
Larangan akses media sosial lindungi kesejahteraan kanak-kanak
Pelaksanaan larangan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun wajar dipertimbangkan secara serius sebagai mekanisme perlindungan awal kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak.
Pensyarah Akademik Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Khairunnisa Asri berkata langkah tersebut penting memandangkan individu dalam lingkungan usia berkenaan masih berada dalam fasa membina kawalan diri, kematangan emosi serta identiti sosial.
Katanya, pendedahan kepada media sosial tanpa kawalan boleh meningkatkan risiko ketagihan skrin, buli siber dan tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak.
“Dari sudut pendidikan awal, persekitaran yang selamat dan terkawal amat penting bagi menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
“Saya berpandangan bahawa larangan menyeluruh ini lebih membawa manfaat, khususnya sebagai langkah perlindungan awal perkembangan emosi, sosial dan kognitif kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa literasi digital dan keselamatan dalam talian perlu diajar secara berperingkat serta disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak, selari dengan pelaksanaan dasar larangan media sosial berkenaan.
Menurutnya, literasi digital bukan sekadar melibatkan kemahiran teknikal, sebaliknya merangkumi pemahaman etika digital, keselamatan diri serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
“Selaras dengan Kurikulum Prasekolah 2026, pendidikan digital di peringkat prasekolah menekankan pembelajaran berasaskan penerokaan, permainan dan pengalaman bermakna,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa literasi digital boleh terus diperkukuh melalui penerapan kemahiran berfikir aras tinggi, pemikiran kritis serta etika penggunaan teknologi.
“Seiring dengan itu, institusi latihan guru seperti IPG berperanan melahirkan guru yang celik digital menerusi pendedahan kepada pendekatan pembelajaran digital, termasuk gamifikasi dan kecerdasan buatan (AI) agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan selari dengan kehendak kurikulum serta keperluan pendidikan abad ke-21,” jelasnya.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, beliau berkata pelaksanaan larangan menyeluruh penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun sememangnya mencabar, memandangkan akses kepada peranti digital semakin meluas.
“Bagaimanapun, dasar ini masih penting sebagai satu garis panduan nasional yang jelas dalam usaha melindungi kesejahteraan kanak-kanak.
“Dalam konteks pendidikan, Kurikulum Prasekolah 2026 menyediakan asas yang kukuh bagi menyokong pelaksanaan dasar ini kerana menetapkan hala tuju penggunaan teknologi digital secara terkawal dan berfokuskan pembelajaran.
“Ini membolehkan sekolah terus melaksanakan pembelajaran digital tanpa bergantung kepada media sosial sebagai medium utama,” jelasnya.
Beliau memberitahu, keberkesanan penguatkuasaan dasar tersebut amat bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan pendidik.
“Ibu bapa berperanan dalam pemantauan di rumah, manakala sekolah bertindak sebagai agen pendidikan literasi digital. Dalam hal ini, latihan guru melalui IPG memastikan pendidik memahami batas, peranan dan potensi teknologi digital dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Larangan ini boleh dikuatkuasakan secara berperingkat dan realistik sekiranya disokong kurikulum yang jelas, pendidikan berterusan serta komitmen bersama semua pihak,” katanya lagi.
Untuk rekod, beberapa negara di dunia melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun. Di Malaysia, perbincangan mengenai cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas kini memasuki fasa lebih serius dengan tumpuan aspek teknikal serta mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan.-19/1/2026



