FOKUS

Daim saman Azam Baki…

Tun Daim Zainuddin yang didakwa di mahkamah pada 29 Januari lalu kerana gagal isytihar harta telah saman Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Tuntutan saman itu dibuat kerana antara lain mendakwa tindakan SPRM tidak berlandaskan prosedur.

Beliau maklumkan hal ini ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog ‘Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?’ yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, Khamis malam.

“Saya tak boleh dedahkan maklumat kerana kes itu sudah masuk mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun ia dipercayai berkaitan dengan beberapa kenyataan dibuat Azam Baki serta pendedahan maklumat mengenai kes melibatkan bekas Menteri Kewangan itu.

Sebelum ini pasukan undang-undang mewakili Daim mendakwa Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dihadapi bekas Menteri Kewangan itu dan isu perundangan yang sedang dihadapi.

Mereka berkata, kenyataan berulang Azam mengenai Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis, kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Azam termasuklah kemungkinan memanggil Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah

Katanya, kenyataan itu seolah-olah Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan ‘sumber’ memburukkan lagi keadaan.

Dalam kes Daim didakwa gagal mematuhi notis isytihar harta sebelum ini, bekas menteri kewangan itu diwakili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Azam menegaskan SPRM bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama, jika ada pihak tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kadang-kadang kami (SPRM) tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Kami generasi baharu mungkin tak tahu.

“Betul… saya mungkin hidup pada waktu itu, tetapi saya tak berada dalam sistem ketika itu. (Jadi sekarang) tindakan perlu diambil kerana ia tanggungjawab saya,” katanya.-16/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button