Saifuddinx

Tak sampai 24 jam… polis tahan suspek cubaan bunuh komander AKPS

Pantas… tak sampai 24 jam kejadian yang hampir beragut nyawa komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam semalam, polis sudah menahan suspek yang melepaskan tembakan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini proses soal siasat sedang dijalankan.

“Kita sudah buat tangkapan tak sampai 24 jam. Sekarang sedang berlaku proses soal siasat,” katanya tanpa memperincikan jumlah tangkapan dibuat.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan melepaskan beberapa das tembakan.

Nasaruddin dilantik sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025.

Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai ketua staf Pasukan Petugas Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Polis percaya serangan itu untuk menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan.

AKPS dalam kenyataan pada Rabu menegaskan sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima.

Menurut AKPS, insıden itu sama sekalı tıdak akan melemahkan semangat warga AKPS.

Sebaliknya, ia akan terus memperkukuh iltizam seluruh pegawai dan anggota untuk terus berdiri teguh, berani dan profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.

“AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat, serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air,” jelas AKPS.-26/2/2026

kessprm

10 kes rasuah berprofil tinggi yang dibongkar SPRM tahun 2025

Sekurang-kurangnya 10 kes besar dan berprofil tinggi telah dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari 2025 hingga kini.

Ia sekali gus membuktikan komitmen agensi itu dalam memerangi rasuah di Malaysia.

Kejayaan itu dijangka disusuli beberapa lagi siasatan mega sepanjang 2026, sekali gus meneruskan rentak kejayaan agensi antirasuah itu pada 2025 yang disifatkan sebagai tahun paling cemerlang sejak penubuhannya.

Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengakui 2025 sebagai tahun terbaik agensi itu, dengan sekurang-kurangnya sembilan kes mega dan berprofil tinggi dikenakan tindakan mengikut undang-undang, termasuk membabitkan pegawai kanan kerajaan.

Sepanjang 2025, SPRM menyita kira-kira RM567 juta ($184.5 juta) mengikut Akta SPRM 2009 serta RM6.3 bilion mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Selain itu, pembekuan aset di bawah AMLATFPUAA berjumlah RM36.14 juta, manakala lucut hak membabitkan RM7.14 juta (Akta SPRM), RM175,120 (AMLATFPUAA) serta RM175,140 mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan lain-lain peruntukan.

Bagi kompaun pula, jumlah keseluruhan mencecah RM49.58 juta, selain kira-kira RM1.5 bilion diperoleh menerusi kaedah lain pemulihan aset.

Sehingga November 2025, SPRM membuka 966 kertas siasatan daripada 6,114 aduan diterima.

Seramai 1,128 individu ditahan, dengan 445 daripadanya didakwa dan 189 disabitkan kesalahan.

Daripada jumlah tahanan itu, 423 adalah penjawat awam; orang awam (163); sektor swasta (504); syarikat berkaitan kerajaan atau GLC (34); dan ahli politik (empat).

Seramai 904 yang ditahan adalah lelaki, manakala 224 pula wanita.

Antara kes yang menggemparkan Malaysia pada 2025 termasuk siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan Dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan beberapa pegawai tertinggi, termasuk Panglima Angkatan Tentera, Panglima Angkatan Tentera Darat dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.

Antara kes berprofil tinggi pada 2025 ialah siasatan terhadap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membabitkan rampasan wang tunai kira-kira RM169 juta serta 16 kilogram jongkong emas yang ditemukan di sebuah premis yang dipercayai merupakan ‘rumah kebal’ atau tempat persembunyian dan penyeludupan barangan.

Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan wang yang disita itu dilucut hak kepada kerajaan selepas tiada pihak tampil menuntutnya.

BHM turut melaporkan, kes seorang tokoh kewangan Islam negara, Tan Sri Daud Bakar, yang ditahan pada Januari lalu (2026) bagi membantu siasatan penipuan pelaburan berjumlah RM300 juta.

Siasatan transaksi kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion pula membabitkan konglomerat hartanah Malaysia, IJM Corporation Berhad.

Susulan kes itu, ia turut membawa kepada penahanan pengurusan tertingginya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM pada 12 Februari lalu menahan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka bagi membantu siasatan kes suapan RM3 juta sebagai balasan membantu urusan konsesi penambakan laut.

SPRM turut menahan seorang Exco kerajaan Terengganu pada 22 Februari lalu kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan.

Ini membawa kepada pendakwaannya di mahkamah.-26/2/2026

wariran

Rakyat Malaysia di Iran enggan pulang tandatangani surat persetujuan tanggung risiko

Kementerian Luar memaklumkan seramai 13 orang rakyat Malaysia di Iran yang enggan pulang ke tanah air telah diminta menandatangani surat indemniti.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi surat berkenaan, mereka tidak boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia sekiranya berlaku perkara di luar jangka berikutan situasi meruncing di negara itu.

Jelas Mohamad, antara yang menandatangani surat itu termasuk dua pelajar Malaysia yang sebelumnya telah dinasihatkan supaya pulang ke tanah air.

“(Nasihat) serupa kita berikan ketika Amerika Syarikat (AS) mengebom loji – loji nuklear di Iran pada tahun lepas (namun) ada yang tak nak balik.

“Pada masa sama, saya hendak nasihatkan rakyat Malaysia jangan pergi sana kalau tidak ada urusan penting, kita sudah dua kali keluarkan nasihat perjalanan tapi rakyat Malaysia degil (kerana) ada juga yang pergi (baru – baru ini).

“Jangan pergi sana kerana apa jua kemungkinan akan berlaku, akan menyusahkan kita, (seperti) tahun lepas kita buat evakuasi, mereka terpaksa lalui jalan darat sejauh 1,200 kilometer (km) dari Tehran ke Ashgabat, Turkmenistan,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional -Ketereh) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu serta pelan pemindahan kecemasan sekiranya perperangan tercetus di sana.

Kepada soalan asal Khlir yang ingin tahu penilaian Wisma Putra tentang kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Iran dengan AS serta implikasi terhadap keselamatan serantau, Mohamad berkata, Malaysia berharap kedua-dua pihak akan terus menjalin diplomasi di meja rundingan.

” Kita berharap supaya kekecohan dapat dikurangkan dan dunia tidak akan terjejas,” katanya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan AS ketika ini dilihat sedang meningkatkan jumlah aset perangnya di rantau berkenaan.

“Ini termasuk mengerahkan kapal pengangkut Gerald R. Ford ke Laut Parsi baru – baru ini. Perkembangan ini jelas menunjukkan Amerika serius dengan apa yang mereka nyatakan supaya Iran membatalkan segala hasrat untuk mewujudkan senjata nuklear,” katanya.-26/2/2026

tujuhremaja

PM hargai keberanian tujuh pemuda di Tasik Biru

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas tujuh pemuda yang terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu serta dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Tasik Biru, Kundang dekat sini, Isnin lepas.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menzahirkan rasa tersentuh dan penghargaan atas tindakan nekad pemuda berkenaan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan tiga nyawa.

“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Kundang kelmarin,” katanya.

Datuk Seri Anwar menyifatkan, tindakan nekad kesemua pemuda tersebut tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.

“Saya juga mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak ini diberi kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan Allah SWT,” kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan lanjut.-26/2/2026

Al-Quranxx

Kerajaan kecam perbuatan muatnaik gambar pijak al-Quran…Fahmi arah MCMC bertindak segera

Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.

Jurucakap kerajaan DatukFahmi Fadzil menegaskan perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya yang`juga Menteri Komunikasi menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau pada masa sama, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,”katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pengguna Threads memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Individu berkenaan yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata pelajar UMPSA yang disyaki melakukan perbuatan itu telah ditahan.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki itu hari ini.

“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dengan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Lelaki tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.- 25/2/2026

pelancongindia

Kempen diperhebatkan… Malaysia jadi tumpuan destinasi bercuti pelancong India

Usaha promosi Tourism Malaysia semakin giat di India sempena kempen global Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang kini berlangsung dengan sasaran ketibaan pelancong dari negara itu sehingga 33 peratus.

India muncul sebagai pasaran penting berikutan dasar bebas visa Malaysia untuk pelancong dari negara Asia Selatan itu dan trend pertumbuhan dijangka berterusan, kata pegawai Tourism Malaysia di New Delhi pada Selasa.

Jumlah pelawat India ke Malaysia tahun lepas meningkat 14.6 peratus kepada kira-kira 1.5 juta dan tahun ini dilihat boleh melepasi dua juta.

Peningkatan pelancong dari India disokong oleh 240 penerbangan mingguan yang menghubungkan Malaysia ke bandar-bandar utama di India, kata pengarah kanan Tourism Malaysia Nuwal Fadhilah Ku Azmi pada sidang media menjelang pameran tiga hari South Asia Travel and Tourism Exchange (SATTE).

Sebanyak 55 pemain industri pelancongan Malaysia termasuk hotel agensi pelancongan dan agensi pelancongan negeri menyertai pameran pelancongan pada 25 hingga 27 Feb itu.

Sambil mengetengahkan trend berkenaan, beliau berkata ramai pelancong India pergi ke Malaysia pada saat-saat akhir kerana kemasukan tanpa visa dan semakin ramai menerokai destinasi di luar Kuala Lumpur.

Dengan kos penganjuran acara yang jauh lebih rendah, Malaysia sedang berusaha untuk mempopularkan dirinya sebagai destinasi untuk majlis perkahwinan dan perniagaan India, kata Nuwal.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia New Delhi Ahmad Johanif Mohd Ali dan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy turut berucap pada acara media itu.

Manoharan berkata kalendar acara Malaysia tahun ini menampilkan lebih 300 perayaan dan aktiviti dan agensi itu berminat untuk memperkenalkannya kepada pelancong India.

Tourism Malaysia awal bulan ini mengambil bahagian dalam pameran Outbound Travel Mart (OTM) di Mumbai dan menganjurkan jerayawara di Visakhapatnam, Coimbatore dan Bengaluru di selatan India dari 5 hingga 14 Feb untuk mengukuhkan penglibatannya dengan industri pelancongan.-25/2/2026

Wan-Shaharuddin

Pendakwa utama SPRM dipindah ke Jabatan Peguam Negara

Pendakwa utama dalam beberapa kes rasuah berprofil tinggi, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin telah dipindahkan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) sebagai Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan.

Menurut satu pekeliling bertarikh 24 Februari, pertukaran Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM akan berkuat kuasa 2 Mac ini.

New Straits Times melaporkan perintah pertukaran menyatakan bahawa pelantikan beliau di AGC adalah pada jawatan supernumerary (jawatan terapung), menandakan penempatan itu tidak terikat kepada jawatan tetap dalam struktur perjawatan bahagian berkenaan.

Jawatan itu kini disandang oleh Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.

Pada 2019, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah memilih Wan Shaharuddin untuk jawatan berkenaan atas saranan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Antara perbicaraan berprofil tinggi di bawah kendalian Wan Shaharuddin ialah kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa meminta dan menerima suapan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Perbicaraan itu masih berjalan di Mahkamah Sesyen.

Beliau juga adalah pendakwa utama dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan.

Pihak pendakwaan merayu untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Syed Saddiq.

Wan Shaharuddin turut mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah bekas menteri Sabah, Datuk Peter Anthony yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tahun lalu.

Beliau juga mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan RM232.5 juta suapan yang didakwa serta RM200 juta hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 9 Mac di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin.

Pada 22 Januari, Wan Shaharuddin mengetuai pasukan timbalan pendakwa raya dalam mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Hafizuddeain Jantan atas empat pertuduhan menerima RM2,122,400 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.-25/2/2026

keretakenatembak

Pegawai agensi jaga sempadan ditembak ketika ke masjid subuh tadi… ini motifnya

Motif awal kejadian Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam ditembak dua lelaki ketika ingin ke masjid dipercayai untuk menakut-menakutkan pegawai penguat kuasa.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya percaya motif kejadian itu kerana ada individu yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa sama ada AKPS dan polis yang banyak melakar kejayaan rampasan.

Menurutnya, bulan lalu AKPS berjaya merampas daging khinzir yang cuba diseludup dan rampasan lain menyebabkan ada kemungkinan pihak yang tidak berpuas hati.

“Jadi motif kejadian setakat ini untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun kejadian ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan tembakan.

“Ketika kejadian itu beliau (Komander AKPS Bukit Kayu Hitam) dalam perjalanan ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan.

“Beliau cuba mengejar dua lelaki menaiki motosikal namun gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian pegawainya diserang dua lelaki dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke sana.

Harian Metro melaporkan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.

Adzli berkata, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat.-25/2/2026

ai-johor

Kes naya… ada yang guna AI tiru wajah dan suara Exco Johor

Polis mengesan 12 akaun media sosial dan laman web yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara ahli Exco Johor bagi tujuan penipuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata satu laporan dibuat pada 20 Februari lalu oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail.

“Siasatan awal mendapati akaun-akaun ini, yang dipercayai beroperasi dari luar negara, menyebarkan maklumat palsu dan bukan akaun rasmi milik portfolio Exco negeri.

“Pemeriksaan lanjut mengenal pasti 12 akaun TikTok, termasuk empat yang menggunakan suara dan imej pemimpin yang dijana AI untuk mempromosikan inisiatif bantuan kewangan Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi memperdaya orang ramai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Selasa.

BKJ ialah bantuan kewangan bersasar yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup penduduk dan golongan berpendapatan rendah.

Ab Rahaman berkata mangsa yang mempercayai laman web itu sebagai sah berisiko berkongsi maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, nombor telefon dan butiran akaun bank.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mangsa yang kehilangan wang akibat penipuan itu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ab Rahaman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pemilik akaun dan menurunkan kandungan penipuan itu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayainya, dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang mencurigakan.

Terdahulu, dua buah video telah dimuat naik menerusi beberapa akaun TikTok menggunakan nama Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang meniru wajah dan suara ahli Exco Johor mempromosikan inisiatif bantuan kewangan BKJ.-25/2/2026

sprm33

SPRM sangkal dakwaan wujud ‘Mafia Korporat’, sifatkan cubaan cemar kredibiliti siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengaitkan kewujudan “Mafia Korporat” dengan suruhanjaya itu serta menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.

SPRM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.

“SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan… Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah,” menurut kenyataan itu.

SPRM berkata, isu itu adalah dakwaan lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya berkenaan.

SPRM memaklumkan semua siasatan dilaksanakan berasaskan bukti selaras dengan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.

Kenyataan itu memaklumkan perkara berkenaan kini disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan fakta serta kebenaran ditentukan mengikut lunas undang-undang.

“Penyebaran tuduhan tanpa asas daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan… tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Penyaluran maklumat melalui saluran sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media atau penerbitan tanpa bukti kukuh.

“SPRM kekal komited melaksanakan mandat membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya,” menurut kenyataan itu.- 24/2/2026