TAHUKAH ANDA

RON95: MPPN sokong KPDN… Langkah perkukuh perlindungan subsidi untuk rakyat Malaysia

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan rangka undang-undang baharu bagi menguatkuasakan larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing.

Dalam kenyataan media pada Khamis, Pengerusi MPPN, Mohd Khair bin Ngadiron menegaskan langkah tersebut merupakan asas penting memastikan subsidi petrol yang diperuntukkan kerajaan disalurkan secara adil kepada rakyat Malaysia.

“Subsidi RON95 adalah bentuk perlindungan kerajaan terhadap rakyat. Kita tidak mahu rakyat Malaysia menanggung beban apabila subsidi ini disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak,” katanya.

Beliau menjelaskan, peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A hanya membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak yang menjual RON95 kepada kenderaan asing, tetapi tidak menyentuh aspek pembelian itu sendiri.

Justeru, cadangan menggubal peruntukan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang merangkumi larangan terhadap pembelian dan penjualan dilihat sebagai penambahbaikan strategik.

“Ketirisan subsidi bukan sekadar membazirkan sumber awam, malah memberi tekanan kepada fiskal negara yang akhirnya menjejaskan keupayaan kerajaan melindungi pengguna domestik. Ini isu keadilan sosial yang perlu ditangani secara komprehensif,” tegas beliau.

Mohd Khair turut menekankan tiga risiko utama sekiranya kawalan terhadap penyaluran subsidi tidak diperkukuh, iaitu: ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak, serta beban fiskal yang akhirnya memberi kesan buruk kepada pengguna tempatan.

Sebagai badan penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN berkomitmen menyokong dasar yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi, dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Mohd Khair turut menggesa kerjasama penuh daripada pengusaha stesen minyak dan orang ramai bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar.

“Kita mahu pasaran petrol kekal adil, telus dan mampan. Sokongan semua pihak amat penting demi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada yang berhak,” tambahnya.

Langkah KPDN ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat dengan penggunaan teknologi pengesanan pendaftaran kenderaan di stesen minyak sebagai mekanisme penguatkuasaan utama.-30/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button