SUARA PEMBACA

Grok disekat… Kerajaan pertahan ruang digital dari kandungan lucah AI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan tegas dengan menyekat sementara akses kepada Grok, iaitu sistem kecerdasan buatan (AI) milik syarikat Elon Musk, berkuat kuasa Januari 2026.

Langkah drastik ini diambil susulan kegagalan platform tersebut menghalang janaan kandungan lucah, imej seksual eksplisit, serta manipulasi gambar atau deepfake yang melibatkan terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Walaupun pihak SKMM telah mengeluarkan notis amaran kepada X Corp dan xAI LLC supaya meningkatkan sistem keselamatan mereka, maklum balas yang diberikan dianggap tidak memadai untuk mencegah kemudaratan di bawah undang-undang negara.

Menurut peguam dari Tetuan Sharen Alzalip, Dr. Sharen Alzalip, pindaan terbaru pada seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah memberikan “taring” yang lebih tajam kepada pihak berkuasa.

Beliau menekankan bahawa penggunaan istilah “jelik melampau” dalam pindaan tersebut merangkumi rujukan kasar, ucapan kebencian, dan kandungan yang menjatuhkan maruah individu secara melampau.

Beliau menjelaskan bahawa subseksyen (1) secara jelas melarang mana-mana pihak daripada memulakan penghantaran komunikasi yang lucah, palsu, atau mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Beliau turut mengulas bahawa hukuman kini jauh lebih berat bagi memberikan pengajaran kepada masyarakat; jika kesalahan dilakukan terhadap kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, denda boleh mencecah RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun.

Bagi beliau, peruntukan ini menunjukkan kerajaan sangat serius dalam melindungi masyarakat daripada eksploitasi teknologi AI yang tidak terkawal.

Peguam dari firma yang sama, Amer Haiqal, pula memberikan ulasan mengenai tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh penyedia platform AI itu sendiri.

Beliau menegaskan bahawa di bawah seksyen 233(4), undang-undang Malaysia tidak hanya menyasarkan individu yang mencipta kandungan, tetapi juga pihak yang “membenarkan” perkhidmatan di bawah kawalan mereka digunakan untuk aktiviti haram.

Menurut beliau, di bawah subseksyen (4)(b), syarikat seperti xAI LLC wajib bertanggungjawab sekiranya mereka membiarkan teknologi mereka digunakan untuk menghasilkan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Beliau berpendapat bahawa kegagalan syarikat untuk meletakkan “pagar keselamatan” atau penapis teknikal yang berkesan boleh menyebabkan mereka berdepan denda yang sangat tinggi, iaitu sehingga RM1 juta mengikut subseksyen (5).

Beliau menyifatkan sekatan SKMM ini sebagai satu langkah pencegahan yang sangat wajar bagi memastikan syarikat teknologi gergasi luar negara tidak mengabaikan undang-undang domestik demi mengejar kemajuan teknologi semata-mata.

Penguatkuasaan seksyen 233 (1) dan (4) ini membuktikan bahawa kedaulatan undang-undang Malaysia adalah mutlak dan perlu dipatuhi oleh semua pihak, termasuk pemain industri teknologi global.

Langkah menyekat Grok ini adalah isyarat jelas bahawa internet di Malaysia mestilah kekal sebagai ruang yang selamat, bersih, dan terlindungi daripada sebarang bentuk ancaman digital yang melampaui batas norma dan nilai masyarakat kita.-14/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button