daim444

Jabatan Peguam Negara sudah bagi lampu hijau SPRM dakwa Daim

Tandatanya mengenai apa cerita bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang disiasat SPRM terjawab hari ini.

Ini gara gara isterinya Toh Puan Naimah Khalid yang didakwa dulu di mahkamah yakni semalam Selasa kerana gagal patuhi notis isytihar harta.

Rupanya Daim sepatutnya sudah didakwa di mahkamah sejak minggu lalu lagi.

Perkara ini diberitahu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Rabu.

Katanya Jabatan Peguam Negara telah beri kebenaran kepada SPRM untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan itu di bawah Akta SPRM sejak minggu lalu.

Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal isytihar beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Namun pertuduhan belum dapat dilakukan kerana Daim dimasukkan ke hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.

Azam kecewa pada doktor yang merawat Daim yang didakwa gagal berterus-terang dengan pegawai penyiasat SPRM mengenai mengapa Daim dianggap tidak mampu untuk hadir di mahkamah.

“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke mahkamah.

“Kita dimaklumkan dia dimasukkan ke sebuah hospital.

“Kita buat observation dan mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa lagi.

“Itu betul la. Tetapi kita bertanya doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagi jawapan yang betul,” kata Azam.

Katanya, pilihan terakhir buat SPRM adalah membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Daim supaya pertuduhan dapat dibacakan.

“Tapi itu bukan pilihan kami yang sebenarnya. Kalau tak masuk hospital minggu lalu kita dah tuduh dah.

“Kita dah berhubungan dengan peguamnya,” katanya lagi.

Semalam Naimah yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Naimah dituduh gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika didapati bersalah.

Sementara itu Naimah menolak apa yang Azam kata.

Isteri Daim itu mendakwa dia atau pasukan guaman tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan.

Katanya Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan jenayah dan tidak menggunakan alasan dirawat di hospital bagi mengelak dibawa ke mahkamah.

“Saya boleh sahkan bahawa saya atau pasukan guaman tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan.

“Kami hanya diberitahu bahawa kenyataannnya akan dirakam. Baru hari ini ketika membaca laporan media saya tahu Daim akan didakwa,” katanya.

Naimah dakwa Azam cuba membayangkan Daim mengelak daripada berdepan pertuduhan serta memperkecilkan komitmen doktor yang bertugas.

“Biar saya sebut dengan jelas bahawa Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan, tidak kira di mana-mana dan akan bersungguh-sunggu mempertahankan diri berdasarkan undang-undang, kata Na’imah.

Katanya, tertakluk kepada kebenaran hospital, Daim sedia berdepan “pendakwaan politik” walaupun di hospital.

Dia bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk memutuskannya.- 24/1/2024

bel1

Ujian DNA sahkan…itu mayat Bella

Kini tiada lagi keraguan dan sudah sah rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat Jumaat lepas, ialah milik Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu.

Kseimpulan ini dibuat setelah polis menerima laporan analisis DNA sampel patologi yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor Ahad lepas.

Ia didapati sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak kepada ibu tunggal beranak dua itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata pihak polis telah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Analisa DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu sudah diterima polis hari ini,” katanya.

Suspek utama kes kehilangan Bella akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok Rabu.

Hal ini diberitahu Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada media menerusi kenyataan.

Jumaat lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.

Sebelum itu, Bella gagal dihubungi selepas keluar rumah dengan menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam 14 Dis tahun lepas, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran.

Dalam pada itu, kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, ketika dihubungi berkata jenazah akan dituntut pagi esok dan akan dibawa ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang di Batu Pahat.- 23/1/2024

daim777

Ditanya keadaan Daim…Naimah kata itu ‘isu personal’

Sejak isu siasatan SPRM kelibat Tun Daim Zainuddin tidak pernah kelihatan dikhalayak ramai.

Ada pun setakat kenyataan bekas Menteri Kewangan itu ulas pasal siasatan.

Kini yang pasti Daim sedang dirawat di hospital.

Di hospital mana pun tidak diketahui.

Sakit apa dan apa keadaan terkini dia?

Itu pun masih jadi tandatanya.

Daim kini berusia 85 tahun.

Isterinya Toh Puan Naimah Khalid sendiri setakat ini enggan buka cerita pasal suaminya.

Dia cuma kata nak balik ke hospital dimana suaminya kini berada.

Ditemui wartawan di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa beliau anggap keadaan suaminya itu adalah ‘isu personal’.

“Saya tidak berada di sini untuk bercakap mengenai isu personal (perkara)…. ia adalah maklumat personal, saya tidak suka berkongsi maklumat personal.

“Saya mengalami hari yang panjang, dan saya nak balik ke hospital, di mana suami saya ketika ini berada,’ katanya.- 23/1/2024

kastam-ok

Dengar kisah Anwar ni…pasal bayar cukai

Kalau ada tabiat liat nak bayar cukai kepada kastam barangan yang dibeli di luar negara segala macam…sila dengar pesanan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesej yang ingin Perdana Menteri sampaikan ialah tiada siapa yang terlepas daripada membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk dirinya.

Jadi sendiri mau ingat selepas balik dari seronok dan belanja sakan di luar negara.

Berucap dalam majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya pada Selasa ,Anwar antara lain beri contoh dengan bercerita beliau turut dikenakan cukai
sebanyak RM500 susulan minyak zaitun yang diberikan salah seorang sahabat dari negara Arab.

Anwar menjelaskan dirinya tetap membayar meskipun boleh merayu.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, minyak tersebut diterimanya sejak beberapa tahun lalu, namun cukai tersebut tidak dikenakan ketika beliau menjadi pembangkang sebelum ini.

“Bila saya jadi Perdana Menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai…RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.

“Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain pun begitu (jangan culas).

“Itu bezanya… ada yang rasa bila jadi Perdana Menteri, sudah hebat, beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Anwar turut menzahirkan penghormatan kepada pasukan JKDM yang begitu komited dalam melaksanakan tugas.

Katanya, pelbagai kejayaan yang diraih pasukan itu termasuk mencapai sasaran kutipan cukai dan mematahkan penyeludupan wajar diberikan pujian.- 23/1/2024

isa

Keputusan rayuan kes rasuah Isa Samad 6 Mac

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mac untuk keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad terhadap sabitan, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kesalahan rasuah.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa berkata, tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar (PKP) Mahkamah Rayuan, Huda Humaira Idris semasa pengurusan kes secara sidang video menerusi aplikasi Zoom hari ini.

“Keputusan rayuan (Tan Sri Mohd Isa) pada 31 Januari ini telah dilapangkan oleh mahkamah dan tarikh keputusan ditukar kepada 6 Mac.

“Saya juga dimaklumkan oleh PKP bahawa ada antara panel hakim bercuti sakit pada tarikh 31 Januari itu,” kata Siti Sarah ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 14 Oktober tahun lalu, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan.

Mohd Isa, 73, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 terhadap sembilan pertuduhan rasuah membabitkan amaun sebanyak RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai. – BERNAMA-23/1/2024

puad-zarkashi-1

Dedah segera siapa yang disiasat…

“Stonewalling” bermaksud enggan beri jawapan kepada pertanyaan. Ia bertujuan untuk mematikan cerita.

Tetapi stonewalling boleh timbulkan spekulasi, andaian dan fitnah.

Maka SPRM jangan berahsia sangat bila membuat siasatan. Dedah segera.

Dedah sahaja siapa yang disiasat dan kenapa disiasat. Jangan biar rakyat berteka teki.

Sebelum ini ada cerita KSN disiasat. Rupanya palsu setelah SPRM menafikannya..

Terbaru, viral rumah seorang Tan Sri diserbu oleh SPRM. Tidak didedah siapa Tan Seri tersebut.

Kenapa? Bila rumah Najib digelidah PDRM ratus gambar dan video disiarkan.

Hanya Berita Harian dan Metro saja melaporkan Tan Sri tersebut terlibat kontrak perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 billion

Sebelum itu kerajaan Tun M telah membuka tender baru setelah konsensi SPANCO selama 25 tahun tamat pada bulan Febuari 2019.

Difahamkan syarikat Berjaya-Naza menang tender tersebut dan dapat surat niat (LOI) dari kerajaan. Tetapi dibatalkan oleh PM ke 8 Muhyiddin.

Katanya diberi balik pada SPANCO. Tan Sri yang rumahnya diserbu itu adalah pemilik utama SPANCO.

Tawaran SPANCO RM4.5B adalah 700 juta lebih mahal dari tawaran Berjaya-Naza.

Apa pun tahniah SPRM. Cuma kena dedah dengan segera siapa yang disiasat. Jangan ada stonewalling. Segan apa SPRMku

Dr Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
23/1/2024

muh4

Bertabahlah rakyat Malaysia…

Semalam ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dollar Amerika Syarikat. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu pula hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, iaitu gagal mencapai sasaran 4 hingga 5 peratus seperti yang diunjurkan sebelum ini.

Jumlah dagangan Malaysia juga terus menjunam pada Disember tahun lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023. Jumlah dagangan negara pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bermula pada tahun ini rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan cukai SST dan cukai-cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara 5 hingga 10 peratus dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual di atas talian pada kadar 10 peratus.

Ini tidak termasuk kenaikan tarif elektrik bermula Januari 2024 dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, rungutan rakyat mengenai kekurangan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak sekian lama seolahnya tidak diendahkan lagi oleh kerajaan. Tinjauan saya di beberapa tempat mendapati rakyat masih sukar memperolehi beras tempatan walaupun sepatutnya 70 peratus bekalan beras adalah beras tempatan.

Sasaran menoktah kemiskinan juga umpama menanam tebu di bibir. Ia masih gagal menjadi kenyataan.

Walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana penurunan kadar inflasi adalah disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun.

Semua ini adalah realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat. Sudah lebih setahun Kerajaan Madani memerintah, kehidupan rakyat semakin sukar.

Setakat ini saya tidak nampak Perdana Menteri mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ini. Beliau nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Bertabahlah rakyat Malaysia.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional
23 Januari 2024

grab1

Pemandu, penunggang P-Hailing boleh nikmati internet serendah RM33 mulai hari ini – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pemandu dan penunggang p-hailing kini boleh menikmati perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini hingga 23 April depan.

Mengumumkan perkara itu ketika melancarkan pakej p-hailing Rahmah di Angkasapuri Selasa, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

Beliau berkata, kerjasama itu turut melibatkan 16 penyedia platform p-hailing di negara ini, antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-hailing.

“Kerjasama seperti ini kita jalinkan untuk menyediakan pakej berpatutan bagi kategori yang disasar iaitu melibatkan kira-kira 200,000 rider kita,” katanya.

Fahmi berkata, usaha yang dilaksanakan itu adalah antara langkah penting kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

Ditanya sama ada pakej itu akan dilanjutkan beliau berkata, perkara itu kemungkinan diteliti nanti.

“Kita akan buka selama beberapa bulan untuk lihat prestasi langganan, dan selepas mungkin beberapa minggu kita akan dapat maklumat terkini.. mungkin selepas Tahun Baharu Cina, dan sekiranya perlu, kita akan cadangkan supaya dilanjutkan,” katanya.

Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja p-hailing itu adalah hasil perbincangan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi di negara ini.

Semalam, Fahmi dilapor berkata, Kerajaan MADANI mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

Pakej p-hailing Rahmah juga bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas. – BERNAMA -23/1/2024

nai5

KEMASKINI: Naimah isteri Daim berdepan lima tahun penjara jika bersalah…

Hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Itulah yang dihadapi oleh Isteri Tun Daim Zainuddin,Toh Puan Naimah Abdul Khalid yang didakwa ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi Selasa kerana gagal patuh notis SPRM isytihar 12 harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M Puravalen dan Alex Tan.

Naimah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Ya (tidak mengaku bersalah), saya minta bicara,” katanya ringkas dan tenang.

Sebelum itu Ahmad Feisal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

“Tertuduh dalam kes ini adalah sama seperti tertuduh lain, kami berpendapat adalah adil untuk tetapkan syarat seperti tertuduh kes lain,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Yusof Zainal Abidin memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM250,000.

Dia membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang flight risk.

“Na’imah bukanlah terbabit dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya flight risk dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja.

“Na’imah tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk melawan kes ini,” katanya.

Azura membenarkan Naimah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan terhadap Daim.

Sementara itu Naimah telah beri kenyataan kepada media sewaktu di mahkamah berkenaan

Berikut kenyataan penuhnya:

Hari ini, saya telah didakwa atas kesalahan jenayah.

Tetapi tiada jenayah dilakukan oleh saya, dan ini akan saya buktikan di mahkamah.

Jenayah yang sebenar adalah perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suami saya serta melunaskan dendam politik terhadap beliau dan keluarga kami.

Jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam melunaskan dendam politik.

Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.

Jenayah yang sebenar adalah menyasarkan musuh politik anda dengan tuduhan yang direka-reka, sementara dakwaan rasuah melibatkan kroni politik digugurkan seterusnya menimbulkan kemarahan seluruh negara.

Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum.

Sejak malam tadi ketika berita tersebar bahawa saya akan didakwa, saya terharu dengan sokongan orang ramai, sebahagian besarnya tidak kami kenali, atas keprihatinan dan solidariti mereka. Saya ucapkan terima kasih, dan saya percaya akhirnya, saya akan dibuktikan tidak bersalah, insyaAllah.

Akhirnya, saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.

Sepertimana kata-kata Shakespeare yang sering kamu petik:

“Man, proud man.

Drest in a little brief authority.”

Yang selebihnya sudah diketahui.

Naimah Khalid

– 23/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Naimah…isteri Daim akan didakwa di mahkamah Selasa kerana gagal isytihar harta

Kisah siasatan SPRM keatas bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya melangkah ke episod baru bila isterinya Toh Puan Naimah Khalid akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok Selasa.

Dalam satu kenyataan Isnin malam Naimah mengesahkan bahawa telah dimaklumkan bahawa dia akan didakwa kerana gagal mematuhi notis SPRM.

Katanya dia dimaklumkan mengenai perkara ini apabila SPRM hadir di hospital tempat suaminya sedang dirawat.

“Saya meminta pertuduhan ditangguh hanya sehari kemudian pada hari Rabu selepas prosedur perubatan suami saya, tetapi ini ditolak.

“Mereka berkeras saya didakwa esok. Saya akan berada di mahkamah esok. Saya akan melawan tuduhan ini,” katanya.

Sebelum ini kisah dia akan didakwa tersebar berdasarkan semakan Sistem e-Filing (EFS) mahkamah, tertera nama Naimah tersenarai di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.

Difahamkan dia akan didakwa bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal isytihar hartanya.

Naimah dan dua anaknya Amir dan Amin telah dipanggil ke ibupejabat SPRM di Putrajaya pada 10 Januari baru ini untuk diambil keterantgan.

Naimah baru baru ini mendakwa suaminya dianiaya atas kejayaannya.

Dia menegaskan bahawa keluarganya tidak pernah merahsiakan memiliki aset di luar negara yang didakwa hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sebelum pembabitan Daim dalam politik.

SPRM sedang menyiasat Daim berhubung pendedahan kekayaannya dalam kebocoran rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai Kertas Pandora.

Sebelum ini, Daim mendakwa, dia adalah ahli perniagaan yang berjaya dengan memiliki aset dan hartanah melalui aktiviti perniagaan yang sah sebelum terbabit dalam kancah politik.

Daim berkata jika dia kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif, nilai pegangan saham cair miliknya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion.- 22/1/2024

wahab-bard

Abdul Wahab fail saman fitnah terhadap ‘Chegu Bard’, tuntut RM5 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abd Kader Jilani memfailkan saman terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegu Bard’ yang didakwanya memfitnah, berhubung penyebaran satu video yang mengandungi perbualan lucah.

Abdul Wahab selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi firma guaman Tetuan Faizal Rahman & Co pada 22 Disember 2023 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan Badrul Hisham sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya Abdul Wahab mendakwa defendan menerbitkan, menyiarkan dan mendedahkan penyataan-penyataan fitnah dalam bentuk video terhadap plaintif, melalui hantaran yang dibuat melalui laman Facebook defendan atas nama ‘Che GuBard’ dan ‘Che’GuBard Official’ untuk tontonan masyarakat umum.

Dakwa plaintif, video itu menggambarkan seolah-olah beliau bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM Dr Mohammad Agus Yusoff sedang berbual secara lucah, yang bertujuan menunjukkan kononnya plaintif terlibat dengan aktiviti tidak bermoral atau aktiviti homoseksual.

Selain itu, Badrul Hisham (defendan) juga telah menerbitkan semula video hantaran Facebook berkenaan di platform Telegram defendan atas nama “Che’gu bard Original”.

Abdul Wahab mendakwa laman Facebook dan Telegram itu merupakan milik defendan yang mempunyai akses dan kawal penuh ke atas laman-laman berkenaan, serta menerbitkan pernyataan-pernyataan fitnah bagi meraih manfaat untuk dirinya dalam bentuk populariti dan kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Sehubungan itu,Abdul Wahab menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan RM5 juta serta ganti rugi am dibayar oleh defendan dalam jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.

Abdul Wahab juga meminta mahkamah agar defendan membuat permohonan maaf kepada beliau dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dengan menyerahkan kepada peguam plaintif draf permohonan maaf untuk kelulusan plaintif.

Selain itu, plaintif juga memohon supaya defendan dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan plaintif (Abdul Wahab), menerbitkannya selama tempoh 30 hari berturut-turut di akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian dan News Straits Times secara bertulis.

Abdul Wahab turut meminta defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah dan video berkenaan daripada semua laman media yang berada di bawah pengetahuan dan kawalannya. – BERNAMA- 22/1/2024

KEMASKINI : Sultan Kelantan tarik balik anugerah ‘Dato Paduka’ kepada Dr Agus…

Darjah kebesaran yang bawa gelaran ‘Dato Paduka’ dianugerah oleh Sultan Kelantan kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, ditarik balik.

Menurut warta yang bertarikh 28 Disember 2023 penarikan balik Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Darjah kebesaran itu dianugerah oleh Sultan Kelantan kepada beliau pada 12 November 2011.

“Bagi menjunjung titah perintah Sultan Muhammad V, adalah dimaklumkan bahawa baginda perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DSPK) yang dianugerahkan kepada Mohammad Agus sebelum ini.

“Penarikan balik ini berkuat kuasa mulai 2 Disember lalu,” kata warta berkenaan.- 18/1/2014

BERITA SEBELUM INI : Kes Agus-Wahab sudah sampai ke pejabat Peguam Negara

Lama tak dengar cerita pasal kes bekas Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Dr Mohammad Agus Yusof dan pegawai agensi itu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Sebenarnya siasatan polis pasal kes gangguan seksual sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember lalu.

Hal ini diberitahu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin pada Selasa.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember 2023. Buat masa ini, kertas siasatan itu masih di dalam kajian dan semakan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, Mohammad Agus dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Berikutan itu Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.- 16/1/2024