
Bekas Penglima Tentera Darat yang disiasat kes perolehan tender mohon bersara…
Terdapat perkembangan baru berkaitan bekas Penglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang kini sedang ditahan reman seminggu untuk siasatan kes perolehan tender Tentera Darat.
Beliau sudah menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera, bermula 1 Januari lalu.
Hafizuddeain sepatutnya dilantik sebagai Penglima Angkatan Tentera (PAT) yang baru.
Pelantikan Hafizuddeain sebagai PAT diputuskan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang berlangsung pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Pada 31 Disember lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin mengumumkan pelantikan Hafizuddeain sebagai PAT ditangguhkan.
Penangguhan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM keatas Hafizuddeain berkaitan kes perolehan tender.
Hafizuddeain juga telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau selesai.
Pada 8 Januari Hafizuddeain dan dua isterinya dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya bagi proses permohonan reman.

Hasrat Hafizuddeain untuk bersara awal dimaklum oleh Khaled hari ini.
Kata Menteri Pertahanan itu,”saya ingin memaklumkan sudah menerima surat daripada peguam Muhammad Hafizuddeain yang kini sedang bercuti dan memaklumkan hasratnya untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Darat bermula 1 Januari tahun ini.
“Maka dengan permohonan untuk bersara awal ini, ia membolehkan kita memulakan proses untuk mencari pengganti kerana seperti kita sedia maklum, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini sudah membuat keputusan untuk beliau menjadi PAT.
“Tetapi keputusan (majlis) ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi dan keputusan untuk menjawat jawatan PAT sepatutnya pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan serta ditangguhkan. Maka dengan pengumumannya untuk bersara awal bermula 1 Januari, jawatan PAT itu kosong,” katanya.
Khaled menjelaskan, antara alasan Hafizuddeain memutuskan untuk bersara adalah bagi membolehkan ATM memulakan proses melantik PAT yang baru.
“Sekarang posisi (jawatan) itu dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, jadi proses untuk memulakan pencarian PAT akan dilakukan sebelum kelulusan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.-12/1/2026



