
Penyakit jantung kekal punca utama kematian negara
Penyakit jantung kekal menjadi penyumbang kepada punca utama kematian di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan secara purata, penyakit jantung menyumbang kepada 13 peratus daripada keseluruhan kematian dalam negara.
Jelasnya, saringan awal amat penting sebagai langkah pencegahan bagi membolehkan pengesanan awal penyakit tersebut.
“Bila kita lakukan saringan untuk mengesan penyakit jantung lebih awal, kita akan dapat rendahkan kadar kematian dan risiko serangan jantung.
“Lebih mustahak daripada itu adalah penekanan kepada literasi ataupun kecelikan kesihatan, pengetahuan tentang kesihatan jantung. Itu yang paling mustahak kalau berlaku sakit dada, kita terus dapat rawatan.
“Tapi yang di sini adalah saringan awal, langkah pencegahan dan juga kita nak lakukan promosi terhadap penjagaan kesihatan yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung RHB-IJN di Kompleks RHB, di sini.
Mengulas mengenai pelancaran Unit Bergerak RHB-IJN yang diadakan hari ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly berpandangan kolaboratif awam-swasta seumpama itu berupaya meningkatkan kebolehcapaian fasiliti kesihatan kepada masyarakat.
Menerusi kolaboratif itu, Kumpulan Perbankan RHB membekalkan unit ‘Prime Mover’, manakala IJN akan menyediakan unit saringan atau ‘screening trailer’ yang dilengkapi peralatan diagnostik jantung yang canggih.
Kemudahan Elektrokardiogram (ECG) dan Ekokardiografi (ECHO) kini boleh diakses secara percuma oleh masyarakat luar bandar yang mungkin sukar untuk ke hospital pakar.
Unit Bergerak RHB-IJN tersebut beroperasi di 12 lokasi setahun, dengan jangkaan bakal memberi manfaat kepada 4,000 individu.
Data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemia meragut sebanyak 17,421 nyawa dalam tempoh setahun.-30/1/2026



