YANG VIRAL

Rafizi dakwa dapat maklumat ‘sumber dalaman’ rumahnya hendak diserbu SPRM…Azam Baki nafi

Siapa gempak siapa?…inilah yang menjadi tandatanya bila timbul al-kisahnya konon SPRM hendak buat serbuan keatas rumah bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ia dikatakan gara-gara laporan yang dakwa SPRM hendak buat siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.1 bilion membabitkan seorang menteri kanan.

Sedangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM setakat ini belum lagi membuka sebarang kertas siasatan berhubung hal berkenaan.

Katanya SPRM masih meneliti dokumen yang diserahkan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat aduan berhubung perkara itu dan menyerahkan sejumlah dokumen.

“Saya berpegang kepada kenyataan timbalan saya sendiri (Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya) yang menyatakan pegawai penyiasat sedang meneliti dokumen itu. “Jadi kenapa ada dakwaan serbuan terhadap individu tertentu (Rafizi) akan dijalankan,” katanya.

Awal hari ini, Ahmad Khusairi dilaporkan berkata SPRM masih meneliti dokumen yang diserahkan oleh NGO terbabit sebelum membuat keputusan sama ada kertas siasatan akan dibuka.

Mengulas lanjut, Azam Baki berkata setiap siasatan yang dijalankan SPRM berpegang kepada prinsip ketelusan dan undang-undang negara.

Rafizi dalam sidang media mendakwa “sumber dalamannya” dalam SPRM memberi maklumat bahawa suruhanjaya itu mungkin melakukan serbuan terhadap dirinya hari ini, susulan laporan yang mendakwa berlaku penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion sewaktu tempoh perkhidmatannya sebagai menteri.

Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa beliau tidak asing dengan taktik intimidasi.

Sambil berseloroh, Rafizi berkata beliau juga telah meminta isterinya mengemas rumah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serbuan SPRM.

“Saya pun dah pastikan bahawa pakaian dalam saya semua yang cantik-cantik lepas ini. Korang tak pernah masuk lokap, korang tak tahu,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM ada menghubunginya, bekas menteri ekonomi itu berkata tiada sebarang komunikasi berlaku, namun sekali lagi beliau berseloroh:”then again you have to take my answer with pinch of salt sebab saya tak angkat phone. Saya rasa, saya takada WhatsApp saya tak angkat phone jadi saya antara manusia yang paling susah untuk dihubungi di Malaysia.”

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan serbuan itu, Rafizi beliau tidak tahu bila atau bagaimana, tetapi beliau telah dimaklumkan.

“Kita semua ada kawan… Kita ada kawan di mana-mana. Malah dalam SPRM dan polis pun, ada orang yang bersimpati. Jadi saya dimaklumkan supaya bersedia.”

Mendakwa beliau tidak mempunyai masalah untuk menyarung semula pakaian lokap, Rafizi berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan semula tindakan mengaitkan dirinya dengan perjanjian Malaysia bersama firma reka bentuk semikonduktor yang berpangkalan di UK, Arm Holdings, sambil memberi amaran bahawa ia pasti akan memakan diri.

“Kerana ia pasti akan menjadi berita di seluruh dunia. Kali terakhir mereka buat begitu adalah ketika era 1MDB. Ia menjadi berita antarabangsa. Jadi sekarang ini lagi lah kerana dakwaan itu ialah berhubung dengan perjanjian kerajaan Malaysia dengan syarikat antarabangsa,” katanya.

Menjelaskan bahawa perkara berkaitan Arm Holdings itu telah melalui kabinet dan dana tersebut berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri — bukannya Kementerian Ekonomi yang diterajuinya — Rafizi menyifatkan sebarang cubaan untuk mengaitkan dirinya sebagai “tindakan yang tidak masuk akal.” – 13/2/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button