Ini pemandu OKU punya cerita kes dipukul pengiring TMJ….

Pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong yang mendakwa dipukul pengawal pengiring Pemangku Sultan Johor,Tunku Ibrahim petang Jumaat tampil dalam sidang akhbar diatur para peguamnya di pejabat Lawyers for Liberty’s (LFL) di Petaling Jaya.
Ong,46 yang antara lain diapit penasihat LFL yang juga bekas Ketua Persuruhjaya SPRM Latheefa Koya menceritakan kejadian berlaku pada 28 Mei semasa dia sedang menunggu pelanggan dekat lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur.
Semasa dia sedang buka bot keretanya dia sedar ada kerdipan lampu kereta polis dan diminta beredar.
Namun dia meminta untuk tunggu sehingga pelangganya datang.
Dakwanya selepas pelanggannya masuk kereta dan hendak beredar dia terasa ada tangan meluru kearahnya kena pipi kananya.
Dua laporan polis telah dibuat.
Yang pertama mengenai sekitar kejadian.
Ong dakwa laporan polis kedua disediakan oleh polis untuk dia tandatangan.
Dalam laporan kedua itu disebut dia telah selesaikan perkara itu dan tidak mahu memanjangkannya.
Dia dakwa waktu itu ada wakil istana hadir di balai polis.
Ikut laporan media sebelum ini pada waktu itu dia dakwa diberikan RM800 sebagai gantirugi tanda selesai hal itu.
Ditanya bagaimana dia mengenal pasti orang itu berasal dari istana, dia menjawab: “Seorang pegawai polis tulis untuk saya.”
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan memberitahu semua pegawai yang terlibat dalam kes itu akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian pada Selasa itu berdasarkan kepada perkembangan terkini yang diperolehi.
“Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terlibat dapat memberikan keterangan mereka.
“Keutamaan dalam siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka,” katanya.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap pegawai yang didapati bersalah.
Katanya, polis komited untuk memelihara integriti an memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan.- 31/5/2024