‘Sekarang bumbung kita konkrit sukar ditebuk’…- kata Anwar

KUALA LUMPUR – Kalau ada puak yang cuba bawa mulut atau main sentimen kerajaan perpaduan pimpinanya yang baru melangkah usia setahun retak atau boleh digoncang…sila dengar komentar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau gunapakai andaian ‘tebuk atap’ yakni merujuk Sheraton Move pada 2020 yang akibatkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan tumbang menerusi tindakan lompat parti.
“Sekarang bumbung kita konkrit sukar ditebuk, orang yang fikir tebuk atap mentaliti dia bumbung atap.Sekarang Putrajaya tidak ada bumbung atap,” katanya.
Baginya apa jua ‘projek tebuk atap’ yang dirancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berhasil.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) percaya bahawa segala percubaan terdesak oleh pihak pembangkang akan gagal.
“Sekarang bumbung kita konkrit sukar ditebuk, orang yang fikir tebuk atap mentaliti dia bumbung atap.
Beliau kata demikian dalam sesi dialog sempena majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur Ahad.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengenai saranan agar kesemua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bergabung secara rasmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, format sedia ada akan dikekalkan.
Beliau menyifatkan hubungan kerjasama antara PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sangat baik.
“Dalam Jemaah Menteri, belum ada sekali pun pertelagahan atas nama perbezaan parti,” jelasnya.
Sesi dialog tersebut mencatatkan sejarah kerana buat kali pertama Perdana Menteri dan timbalan-timbalannya menjawab segala soalan yang diutarakan secara terus oleh rakyat secara terbuka tanpa sebarang tapisan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kesemua 18 parti dalam Kerajaan Perpadua bukan sahaja berkongsi pendapat dari segi prinsip malam dalam soal pelaksanaan.
Menurut beliau, semua presiden dan wakil parti memberi dukungan penuh kepada Perdana Menteri untuk terus menerajui Kerajaan Madani.
“Malah, dalam setiap mesyuarat, sekretariat telah memberi laporan bahawa jika terdapat perbezaan pandangan di akar umbi, ia bukan pendirian parti tetapi pendapat individu,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, GPS, GRS dan parti-parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa bersama untuk memastikan negara bergerak maju.
“Kita akan fokus untuk mentadbir kerajaan dan negara denganbaik serta memfokuskan kepada pemulihan ekonomi,” jelasnya.-10/12/2023