
Akhirnya…Hamzah Zainuddin dipecat dari BERSATU
Setelah ding dong sekian lama mengenai kemungkinan Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin hendak dipecat dari parti itu…kini ia sudah menjadi kenyataan.
Tindakan berkenaan yang sudah pasti mengoncang lagi parti berkenaan dimaklum oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Radzi Manan menerusi satu notis yang dikeluarkan hari ini.
Katanya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat lembaga berkenaan Khamis semalam.
Menurutnya didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
Tanpa menyebut kesalahan khsus Hamzah…beliau kata Ahli Parlimen Larut itu boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.
Hamzah kini berada di Sydney,Australia kerana membantu anak perempuannya mendaftar kemasukan ke sebuah universiti di sana.
Beliau juga adalah Ketua Pembangkang di Parlimen.
Dalam pada itu selain Hamzah…. empat lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama selepas didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.
Menurut notis berasingan yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Mohd Radzi Manan pada Jumaat, mereka yang berkenaan ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.
Turut dikenakan tindakan pemecatan ialah Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini hanya digantung keahlian.
Dalam notis itu, Mohd Radzi berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas pihaknya bersidang pada Khamis.
Katanya, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa keempat-empat individu terbabit telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan seramai 16 Ahli Parlimen dari BERSATU telah buat kenyataan bersama mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
Mereka terdiri daripada Zikri Hassan (Kangar), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Selain itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ( Tasek Gelugor), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Abdul Khalib Abdullah
(Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Islahuddin Abas (Mersing).
Menerusi kenyataan media bersama yang ditandatangani kesemua Ahli Parlimen berkenaan, mereka menyokong kenyataan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang mendesak supaya Muhyiddin segera meletak jawatan sebagai presiden parti.
“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan.
“Kami yakin Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu menjadi pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda BERSATU kepada perjuangan agenda rakyat dan negara, serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” katanya.- 13/2/2026



