upik2

Ahli perniagaan, 10 yang lain didakwa anggotai Geng Upik

KOTA KINABALU – Seorang ahli perniagaan bersama 10 yang lain didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 hingga tahun lepas (2023).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada ahli perniagaan Datuk Maslan Sani, 41, bersama 10 yang lain di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Tertuduh lain ialah Rahman Burijin, 44, Jaisalfian Jaineh@Zaini, 45, Mohd Fauzie Rablin, 33, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, Nelson Yen Yee Chung, 51, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, Fazrul Bahar, 32, Alkan Abraham, 35, Mazian Mahmud, 49 dan Mahathir Jibarail, 49.

Maslan, Shahlan dan Alkan didakwa melakukan kesalahan itu pada 2015, manakala Rahman, Jaisalfian, Mazlan, dan Mahathir pada 2018. Mohd Faridzul dan Fazrul pada 2020 sementara Mohd Fauzie pada 2022 dan Nelson pada tahun lepas.

Semua tertuduh masing-masing didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di Kota Kinabalu di sini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun.

Noor Hafizah menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan ke atas semua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nazran Mohd Sham, Siti Hajah Mat Radzi, dan Nur Ainaa Ridzwan.

Peguam Muhamad Amirul Amin mewakili tertuduh Jaisalfian, manakala Sylyester Kuan mewakili Mohd Fauzie, sementara Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi mewakili tiga tertuduh iaitu Shahlan Shah, Mohd Faridzul dan Fazrul.

Tertuduh lain tidak diwakili peguam. – BERNAMA- 22/1/2024

bowo1

Mari intai pilihanraya Indonesia…ramai artis jadi calon

[ GAMBAR ATAS – PRABOWO MENARI GEMOY KEMUDIAN BUKA BAJU DAN LONTAR PADA PENONTON KONSERT DEWA 19 ]

Melly Goeslaw,Ahmad Dhani,Krisdayanti,Anang Hermansyah,Pansha Ungu,Rano Karno,Jamal Mirdad dan Emilia Contessa adalah antara nama besar dalam dunia hiburan Indonesia yang akan turut berentap dalam pilihanraya umum negara itu pada 14 Februari ini.

Selain mereka ada Once Mekel,Racheal Maryam,Nurul Ariffin dan Ayu Azhari.

Kesemuanya ada hampir 80 dari dunia hiburan Indonesia yang telah daftar untuk bertanding kerusi Dewan Parwakilan Rakyat (DPR) atau Ahli Parlimen.

Penyertaan mereka meriahkan lagi pesta demokrasi yang akan berlangsung serentak dengan pemilihan Presiden dan Naib Presiden Indonesia.

Gandingan Anies Baswedan – Muhaimin Iskandar,Prabowo Subianto – Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo – Mahfud MD akan berentap pada pemilihan jawatan terpenting Indonesia lima tahun sekali itu.

Komposer dan penyanyi terkenal Melly Goeslaw buat pertama kali bertanding begitu juga ketua band paling top Indonesia Dewa19 Ahmad Dhani.

Melly Goeslaw bertanding di Jawa Barat manakala Ahmad Dhani dekat Surabaya.Kedua mereka adalah calon parti Gerindra yang diketuai Prabowo.

Penyanyi terkenal Krisdayanti bertanding di Jawa Timur dan bekas suami Anang Hermansyah di Jawa Barat.

Mereka adalah calon Parti PDI-P pimpinan bekas Presiden Megawati Sukarnoputri.

Begitu juga Rano Karno, Once Mekel,Marcell Siahaan dan Harvey Malaiholo.

Jadi mereka pendokong gandingan Ganjar-Mahfud.

Emilia Contessa adalah calon Parti Demokrat pimpinan Agus Harimurti Yudhoyono anak kepada bekas Presiden Indonesia Bambang Yudhoyono.

Mereka dokong Prabowo.

Pansha Ungu dan Ayu Azhari adalah calon parti PAN yang juga dokong Prabowo.

Parti Nasdem yang merupakan pendokong utama gandingan Anies Baswedan – Muhaimin Iskandar menurunkan lapan artis yang terkenal di Indonesia tetapi kurang dikenali di Malaysia sebagai calon DPR.

Kalangan artis juga giat turun padang mengadakan pelbagai program kempen untuk tarik sokongan.

Ahmad Dhani misalnya anjur konsert Dewa 19 di serata Indonesia untuk dokong Prabowo.

Malah pada satu konsertnya di Jawa Barat baru baru ini Probowo yang teruja dengan kehadiran ribuan orang menari Gemoy ( tarian kempen beliau) atas pentas dan buka serta lontar bajunya kearah mereka.

Pengacara paling top dan terkaya Indonesia Raffi Ahmad tidak bertanding tetapi beliau secara terbuka menjadi pendokong kuat Prabowo.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) Republik Indonesia atau seperti SPR di Malaysia menetapkan 9,917 orang calon akan bertanding rebut 580 kerusi DPR.

Sebanyak 18 parti bertanding.

Antara yang menarik kali ini ialah jumlah pemilih dari kelompok generasi milenial dan generasi Z sekitar 113 juta pemilih.

Generasi ini mendominasi pemilih pilihanraya 2024, yakni sebanyak 56,45% dari jumlah keseluruhan pemilih.

Atas sebab ini kempen menerusi media sosial khusunya Tik Tok rancak dijalankan.

Misalnya Tik Tok live Anies Baswedan antara yang paling popular sekarang.

Bekas Gabenor Jakarta itu dikatakan calon saingan terdekat bagi Prabowo yang kini rangking paling atas.

Jumlah keseluruhan yang layak mengundi 204 juta orang.- 22/1/2024

DRM12XYY (1)

KEMASKINI : Ini dia ‘Langkah Mahathir’…sidang akhbar sejam

Setelah enggan ulas apa apa langsung pada wartawan pada Sabtu lalu dengan kata ‘tunggu Isnin nanti’ Tun Dr Mahathir Mohamad adakan sidang akhbar sekitar satu jam untuk persoal tindakan SPRM siasat anaknya Mirzan Mahathir dan isu berkaitan.

Dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Isnin itu beliau juga mendakwa kerajaan sekarang hanya tumpu siasat pada musuh musuh politik dan lepaskan mereka yang sokong.

Bekas Perdana Menteri yang diapit oleh dua orang peguam juga mendakwa dan mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menyiasat akaun bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad Khalid 24 tahun lampau
bahawa Perdana Menteri Datuki Seri Anwar Ibrahim ketika itu ada RM3 billion dalam 20 akaun bank.

Beliau juga tolak dakwaan Anwar bahawa sukar untuk siasat mereka yang bergelar ‘ Tun’.

Katanya Perdana Menteri , Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pesurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sukar untuk disiasat.

“Saya mudah untuk disiasat kerana kerajaan mempunyai kuasa. Saya tidak ada kuasa.

“Yang susah nak siasat adalah Perdana Menteri (Anwar), ‘kepala’ SPRM, pegawai tertinggi dalam kerajaan seperti TPM . Itu susah,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar tanpa menyebut secara spesifik menyatakan tidak mudah untuk menyiasat orang besar yang bertindak mencuri duit termasuk ‘Tun’.

Kata Dr Mahathir, dia sendiri sedia untuk disiasat.

“Kerajaan ada kuasa, anda boleh lakukan (siasatan) dan saya bersedia untuk disiasat.

“Nak tengok akaun saya atau apa, boleh tengok. Bank mana (yang berkaitan)… nak tuduh saya tak bayar hasil, boleh tengok.

“Boleh siasat saya kononnya ada duit berbilion,”katanya.

Dr Mahathir mengakui beliau risau memikirkan nasib anaknya Mirzan sedang disiasat SPRM.

Katanya notis arahan pengisytiharan harta yang berikan SPRM baru-baru ini sebagai tidak masuk akal.

Hal itu kerana, katanya, Mirzan, perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang begitu terhad.

“Risaulah… sebagai anak saya, dia bagi tahu dapat notis dan suruh dia jelaskan segala transaksi yang dia buat sejak dia berusia 20 tahun.

“Yang tu dia kena jawablah dia boleh jawab atau tidak dalam tempoh 30 hari…. 42 tahun punya transaksi kena jawab 30 hari,” katanya.

Menurut Mahathir untuk membolehkan anaknya yang berusia 66 tahun itu memberi penjelasan, banyak pihak yang perlu dihubungi.

“Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” katanya lagi.

Dr Mahathir mendakwa tindakan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk membongkar segala kesalahan yang dilakukannya selama ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan, Mirzan diminta SPRM untuk mendedahkan segala kesalahan yang beliau pernah lakukan ketika dalam tampuk pemerintahan.

“Daripada mendakwa saya, dia (SPRM) suruh anak saya untuk beri (dedahkan) bukti,”katanya.

Serentak dengan itu Dr Mahathir mencabar Anwar untuk mengadakan pilihan raya bagi menentukan sokongan rakyat kepadanya.

Beliau mendakwa ketika ini pimpinan Anwar menyalahgunakan kuasa dengan menyiasat pihak yang dilihat menggugat kedudukannya.

“Saya menang lima pilihan raya dengan majoriti dua per tiga. Rakyat ada peluang untuk menukar saya (tetapi) tak berlaku. Kalau saya menyalahgunakan kedudukan, saya akan buat satu pilihan raya.

Jadi saya cabar Anwar untuk adakan satu pilihan raya umum hari ini, sama ada dia berani atau tidak untuk melihat apa yang rakyat akan katakan,” katanya.- 22/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Apa agaknya ‘Langkah Mahathir’ Isnin ini ?

Kalangan wartawan yang biasa buat liputan acara Tun Dr Mahathir Mohamad dari zaman dulu sampai sekarang sudah cukup masak dengan stail bekas Perdana Menteri itu.

Ini bab bila wartawan ajukan soalan semasa sidang akhbar yang diadakan selepas majlis.

Ataupun jika sidang akhbar tidak diatur oleh penganjur majlis biasanya wartawan akan ‘ambush’ beliau dengan soalan semasa berjalan meninggalkan majlis hingga di pintu kereta.

Setiap Perdana Menteri ada stail masing masing.

Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim agak sama dalam bab ini.

Boleh kata jarang sangat mereka tidak layan soalan untuk beri jawapan baik secara ringkas ataupun panjang lebar.

Namun lain sikit bila Dr Mahathir ditemui wartawan selepas acara Sesi Minda Negarawan: Iktibar 150 tahun Perjanjian Pangkor di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Sabtu.

Dr Mahathir enggan jawab apa apa ketika diminta ulas isu-isu semasa serta dakwaan berkaitan siasatan SPRM terhadap anaknya, Mirzan.

“Tunggu Isnin nanti ” katanya.

Ini kerana beliau akan mengadakan satu sidang media khas pada Isnin ini.

Mirzan dipanggil beri keterangan kepada SPRM pada Khamis.

SPRM telah beri notis kepada tokoh koprat itu supaya isytihar semua asetnya dalam tempoh 30 hari.

Perintah itu merupakan tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada Jumaat bekas Perdana Menteri itu telah guna laman X dan facebooknya buat kenyataan menghentam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempersoalkan siasatan terhadap anaknya.

Baru baru ini beliau telah buat kenyataan di celah kehangataan isu SPRM siasat bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.

Kali ini ia secara langsung melibatkan anaknya.

Kenyataan menerusi media sosial sudah dibuat.

Soalnya apa lagi yang beliau nak ‘tembak’.

Kalau sebut pasal suatu sidang media khas biasanya mesti ada yang lebih sensasi.

Jadi apa agaknya ‘Langkah Mahathir’ Isnin nanti? – 20/1/2024

an-tunxx

Anwar: Bukan senang mahu siasat Tun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukan mudah untuk menjalankan sebarang siasatan terhadap golongan kenamaan.

Justeru, beliau meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

“Kami akan kejar penyangak itu, saya tidak peduli …bila kita nak ambil tindakan (ke atas golongan tersebut) rakyat marah, perdana menteri ini kasar sangat.

“Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Bukan senang tahu, mahu siasat Tun,Tun.

“Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang, saya mahu siasat orang kaya yang besar-besar curi duit ingat senang ke?

“Tak senang. Kita mahu jaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di Klang Sabtu malam.

Pada 17 Jan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri dipercayai berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990-an.

Sebelum itu, isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anaknya hadir ke ibu pejabat SPRM dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.

Disember lepas, SPRM menyita bangunan Menara Ilham di Kuala Lumpur dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin masyarakat India supaya tidak terbawa-bawa dengan sentimen melampau yang tidak akan menguntungkan negara.

Beliau berkata semua kaum ketika ini membuat tuntutan agar masalah diselesaikan segera dan kerajaan akan menggunakan konsep MADANI yang adil untuk semua pihak.

“Untuk menyelesaikan masalah kaum India, kita bukan sahaja memberikan peruntukan RM100 juta melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sahaja sebaliknya kita juga selesaikan melalui program lain seperti tandas sekolah, kemiskinan tegar, rumah penjawat awam dan RM30 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

“Saya juga meminta semua kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perpaduan (Negara) untuk mengenal pasti masalah rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga berkata selepas kerajaan berjaya membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, beliau kini menunggu laporan lengkap dari Selangor dalam tempoh dua minggu berkenaan perkembangan sama.

“Sudah tentunya Selangor kita dapat uruskan dengan baik, dengan hasil yang baik dan boleh serta mampu selesaikan. Saya yakin Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan beres masalah kemiskinan,” katanya.- Bernama-20/1/2024

TYT-Sarawak

KEMASKINI: Siapa TYT baru Sarawak mungkin diumum sehari dua lagi – PM




Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Isnin nama calon Yang Dipertua Negeri Sarawak dikemukakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya sebelum beliau persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu.

Katanya nama tersebut telah diperkenankan dan dijangka akan diumumkan mungkin dalam satu dua hari ini.

Menurut beliau proses pelantikan TYT adalah termaktub dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Desus desus hangat mengatakan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan dilantik ke jawatan itu.

Perkhidmatan TYT Sarawak ketujuh, Tun Abdul Taib Mahmud akan tamat pada 28 Februari depan dan ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong atas cadangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau.

Abdul Taib yang kini berusia 88 tahun telah memegang jawatan TYT Sarawak ketujuh selama 10 tahun sejak 2014. – 22/1/2024


BERITA SEBELUM INI : KEMASKINI : Premier Sarawak Abang Johari enggan ulas spekulasi pasal Wan Junaidi…

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan kuasa melantik jawatan Yang Dipertua Negeri merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Maka atas sebab itu beliau enggan ulas apa apa mengenai spekulasi bahawa Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ganti Tun Taib Mahmud.

Ditemui selepas satu majlis di Kuching Sabtu Abang Johari kata “Saya tidak dapat komen, kerana kuasa mutlak (untuk melantik) adalah pada Yang di-Pertuan Agong.”

Beliau juga enggan mengulas laporan bahawa Wan Junaidi telah meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Yang itu perlu tanya dengan dia (Wan Junaidi) sendiri,” katanya.- 20/1/2024


Berita sebelum ini : Desas desus…Wan Junaidi akan dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak

Desas desus sudah kencang…namun ia belum dapat disahkan lagi.

Ikut yang tersebar Yang Dipetua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Ini bagi mengantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Wan Junaidi merupakan orang lama dalam arina politik nasional dan di Sarawak.

Beliau menjadi Ahli Parlimen yakni untuk kawasan Batang Lupar dan Santubong selama 32 tahun dari 1990 hingga November 2022.

Selain itu beliau pernah jadi Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Setakat ini pejabat yang Dipertua Dewan Negara belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ini gara gara ada pihak yang kata Wan Junaidi sudah letak jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hari ini Jumaat.- 19/1/2024

anwar-par1

PM akan hilang kuasa….

Siapa yang hendak mendengar pandangan politik yang ‘straight foward’ tanpa banyak korner baring boleh cari Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Orang Sarawak ini kini pegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yakni bos kepada para Senator di Parlimen.

Kalau diselak latar belakangnya Wan Junaidi boleh kira salah seorang otai di Parlimen Malaysia.

Beliau sudah menjadi Ahli Parlimen selama tujuh penggal bermula dari 1990 hinggalah ke tahun 2022.

Wan Junaidi mula jadi Ahli Parlimen Batang Lupar dan kemudiannya kawasan Santubong.

Bukan setakat itu beliau pernah jadi Timbalan Menteri dan tiga kali jadi Menteri.

Beliau tidak bertanding semula pada pilihanraya umum November 2022 dan kemudian dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ganti Tan Sri Rais Yatim.

Ini bermakna beliau jadi Ahli Parlimen selama 32 tahun.

Jawatan terakhir dipegangnya sebagai Ahli Parlimen ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang jaga urusan parlimen dan undang undang.

Wan Junaidi antara lain terlibat langsung dalam pengubalan Akta Lompat Parti.

Masa pengubalan akta itu beliau telah beri ingatan tentang beberapa kelompongan dalam akta itu.

Namun katanya ia tidak diendahkan oleh pihak Perikatan Nasional yang merupakan kerajaan waktu itu.

Maka timbullah baru baru ini kisah pelik dimana lima orang Ahli Parlimen PN umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan sudah ada Akta Lompat Parti.

Wan Junaidi berkata, beliau telah meramalkan apa yang akan berlaku semasa akta itu sedang dirangka dan bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.

“Jawatankuasa Pemilihan berbincang hampir dua bulan maka RUU (Akta Lompat Parti) dapat (diluluskan) tapi dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip digubal, digugurkan berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat.

“Jadi kalau Perikatan Nasional tak sokong, dua pertiga tak dapat dicapai. Kerana itulah RUU sekarang dikatakan ada kelemahan, bukan kerana jawatankuasa tak tahu.

“Kita tahu, sudah diberi amaran awal-awal lagi dari September 2021,” katanya.

Pada Jumaat Wan Junaidi menghadiri sesi soal jawab program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk “Akta Antilompat Parti dan Kestabilan Kerajaan di Kajang.

Di situ Wan Junaidi tegas mengatakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap ( yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi baru ini) tidak boleh dianggap sebagai tidak demokratik.

Beliau berkata banyak negara telah melaksanakan sistem itu yang mengekalkan kerajaan dalam tempoh penggal tertentu.

“Kalau kita lihat ini (parlimen berpenggal tetap) sebagai tidak demokratik, banyak negara di dunia ini (disifatkan sebagai) tidak demokratik sebab penggal (kerajaan) mereka adalah tetap.

“…bermakna di Amerika Syarikat, Filipina atau Indonesia itu juga (akan dianggap) tidak demokratik sebab penggal (presiden) mereka adalah tetap,” katanya.

Bagaimanapun Wan Junaidi berkata Akta Parlimen Berpenggal Tetap, sekiranya dikuatkuasakan, akan menggugurkan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kalau kita tetapkan tarikh PRU dalam masa lima tahun, maknanya kuasa Perdana Menteri itu yang kita tarik sebenarnya, iaitu untuk menentukan bila boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon baginda membubarkan Dewan Rakyat.

“Walaupun dalam Perlembagaan mengatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa iaitu kuasa yang kedua untuk menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat apabila diminta Perdana Menteri, tetapi berapa lama Yang di-Pertuan Agong menangguhkan itu tidak ada disebut,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Zahid mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi peristiwa seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 pada masa hadapan.

Sementara itu mengulas mengenai ‘kerajaan pintu belakang’ ,Wan Junaidi kata sebenarnya tidak wujud istilah seumpama itu.

Katanya adalah tidak bertentangan dengan perlembagaan bagi sesebuah kerajaan ditukar dengan cara para Ahli parlimen tarik sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya apa yang penting menurut perlembagaan ialah Perdana Menteri mesti mendapatkan sokongan majoriti Ahli parlimen atau sekurang kurangnya 112 Ahli Parlimen.

Istilah ‘kerajaan pintu belakang’ muncul selepas kerajaan Pakatan 22 bulan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang bila sebilangan Ahli Parlimen PN tinggalkan gabungan itu dan PKR lompat parti.

Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri.

Beliau juga menjelaskan mengenai persepsi konon surat akaun bersumpah (SD) boleh digunakan untuk menukar kerajaan.

Wan Junaidi kata SD cuma boleh digunakan sekiranya Ynag Dipertuan Agong memintanya sebagai ‘panduan’ untuk menentukan pihak mana ada majoriti.

Beliau juga memberitahu tindakan sesebuah parti membuat pindaan pada perlembagaan masing-masing bagi menghalang ahlinya, terutama yang bergelar Ahli Parlimen, untuk mengalih sokongan kepada pihak lawan boleh dicabar di mahkamah.

Menurutnya ini kerana pindaan itu hanya boleh diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) selain berpendapat kerajaan juga perlu meminda semula Akta Anti Lompat Parti bagi menutup kelompongan yang ada dalam akta tersebut.

“Apabila sesuatu parti membuat satu keputusan pindaan, hanya RoS yang (boleh) menentukan sama ada pindaan itu sah atau tidak selepas pindaan itu disahkan tetapi akhirnya, mahkamah yang akan tentukan sama ada pindaan itu mencukupi atau tidak.

“Pindaan kepada undang-undang adalah lebih baik untuk menangani perkara ini kerana ia lebih terperinci dan akan datang dari undang-undang itu sendiri daripada diterangkan di tempat lain,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan perlembagaan parti pada Januari tahun lepas menghalang Ahli Parlimennya membelakangi keputusan parti termasuk yang melibatkan sokongan kepada mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, keahlian Ahli Parlimen UMNO yang menyertai sesuatu ‘pakatan’ yang tidak dianggotai parti berkenaan akan turut tergugur secara automatik.- 19/1/2024

najib-kesxx

Najib boleh mohon dibebaskan atau DNAA September ini

Setakat hari ini Jumaat belum ada berita besar pasal status representasi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta.

Ini setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa, status representasi beliau untuk menggugurkan kes AMLA ini, masih belum mencapai sebarang keputusan.

Hakim, K Muniandy menetapkan perbicaraan kes AMLA yang dihadapi Najib, 71, selama lima hari bermula pada 17, 18,19, 23 dan 24 September.

Katanya Najib boleh memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebaskan sepenuhnya (DNA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta masa itu.

Beliau boleh buat permohonan itu jika pendakwa raya pada September depan masih belum membuat keputusan berhubung representasi berkenaan.

Pada permulaan prosiding, Mohd Ashrof memaklumkan pada hakim bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi justeru, beliau memohon tarikh lain untuk pengurusan kes.

“Disebabkan keadaan itu, pihak pendakwaan tidak boleh membuat keputusan berkenaan representasi yang dihantar oleh Shafee & Co. Kami dengan rendah hati memohon masa lagi, Yang Arif,” kata pendakwa raya.

Sehubungan itu, peguam utama Najib berkata memandangkan kes itu tergantung selama bertahun-tahun, maka mahkamah perlu memerintahkan agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan.

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 49 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.- 19/1/2024

th-ok

Surat tawaran Haji dikeluarkan hari ini….bayaran B40 ialah RM 12,356

Kadar bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan RM12,356.

Satu kenyataan Tabung Haji pada Jumaat kata bagi kumpulan M40 pula RM19,152.

Katanya TH akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah bagi tahun 1445H/2024M bermula pada hari ini.

Bakal Haji perlu cukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.

Manakala untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

TH juga memberi jaminan akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini (1445H/2024M) walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat Haji.

Kos Haji bagi seorang bakal Haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.- 19/1/2024

bas2

Alamak…dua bas ekspres dua tingkat terbakar di lebuh raya dalam tempoh enam hari

Ngeri melihat bas ekspres ini terbakar hangus di Km 375.4 hala Utara, Lebuhraya Plus, Slim River awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun nasib baik tidak berlaku kemalangan jiwa dikalangan 17 orang penumpang iaitu 14 lelaki dan 3 perempuan itu.

Mereka sedang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Utara tanah air.

Tahukah anda…ini adalah kebakaran bas ekspres yang kedua dalam tempoh enam hari sahaja.

Pada 13 Januari lalu seorang pelancong maut manakala lima lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), pada awal pagi hari itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang maut merupakan remaja warganegara India berusia 17 tahun.

Bas berkenaan bawa 30 orang masa kejadian.

Mungkin pihak berkuasa berkenaan perlu ambil sesuatu langkah untuk pastikan kejadian seperti ini berulang.

Bayangkan dua kejadian dalam tempoh enam hari.- 19/1/2024

sukan-696x440

Kelonggaran pakai baju sukan di sekolah diteruskan…

Kelonggaran pemakaian baju sukan ke sekolah diteruskan untuk sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula Mac ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata keputusan itu adalah berdasarkan sesi libat urus yang telah dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk warga pendidik dan ibu bapa.

Fadhlina berkata surat pekeliling dan makluman lanjut mengenai pelanjutan kelonggaran pemakaian sukan itu akan dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kesemua sekolah dalam masa terdekat.

“Kementerian Pendidikan memutuskan pakaian sukan di sekolah diteruskan iaitu dua hari pakaian seragam sekolah, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM di Putrajaya Jumaat.

Menurutnya, keputusan dibuat bagi meringankan beban ibu bapa serta memudahkan mereka untuk membuat persiapan persekolahan lebih awal.

Dalam sidang media selepas itu, Fadhlina berkata pihak sekolah diberikan kebebasan untuk menetapkan hari bagi pakaian seragam sekolah, sukan dan kokurikulum.

“Autonomi diberikan kepada pihak sekolah untuk tentukan hari pemakaian berkenaan,” katanya.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Fadhlina dilaporkan berkata pemakaian baju sukan yang mula diberi kelonggaran pada 3 Mei ketika fenomena cuaca panas, diteruskan walaupun cuaca panas semakin berkurangan. – BERNAMA- 19/1/2024