FOKUS

Amaran keras Mohamad Hasan dalam ucapan menyengat di perasmian perhimpunan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan jangan sangka kerana kini mereka berada dalam satu kabinet UMNO sudah tumpul taringnya.

Serentak dengan itu beliau juga meningatkan jangan sesekali langgar tiga ‘Garis Merah’ yakni Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera,kesucian agama slam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan
segala kekuatan yang ada.

“Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,”katanya.

Beliau yang juga Menteri Luar menegaskan demikian dalam ucapan merasmikan serentak perhimpunan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO di WTC ,Kuala Lumpur Rabu malam.

Mohamad Hasan kata jangan sangka kerana UMNO mahu kestabilan politik ia akan pejam mata bila asas negara diganggu.

“UMNO tidak akan diam membisu.Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini,”ujarnya.

“Ramai di luar sana, malah mungkin ada yang berbisik di dalam dewan ini, yang ragu-ragu. Mereka bertanya: “Tok Mat, UMNO berani cakap saja, tapi dalam kerajaan UMNO diam membisu ke?”

“Atau lebih pedih, ada yang menuduh kita ini “Pak Turut” yang boleh dibuli dan dicucuk hidung. Malam ini saya mahu matikan persepsi itu. Saya mahu buktikan bahawa prinsip yang saya sebutkan tadi sedang dan telah pun kita terjemahkan menjadi perisai ampuh dalam Kabinet.

“Dengar sini baik-baik.Jangan siapa-siapa ingat UMNO ini “melukut di tepi gantang”.UMNO adalah penyemak imbang (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.

“Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja.

Mohamad Hasan berkata lagi “dalam kita berbicara soal strategi, kuasa, dan kelangsungan parti, ada satu perkara yang wajib dipahat kemas dalam sanubari setiap ahli dan pemimpin UMNO.Kerjasama politik, sama ada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, atau apa jua bentuk pakatan masa hadapan, bukanlah tiket percuma untuk mana-mana pihak untuk melunakkan prinsip asal kita.

“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras, dan tuntas, khususnya kepada golongan berhaluan kiri,kelompok liberal, atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh: Jangan sesekali cabar Garis Merah (Red Line) ini.

Menurutnya ini bukan isu rasisme sebaliknya ini adalah asas Perlembagaan dan Kontrak Sosial yang telah membina negara ini.

“UMNO tidak dibentuk untuk menjadi apologetik dalam mempertahankan hak bangsa.Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza, perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak keistimewaan ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu.

“Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa.” – 14/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button