YANG VIRAL

Akhirnya…Muhyiddin boleh ke Bangkok

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertolak ke Bangkok pada 15 Februari ini setelah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur benarkan beliau mendapatkan semula pasportnya secara sementara.

Pasport bekas Perdana Menteri itu ditahan selepas dia berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Beliau akan berada di ibukota Thailand itu selama lapan hari sehingga 23 Februari.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu hari ini Khamis.

Pada 31 Januari lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya secara sementara untuk ke Bangkok, Thailand atas tujuan menziarahi ahli perniagaan Malaysia di sana.

Beliau juga akan melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam.

Muhyiddin juga berkata diundang melancarkan sebuah restoran masakan Thai bernama Phrigkiao, milik kenalan rapatnya yang juga rakyat Malaysia.

Dalam prosiding hari ini, Azura berkata Muhyiddin tiada risiko untuk meninggalkan Malaysia bagi mengelak perbicaraan mahkamah.

Katanya, walaupun sebab yang dinyatakan Muhyiddin tidak mendesak, mahkamah ada budi bicara yang luas untuk memulangkan semula pasport secara sementara mengikut keadaan.

“Walaupun ada sekatan perjalanan terhadap pemohon, tidak wajar untuk menghalangnya daripada terus menjalani kehidupannya, selagi dia belum disabit bersalah,” katanya kepada peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Nuralis Mat.

Pada 29 Disember tahun lalu, mahkamah sama turut memulangkan sementara pasport Muhyiddin untuk bercuti di London dan membuat pemeriksaan kesihatan di Singapura, namun menolak permohonan agar pasport dipulangkan secara kekal.- 8/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button