Isu sijil halal : Teresa Kok kena tibai ‘keliling pinggang’

Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh,Kuala Lumpur Teresa Kok kena tibai ‘keliling pinggang’ gara gara campuri urusan agama Islam dalam isu cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi DAP dan bekas seorang menteri dilapor menyatakan cadangan berkenaan berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Beliau juga menyifatkan langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Antara yang bersuara tegas menghentamnya ialah Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh,Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon.
Menerusi satu rakaman yang dimuatnaik di TikTok,Dr Akmal yang menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘ nyonya tua’ menegaskan beliau tidak sepatutnya mempersoalkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengannya.
“Saya terbaca hari ini ada nyonya tua menyatakan (iaitu) Teresa Kok ini wajibkan sijil halal akan tambah beban perniaga dan malukan negara.
“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia nak sediakan, bagaimana sumber tu dapat.
“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat, hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.
“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya.
Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka mendakwa Teresa tidak berhenti untuk menganggu-gugat keharmonian.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok,” katanya.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak Teresa Kok untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung hal berkenaan.
“Saya minta Teresa tarik balik, mohon maaf dan kita boleh tutup buku (isu ini). Tapi jika tidak, Pemuda Bersatu akan buat laporan polis di seluruh negara.
“Ini sudah sentuh 3R. Kalau kerajaan tegas dengan pembangkang, (jangan) buat-buat lupa dan buta tentang apa yang Teresa, ahli Parlimen DAP, sudah katakan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata orang Islam adalah kumpulan pengguna terbesar dan memiliki kewajiban untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal.
“Kami juga boleh ke restoran milik Cina, tiada masalah asalkan halal,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil menyifatkan cadangan Jakim itu sebagai positif dan tidak bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya mahupun hak beragama mana-mana golongan.
Justeru, beliau berkata Teresa tidak seharusnya “cepat melatah”, apatah lagi ia masih di peringkat cadangan.
“Seharusnya penyokong kerajaan menggunakan saluran lain yang lebih sesuai untuk nyatakan pandangan…Teresa perlu tarik balik kenyataannya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, jika pelaksanaan dasar itu nanti akan melibatkan peningkatan kos kepada peniaga, kerajaan boleh menawarkan inisiatif khusus bagi meringankannya.
Beliau turut membangkitkan statistik setakat Julai lalu, yang menunjukkan 57.6 peratus daripada 9,146 syarikat yang memiliki sijil halal Jakim adalah syarikat bukan Bumiputera.
“Cadangan ini, jika dilaksanakan, akan mengangkat industri makanan negara ke tahap lebih tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
“Jika tidak, mana mungkin industri halal Malaysia diceburi secara aktif oleh para usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera,” katanya lagi.
Sementara itu Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon dalam satu kenyataan menempelak kenyataan Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal yang didakwa akan membebankan peniaga di Malaysia.
Baginya pendapat bahawa inisiatif itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia bahan ejekan di peringkat antarabangsa adalah tidak tepat.
“Pertama sekali, pensijilan halal merupakan keperluan penting yang memastikan standard kebersihan, keselamatan makanan dan kepatuhan syariah dipatuhi.
“Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga pengguna bukan Islam yang semakin menyedari kualiti yang diiktiraf melalui proses pensijilan ini.
“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada perniagaan tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran lebih luas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya..
Mengulas lanjut, Norsyahrin memaklumkan, pengusaha yang mempunyai sijil halal dilihat lebih kompetitif dan dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya lagi, tindakan mempromosikan pensijilan halal tidak bermakna menjejaskan kepelbagaian budaya Malaysia sebaliknya ia adalah satu cara untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang membentuk majoriti penduduk negara ini.
“Di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebagai peneraju dalam industri halal dan langkah ini akan memperkukuh lagi kedudukan negara sebagai hab halal global yang diiktiraf.
“Pandangan bahawa ia akan menjadikan Malaysia bahan ejekan adalah tidak berasas dan bertentangan dengan realiti perkembangan pasaran halal dunia yang bernilai trilion dolar,” tegas beliau.
Tambahnya, Teresa perlu melihat usaha berkenaan sebagai satu inisiatif yang akan membantu lebih ramai pengusaha, termasuk pengusaha Melayu untuk mengambil peluang dalam industri halal yang berkembang pesat.
Ujar beliau, peniaga kecil juga mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkan pensijilan halal sebagai satu tambah nilai kepada perniagaan masing-masing jika mendapat sokongan sewajarnya.
“Industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada 113.2 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM500.4 bilion pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.
“Oleh itu, kami menegaskan bahawa pensijilan halal seharusnya dilihat sebagai langkah positif, bukan sebagai beban. Ini demi memajukan perniagaan tempatan dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.- 7/9/2024