
Isu dakwaan pasal saham Azam Baki…kerajaan tubuh Jawatankuasa Khas siasat
Isu berkaitan dakwaan yang cuba cetuskan keraguan berkaitan pemilikan saham dalam sebuah syarikat kewangan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka akan terjawab secara tuntas tidak lama lagi.
.
Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat telah membincangkan isu itu yang cukup hangat kebelakangan ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil kata kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam Baki.
Beliau memberitahu sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jawatankuasa khas itu akan akan menyiasat dakwaan, perkara yang dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebaik siasatan yang diketuai Ketua Setiausaha Negara itu selesai, laporannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan.
Beliau berkata, ia adalah untuk memastikan aspek ketelusan serta integriti dalam proses siasatan.
Ditanya mengenai gesaan beberapa Ahli Parlimen PKR termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya Azam Baki digantung tugas serta-merta, Fahmi berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Apa yang Jemaah Menteri putuskan ialah supaya satu jawatankuasa khas dipengerusikan KSN melakukan siasatan, maka kita akan rujuk dan serahkan kepada KSN serta jawatankuasa untuk meneliti,” katanya.
Kehangatan isu berkenaan timbul gara-gara laporan media antarabangsa Bloomberg baru-baru ini mendakwa Azam Baki memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.
Susulan itu, Azam Baki, menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.
Sementara itu Perdana Menteri ketika ditemui wartawan selepas menunaikan sembahyang Jumaat di surau Pusat Islam, Jabatan Pengajian Islam, Politeknik Shah Alam kata Jawatankuasa Khas harus dibiarkan siasat dan kajio kes itu dulu.
“Kena tahu dulu apakah serius, apakah ada asas, baru kita maju (untuk tindakan selanjutnya).
“Jangan oleh kerana kita menjadi mangsa (siasatan SPRM), tertekan, terus nak guna (isu) ini untuk tekan (Azam), baru pagi tadi kita bincang (isu ini),”kata Anwar.- 13/2/2026



