
SPRM cadang kuasa Datuk Bandar Kuala Lumpur dihadkan
Buat julung kali, kuasa eksekutif Datuk Bandar Kuala Lumpur akan dihadkan sebagai sebahagian usaha penambahbaikan tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pengurusan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri turut diperketatkan bagi meningkatkan tahap ketelusan serta integriti.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, sebanyak 20 cadangan penambahbaikan telah dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, baru-baru ini.
Antara cadangan utama ialah penetapan ‘Limits of Authority’ (LOA) khusus bagi jawatan Datuk Bandar, ketua jabatan serta Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi.
LOA berkenaan menetapkan jumlah maksimum peruntukan yang boleh diluluskan bagi setiap peringkat, sekali gus bertujuan meningkatkan ketelusan dan keberkesanan tadbir urus.
Menurut Azmi, SPRM turut memberi tumpuan terhadap isu berkaitan pengurusan dan pengagihan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Justeru, katanya, SOP bagi bazar perayaan akan diperketatkan dengan merangkumi aspek seperti kadar kompaun serta proses pembatalan lesen.
Mengulas lanjut, Azmi berkata SPRM melihat komitmen dan tekad Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, bersama agensi di bawah kementeriannya sebagai amat baik serta tepat pada masanya.
“SPRM memuji langkah proaktif pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL dalam memeterai satu Nota Kerjasama bersama SPRM.
“Usaha ini merupakan manifestasi kesungguhan mereka untuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan tahap integriti serta tatakelola pada masa akan datang,” katanya.
Cadangan bagi mengehadkan kuasa eksekutif Datuk Bandar serta pelaksanaan SOP khusus untuk bazar perayaan itu akan direalisasikan menerusi pemeteraian Nota Kerjasama antara SPRM dan Jabatan Wilayah Persekutuan, esok.
Majlis berkenaan dijangka dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
SPRM percaya kerjasama strategik itu akan menjadi landasan penting dalam memastikan pentadbiran bandar raya yang lebih telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.-3/2/2026



