FOKUS

Kedudukan Hamzah dalam BERSATU umpama telur dihujung tanduk…

Nampaknya kusut dalam BERSATU semakin rumit apabila Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipanggil sekali lagi menghadap Lembaga Disiplin berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, dijadual memberi keterangan pada jam 12 tengah hari Khamis ini di Ibu Pejabat BERSATU, menurut Notis Panggilan kali kedua bertarikh 6 Februari yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan.

Surat itu menyatakan terdapat empat aduan disiplin terhadap Ahli Parlimen Larut, termasuk kegagalan menghalang pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej BERSATU.

Hamzah turut didakwa berunding dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat, termasuk isu Majlis Eksekutif PN yang ditolak Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Beliau juga dikaitkan dengan kenyataan bahawa dirinya tidak dijemput ke mesyuarat presiden PN pada 28 Januari lalu, yang dianggap mencalar imej Muhyiddin.

Ketegangan semakin memuncak apabila dua pemimpin Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah dan Datuk Harisson Hassan, mendesak siasatan penuh terhadap Hamzah, malah menuntut beliau dipecat jika terbukti menjadi punca krisis. Rafiq turut menggesa Hamzah berundur, namun penganalisis politik berpendapat Timbalan Pengerusi PN itu tidak akan tunduk, sebaliknya menunggu tindakan rasmi parti.

Walaupun Hamzah menafikan wujud dua kem dalam BERSATU dan menolak dakwaan hubungan tegang dengan Muhyiddin, beliau terus dikaitkan dengan usaha melemahkan kepimpinan parti. Dakwaan itu semakin hangat selepas pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Krisis ini menandakan pertembungan besar dalam Bersatu, dengan Hamzah kini berada di bawah pemantauan Lembaga Disiplin—dan masa depan politiknya dalam parti bakal ditentukan dalam sesi keterangan Khamis ini.-9/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button