najib-bicara

RASMI…hukuman penjara Najib dikurang dari 12 ke 6 tahun…kekal di penjara sampai 2028

Semua sudah terjawab….Lembaga Pengampunan umum petang Jumaat bahawa tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikurangkan dari 12 tahun ke 6 tahun.

Manakala denda RM210 juta yang dikenakan keatas bekas Perdana Menteri itu dikurangkan ke RM50 juta.

Beliau dijangka akan kekal di penjara sampai 23 Ogos 2028

Berikut adalah kenyataan penuh Lembaga Pengampunan:

KENYATAAN MEDIA

LEMBAGA PENGAMPUNAN BAGI WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, LABUAN DAN PUTRAJAYA KALI KE-61 2 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024. Sebanyak lima (5) kertas pengampunan termasuk permohonan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

URUSETIA LEMBAGA PENGAMPUNAN
WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR, LABUAN DAN
PUTRAJAYA
BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG
JABATAN PERDANA MENTERI
2 FEBRUARI 2024

KEMASKINI : Anwar juga lontar teka teki pasal pengampunan Najib…”Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman”

Apa keputusan Lembaga Pengampunan pada Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi teka teki semasa yang paling top.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan pada tengahari Jumaat juga tidak mahu buka cerita.

Beliau sebaliknya menghangatkan lagi tandatanya mengenai isu itu bila hanya kata “Ya, sudah ada kepastian, tunggu pengumuman.” |

Beliau menjelaskan pengumuman keputusan berkenaan adalah urusan Lembaga Pengampunan.

“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu… sudah ada kepastian (keputusannya),”katanya.

Apabila diminta menjawab mengenai pengampunan diberikan kepada Najib, Anwar hanya menjawab “tunggu pengumuman”.

Ditanya wartawan sama ada Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan itu hari ini,jawabnya ringkas,”I believe so (saya rasa begitu).”

Anwar ditemui wartawan semasa makan tengahari di gerai nasi campur NanZura Lot 6, Kompleks Pertama dan kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Saluran TV Channel News Asia Singapura dalam laporannya mendakwa Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan.

Pada Khamis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.

Kalau dikira hari berkerja rasmi minggu ini ia berakhir pada hari ini Jumaat.

Apakah pengumuman itu akan dibuat petang ini ? – 2/2/2024




Pengampunan Najib…media Singapura dakwa hukuman dikurang dari 12 ke 6 tahun

Ketika media tempatan sedang menanti kenyataan rasmi dari Lembaga Pengampunan mengenai kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak…sebuah media terkenal Singapura tampil dengan satu laporan mengenainya.

Ia mendakwa Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Malaysia daripada 12 kepada enam tahun.

Laporan saluran televisyen Channelnewsasia (CNA) pada Rabu itu memetik sumber pegawai kanan kerajaan.

CNA juga mendakwa keputusan Lembaga Pengampunan dalam mesyuaratnya pada 29 Januari kelmarin mengurangkan denda RM210 juta yang dikenakan keatas Najib kepada jumlah yang tidak ditentukan.

Setakat ini www.x-press.my sendiri belum dapat mengesahkan kebenaran laporan ini.

CNA mempunyai pejabat cawangan di Kuala Lumpur.Juga diketahui kalangan wartawan saluran itu di sini mempunyai contact rapat dengan sebilangan ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau masuk penjara pada Ogos 2022.

Menurut laporan CNA pengurangan itu bermakna Najib dijangka menyelesaikan hukumannya pada Ogos 2028.

Tetapi jika ditolak parol untuk berkelakuan baik, beliau dijangka bebas pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara.

Spekulasi hangat mengenai pengampunan Najib berlegar selepas Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengesahkan pada Selasa bahawa ahli lembaga termasuk dirinya sertai mesyuarat Lembaga Pengampunan pada hari Isnin.

Mesyuarat berkenaan adalah salah satu tugas rasmi terakhir Sultan Abdullah Ri’ayatuddin sebelum baginda berundur sebagai Yang Dipertuan Agongpada 31 Januari dan menyerahkan peranan itu kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan oleh Lembaga Pengampunan.

Dalam pada itu ketika kehangatan spekulasi mengenai isu pengampunan Najib Selasa semalam ,Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta pengamal media menantikan kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan.

Beliau merujuk kepada laporan sebuah portal yang memetik sumber mengatakan bahawa Najib telah mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata adalah penting bagi pengamal media memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berita itu diterbitkan.

Beliau berkata dalam isu-isu besar, adalah penting untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi apabila memilih untuk melaporkan berita berdasarkan sumber.

Ditemui wartawan lagi pada Rabu Fahmi ulangi kena tunggu kenyataan rasmi.

“Saya telah menyatakan kita perlu tunggu kenyataan media.

“Saya minta media dalam dan luar negara untuk kita tunggu kenyataan rasmi,” katanya

Ditanya pasal laporan CNA bahawa hukuman terhadap Najib dikurangkan daripada 12 ke enam tahun, Fahmi meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri.

Malah, dia berkata “saya bukan sumber CNA”.

“Tunggu kenyataan rasmi dan ikut. Kalau tidak timbul pelbagai reaksi.

“Kita perlu tunjuk profesionalisme”,” katanya.

Fahmi juga mengaku kabinet ada membincangkan isu berkaitan Najib tetapi menegaskan perkara itu diseleraskan oleh Lembaga Pengampunan.

“Kamu dan saya kena tunggu,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution beritahu wartawan kabinet dimaklum sepintas lalu mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan Isnin lalu.

Namun katanya mereka faham lembaga berkenaan bukan bidang kuasa kabinet.

“Lembaga Pengampunan seperti dalam perlembagaan, menyatakan dengan jelas bawah bidang kuasa siapa, keanggotaan bagaimana,”katanya.

Ditanya siapa yang akan mengumumkan keputusannya, Saifuddin menjawab dia tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Pengampunan.- 31/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Apa cerita pengampunan Najib…?

Setelah selesai istiadat keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Pahang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa…perhatian kini bertumpu pada isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apakah bekas Perdana Menteri yang sedang jalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah dalam kes SRC mendapat pengampunan dari Lembaga Pengampunan?

Tandatanya juga berlegar apakah soal pengampunan Najib ada dibincangkan oleh lembaga yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong itu.

Mesyuarat berkenaan ialah menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir pada Selasa dan baginda kembali sebagai Sultan Pahang.

Desus desus mengenai isu ini jadi semakin hangat bila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang jaga portfolio Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustapha mengesahkan kepada wartawan selepas satu acara di Kuala Lumpur Selasa bahawa lembaga itu telah adakan mesyuaratnya Isnin semalam.

Katanya mesyuarat lembaga itu berlangsung di Istana Negara.

Dr Zaliha enggan beritahu apa yang dibincang dalam mesyuarat itu.

“Tunggu pengumuman rasmi oleh lembaga itu,”katanya.

Dr Zaliha ialah salah seorang anggota Lembaga Pengampunan.

Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

mamakkencing

Pekerja kencing di longkang, restoran mamak kotor diarah tutup kali ketiga

Sebuah restoran mamak di Jalan Hang Tuah di Melaka diarahkan tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam persekitaran yang kotor.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Dorothy Dayang Henry Sum berkata arahan penutupan selama 14 hari bermula petang Khamis semalam itu dikeluarkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut susulan aduan orang ramai.

Beliau berkata serbuan juga dilakukan berikutan video tular berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang pekerja restoran terbabit kencing secara terbuka di longkang di belakang premis menjual makanan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kita turut keluarkan empat notis kompaun bernilai keseluruhan RM1,500 atas pelbagai kesalahan. Premis diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak bersih, selain premis ini juga memperoleh markah 64 peratus ke bawah hasil daripada penilaian yang dilakukan penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di premis itu Khamis.

Dorothy Dayang berkata pihaknya turut mengesan puntung rokok dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan perbuatan merokok tidak boleh dilakukan di dalam premis penyediaan makanan serta perlu jarak sejauh tiga meter dari meja terakhir.

“Kita juga dapati tiada tandas di dalam premis ini, yang ada hanyalah di stor iaitu di bangunan bersebelahan premis, namun tidak mempunyai air menyebabkan pekerja terpaksa menggunakan tandas di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata restoran itu sebelum ini pernah diarahkan tutup sebanyak dua kali pada 2022, bagaimanapun tetap mengulangi kesalahan sama, justeru menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa.

“Premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan dan jika masih ingkar, boleh dikenakan arahan penutupan di bawah akta berkaitan,” katanya.- 2/2/2024

imigresen11

Lebih 100 tahanan imigresen lolos, seorang maut kemalangan

Sebanyak 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi ialah warga Myanmar.

“Kami menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan kesemua tahanan itu telah melarikan diri … seorang lelaki disyaki tahanan yang lolos terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian di KM 335 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Beliau berkata pencarian kesemua tahanan yang lolos dan siasatan masih diteruskan dengan bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan IPD Tapah melalui talian 05-4015222,” katanya.- BERNAMA – 3/1/2024

anwar-agongbaru

Inilah tugas rasmi pertama YDP Agong…

Pagi Khamis….sehari selepas melafaz sumpah jawatan sebagai Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim terima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia berlangsung di Istana Negara.

Anwar menerusi facebook beliau memberitahu dalam sesi menghadap ini, beberapa perkara telah disembah maklum kepada Duli Tuanku antaranya terkait perkembangan terkini negara serta isu-isu melibatkan rakyat keseluruhannya.- 1/2/2024

anwar-penjawatawam

Mansuh pencen: “Kalau tanya saya, saya boleh tangguh biar PM lain yang buat”….

Dari bunyi ayatnya sudah terang lagi bersuluh cadangan pemansuhan pencen penjawat awam akan jalan terus.

Kalau ikut pertimbangan politik memang agak berat untuk pikul cadangan yang libatkan periuk nasi ramai orang.

Namun kita sudah boleh buat andian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah set untuk kasi jadi cadangan yang kontrovesial ini.

Pendirian itu nampak agak jelas disampaikan menerusi ucapan ketika merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan) di Rembau Khamis.

Cadangan itu menjadi bahan polimek hangat sejak ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada 24 Januari baru ini.Katanya ia cuma libatkan kakitangan awam baru saja manakala yang lama kekal dapat pencen.

Dalam ucapan itu Anwar maklumkan bahawa cadangan nak mansuhkan pencen bukan cerita baru.

Katanya cadangan itu wujud sejak beliau kali pertama jadi Menteri Kewangan pada tahun 1990han dulu.

“Kes berkaitan isu pencen penjawat awam ini sudah lama. Semasa saya menjadi Menteri Kewangan dulu iaitu tahun 90-an, ada cadangan untuk mengkaji semula bahawa keputusan untuk membatalkan skim saraan pencen ini dikemukakan sejak tahun 90an,”katanya.

Beliau bimbang jika sesuatu langkah tidak diambil nanti tiba masanya pencen tidak mampu dibayar.

kata Anwar beliau boleh lepas tangan serah hal itu ditanggong oleh Perdana Menteri lain.

“Kalau tanya saya, saya boleh tangguh biar perdana menteri lain yang buat. Tapi sampai di suatu peringkat, tak boleh bayar (pencen). Sebab itu kita kena lihat fakta, unjurannya.

Beliau beritahu cadangan pemansuhan pencen penjawat awam belum dimuktamadkan dan perlu diperjelas supaya penjawat awam yang baharu, mendapat maklumat yang tepat serta tidak merasakan mereka kelompok orang yang rugi, jika sistem saraan berkenaan dilaksanakan.

Menurut Perdana Menteri beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu di Dewan Rakyat, jika mendapat persetujuan Kabinet.

“Kalau Kabinet bersetuju, saya akan bentangkan (di Dewan Rakyat) dan kalau ada Ahli Parlimen hendak tolak, dia tolak tapi saya akan bentang atas tanggungjawab moral,” katanya.

Beliau juga jelas membayangkan bahawa langkah pemansuhan pencen itu akan turut libatkan orang politik .

Anwar berkata, kerajaan bersedia mendapatkan pandangan daripada Ahli Parlimen terlebih dulu walaupun mungkin akan ada permintaan daripada mereka untuk mewujudkan elaun khas dan sebagainya seperti penjawat awam.

“Saya akan dengar kerana setakat ini belum lagi bentangkan kepada ahli-ahli Parlimen kecuali perbincangan awal. Sukar bagi saya hendak nyatakan jika dibuat pengecualian kepada orang politik.

“Kalau dia hendak elaun-elaun khas atau lain-lain seperti juga penjawat awam, boleh bincang tetapi dari segi ‘consistency’ (keseragaman) dalam memperkenalkan sesuatu dasar, ia perlu bersama,” katanya.

Dalam ucapan itu Anwar juga memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja sealiran menyokong langkah kerajaan mempertingkat tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.

Beliau menyeru semua pemimpin serta penjawat awam agar bersama-sama memerangi rasuah dan menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk meningkatkan martabatnya sebagai negara yang hebat.

“Pagi tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Baginda sealiran dan mahu menyokong langkah-langkah peningkatan tatakelola untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.

“Saya fikir ini kesempatan yang baik, saya ingin menyeru semua penjawat awam memberikan khidmat sebaik mungkin… saya yakin Malaysia diangkat kalau kita gunakan dasar yang betul dan bersihkan daripada amalan bobrok,” katanya.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Perdana Menteri juga berkata negara ini tidak mengizinkan kuasa serta sistem pemerintahan dijadikan kesempatan untuk memunggah kekayaan dan perkara itu perlu dinoktahkan sebagai pengajaran.

“Pemimpin seharusnya memikul tanggungjawab sebagai satu amanah, pengukuran kejayaan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bukan berbilion ringgit digondolnya,” kata beliau.

Anwar berkata sepanjang setahun pemerintahan, beliau tidak pernah mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan keputusan Badan Kehakiman.

“Sebab itu saya memberi laluan penuh kepada SPRM, saya tidak memberi arahan untuk menangkap individu A, menggeledah rumah individu B, saya beri arahan umum, hendak selamatkan negara mesti cari jerung besar, beri satu pengajaran supaya hal ini tidak berlaku lagi,” katanya. – 1/2/2024

hot-ok

KEMASKINI: Akauntan,pemandu pelancong dan pelajar antara 6 wanita terlibat video lucah ‘Hot Daddy’ didakwa

Kawasan mahkamah majistret Kuala Lumpur pada Rabu gamat sikit bila enam wanita didakwa atas tuduhan memiliki video lucah yang dikaitkan dengan bapa tiga anak dikenali ‘Hot Daddy’.

Empat daripada wanita berkenaan termasuk seorang penuntut universiti, didenda di antara RM2,500 dan RM4,800 selepas mengaku salah atas tuduhan memiliki video lucah bagi maksud menunjukkannya secara awam.

Tertuduh yang mengaku salah itu adalah Nurnabilah Ayuni Hanafi (penganggur), 22; Amira Natasha Mohammad (pemandu pelancong), 26; Nur A’liaa Muhamad Rosly (penuntut universiti), 22; dan Farah Adila Hanum Khairuddin (eksekutif pemasaran), 36.

Mereka juga diperintahkan dipenjara antara sebulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dua lagi wanita iaitu akauntan, Norfatihah Ramle, 30, dan penuntut kolej Felecia Lisa Nandong, 21, tidak mengaku bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 dan Norfatihah diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 12 Mac dan 26 Mac ini bagi sebutan kes.

Jumaat lalu ‘Hot Daddy’ atau nama sebenar Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, didakwa mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Hasli Ikhwan Arif dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Mereka ditahan pada 17 Januari lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan oleh JSJ sebelum ini mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan kadar RM100 bagi 200 video sebulan dan RM20 bagi 13 video sebulan.- 31/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Kes ‘Hot Daddy’…6 lagi wanita ditahan

Pada Jumaat lalu dua wanita dihadapkan ke mahkamah bersama lelaki digelar ‘Hot Daddy’ dalam kes kegiatan jual video aksi seks mereka sendiri menerusi media sosial.

Terbaru seramai enam orang lagi wanita ditahan.

Mereka berusia berusia 21 hingga 36 tahun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek diberkas pada minggu lepas menerusi fasa kedua Op Daddy.

“Siasatan mendapati kesemua wanita itu melakukan hubungan seks secara sukarela, tiada paksaan dan ada yang bermotifkan keuntungan. Kesemua mereka telah direman bagi membantu siasatan, bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam penghasilan video seks,” katanya.

Mohd Shuhaily turut mengingatkan orang awam bahawa, tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang menyimpan bahan-bahan pornografi di dalam gajet termasuk telefon bimbit, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Beliau beritahu demikian pada sidang akhbar selepas program Dialog Awam bersamanya di Klang,Isnin.- 29/1/2024

BERITA SEBELUM INI : ‘Hot Daddy’ yang jual video aksi seks sendiri di media sosial didakwa di mahkamah

Inilah wajah ‘Hot Daddy’ dan dua rakan wanitanya yang diberkas polis pada 17 Januari lalu kerana kegiatan jual video aksi seks mereka sendiri menerusi media sosial.

Lelaki itu Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norhidayah Mahadi, 24 dan Norshazrina Md Zamri, 27 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X.

Lelaki berstatus duda itu yang juga dikatakan bergiat sebagai gigolo diberkas kerana menjalankan aktiviti menjual rakaman video seksnya dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial ditahan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Di rumah di Janda Baik dimana mereka ditahan turut didiami oleh bapa lelaki itu.

Hasil Ikhwan ada tiga anak yang masih kecil, berusia 12, 10 dan empat tahun.

Siti Aminah selepas mendengar hujah pendakwa dan pembela menetapkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, mengambil kira kepentingan awam, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiganya kerana pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah yang serius.- 26/1/2024

mahfuz-sanusi-ok

Fitnah beli Vellfire…Mahfuz kena bayar RM250,000 pada Sanusi

Hantaran dimuat naik Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar di Facebooknya iaitu ‘Komen Politik Semasa’ yang mengandungi fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan pembelian Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi, pada 17 Oktober 2020 mengundang padah.

Pada Rabu Mahkamah Tinggi Alor Star memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Muhammad Sanusi Nor berhubung saman fitnah berkaitan pembelian sebuah kereta mewah, empat tahun lalu.
.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari.

Hakim itu dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kesemua kenyataan Mahfuz kononnya Muhammad Sanusi membeli Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Menteri Besar Kedah itu.

Mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi yang perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dan terma permohonan maaf hendaklah disemak dan dipersetujui oleh plaintif.

Mahfuz turut diperintah menarik balik hantaran Facebook dan video yang dimuat naik pada tarikh itu dan dilarang memuat naik atau menyiarkan apa-apa kenyataan atau video atau kandungan media atau apa-apa bentuk yang mengandungi maklumat atau kandungan yang serupa atau menyentuh isu yang sama atau berkaitan.- 31/1/2024

Sultan_Ibrahim_Agong_5

Sultan Ibrahim angkat sumpah YDP Agong ke-17

KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Rabu mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Pada istiadat itu turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh
yang sama.

Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Ibrahim akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi dan dijadual berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.

Istiadat Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi sebelum Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan anakanda-anakanda turut berangkat ke istiadat bersejarah itu.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

Sementara itu Istana Negara memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Raja Permaisuri Agong yang telah dikemas kini.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim, memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau turut memaklumkan, nama rasmi bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.- 31/1/2024

Wan-JAN

Bicara kes AMLA, rasuah Wan Saiful, 50 saksi pendakwa akan dipanggil

KUALA LUMPUR – Seramai 50 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rasyidah Murni Azmi memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Rozina Ayob Selasa.

“Sebahagian besar pernyataan saksi itu agak panjang, maka prosiding (perbicaraan) bergantung kepada pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan,” kata Rasyidah Murni yang mengendalikan kes bersama TPR Nor Diana Nor Azwa

Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata pihaknya belum menerima pernyataan saksi daripada pendakwaan tetapi telah menerima empat ikatan dokumen berkaitan kes dan berharap pernyataan saksi dapat diberi lebih awal bagi membuat persediaan sebelum perbicaraan bermula.

Rozina berkata tarikh perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 21Mei, 19 hingga 21 Jun; 24 dan 25 Jun: 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos dikekalkan selain menetapkan tarikh tambahan bicara pada 19 hingga 23 Ogos.

Difahamkan, antara saksi-saksi yang akan dipanggil ialah kakitangan bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta ahli politik.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantubsyarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). -BERNAMA-30/1/2024

pau2

KEMASKINI : Kes ‘bayar sini RM100, balai RM300’..tiga anggota polis ditahan

Lanjutan dari kes saman pelancong asing yang naik campervan ‘bayar sini RM100, balai RM300’….tiga anggota polis Perak ditahan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu dalam kenyataan Selasa tiga anggota polis trafik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu berusia lingkungan 37 hingga 42 tahun.

Katanya mereka telah direman selama tiga hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular mengenai tindakan anggota trafik yang telah menahan pasangan pelancong warga United Kingdom (UK).

Katanya, anggota trafik itu kemudiannya telah menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan berjumlah RM100 di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Kertas siasatan kes ini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah dilengkapkan.

“Selain itu, siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga turut dijalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- 30/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Sangat memalukan…kes saman pelancong asing ‘bayar sini RM100, balai RM300’

Kalau mengikut andaian melihat pada video kejadian ramai yang rasa (jika betul apa yang dilihat itu) kes ‘bayar sini RM100, balai RM300’ sangat memalukan.

Ini berikutan klip video pada saluran you tube Tread the globe,milik pasangan dari United Kingdom yang papar kisah disaman polis Malaysia kerana camper van mereka melanggar had laju.

Saluran Tread the globe mempunyai seramai 139,000 pengikut.

Semasa berita ini ditulis jam 11.30 malam Ahad seramai 61,000 orang sudah menonton klip video berkenaan bertajuk ‘UK Van Lifers STOPPED by the Police in MALAYSIA’.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Perak baru baru ini selepas mereka turun dari Cameron Highland itu polis trafik itu kedengaran berbual dengan mereka.

Setelah memberitahu kesalahan mereka anggota polis itu telah beri pilihan samaada bayar saman RM300 di balai atau bayar di situ RM100.

Dua pelancong itu telah bayar tunai RM100 kepadanya.

Pemandu campervan itu bertanya kepada anggota polis itu sama ada dia perlu menyemak dokumen mereka, namun polis itu memaklumkan ia tidak perlu.

Video berkenaan dipercayai dirakam menerusi dashcam campervan itu.

Dua pelancong itu adalah dalam pengembaraan keliling dunia guna campervan dan Malaysia merupakan negara ke-37 yang mereka lawati.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mereka menyedari video itu yang tular di media sosial hari ini dan berjanji akan menyiasatnya.

“Pihak JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut serta tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan Ahad malam.- 28/1/2024