
KEMASKINI : Kes rasuah RM64,924 pula…Shamsul Iskandar dan Albert Tei juga mengaku tak bersalah
Setelah didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala LUmpur semalam…hari ini bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei didakwa atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Kes melibatkan rasuah berjumlah RM64,924.
Shamsul Iskandar,51 dituduh menerima manakala Albert Tei.37 pula memberi rasuah berkenaan.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Albert Tei.
Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Albert Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Country Heights, Kajang, Selangor antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Albert Tei pula didakwa memberi suapan dalam bentuk wang tunai bernilai RM64,924 kepada Shamsul Iskandar. Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan, memohon jaminan RM150,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM terdekat selain tidak mengganggu saksi hingga kes selesai seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Sementara Albert Tei dibenar dengan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin.
Semalam, Shamsul Iskandar dan Albert Tei, dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka yang menghadapi empat pertuduhan rasuah sebanyak RM176,829.03, selesai membayar wang ikat jamin masing-masing sebanyak RM150,000 dan RM70,000 di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.- 5/12/2025
Jika bersalah…Shamsul Iskandar boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atas dakwaan terima rasuah dari ahli perniagaan Albert Tei jika didapati bersalah.
Dibawah hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM itu dia juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur pada pagi Khamis atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas keempat-empat tuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Dia yang memakai baju batik warna cerah dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika prosiding dan hanya menjawab “Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara”.
Bagi tuduhan pertama, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei,37 sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Ia dengan membantu syarikat yang Jiann Cheing (Albert Tei)mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta, YTL Majestic Hotel, No 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di Kuala Lumpur pada 24 November 2023.
Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Jiann Cheing bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di Kuala Lumpur, pada 29 Januari 2024.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.
Bagi keempat-empat tuduhan itu, Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen yang berkenaan juga Albert Tei didakwa terhadap empat tuduhan memberi suapan RM176,829.03 iaitu wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM36,829 kepada Shamsul Iskandar.
Semua tuduhan yang dikenakan itu adalah berhubung kelulusan bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert Tei bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas kesemua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan pada 2023 dan 2024.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan,” katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Sementara itu bercakap kepada para wartawan di luar mahkamah Shamsul Iskandar kata “InsyaAllah , saya akan buktikan saya tidak bersalah dan mengikut jalur hukum serta proses mahkamah.”
Pada masa sama, dia turut menghargai sokongan yang diberikan oleh peguam dan rakan-rakan yang turut hadir ke mahkamah.
“Saya ucap terima kasih kepada barisan peguam dan sahabat-sahabat yang hadir hari ini yang turut bersolidariti dan mendoakan.
“Sejak dari awal, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama kepada SPRM terutama untuk menyelesaikan siasatan dan insya-Allah membersihkan nama.
“Saya minta kepada semua kawan-kawan untuk terus berdoa. Mudah-mudahan kebenaran akan dicapai,” katanya.
Peguam Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan, prosiding pada hari ini berjalan mengikut aturan ditetapkan dengan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu telah diberi ikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin.
Beliau berkata, anak guamnya pada setiap masa telah mengekalkan prinsip bahawa beliau tidak bersalah terhadap semua dakwaan.
Amer Hamzah turut percaya bahawa proses undang-undang akan berjalan sebaik-baiknya. – 4/12/2025
Shamsul Iskandar dan Albert Tei akan didakwa di mahkamah esok…
Kes bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei akan masuk mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kata dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini kedua mereka akan didakwa bawah Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima rasuah.
Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok,Khamis dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
SPRM telah buat siasatan keatas mereka ekoran dakwaan Albert Tei dia beri Shamsul Iskandar wang tunai dan pelbagai pembelian bernilai lebih RM600,000.
Di mahkamah Kuala Lumpur mereka berdepan empat pertuduhan manakala di Shah Alam satu.
Sementara Sofia Rini Buyong, wanita yang muncul dalam klip video disebar Albert Tei baru ini pula tidak akan dituduh di mahkamah kerana dia diklafikasikan semula sebagai saksi SPRM dalam kes itu.
Shamsul Iskandar dan Albert Tei ditahan SPRM Jumaat lalu dan direman enam hari.
Sofia Rini pula sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Waktu mereka ditahan Azam Baki beritahu siasatan kes ini akan diselesaikan segera. 3/12/2025
KEMASKINI : Shamsul Iskandar – Albert Tei – Sofia Rini ditahan SPRM
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin,ahli perniagaan Albert Tei dan seorang wanita, Sofia Rini Buyong ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes panas dakwaan pemberian wang.
Shamsul Iskandar ditahan pada jam 12.51 tengah hari Jumaat ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
Albert Tei ditahan di rumahnya pada jam 10.15 pagi Jumaat.
Dia pada asalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember, diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.
Sofia Rini ditahan pada 27 November jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi satu kenyataan petang ini menjelaskan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes berkepentingan awam dan siasatan memperincikannya dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi mana-mana pihak.
“Pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan Sofia Rini direman empat hari hingga 1 Disember 2025.
“Permohonan reman terhadap Albert Tei dan Shamsul Iskandar akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Sabtu,” katanya.
Azam Baki beritahu Albert Tei adalah individu paling penting bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat untuk menafikan haknya berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain sepanjang proses tertentu siasatan.
Beliau menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan adil mengikut undang-undang.
“Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.
Jelasnya, semua pihak diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan dakwaan Tei kononnya beliau menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan wang yang disalur kepada beberapa ahli politik di Sabah untuk bantunya dapat lesen cari gali mineral di negeri itu ,dapat diperoleh semula.
Sebelum itu Tei telah membuat pendedahan video yang dirakamnya secara sulit perbualan dengan sebilangan ahli politik Sabah termasuk pasal pemberian wang kepada mereka.
Dia bertindak demikian kerana dakwa kecewa gagal dapat lesen cari gali mineral setelah belanja banyak wang.
Sofia Rini pula didakwa adalah proksi Shamsul Iskandar namun wanita itu telah menafikannya.
Kelmarin Albert Tei telah sebar di media sosial video rakaman perbualannya dengan Sofia Rini yang mengandongi beberapa dakwaan serius.
– 28/11/2025
BERITA SEBELUM INI :
KEMASKINI : SPRM anggap kes Shamsul Iskandar – Albert Tei serius…nak selesai siasatan dalam dua minggu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendak selesaikan siasatan kes melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri ,Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei dalam tempoh dua minggu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor Berita Harian Online pada Khamis sebagai berkata “Kes ini dianggap serius untuk SPRM selesaikan secepat mungkin.”
“Semua individu yang diarah hadir (beri keterangan) perlu memberi kerjasama penuh.
“Saya sudah mengarahkan pegawai menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu,”katanya.
Menurutnya setakat ini tiga indivbidu dikenalipasti untuk hadir beri keterangan.
Azam juga beritahu wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong (yang dikatakan proksi Shamsul Iskandar) sudah datang beri keterangan mulai jam 2 petang hari ini.
Video Sofia Rini dirakam berbual dengan ahli perniagaan Albert Tei disebar di media sosial semalam.
Namun dia telah menafikan menjadi proksi kepada Shamsul Iskandar.
Dalam video yang dimuat naik malam tadi, Sofia Rini mengakui dia ada berjumpa dengan Albert Tei namun mendakwa ahli perniagaan itu sebagai membuat kenyataan palsu dan tohmahan terhadapnya.
Azam kata Shamsul Iskandar akan datang esok,Jumaat kerana sekarang beliau berada di Sabah.
Tei pula akan hadir beri keterangan pada 1 Disember selepas memohon penangguhan akibat masalah teknikal.
Media sebelum ini melaporkan dakwaan Tei kononnya beliau menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan wang yang disalur kepada beberapa ahli politik di Sabah untuk bantunya dapat lesen cari gali mineral di negeri itu ,dapat diperoleh semula.
Turut didedahkan ialah tangkap layar perbualan WhatsApp dan beberapa gambar yang dikatakan menjadi bukti menyokong dakwaan berkenaan.
Kelmarin, Shamsul Iskandar menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan percubaan menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.- 27/11/2025
SPRM akan siasat segera dakwaan ahli perniagaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan segera menyiasat dakwaan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan ,Albet Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Dalam satu kenyataan pada Rabu sebagai reaksi pada isu berkenaan yang berbangkit hingga mendorong Shamsul Iskandar umum letak jawatan petang semalam,Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi .
Ini,katanya,untuk beri ruang kepada agensi berkenaan menjalanan siasatan bagi mengumpul leterangan serta bukti.
“SPRM akan memanggil individu yang membuat dakwaan, Albert Tei, dan individu yang dituduh, Datuk Seri Shamsul Iskandar, dalam masa terdekat bagi mnemberi keterangan.
“Selain itu, SPRM akan memanggil semua pihak lain yang berkaitan bagi tujuan mengumpul bukti yang diperlukan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini berkata SPRM bebas menyiasat sebarang dakwaan yang timbul berkaitan bekas pegawai kanannya itu.
Shamsul Iskandar umum letak jawatan yang disandangnya sejak 23 Disember 2022 menerusi satu kenyataan di media sosialnya petang Selasa semalam.
Menurutnya keputusan tersebut dibuat selepas menyedari terdapat percubaan untuk menyerangnya dan ia boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Albet Tei dikenali sebagai ahli perniaagaan yang heboh membuat pendedahan apa yang didakwanya pemberian wang kepada sebilangan wakil rakyat di Sabah untuk bantunya mendapatkan lesen cari gali mineral di negeri itu.
Dia yang mendakwa kecewa kerana gagal dapatkan lesen itu cuba mendapatkan balik wang pemberian itu dengan membuat pendedahan guna rakaman video kamera tersembunyi dan dokumen semasa mereka berurusan.
Dalam perkembangan terbaru isu ini ahli perniagaan itu dilaporkan media membuat dakwaan ada beri sejumlah wang kepada Shamsul Iskandar.
Ahli perniagaan itu dilaporkan dakwa wang itu diberi setelah dia diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada sebilangan ahli politik di Sabah sebelum tu bagi membantu dapatkan lesen berkenaan.
Dia juga dilaporkan dakwa ada bukti wang tunai bertukar tangan serta dokumen,tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit.- 26/11/2025



