TAHUKAH ANDA

Dua orang kuat Aman Palestin hadapi 164 tuduhan di mahkamah

Ada pihak yang mempersoalkan tindakan SPRM membekukan akaun milik Aman Palestin Bhd dan beberapa syarikat lain, membabitkan dana lebih RM15.8 juta pada November lalu.

Bagi mereka tindakan ini menjejaskan usaha Aman Palestin dalam kerja amal mereka untuk bantu warga Palestin.

Pada 31 Jan, Aman Palestin memfailkan cabaran undang-undang terhadap perintah pembekuan SPRM, dan Jabatan Peguam Negara kemudiannya berkata ia akan memfailkan bantahan terhadap permohonan itu.

Pada Khamis tiga termasuk dua orang kuat Aman Palestin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mereka ialah Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58 dan CEO, Awang Suffian Awang Piut, 52 serta pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49 didakwa atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram melibatkan RM39.5 juta.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu kedua-dua pihak bersetuju kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM1 juta.

Separuh daripada jumlah itu akan dibayar kepada mahkamah hari ini dan bakinya perlu dijelaskan sebelum 14 Mac depan.

Anita kemudian menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebulan kes tersebut.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu kepada wang dibelanjakan termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Pelaburan jongkong emas Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria juga disiasat.

Pada November lalu, SPRM mengesahkan membeku 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.-15/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button