Saturday - 12, July 2025

Dr Akmal hentam Nazri kerana dakwa Pemuda UMNO picisan dalam parti

Share

Tiba-tiba meletop perbalahan antara bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan bekas menteri Datuk Seri Nazri Aziz dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia sekarang ,Datuk Dr Akmal Saleh.

Nazri yang baru sahaja pulang selepas habis kontrak sebagai Duta Besar Malaysia ke Washington telah perkecil peranan Pemuda UMNO sekarang hanya picisan dalam parti dan tidak mewakili rakyat khususnya orang Melayu.

‘Perang’ ini telah membuatkan ada kalangan pemerhati yang merasa seolah UMNO kini dalam mode ‘auto pilot’ dan hilang kawalan.

Nazri berkata demikian bagi mengulas isu garis panduan agama Islam yang lantang disuarakan oleh Dr Akmal.

Dakwanya pandangan Dr Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama UMNO.

“Ada yang tidak bersetuju dengannya tetapi mereka tidak akan menyatakannya secara terbuka.

“Mereka ini majoriti senyap… Tetapi bagi saya, Pemuda UMNO sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu. Jadi, abaikan sahaja mereka,” katanya.

Dr Akmal pada Ahad terus membalas menerusi satu kenyataan.

Beliau menegaskan Pemuda UMNO bukan platform atau alat untuk ahli politik ‘mencari makan’.

Sebaliknya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, sayap parti itu akan terus lantang memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam tanpa perlu ‘menjilat’ mana-mana pihak.

Katanya, perkara itu sudah menjadi tanggungjawab buat Pemuda UMNO untuk menjaga agama dan bangsa berbanding lebih mengutamakan kepentingan sendiri seperti segelintir ahli politik.

“Saya hendak ingatkan bahawa kamu (Datuk Seri Nazri Aziz) kini berada di Malaysia yang bangsa majoritinya adalah bangsa Melayu dan agama Islam adalah Agama Persekutuan. Maka tanggungjawab kami Pemuda UMNO menjaganya dan mempertahankannya.

“Maaf Datuk Seri, kami pemuda bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri.

“Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami. Mana tahu selepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” kata Dr Akmal.- 23/2/2025

Read more

khabar terbaru