburan, menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas kepada Malaysia.-4/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button