Kempen ‘no social media’ pelajar sekolah rendah…

Kehadiran macam-macam jenis platform media sosial sekarang ini yang banyak buruk dari baiknya menyebabkan kerajaan akan melaksanakan kempen keselamatan dalam talian di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kempen itu diadakan bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran ibu bapa, guru dan murid sekolah tentang keselamatan dalam talian bagi mengelak golongan itu terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan diadakan kempen kesedaran di sekolah untuk tingkat pemahaman serta kesedaran tentang keselamatan dalam talian bagi ibu bapa, guru dan murid sekolah rendah.
“Kita mahu mereka tidak beri sebarang fokus kepada media sosial, maksudnya no social media pada peringkat sekolah rendah,” katanya.
Bagi peringkat sekolah menengah, Fahmi berkata tumpuan kerajaan ialah pendedahan mengenai kaedah penggunaan Internet dan media sosial dengan selamat.
“Hal ini untuk mengelak daripada menjadi mangsa scam (penipuan dalam talian) dan jenayah lain yang ada dalam talian,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Fahmi berkata terdapat 454 kes penipuan dipercayai menggunakan teknik palsu asli atau deepfake direkodkan sepanjang tahun lepas yang melibatkan kerugian sebanyak RM2.72 juta.-12/1/2025