syedsadiq3

Syed Saddiq lantik bekas Peguam Cara Negara ketuai rayuan kes rasuah

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melantik peguam baharu bagi mewakili beliau dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara, denda dan rotan, bagi kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Peguam Syed Saddiq, Alex Tan Chie Sian dari firma Messrs Wong Kian Kheong ketika dihubungi Bernama berkata bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin dan peguam kanan Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mewakili bekas presiden parti Muda itu dalam rayuannya.

Beliau berkata firma Messrs Wong Kian Kheong akan mengambil alih tanggungjawab sebagai peguam cara Syed Saddiq dalam rayuan itu, dengan Mohd Yusof sebagai peguam utama.

Pengurusan kes hari ini berlangsung di hadapan penolong kanan pendaftar Nurul Azrina Mohamed yang menetapkan 15 Mac sebagai tarikh pengurusan kes yang baharu, apabila rekod rayuan dan alasan penghakiman belum disiapkan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali mewakili pihak pendakwaan pada pengurusan kes hari ini, manakala Tan mewakili Syed Saddiq.

Peguam utama Syed Saddiq sebelum ini Gobind Singh Deo kini memegang jawatan sebagai Menteri Digital susulan rombakan Kabinet pada 12 Dis lepas.

Pada 9 Nov lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta, dan dua sebatan terhadap Syed Saddiq selepas disabit dengan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang.

Syed Saddiq, 30, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, dia didakwa menyalahguna harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 AMLATFPUAA), dia didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya, ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun 2018.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.

Syed Saddiq meletak jawatan sebagai Presiden Muda selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan berkenaan.- Bernama- 18/1/2024

genting1

Kisah anak tingkatan tiga joli duit Tabung Haji ibu RM25,000 di Genting Highland…

Kisah seperti ini memang jarang berlaku.Namun ia sudah tentu boleh buat kalangan ibubapa lebih berwaspada pada gelagat anak anak.

Rasa sukar nak percaya tetapi hakikatnya ia berlaku.

Kejadian diberitahu oleh Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kes itu polis telah menahan tiga orang yakni seorang pelajar tingkatan tiga,rakannya berusia 17 dan seorang lelaki berusia 29 tahun.

Ia akibat dari angkara seorang pelajar tingkatan tiga yang bersama dua rakan itu berpakat tipu ibu kandongnya seorang pembantu klinik berusia 58 tahun wang sebanyak RM25,000.

Wang berkenaan adalah wang simpanan ibunya di Tabung Haji.

Mereka bertiga telah habiskan duit itu berjoli termasuk di Genting Highland.

Pelajar itu menipu ibunya dia ditahan ‘polis’ dan memerlukan RM25,000 untuk melepaskannya selepas menghilangkan diri dari rumah 27 November lalu.

Superintendan Arshad Abu memberitahu pihaknya menerima laporan dibuat wanita berkenaan pada 2 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu mendakwa anak tunggalnya berusia 15 tahun didapati tiada di rumah mereka di Masjid Tanah sejak 27 November lalu.

“Selepas beberapa hari menunggu dan anaknya masih tidak pulang ke rumah, wanita itu kemudiannya pergi berjumpa dengan rakan sekolah anaknya dikenali sebagai Acap.

“Remaja 17 tahun itu memberitahu anak pengadu sedang ditahan polis dan perlu membayar sejumlah wang untuk membebaskannya,” katanya.

Katanya wanita terbabit yang terperdaya dan bimbang keselamatan anak tunggalnya itu kemudiannya pergi ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah pada 29 November lalu dan mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 sebelum diserahkan kepada Acap.

“Wanita itu kemudiannya membuat semakan pada 1 Disember lalu di Balai Polis Seremban melalui adik iparnya dan terkejut mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat atas nama anaknya.

“Ketika itulah mangsa tersedar dan mengesyaki ditipu oleh Acap sebelum membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut polis membawa kepada penahanan tiga suspek termasuk anaknya yang dipercayai bersubahat dengan Acap dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang berperanan menyamar polis.

“Ketiga-tiga suspek akan dituduh esok (Jumaat) di Mahkamah Majistret Alor Gajah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,” katanya.- 18/1/2024

ns2

Langkah apa pula ni…?

Tiba tiba dengar konon ada ‘Langkah Seremban’. Ia sudah tentu ada kait mengait dengan Negeri Sembilan bila ibu negeri itu dijadikan nama lokasi.

Namun Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias segera potong cerita.

Ini gara gara ada yang bawa mulut konon wujud usaha untuk tumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

“Saya sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan serta bersama 13 ADUN lain akan terus menyokong dan mengekalkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,”tegasnya.

Beliau nafi wujud perbalahan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) dan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH).

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang ditemui wartawan ketika melawat pembinaan Masjid Kariah Kampung Kerangai di Jelebu Khamis.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diwakili 14 ADUN daripada BN, 17 PH dan lima daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti mudah membentuk kerajaan adalah 19 kerusi.

Menurut Jalaluddin mereka komited secara bersama memberi tumpuan membangunkan ekonomi dan masyarakat di negeri ini dan ketika ini sudah wujud persefahaman yang cukup baik antara BN dan PH.

“Kita komited dan akan terus menyokong dan mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar, tidak timbul isu mengenainya lagi,” katanya.- 18/1/2024

sprm2

KEMASKINI : Anak bekas PM yang diminta isytihar aset kepada SPRM ialah Mirzan Mahathir

Soalan sudah terjawab pasal siapakah anak bekas Perdana Menteri yang diminta beri keterangan kepada SPRM.

Menerusi satu kenyataan pada petang Khamis SPRM kata ia telah menyerahkan perintah notis kepada ahli perniagaan Mirzan Mahathir.

Anak Tun Dr Mahathir itu diminta mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari, dalam siasatan berhubung maklumat dalam Kertas Panama.

SPRM berkata notis itu diserahkan Mirzan semalam ketika dia hadir di ibu pejabat suruhanjaya antirasuah berkenaan di Putrajaya.

“SPRM mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.

Menurutnya perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM berkata pihak mereka memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.

Kertas Panama merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016.

Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.- 18/1/2024



BERITA SEBELUM INI : Siapakah dia ….?

Hari ini ada teka teki….

Soalan ini hangat berlegar bila tersebar khabar SPRM mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri semalam,Rabu.

Keterangan berkenaan dikatakan berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990han.

Sejak merdeka tahun 1957 kita ada lapan bekas Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman yang pertama kemudian Tun Razak,Tun Hussien Onn,Tun Dr Mahathir,Tun Abdullah Badawi,Datuk Seri Najib…(balik kepada Tun Dr Mahathir ketujuh) kemudian Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang pegang jawatan sekarang ialah yang ke sepuluh.

Siapa agaknya dikalangan bekas Perdana Menteri ini yang ada anak yang diketahui umum ligat berniaga pada akhir tahun 1990han?

Jadi anak lapan bekas Perdana Menteri yang mana?

Kalau sebut bab perniagaan pada akhir tahun 1990an…rasanya kita sudah boleh tolak sebelah anak Tunku Abdul Rahman,Tun Hussien dan Tun Razak.

Tumpuan kini pada kalangan anak Dr Mahathir,Abdullah Badawi,Najib,Muhyiddin atau Ismail Sabri.

Dalam pada itu Ismail Sabri yang jadi Perdana Menteri 2021 hingga 2022 misalnya pada akhir 1990han anaknya masih kecil waktu itu dan tidak dengar kisah keluarganya dikait dengan perniagaan.

Muhyiddin pula jadi Perdana Menteri 2020 ke 2021.Kebelakangan ini tak dengar kisah anaknya niaga hujung 1990han.

Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri 2003 hingga ke 2009 manakala Najib dari 2009 ke 2018

Dr Mahathir pula dari 1981 sampai 2003 dan kali kedua pegang jawatan itu 2018 hingga 2020.

Semua orang tahu ada kalangan anaknya berniaga besar.

Namun Dr Mahathir pernah berkali kali menafikan guna pengaruh dan jawatannya bantu anak anaknya dalam perniagaan.

Apapun cuba kaji dan selak sejarah latar belakang keluarga mereka dalam cari jawapan.

Bernama melaporkan sumber SPRM ketika dihubungi memaklumkan individu terbabit dipanggil memberi keterangan termasuk bagi mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara.

Siasatan itu difahamkan terhadap syarikat kepunyaan individu berkenaan yang didakwa membeli sebuah subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Siasatan kali ini memerlukan dia mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara secara bertulis,” kata sumber itu.

Disember tahun lepas, media melaporkan SPRM telah memanggil individu terbabit untuk diambil keterangan berhubung dakwaan salah laku rasuah serta penyelewengan.- 18/1/2024

kabinet1

Siapa yang kena kurung di Cyberjaya?

Adakalanya maklumat mengarut yang disebar boleh jadi viral tak tentu pasal.

Contohnya seperti video berdurasi sembilan saat memaparkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dikurung di satu lokasi di Cyberjaya.

Sedangkan segala macam berita sudah keluar di suratkhabar,televisyen dan menerusi media internet bahawa di Cyberjaya berlangsung Program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024.

Ia turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program itu berlangsung di Cyberview Resort & Spa selama dua hari.

Semasa sidang akhbar selepas berakhir program Pemukiman pada Khamis Perdana Menteri menjelaskan, tidak timbul isu berkenaan.

Menurutnya ia hanya program membabitkan barisan Jemaah Menteri dan pegawai kanan kerajaan.

“Pemukiman ini sebahagiannya ada menteri dan ada senator dan untuk menjimatkan kos semua menteri diarah tidur di rumah masing-masing. Ini tidak ada isu,”katanya.- 18/1/2024

drm1

Dr Mahathir pertahan dakwaan terhadap kaum India…sedia bersemuka dengan Menteri Perpaduan

Sekalipun berdepan kritikan pelbagai pihak terhadap dakwaannya persoal kesetiaan kaum India pada negara,Tun Dr Mahathir tetap tidak berganjak.

Malah pada Rabu bekas Perdana Menteri itu bertanya kenapa wujud parti-parti berasaskan kaum di negara ini…untuk pertahan dakwaan beliau.

Serentak dengan itu beliau kata sedia berdepan dengan Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang.

Ia selepas Aaron kata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang sengaja mencipta ketegangan.

Menteri itu hairan kenapa Mahathir membangkitkan perkara itu.

Dalam ciapan di media sosial X pada Rabu Dr Mahathir kata ,”Saya sedia jumpa dengan menteri Aaron Ago Dagang seperti yang dia cadang. Saya harap dia datang.”

Kontroversi berbangkit bila Dr Mahathir dalam interbiu menerusi talian dengan satu saluran televisyen India mendakwa orang India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara kerana mereka masih terikat” dengan negara asal.

Katanya seseorang itu harus bercakap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa untuk menganggap negara itu sebagai negara sendiri.

Mahathir berkata pihak yang asyik bercakap tentang masyarakat majmuk tetapi mengkritiknya berkait isu bangsa perlu bertanya kenapa wujud parti-parti berasaskan kaum di negara ini.

“Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia. Ada parti yang dakwa mereka parti multiracial tetapi bekas pemimpin mereka kata parti itu fake multiracial, iaitu palsu,”katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyifatkan tindak tanduk buat kenyataan berunsur perkauman sebegitu suatu kecenderungan Dr Mahathir.

“Dia sememangnya terkenal. Orang Melayu bagi dia malas, melainkan dia. Orang India dan Cina itu dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia,” katanya yang anggap kenyataan bekas Perdana Menteri itu sangat tidak bertanggongjawab.- 17/1/2024

AIR-BIL

Tarif air naik 22 sen semeter padu 1 Februari

Bermula 1 Feb ini, pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana, demikian menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pelarasan itu, yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif di mana struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan tarif itu tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.

“Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPAN, pelaksanaan pelarasan tarif air itu adalah berdasarkan keperluan dan permintaan Kerajaan Negeri namun Kerajaan Persekutuan melalui suruhanjaya berkenaan akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif tersebut.

Bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, SPAN menyarankan operator bekalan air di setiap negeri untuk meneruskan inisiatif sedia ada dengan memberi bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.

Melalui semakan tarif itu, SPAN berkata operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

Antaranya untuk pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna.

“Pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” menurut kenyataan itu.

SPAN turut menyeru pengguna agar mengamalkan penggunaan air secara berhemat termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh suruhanjaya itu, membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing serta memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber alternatif untuk kegunaan bukan minuman.Bernama- 17/1/2024

daim25

Siasatan SPRM terhadap Tun Daim tak boleh dicabar melalui semakan kehakiman

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tun Daim Zainuddin dan keluarganya tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan berhujah jika mahkamah membenarkan permohonan itu, ia akan membuka laluan kepada tindakan undang-undang bagi mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian yang boleh membawa kepada kekacauan dan rusuhan.

“Kuasa penyiasatan tidak boleh dicabar dan jika semakan kehakiman itu dibenarkan, ia akan menghalang proses siasatan. Bagi setiap siasatan, permohonan semakan akan difailkan justeru penyiasatan tidak akan selesai.

“Kami berhujah bahawa kuasa penyiasatan tidak boleh disemak semula oleh mahkamah ini,” katanya di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM.

Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, serta Muhammed Amin Zainuddin, 25, bersama-sama Ilham Tower Sdn Bhd telah memfailkan permohonan itu pada 10 Jan lepas dan menamakan SPRM serta Pendakwa Raya sebagai responden.

Pada prosiding hari ini, Shamsul berhujah bahawa kuasa SPRM untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah antara mekanisme bagi siasatan yang diperuntuk dalam Bahagian VI Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Agensi penguatkuasa undang-undang diberikan kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk membekukan aset seseorang apabila memenuhi beberapa syarat,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran perintah itu hanya dibuat apabila agensi penguatkuasa telah memulakan siasatan terhadap individu terbabit dan terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki sama ada individu itu telah melakukan atau akan melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau aset tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram.

Baca artikel lain: SPRM tangguh ambil keterangan, Tun Daim dimasukkan ke hospital

Peguam Tan Sri Tommy Thomas pula berhujah sehingga hari ini, Daim dan keluarganya tidak pernah dimaklumkan mengenai fakta berkaitan dakwaan terhadap mereka.

“SPRM hanya merakam keterangan Daim setahun setengah selepas Kertas Pandora dikeluarkan. Hanya pada Jun 2023, hampir dua tahun selepas itu, SPRM mula mempergiat tindakan terhadap Daim dan membekukan aset keluarganya,” kata beliau.

Thomas juga berkata SPRM secara tidak sah telah membekukan akaun anak guamnya sejak 7 Jun 2023, menyerbu dan menyita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat pada 18 Dis 2023, menggeledah kediaman Daim sebelum ini serta menyita 11 kenderaan pada 3 Jan lepas.

Beliau juga berkata Daim akan diprejudis jika beliau didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

“Anak guam saya kini berusia 85 tahun dan mengharapkan beliau mengingati perkara yang berlaku 26 tahun lepas adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.

Hakim Wan Ahmad Farid menetapkan 4 Mac sebagai keputusan.

Menerusi permohonan itu, mereka mendakwa pada 30 Dis 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu kertas siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim mendakwa Kertas Pandora adalah fail sulit yang bocor pada 2021, mendedahkan nama-nama pemilik syarikat pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak membuktikan sebarang kesalahan dilakukan oleh beliau dan keluarganya.

Justeru, antara lain Daim dan ahli keluarganya memohon mahkamah memerintahkan SPRM dan para pegawainya agar membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap mereka dari Februari 2023 hingga kini selain notis yang dikeluarkan oleh agensi antirasuah itu.— BERNAMA-16/1/2024

tidor5

Kenapa takut ‘ditidurkan’ …

Entah kenapa perkataan ‘ditidurkan’ telah mencetuskan ketakutan.

Ini semua gara gara semasa kemuncak kes Covid-19 dulu terlalu banyak kisah pesakit ‘ditidurkan’ berlegar.

Persepsi masa itu ialah bila sampai tahap ‘ ditidurkan’ maka pasakit sudah kritikal dan sukar diselamatkan.

Maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil untuk berikan penjelasan berhubung perkataan ‘ditidurkan’.

Katanya tanggapan ini hanyalah salah faham yang wajar dibetulkan agar informasi tidak tepat dapat dibendung penyebarannya.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak kesahihan video yang ditularkan agar ianya tidak menyebabkan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Maklumat sahih hanya boleh diperolehi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kenyataan KKM disertakan dengan lakaran pasal ‘ditidurkan’ untuk lebih mudah difahami.

Menurutnya fakta sebenarnya adalah ditidurkan (induced coma) ialah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa terutamanya apabila seseorang pesakit mengalami keadaan klinikal yang kritikal dan mengancam nyawa.

Pesakit yang ditidurkan namun kemudian meninggal dunia bukanlah disebabkan proses ditidurkan.

Sebaliknya disebabkan status kesihatan yang semakin kritikal dan kegagalan organ yang semakin merosot.

Mengulas lanjut, KKM berkata, antara indikasi pesakit perlu ditidurkan adalah pesakit tidak boleh bernafas dengan sendiri.

“Selain itu, tahap oksigen yang rendah dalam darah, kemerosotan fungsi organ utama dan saluran pernafasan tersumbat.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak kesahihan video yang ditularkan agar ianya tidak menyebabkan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.- 16/1/2024

bendera-putih.jpeg

Langkah Dubai….bendera putih sudah berkibar…?

Ada orang yang anggap Langkah Dubai ini ibarat ular dalam semak.

Riuh sana riuh sini baik di blok pembangkang maupun di belah kerajaan.

Anihnya pada waktu yang sama ada semacam mainan silap mata.

Kalau tidak mana mungkin sampai ke hari ini masih ada orang yang bertanya apakah Langkah Dubai ini sahih dan bukan cerita dongeng.

Pelik bukan…kita bercakap bab langkah yang bukan sebarang langkah….juga ini bukan cerita main pondok pondok…tetapi melibatkan kedudukan sebuah kerajaan.

Sudah tentu ramai akan terasa amat bodoh jika benar Langkah Dubai ini cuma satu wayang politik.

Dari maklumat beberapa sumber layak dipercayai yang www.x-press.my dapat Langkah Dubai memang wujud dalam bentuk satu gerakan politik.

Kenapa kali ini namanya Dubai…kerana ikut ceritanya nun jauh di kota Emiryah Arab Bersatu terletak lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur itu…tempat gerak langkah bermula.

Malah ada yang dakwa dia dengar langkah awal diatur di sebuah rumah di sana milik seorang Ahli Parlimen blok kerajaan.

Dari asalnya desas desus di angin lalu …ia tiba tiba bertukar jadi perhatian umum dan hangat bila seorang pegawai JKOM ambil langkah pertama sebar mengenainya pada 30 Disember lalu.

Lagi bikin hangat …kemudian orang dakwa gerakan itu memang wujud bukanlah seorang Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian UMNO….tetapi oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri.

Pada 2 Januari baru ini Timbalan Perdana Menteri secara terbuka dakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.

Dakwanya lagi beliau menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba dilokasi yang dilaporkan, serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

“Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya.

Zahid enggan mendedahkan identiti mereka.

Namun beberapa nama menjadi bahan bualan tok nujum politik.

Zahid sebaliknya menasihatkan individu yang terlibat menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.

Ada yang dakwa JKOM dan Zahid tembak peluru kapur kearah blok pembangkang untuk cetus perang persepsi yang baru untuk alih perhatian pada isu politik tempatan yang lain.

Mereka yang terlibat dalam gerakan Langkah Dubai dikatakan cukup yakin dapat tumbangkan kerajaan kali ini.

Pada waktu yang sama ada kalangan pemerhati yang bertanya ‘kot lubang mana’ mereka boleh goncang kerajaan.

Ini mengenangkan blok kerajaan ada sekitar 150 sokongan Ahli Parlimen.

Selain itu belum masok lagi faktor politik seperti sokongan dari GRS di Sarawak dan GPS Sabah yang nampak solid pada kerajaan.

Dalam pada itu lima Ahli Parlimen PN sudah bertukar kiblat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini ditambah dengan dakwaan ada sekitar lapan orang lagi yang akan ikut jejak langkah mereka bila Dewan Rakyat bersidang Februari ini.

Di pihak UMNO sendiri Setiausaha Agung Dr Asyraf Wajdi buat kenyataan pada Jumaat untuk beritahu Ahli Parlimen dari UMNO tidak akan boleh tukar sokongan.

Katanya ramai yang mungkin tidak menyedari termasuk penganalisis politik, ahli akademik dan pembangkang bahawa Perlembagaan UMNO telah pun dipinda dalam Perhimpunan Agong Khas Umno pada 13 Jan 2023.

Pindaan itu menghalang Ali-ahli Parlimen UMNO bertindak membelakangi apa jua keputusan parti, termasuk menyertai apa juga pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian UMNO akan tergugur secara automatik sekiranya ahli yang telah dipilih sebagai ahli parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” katanya.

Tidak kurang menarik dicelah kehangatan ini semua pimpinan PN masih main sorok sorok mengenai gerakan itu.

Apakah itu strategi ?…hanya mereka yang tahu.

Orang yang berani melangkah ke depan dakwa secara terbuka Langkah Dubai memang wujud tidak lain tidak bukan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Muhammad Nor.

Malah beliau terus buka cerita mereka sudah cukup jumlah dan cuma tunggu hari saja.

Kecuali Sanusi pimpinan pimpinan lain termasuk Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menafikan sebarang kaitan dengan Langkah Dubai.

Jangan lupa waktu yang sama blogger yang buat siaran menerusi you tube dari Manchester,Raja Petra Kamaruddin terus menerus beri gambaran seolah Langkah Dubai sudah nak jadi sangat sangat.

Dakwanya mereka sudah pegang 120 surat akaun bersumpah dan sedang tunggu dipanggil oleh Yang Dipertua Agong untuk mengadap seorang demi seorang.

Cuba tengok…tiba tiba beberapa hari kebelakangan ini Raja Petra sudah slow down al-kisahnya pasal Langkah Dubai.

Malah posting you tubenya sudah tukar ke topik lain.

Anwar sendiri sudah tampil cabar blok pembangkang buat usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat jika nak tumbangkan kerajaan.

Katanya selama beliau mengetuai kerajaan mereka tidak pernah ambil langkah itu.

Dakwanya mereka tidak punyai kekuatan untuk ambil langkah berkenaan.

Ramai kalangan pemerhati yang turut berpendapat ‘Langkah Dewan Rakyat’ yakni usul undi tidak percaya adalah saluran paling afdal terbaik dan telus pada apa jua langkah.

Soalnya kenapa blok pembangkang tidak berani cuba nasib buat usul undi tidak percaya?

Bab itu masing masing kena buat tafsiran sendiri.

Lojiknya…jika benar benar cukup jumlah sokongan Ahli Parlimen adalah amat sukar untuk bendungnya sebarang langkah sekalipun ada Akta Lompat Parti.

Cuba bayangkan…menjelang sidang parlimen…tiba tiba katakan ada 120 orang Ahli Parlimen buat sidang akhbar bersama untuk mengesahkan dakwaan mereka mampu tumbangkan kerajaan.

Buktinya ‘Langkah Sheraton’ yang cukup jumlah Ahli Parlimen dengan sekelip mata dan mudah tumbangkan kerajaan Pakatan 22 bulan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada ketika blok pembangkang akhir akhir ini nampak kendur dengan isu Langkah Dubai Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zaunuddin tiba tiba muncul pada Jumaat lalu dengan satu kenyataan.

Setelah dua minggu isu ini berlegar Ahli Parlimen Larut itu dakwa Langkah Dubai cuma rekaan semata mata.

“Yang menghairankan, pembangkang sendiri tidak tahu menahu tentang Langkah Dubai,”katanya.

Hamzah juga menegaskan cerita Langkah Dubai bukan dimulakan oleh pembangkang.

Mendengar ini …soalnya apakah kenyataan dibuat oleh Sanusi sahkan mereka sudah ada cukup jumlah Ahli Parlimen dan tunggu hari cuma gempak dan temberang saja ke?

Bukankah ia dengan sendiri menjatuhkan saham politik Sanusi.Jawabnya nanti tentu susah orang nak percaya cakap seorang yang berstatus Pengarah Pilihanraya PN bila beliau buka mulut.

Hamzah dikenali sebagai seorang ‘political operator’ .

Malah ada sumber kata dia tidak terkejut kalau ada orang dakwa Setiausaha Agung PN itu jadi tukang atur gerakan Langkah Dubai.

Dia melihat karektor Ketua Pembangkang itu adalah antara beberapa orang dalam PN yang ada stamina untuk atur sesuatu gerakan.

Namun menerusi kenyataanya…Hamzah jelas sudah cuci tangan menafikan sebarang kaitan dengan gerakan itu.

Bukan setakat itu…malah kata tidak tahu menahu mengenainya.

Kini soalan yang berlegar…apakah menerusi kenyataan itu – pada ketika isu Langkah Dubai makin kendur… Hamzah nak beri mesej blok pembangkang sudah kibar bendera putih ? – 15/1/2024