Apa jadi kes Allahyarham Tun Daim?

Tandatanya timbul bagaimana kedudukan kes Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang sudah dibawa ke mahkamah ekoran kematian bekas Menteri Kewangan itu pada pagi Rabu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki tidak dapat memberi sebarang kepastian buat masa ini.
Beliau beritahu media urusan SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat.
Menurutnya, SPRM akan mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan seterusnya akan diputuskan oleh pihak terbabit.
“Kami akan membincangkan dengan pihak TPR mengenai bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan.
Azam menduga perkara itu kemungkinan akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu dan SPRM akan memberikan kemas kini sebaik keputusan dibuat.
Kebelakangan ini Daim berdepan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada 29 Januari lalu Allahyarham telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.
Sebelum itu pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya yang terletak tidak jauh dari KLCC.
Isterinya Puan Seri Na’imah turut didakwa di mahkamah atas dakwaan serupa, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri mendakwa beliau memiliki tunggakan cukai berjumlah RM313 juta.
Isteri pertama beliau Allahyarham Puan Seri Mahani meninggal dunia pada 22 Januari 2023.- 13/11/2024