anwar-zafrulxx

Tengku Zafrul dilantik Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri…

Setelah mendapat jawatan yang ada kaitan dengan sektor koprat dan pelaburan sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) …terbaru ,bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendapat kedudukan penting untuk arina politik.

Beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pelantikan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh selama dua tahun.

Pelantikan itu juga bertujuan bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.

Seperti semua sedia maklum kekosongan itu timbul berikutan perletakan jawatan Datuk Shamsul Iskandar Md Akin tidak lama dulu.

“Perdana Menteri menzahirkan harapan supaya beliau dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Tengku Zafrul dilantik menerajui agensi promosi pelaburan utama negara sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun.

Pelantikan terbabit dibuat bagi memanfaatkan kepakaran beliau dalam memacu agenda pelaburan nasional serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa melalui penyelarasan dasar industri yang lebih dinamik.​

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama enam tahun, iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kerjaya beliau dalam pentadbiran kerajaan bermula apabila mengangkat sumpah sebagai Senator buat kali pertama pada 10 Mac 2020 untuk jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada 3 Disember 2022, dan secara rasmi menamatkan perkhidmatan di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.

Beliau hangat dikatakan akan menjadi calon PKR untuk kerusi parlimen Ampang pada pilihanraya umum ke 16 nanti.

Kebelakangan ini beliau kelihatan kerap menghadiri pelbagai acara di kawasan Ampang dipercayai sebagai persiapan untuk bertanding di situ.

Dalam pada itu terdapat juga spekulasi yang tidak kurang hangat mengatakan beliau mungkin akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri untuk dilantik jadi Menteri Besar Selangor ganti Datuk Seri Amiruddin Shaari yang nanti akan dibawa ke pusat.

Sewaktu dalam UMNO sebelum menyertai PKR dulu Tengku Zafrul ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

Ahli Parlimen PKR Ampang sekarang ialah Rodziah Ismail.- 4/2/2026

hamzah-muh-parlimenxxx

Muhyiddin tutup pintu pada parti pimpinan Hamzah sertai Perikatan Nasional 

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah letak tanda titik yang besar pada bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dari cakapnya seolah tiada apa yang boleh pulihkan saluitulrahim politik antara mereka.

Malah secara terbuka tegaskan beliau sendiri akan menolak permohonan parti yang diketuai Hamzah kelak untuk memohon masuk dalam gabungan Perikatan Nasional.

Beliau mengingatkan peraturan gabungan bahawa hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.

“Kalau dia hendak cari haluan, hala tuju, itu hal dialah. Bukan hak saya untuk mengatakan ya, di sini sana.”Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab ‘once bitten twice shy’ .

Muhyiddin menyatakan demikian dalam satu pertemuan dengan wartawan di Kuala Lumpur. 

“Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu,” katanya.

Hamzah diketahui umum mempunyai hubungan yang erat dengan kalangan pimpinan utama PAS yang menjadi tulang belakang PN.

Kelmarin Muhyiddin mendakwa beliau ada bukti Hamzah bertemui Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Katanya hal berkenaan juga menjadi antara sebab Hamzah dipecat dari Bersatu.

Ditanya sama ada beliau ada meminta penjelasan secara bersemuka dengan Hamzah sebelum ini berhubung tindakan ‘pengkhianatan’ terbabit, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan ia dinafikan bekas Menteri Dalam Negeri berkenaan.

“Kalau saya tanya Hamzah, Hamzah kata ‘No sir, I am always your supporter. Number one supporter.’ (Tidak tuan, saya penyokong nombor satu anda). Tapi bila awak cakap begitu (tindakan dibuat Hamzah), saya sudah tidak percaya lagilah nama itu. Minta maaf.

“Apabila anda hilang keyakinan dengan seseorang seperti itu kerana ia tidak berlaku jujur …ia adalah perkara besar. Saya perlu lindungi parti saya. Takkan boleh biarkan orang rosakkan parti saya.

“Hendak saya biarkan? Sebagai pengasas saya tidak rela. Saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi walaupun saya seorang saja yang tinggal saya akan pertahankan BERSATU. Itu pendirian saya,” katanya.

Muhyiddin juga mendakwa Bersatu masih kukuh dan bukan seperti kapal yang sudah karam berikutan ‘pembersihan’ yang dibuat melalui pemecatan beberapa pemimpinnya sebelum ini.

“Bersatu masih kukuh, relatifnya masih kukuh. Beritahu saya kalau kata ramai sudah ikut Hamzah, berapa ratus ribu yang ikut beliau? Berapa ketua bahagian yang sudah cabut lari? Bukan semua Ahli Parlimen atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) …yang lain masih utuh,” katanya.

Mengenai lantikan Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN pula Muhyiddin menolak anggapan ia jaminan dijadikan sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau kata isu calon pemimpin yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri jika PN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak adalah perkara berbeza dengan lantikan pengerusi gabungan itu.

Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, soal calon Perdana Menteri daripada PN juga belum dibincangkan lagi bersama parti rakan komponen, PAS.-4/3/2026

fahmizainol11zzz

Kes cederakan isteri : Fahmi Zainol digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang 

 Fahmi Zainol yang didakwa di mahkamah  atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya telah gugurkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi (Exco)  Pulau Pinang.

Fahmi ,35 juga ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak .

Pada 27 Feb lepas, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad lepas memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Fahmi, yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu berkata pihaknya menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh semalam yang memohon penggantian beliau sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya telah bertemu Fahmi pagi tadi dan Yang Berhormat (Fahmi) menerima keputusan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

Sementara itu satu kenyataan pejabat Ketua Menteri petang Rabu beritahu ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dari parti PKR dilantik sebagai Exco Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Fahmi.

Fahmi yang juga antara ahli Exco termuda dalam pentadbiran Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023. – 4/3/2026

parlimen1

RUU had 10 tahun PM akan dibentang semula pada Jun ini

Setelah gagal mendapat kelulusan pada Isnin….Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun akan dibentang sekali lagi pada sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Kita akan pastikan Ahli Parlimen kerajaan hadir dan beri sokongan penuh untuk meluluskan pindaan penting ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Isnin lalu Dewan Rakyat tidak meluluskan pindaan tersebut selepas gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerana kurang dua undi..

Daripada undian belah bahagian yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong, manakala 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.

Antara puncanya ialah lapan Ahli Parlimen yang sokong kerajaan tidak hadir.

Fahmi beritahu dua daripada mereka telah mengemukakan penjelasan bertulis kepada Ketua Whip, manakala enam lagi masih dinantikan.

Beliau menjelaskan terdapat salah faham dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyangka undian tersebut bertujuan memberi tempoh 10 tahun kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Tegasnya, pindaan ini bukan untuk mana-mana individu. Ia bagi memastikan tidak wujud situasi seseorang Perdana Menteri merasakan dirinya boleh berkuasa tanpa had tempoh,” katanya.

Kerajaan berharap pada sidang akan datang, semua pihak termasuk pembangkang dapat menyokong pindaan berkenaan yang disifatkan tidak bersifat partisan, sebaliknya demi memperkukuh demokrasi dan kestabilan politik negara.- 4/3/2026

Inilah lapan Ahli Parlimen sokong kerajaan yang tak hadir undi RUU had tempoh PM 10 tahun…

Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan semua undi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun `yang gagal dapat kelulusan di Dewan Rakyat, semalam kerana kurang dua undi.

RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, yakni 148 apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Seramai lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan  tidak hadir dalam sesi itu ialah tiga daripada Barisan Nasional (BN), manakala masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.

Mereka Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata  setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di Dewan Rakyat ada yang memberikan pelbagai alasan antaranya berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.

Beliau beritahu demikian pada sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di Cyberjaya Selasa.

“Kita sudah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai Ahli Parlimen tidak hadir,”katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Bebas Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pula dilaporkan berkata beliau sengaja tidak menyertai undian itu kerana mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri.

Fahmi kata Ahli Parlimen yang gagal hadir atau mengundi RUU tersebut perlu memberi penjelasan kepada kepimpinan parti masing-masing serta pengundi mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa ketua whip kerajaan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini telah mengarahkan semua Ahli Parlimen kerajaan supaya hadir semasa bacaan kali kedua usul berkenaan.

Tambahnya, RUU itu boleh dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan kerana usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri berasaskan prinsip akauntabiliti yang sepatutnya disokong semua ahli Parlimen.- 3/3/2026

pm-nasrxxx

“Scammer” mampu lesapkan dana dalam 10 minit, lapor segera 997 – Saifuddin Nasution

Sindiket penipuan dalam talian atau scammer mampu melesapkan antara 80 hingga 90 peratus wang simpanan mangsa dalam tempoh hanya tiga hingga 10 minit, menerusi rangkaian akaun keldai yang berlapis-lapis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata taktik sindiket yang memecahkan transaksi kepada jumlah kecil seperti RM1,000 hingga RM3,000 menyebabkan pengeluaran berkenaan tidak mencetuskan amaran awal sistem perbankan.

“Dalam tempoh tiga hingga 10 minit sahaja, sebahagian besar wang sudah dipindahkan ke beberapa lapisan akaun berbeza. Apabila wujud layer (lapisan) yang banyak, proses siasatan menjadi lebih rumit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Cyberjaya,Selasa.

Sehubungan dengan itu, Saifuddin Nasution berkata dalam tempoh satu hingga dua jam pertama selepas mangsa menyedari berlaku penipuan, merupakan tempoh paling kritikal untuk tindakan sekatan dilakukan.

“Lagi cepat mangsa melaporkan adalah lebih baik. Satu jam, dua jam pertama paling kritikal sebab aduan (kepada) 997 (talian NSRC) 997 membolehkan kita segera lakukan sekatan,” katanya.

Beliau berkata proses di NSRC merangkumi tiga langkah utama iaitu sekat, siasat dan pulangkan, dan panggilan segera membolehkan tindakan pembekuan akaun dilakukan sebelum dana dipindahkan ke lapisan akaun.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 35,322 panggilan aduan diterima setakat Januari tahun ini, dan sejumlah RM1.44 juta berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal.

“(Peningkatan) jumlah panggilan ini menjadi satu kayu ukur tentang keyakinan orang awam terutama mangsa untuk mengadu (kepada NSRC) apabila kes ini (scam) berlaku kepada mereka. Itulah yang penting (iaitu) menyemai keyakinan (dalam kalangan) orang awam adalah urusan yang sangat penting,” katanya.

Beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu, NSRC di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri dan diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi teras lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Saifuddin Nasution berkata sepanjang 2025, NSRC telah merekodkan pencapaian signifikan dalam usaha melindungi kepentingan mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan sebanyak 146,167 panggilan aduan sepanjang tahun lepas serta melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun terlibat.

Beliau berkata hasil tindakan pantas itu berjaya menyelamatkan sejumlah RM34.05 juta daripada jatuh ke tangan sindiket.

“Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses sekatan, iaitu daripada RM508,479.39 pada 2024 kepada RM6,649,171.03 pada 2025,” katanya.- BERNAMA- 3/3/2026

mas-flightzz

Malaysia Airlines terbang semula ke Jeddah, Madinah pada 4-8 Mac, Doha masih digantung

 Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan masuk dan keluar dari Jeddah (JED) serta Madinah (MED) buat sementara waktu pada 4-8 Mac 2026, berikutan penggantungan perkhidmatan yang dimulakan sejak 28 Feb 2026 selepas penutupan ruang udara di beberapa kawasan di Asia Barat.

Bagaimanapun, perkhidmatan ke Doha (DOH) akan kekal digantung sehingga 7 Mac 2026 memandangkan syarikat penerbangan itu sedang menilai keadaan keselamatan, kata Malaysia Aviation Group (MAG) melalui satu kenyataan hari ini.

Semua penerbangan lain, termasuk perkhidmatan ke London (LHR) dan Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle (CDG) kekal mengikut jadual, beroperasi pada laluan alternatif jauh dari zon konflik yang terjejas.

“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.

“Penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui ‘My Booking’ bagi perkembangan terbaharu,” kata MAG.

Bantuan juga boleh didapati melalui Sembang Langsung di laman web atau hubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines pada 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan kami,” kata kumpulan itu.

MAG berkata dengan penyambungan semula penerbangan, Malaysia Airlines terus mengambil langkah proaktif untuk melindungi operasi termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif bagi mengelak kawasan terjejas; mengekalkan koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan rakan kongsi lapangan terbang; mengukuhkan keselamatan dalam penerbangan serta prosedur operasi; memastikan penumpang dimaklumkan dengan kemas kini selain memberikan sokongan tepat pada masanya.

“Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan dengan teliti termasuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai. -3/3/2026

hamzah

“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa?” – kata Hamzah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menuding jari kepada ahli Parlimen kerajaan atas kegagalan dapat kelulusan Dewan Rakyat semalam untuk Rang Undang-undang (RUU) mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan pada sidang media di Parlimen hari ini apa yang perlu dipersalahkan adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir menyokong RUU itu sedangkan blok kerajaan sudah memiliki sokongan 154 Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Larut itu menasihatkan kerajaan supaya membuat persiapan lebih awal termasuk menemui dan menghubungi kesemua Ahli Parlimen mereka untuk memastikan kehadiran penuh dalam dewan, terutama ketika proses undian berlangsung.

“Kamu (kerajaan) sudah ada jumlah yang besar, 154 (Ahli Parlimen) adalah penyokong kerajaan. Kalau nak buat undang-undang yang dapat memastikan ada dua pertiga datang mengundi, kena panggil seorang-seorang Ahli (Parlimen) kerajaan.

“Kerajaan tanya… eh, kamu ada, kamu sakit ke, kamu dalam hospital ke, kamu macam mana, dalam trafik jem, semua itu kena tanya. Jadi, katalah dia (dalam) trafik jam, kita hantar nota pada menteri, minta menteri panjangkan sikit (ucapan perbahasan dan gulung), sebab ada dua, tiga orang tak sempat datang.

“Saya nak mengajar kerajaan, bukan nak sekolahkan tetapi saja-saja nak mengajar. Supaya perkara ni nanti tak timbul lagi. Kami mahu supaya rakyat faham bahawa pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara (RUU) itu baik,” katanya.

RUU itu semalam gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong yakni kurang dua undi dari jumlah 148 yang wajib.

Seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa? Kalau tengok daripada ucapan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, semuanya mengatakan kami bersetuju tetapi dengan syarat.

“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita berkecuali. Semua kita tidak mengundi. Ada yang keluar dewan, ada yang tidak mengundi. Jadi nak salahkan kenapa?

“Sebab daripada awal lagi kita sudah maklumkan perkara ini. Apa yang jadi masalahnya adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi, itu yang patut disalahkan. Kerana kerajaan mempunyai undi untuk mempertahankan usul mereka, bukan nak menyalahkan pembangkang yang berkecuali,” katanya. 

Sementara itu Ahli Parlimen PKR Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau tidak menyokong RUU berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan dan bekas Menteri Ekonomi itu tampil memberi penjelasan selepas timbul tuduhan kononnya beberapa wakil rakyat kerajaan tidak hadir atau enggan menyokong usul berkenaan ketika ia dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dakwaan tersebut turut dibangkitkan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

“Bukan saya! Saya dan rakan-rakan mengundi menyokong tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, sekali gus menepis spekulasi yang tular di media sosial.

Menurut beliau, sokongan terhadap had tempoh jawatan Perdana Menteri tidak pernah menjadi isu.

Sebaliknya, perkara yang dibangkitkan olehnya bersama beberapa ahli Parlimen PKR lain ialah keperluan memperhalusi satu lagi pindaan Perlembagaan yang melibatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Rafizi menjelaskan pindaan itu, yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia menyentuh soal kuasa pendakwaan yang besar dan implikasinya terhadap sistem keadilan negara.

“Yang kami mahu, RUU dipinda yang satu lagi supaya Pendakwa Raya yang sangat berkuasa dikawal selia oleh Parlimen juga,” katanya.

Minggu lalu, beliau bersama sembilan ahli Parlimen PKR mengadakan sidang media di Parlimen bagi menyuarakan pandangan supaya RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 tidak diluluskan secara tergesa-gesa.

Mereka berpendapat jawatankuasa khas perlu mendapatkan pandangan merentas parti untuk memastikan setiap pindaan dibuat dengan teliti dan mengambil kira kepentingan awam.

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sebelum ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang dijanjikan kerajaan.-3/3/2026

media22xxx

Anwar dakwa zionis terbabit cubaan jatuhkan kerajaan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.

Menurut laporan awal, beliau berkata syarikat, badan dan tokoh yang terlibat dalam gerakan berkenaan telah mengadakan enam perjumpaan sepanjang 2025, sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, dan seterusnya menggerakkan international push.

“Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.

“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai status siasatan PDRM berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata selain gerakan melalui media antarabangsa bagi menerbitkan artikel yang mempertikai kerajaan dan pegawai bank untuk menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara, terdapat juga fakta bahawa kelompok itu menggunakan hubungan bersama Ahli Parlimen untuk mencipta naratif tertentu.

“Disebut di situ untuk memanfaatkan hubungan antara ahli Parlimen untuk menggugat, menetapkan dan mempengaruhi soalan-soalan yang akan dibangkitkan di Parliament tentang isu ini.

“Kemudian memuji, cari jalan menggunakan seluruh rangkaian media antarabangsa, khususnya Bloomberg untuk memuji tokoh tertentu yang sedang dalam siasatan, termasuk kes rasuah, serta mendesak supaya individu berkenaan diberikan penghormatan dan pujian,” katanya.

Anwar berkata cubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu dipercayai didorong oleh beberapa siri siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan oleh SPRM.

– Bernama – 3/3/2026

pm-parlimen1zzz

PM kata tak terima atau tolak cadangan tubuh RCI isu saham Azam Baki….’kita tengok dulu’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu Dewan Rakyat beliau akan teliti dulu laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum memutuskan tindakan lanjut termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) .

Katanya laporan itu dijangka siap dalam minggu ini.

“Tentang cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bagi kita agak pramatang, terlalu awal. Pertama, siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari.

“Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan dan rasional untuk melanjutkan serta dalam bidang apa yang perlu diteliti. Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya.

“Pertama, mendapatkan laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana beliau memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai cadangan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes pemilikan saham Azam Baki.

Kerajaan pada 13 Februari lalu mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam Baki. -3/3/2026

QURAN3XX

Kes pijak al-Quran: Pelajar IPT mengaku tidak bersalah

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas.

Bagaimanapun, tertuduh S Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota di sini kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menggunakan akaun laman portal Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

– Bernama -3/3/2026

Pijak al-Quran: Saya tidak akan tolak ansur sama sekali – PM

Kerajaan MADANI menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merujuk insiden memijak al-Quran baru-baru ini, beliau menegaskan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan dan masyarakat diingatkan supaya bersabar serta tidak tergesa-gesa menunggu keputusan.

“Ini negara hukum. Kita tidak boleh mengetepikan prinsip undang-undang dalam sebarang tindakan.

“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan; dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby; serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan memijak al-Quran.

“Apabila ada laporan mengenai penghinaan atau perbuatan memijak al-Quran, siapa kata tiada tindakan? Ada tindakan. Jangan bersikap tergopoh-gapah dan tidak sabar.

“Polis sudah mengambil tindakan dengan menahan individu terbabit dan menjalankan siasatan. Sama ada dia siuman atau tidak, itulah yang sedang disiasat,” katanya

Beliau berkata, segala tindakan perlu berlandaskan undang-undang sedia ada dan kerajaan sentiasa tegas terhadap isu berkaitan penghinaan agama.

“Ada reaksi tidak sabar, kononnya nampak tolak ansur. Saya tidak tolak ansur sama sekali dan kita harus tegas,” katanya.

Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran. Setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga Selasa ini selepas arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan.

  • Bernama -1/3/2026