
Kerajaan MADANI peruntuk RM15 bilion bantu rakyat… tertinggi dalam sejarah Malaysia
Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 mula disalurkan hari ini melibatkan 5 juta penerima, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kelayakan masing‑masing.
Menurut Anwar, penambahbaikan STR tahun ini diselaraskan bersama pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan golongan berpendapatan rendah menerima bantuan yang lebih konsisten dalam memenuhi keperluan asas.
“STR disediakan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan bagi memberi ruang kewangan pada waktu puncak seperti musim perayaan, manakala SARA berfungsi sebagai sokongan asas bulanan yang stabil,” katanya menerusi kenyataan di akaun media sosial rasmi beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata, usaha itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat dapat hidup bermaruah dan tidak terpinggir dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” kata beliau.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengatakan peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
“Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
“Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan tersebut.
Bagi mengurangkan risiko keciciran, MOF menjelaskan, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan.
“Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.
“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, termasuk kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“MOF mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” kata.-20/1/2026



