Antara wajah yang mencuri tumpuan awal pagi ini di Istana Kehakiman Putrajaya adalah anak kepada bekas Muryidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Abduh.
Beliau dilihat di luar Istana Kehakiman pada perhimpunan solidariti yang dirancang untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut bekas Ahli Parlimen Bachok itu berkata beliau datang dari Kelantan atas kapasiti peribadinya sendiri.
“Saya di sini atas kapasiti saya sendiri dan saya tertanya-tanya sama ada pimpinan tertinggi PAS yang lain akan hadir,” katanya kepada media di Istana Kehakiman pada Isnin.
Turut kelihatan adalah anak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah.
Menurut akhbar The Star polis bagaimanapun tidak membenarkan Nurulhidayah masuk.
Dia memberitahu akhbar itu bahawa dia berada di sana atas kapasiti peribadinya sendiri dan bahawa dia “kebetulan” di sana.
“Saya ada urusan lain di sini hari ini,” katanya dipetik sebelum beredar.
Zahid sebelum ini memberi amaran bahawa ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan solidariti buat Najib hari ini berbuat demikian atas risiko mereka sendiri.
Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut kelihatan berada di sekitar Istana Kehakiman.
Sementara itu, Menteri besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad memberitahu meida belau akan hadir di Istana Kehakiman Putrajaya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kehadiran beliau ke sana adalah untuk mengetahui sendiri sama ada Titah Adendum yang diperkatakan selama ini wujud atau sebaliknya.
“Siapa nak pi (pergi) silakan, tak mau pi sudah. Saya akan hadir nak tengok adendum itu ada atau tidak. Ada orang kata ada, ada orang kata tak ada, selepas itu kata ada. Kita tengok ada atau tak ada.. sebab itu saya nak pi mahkamah esok.
“Saya rasa esok kes di mahkamah tak ada pun titah Agong yang melarang perhimpunan. Pasai (kenapa) apa depa (mereka) pi konar (pusing) ke situ, siapa yang konar tentulah orang itu ada tujuan tertentu.
“Apa tujuan dia konar? Jadi semua ini akan menjadi persoalan yang berlarutan, sepatutnya telus saja, senang semua orang tahu kerana tiada apa yang perlu ditakutkan, disembunyikan selagi kita benar,” katanya.
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib pagi Isnin berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Ia berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada jam 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.-6/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK