Industri padi dan beras negara sekali lagi dilanda kontroversi apabila laporan kajian terbaru oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan aktiviti pencampuran beras import (BPI) dengan beras tempatan (BPT) dalam jualan kepada pengguna. Hasil kajian ini memperlihatkan ketirisan dan kelemahan dalam kawal selia industri beras negara.
Menurut kajian MARDI yang dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024, sebanyak 40 hingga 50 peratus sampel beras putih import yang diuji didapati dicampur dengan beras tempatan sebelum dijual kepada pengguna. Kajian ini dijalankan melalui analisis ke atas 5,000 sampel yang diperoleh daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Laporan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, yang terpaksa berbelanja lebih akibat kekurangan beras tempatan di pasaran. Situasi ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Gantang yang mendakwa bahawa aktiviti ini dilakukan oleh kartel tertentu yang menukarkan bungkusan beras tempatan kepada beras import dan menaikkan harga jualannya secara tidak wajar. Dakwaan ini disokong oleh Menteri Besar Kedah, yang sebelum ini telah beberapa kali membangkitkan isu ini namun dinafikan oleh pihak kementerian berkaitan.
MARDI dalam laporannya menyatakan bahawa aktiviti pencampuran beras ini telah berlaku selama lebih 50 tahun sejak 1970-an, namun sehingga kini tiada peruntukan undang-undang khusus yang menghalang aktiviti tersebut. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah mengumumkan bahawa mereka kini sedang mengkaji kaedah kawalan perundangan terhadap aktiviti pencampuran ini, termasuk cadangan penetapan harga beras campuran bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) tidak bersetuju dengan langkah menjual beras campuran sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan beras tempatan. Menurutnya, bekalan beras tempatan mencukupi, tetapi terdapat kehilangan beras di pasaran yang berpunca daripada amalan penyelewengan dalam industri.
Pendedahan laporan ini telah mencetuskan gesaan daripada pelbagai pihak agar kerajaan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti mencampur dan menukar label beras untuk keuntungan berlebihan. Malah, beberapa pihak berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu menunggu pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) untuk bertindak terhadap mereka yang melanggar etika perdagangan.
Selain itu, laporan ini turut menimbulkan persoalan mengenai kadar zakat fitrah di Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan bahawa sekiranya pendedahan ini terbukti benar, kadar zakat fitrah boleh dikaji semula oleh Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
Antara faktor utama yang mendorong aktiviti pencampuran beras ini adalah harga jualan siling BPT yang masih kekal pada kadar RM2.60/kg sejak tahun 2008, walaupun kos operasi industri semakin meningkat. Oleh itu, pelbagai pihak telah mencadangkan agar kerajaan menaikkan harga jualan siling BPT kepada RM3.20 hingga RM3.50/kg secara berperingkat untuk memastikan keseimbangan pasaran dan mengelakkan ketirisan dalam industri.
Setahun lalu, Perdana Menteri telah memberikan tempoh kepada KPKM dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk memuktamadkan isu berkaitan harga beras, namun sehingga kini masih tiada keputusan konkrit dibuat oleh kerajaan.
Dengan skandal ini yang semakin menonjol, ramai pihak mula mempersoalkan keupayaan kerajaan dalam mengawal selia industri padi dan beras negara. Persoalannya kini, apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap industri ini? Atau adakah skandal ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak pendedahan yang akan menyusul? -10/3/2025 OLEH WAN AZRAIN ADNAN