PM ziarah jenazah Rozaid dan anggap pemergiannya seperti kehilangan keluarga dan sahabat

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ziarah jenazah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia awal malam Ahad di Masjid Putra Heights di Subang Jaya pagi Isnin.

Perdana Menteri bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga meluangkan masa hampir sejam temui keluarga Allahyarham di situ.
Antara yang turut hadir di masjid itu ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, hampir 100 jemaah menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh imam Masjid Putra Heights Muhammad Ilyas Zulkipli.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan.

Perdana Menteri yang ditemui berkata secara peribadi pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.
“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Di pejabat Perdana Menteri, beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik. Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar, dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya.
Rozaid, 59, yang dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023, meninggal dunia di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya akibat masalah jantung.
Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun, wartawan veteran itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar 6 Ogos lepas.
Berasal dari Pulau Pinang,beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh anak berusia 17 hingga 33 tahun.
Semasa hayatnya Rozaid pernah menjadi wartawan di Utusan dan The Star.
Allahyarham juga pernah jadi Ketua Pengarang Sinar Harian sebelum dilantik Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri. – 19/8/2024