daim-anak6zzz

KEMASKINI : Tiga anak Tun Daim di luar negara…seorang dalam negeri

Dimana empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin kini berada sudah terjawab.

Tiga dari mereka berada di luar negara manakala seorang dalam negeri.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan rekod, ketiga-tiga mereka dikesan keluar dari Malaysia pada hujung Januari dan awal bulan ini.

Seorang lagi masa ini tiada rekod pergerakan keluar dari negara.

Zakaria enggan dedahkan lokasi sebenar dimana mereka berada memandangkan siasatan dijalankan oleh SPRM.- 28/2/2026

SPRM kesan empat anak Daim Zainuddin…

Ke mana mereka menghilang? Kebiasaan kalau timbul kisah begini sudah tentu semua orang akan buat andaian orang yang dicari tidak dapat temui.

Ini berikutan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beritahu ia sedang mengesan empat anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi membantu siasatan kes.

Mereka ialah Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin serta Muhammed Amin Zainuddin.

Allahyarham Tun Daim meninggal dunia di Assunta Hospital,Petaling Jaya pada 13 November 2024 pada usia 86.

Kenyataan itu tidak beri butiran lanjut sebab mereka sedang dikesan kecuali bagi membantu siasatan kes.

Semasa prosding kes Allahyarham tidak lama dulu Muhammed Amir Zainuddin serta Muhammed Amin Zainuddin kelihatan di mahkamah bersama ibu mereka Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Menurut kenyataan SPRM alamat terakhir Asnida ialah di Country Heights, Kajang; manakala Md Wira Dani pula dengan alamat terakhir di Taman Melawati, Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Tambahnya, Muhammed Amir Zainuddin pula mempunyai alamat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

“Alamat terakhir bagi individu keempat iaitu Muhammed Amin Zainuddin ialah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohamad Daeem Mohd Ali di talian 017-9127217 atau emel kepada mohamad.daeem@sprm.gov.my.

“Pegawai Penyiasat lain ialah Ahmad Aiman Ramly di talian 011-61930814 atau emel kepada ahmad.aiman@sprm.gov.my, Muhamad Ridhwan Mat Hussain di talian 019-9895174 atau emel kepada ridhwan.hussain@sprm.gov.my dan Hardiansyah Ismail di talian 013-5639147 atau emel kepada hardiansyah@sprm.gov.my,” ujarnya.

Pada Januari 2024, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Selain Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak, Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin, Muhammed Amin Zainuddin serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh turut memfailkan permohonan sama menerusi Tetuan Tommy Thomas.- 27/2/2026

baja1

Sinergi Perdana lancar Pek Mini Baja SinerGrow 65 dengan harga mampu milik

Sinergi Perdana Sdn Bhd melancarkan Pek Mini Baja SinerGrow 65 pada harga istimewa RM26 sepeket yang ditawarkan secara eksklusif menerusi platform TikTok Shop.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinergi Perdana, Shazwan Mazly Mazlan berkata, pengenalan saiz mini itu bertujuan memperluaskan akses baja kompaun berkualiti tinggi khususnya kepada pekebun kecil, petani, pengusaha pertanian bandar serta usahawan tani baharu.

Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan input pertanian berkualiti dapat diperoleh dengan mudah dan pada harga berpatutan.

“Pelancaran Pek Mini SinerGrow 65 ini membolehkan lebih ramai pengguna mencuba keberkesanan produk pada saiz lebih praktikal sebelum membuat pembelian dalam kuantiti lebih besar.

Lawatan Shazwan (kanan) ke pusat pengoperasian pembungkusan dan penghantaran baja Sinergrow 65 di Flash Fulfilment, Puncak Alam, Selangor.

“Ia bukan sekadar baja, sebaliknya penyelesaian pintar bagi membantu pertumbuhan tanaman yang optimum,” katanya dalam satu kenyataan.

SinerGrow 65 diformulasikan dengan nutrien makro utama nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) atau NPK yang penting untuk pertumbuhan daun, akar dan penghasilan buah. Produk itu turut mengandungi unsur sekunder bagi memperkukuh struktur serta meningkatkan daya tahan tanaman.

Baja berbentuk granul tersebut mudah digunakan dan sesuai untuk pelbagai jenis tanaman termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman hiasan sama ada di kebun kecil atau dalam pasu.

Dalam pada itu, Shazwan berkata, pendekatan jualan secara eksklusif melalui TikTok Shop adalah selaras dengan strategi transformasi digital syarikat dalam memperluaskan jangkauan pasaran.

“Melalui sesi siaran langsung dan demonstrasi penggunaan produk secara berkala, kami dapat berinteraksi secara terus dengan pelanggan serta memberi penerangan lebih jelas mengenai kelebihan produk,” ujarnya.

Sinergi Perdana merupakan syarikat pengeluar baja milik penuh RISDA Holdings Sdn Bhd dan terus komited menyokong pembangunan sektor pertanian negara dengan menyediakan input pertanian berkualiti pada harga kompetitif di samping mempromosikan amalan pertanian mampan serta inklusif.-27/2/2026

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KUNJUNGI

Ikuti kami untuk kemas kini terkini, promosi eksklusif dan tips pertanian. Untuk maklumat lanjut hubungi talian kami 03-4815 7260 atau emel spenquiry@sinergiperdana.com.my atau lawati laman web Sinergi Perdana

Dapatkan Pek Mini Baja SinerGrow 65 sekarang pada harga RM26 melalui TikTok Shop rasmi @SinerGrow 65. https://www.tiktok.com/@sinergiofficialmy

dap-electionxx

DAP gesa kerajaan tubuh RCI siasat tuduhan terhadap SPRM

DAP antara parti utama yang membentuk kerajaan menggesa supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dan ketuanya menjadi tumpuan kemarahan orang ramai menyusuli beberapa laporan media pada awal Februari yang menuduh agensi itu, antara lain, telah melakukan salah laku dan melanggar undang-undang perkhidmatan awam.

Bloomberg melaporkan pegawai SPRM membantu sekumpulan ahli perniagaan untuk mengambil alih kawalan syarikat.

Agensi berita Reuters pula tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas, yang memetik dokumen dalaman dan temu bual dengan saksi.

SPRM menyifatkan dakwaan itu sebagai “tidak berasas”, dan dalam satu kenyataan pada 24 Februari, berkata ia merupakan cubaan untuk menjejas siasatan serta tindakan penguatkuasaannya dalam sektor korporat.

Namun, DAP akan mendesak supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut, sambil menyifatkan penafian SPRM itu sebagai “tidak mencukupi”.

“Mesti ada siasatan terhadap dakwaan yang dibuat, dan siasatan itu wajar dilaksanakan melalui sebuah RCI yang dilengkapi semua kuasa yang perlu bagi memastikan siasatan yang berkesan dan telus,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, yang juga seorang Menteri Kabinet, dalam satu kenyataan pada 25 Februari.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau akan mencadangkan penubuhan RCI itu dalam mesyuarat Kabinet pada 27 Februari, menurut laporan media tempatan pada 24 Februari.

Pejabat Datuk Seri Anwar tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas mengenainya.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pada awal Februari bagi menyiasat ketua MACC menusuli laporan media berasingan yang mendakwa ada berlaku pelanggaran undang-undang pemilikan saham.-27/2/2026 -Reuters

khalidismail

Polis siasat konspirasi jatuhkan kerajaan libatkan agensi media antarabangsa

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan sebuah agensi media antarabangsa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ia susulan laporan yang diterima pihaknya semalam.

Siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes disiasat di Bawah Seksyen 124 B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 20 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Khalid, siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.-27/2/2026

fahmi26

Kementerian Komunikasi akan terus mudah cara pelaksanaan projek pelaburan Google

Kementerian Komunikasi bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memudah cara pelaksanaan projek pelaburan syarikat gergasi teknologi Google sebanyak USD2 bilion di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia meliputi langkah memastikan kesiapsiagaan infrastruktur dan pematuhan peraturan sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai hab serantau bagi data selamat, pengkomputeran awan serta inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan ini merangkumi pusat data dan perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia, dijangka menjana impak ekonomi USD3.2 bilion serta 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Malaysia terus diyakini sebagai destinasi utama ekonomi digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fahmi turut berkongsi beberapa keping gambar dan video beliau menyertai sesi sidang video Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat serta pasukannya.

Pada Mei 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan serta global selain program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini. -BERNAMA

SKMM-OK

MCMC umum langkah terbaru benteras salahguna identiti dan penipuan dalam talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkenal langkah terbaru dalam usahanya untuk menutup ruang penyalahgunaan identiti dan pendaftaran palsu yang sering dieksploitasi sindiket penipuan.

Satu kenyataan MCMC berkata langkah ini akan meningkatkan perlindungan pengguna serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal selamat dan mudah diakses.

Katanya langkah dikenali sebagai Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Standard Mandatori ini merangkumi beberapa langkah perlindungan utama yang berfokuskan kepada pengguna.

Penyedia perkhidmatan dan pengedar dilantik diingatkan supaya mematuhi standard mandotari ini dilaksana sepenuhnya dan tepat pada masanya dan sebarang ketidak patuhan akan dikenakan Tindakan.

MCMC turut menasihatkan pengguna supaya mendaftar kad SIM prabayar melalui penyedia perkhidmatan berlesen dan pengedar yang dibenarkan.

Di bawah langkah baru ini antara lain ialah had pemilikan lima kad SIM bagi setiap individu warganegara atau pemastautin untuk setiap penyedia perkhidmatan, manakala bukan warganegara dihadkan kepada dua kad SIM sahaja.

Pendaftaran kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan, sementara remaja berusia 12 hingga 17 tahun perlu didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga.

Pengguna juga mesti dimaklumkan status pendaftaran dalam tempoh 12 jam.

Bagi pelancong, tempoh sah kad SIM dihadkan maksimum tiga bulan sebelum ditamatkan secara automatik.- 26/2/2026

umno-pauxxx

Pemilihan UMNO tahun ini ditangguh untuk beri tumpuan persiapan hadapi pilihanraya

Keputusan ini sudah diduga.Untuk mengelak parti ‘hilang tumpuan’ UMNO menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung, hari ini.

Beliau jelaskan keputusan berkenaan adalah bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan jentera menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini.

Menurut Dr Asyraf pemilihan UMNO yang ditangguhkan itu wajib diadakan pada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16.

“Tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU-16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2,” katanya.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan mesyuarat sudah memperincikan beberapa ketetapan penting termasuk penetapan tarikh persidangan tahunan di semua peringkat parti bagi 2026.

Katanya, Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan akan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei ini, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai akan datang.

“Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) pula dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos depan,” katanya.-26/2/2026

hamzah

Jawatan Ketua Pembangkang masih teka teki …buat masa ini masih Hamzah Zainuddin

Bab lantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sudah beres dengan Menteri Besar Terengganu,Datuk Sri Ahmad Samsuri Mokthar sebagai penyandang namun satu lagi jawatan penting yakni Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat masih terbuka kepada teka teki.

Menjelang sidang Dewan Rakyat kali ini akan berakhir beberapa hari lagi PN masih belum buat keputusan mengenai jawatan itu yang kini disandang oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu,Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan beritahu satu sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini bahawa Ahli Parlimen Larut itu akan kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat buat masa ini.

Katanya beliau telah bertemu dengan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini untuk membincangkan soal itu.

Menurut Takiyuddin beliau dan Johari setuju setakat ini Hamzah masih Ketua Pembangkang.

“Tiada apa-apa notifikasi daripada pembangkang mengenai kedudukan ketua pembangkang kita,” katanya lagi.

Takiyuddin berkata PN kemungkinan besar tidak akan membuat sebarang keputusan segera.

“Masa begitu singkat. Kita akan bincang (selepas ini), masa panjang lagi.

“Jadi kita tiada apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Baru-baru ini PAS menyatakan hasrat agar jawatan Ketua Pembangkang disandang oleh wakil parti berkenaan.

Hamzah yang dipecat dari Bersatu pada 13 Februari lalu tidak hadir dalam sidang akhbar itu tetapi ia turut disertai oleh beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.- 26/2/2026

Petronas-Petrosxx

Mahkamah tolak permohonan PETROS… PETRONAS 1- PETROS 0

Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk mendapatkan semula jaminan bank berjumlah RM7.95 juta daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah dalam prosiding hari ini memutuskan bahawa tuntutan itu tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Faridz dalam penghakimannya, menegaskan isu yang perlu diputuskan hanya terhad kepada persoalan sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang seperti dinyatakan dalam Notis Usul (OS) difailkan PETROS.

Beliau berkata, tuntutan PETRONAS ke atas jaminan bank itu sah kerana selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat serta tidak tertakluk kepada sebarang syarat, sekali gus membolehkan ia dituntut melalui permintaan bertulis.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa wang jaminan bank itu sudah diterima dan digunakan, menjadikan permohonan injunksi untuk menghalang tuntutan itu tidak lagi praktikal.

Menurutnya lagi, PETROS tidak memohon sebarang deklarasi untuk mencabar kesahihan Perjanjian Jual Beli Gas (SGSA) atau memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) terpakai ke atas PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri.

Beliau turut memutuskan bahawa jaminan bank berkenaan adalah jaminan tanpa syarat dan boleh dituntut atas permintaan bertulis, tanpa perlu membuktikan pelanggaran kontrak terlebih dahulu.

Pada prosiding hari ini, PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Cyrus Das, Khoo Guan Huat serta Alex Ngu Sze Sha.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung bertindak sebagai pemerhati bagi pihak kerajaan Sarawak.

Ketika ditemui di lobi mahkamah, Fong berkata, isu perlembagaan akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Mahkamah Tinggi hanya membuat keputusan bersifat komersial dan tidak menilai isu perlembagaan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026 dengan kemungkinan tarikh tambahan akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, Cyrus berkata PETROS turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 selepas gagal membuktikan bahawa tuntutan itu bersifat tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat isu perlembagaan berada di luar skop saman pemula dan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Justeru katanya, persoalan mengenai kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) akan dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“PETRONAS dijadual memohon kebenaran pada 16 Mac depan, manakala Kerajaan Sarawak turut memfailkan petisyen tersendiri,” katanya.-26/2/2026

Immigartion_false_poster

Imigresen nafi poster passport dan MYKad baru yang tular di media sosial

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan poster bertajuk “New: Malaysia Passport & MyKad 2026” yang tular di media sosial adalah palsu.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, JIM menegaskan poster itu tidak pernah dikeluarkan oleh jabatan dan segala maklumat di dalamnya adalah tidak sahih.

Menurut JIM, poster berkenaan turut menggunakan nama dan pautan laman web rasmi JIM bagi meyakinkan orang ramai, namun ia tidak mewakili sebarang pengumuman atau dasar rasmi.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi JIM bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan pasport Malaysia atau sebarang pengumuman dasar,” menurut kenyataan di Facebook rasmi jabatan itu.

JIM memaklumkan sebarang perkembangan rasmi hanya akan dimaklumkan melalui laman web serta platform media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.-26/2/2026