mahathir-anwar-

Itu kenyataan tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan PM…

Dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang persoal kesetiaan kaum India pada negara terus undang kontroversi.

Kali ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim halakan meriam kearah bekas Perdana Menteri itu.

Beliau menjawab soalan wartawan mengenainya selepas menghadiri Majlis Peluncuran ‘Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat’ di Serdang, pada Selasa.

Dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV baru baru ini Dr Mahathir dakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Ia telah cetuskan kemarahan dari kalangan pimpinan politik pelbagai kaum khususnya kaum India.

Anwar menyifatkan tindak tanduk buat kenyataan berunsur perkauman sebegitu suatu kecenderungan Dr Mahathir.

“Dia sememangnya terkenal. Orang Melayu bagi dia malas, melainkan dia. Orang India dan Cina itu dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.

Beliau juga menilai dakwaan Dr Mahathir merupakan cubaan untuk mengalih pandangan terhadap kesungguhan kerajaan membanteras rasuah, usaha mendigitalkan Malaysia dan inisiatif peralihan tenaga.

“Saya tidak anggap kenyataan Tun Dr Mahathir itu relevan. Itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan Perdana Menteri sekian lama, kemudian menghina mana-mana kaum, sama ada majoriti, minoriti.

“Saya fikir kenyataan dia itu kita bantah keras, sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya, semua rakyat yang setia, harus kita hormati.

“Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita,” kata Anwar.

Sementara itu diminta mengulas cadangan Timbalan Predana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi diwujudkan satu rang undang-undang (RUU) untuk menghalang cubaan menjatuhkan kerajaan beliau memberitahu hal berkenaan
belum dibincangkan lagi.

Menurutnya cadangan itu bukan keutamaan baginya kerana belum ada kata sepakat dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan.

“Ia terlalu awal,”katanya.

Zahid membuat cadangan untuk sekat cubaan ‘ tebuk atap’ dan memastikan kerajaan yang memerintah kekal sampai habis penggal.-16/1/2024



BERITA SEBELUM INI : Dr Mahathir persoal kesetiaan masyarakat India pada Malaysia….

13, January 2024

Dalam satu interbiu menerusi alam maya dengan TV satelit India, Thanthi TV,bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan kontroversi bila beliau mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Beliau memberi contoh orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil.

Dakwaan Dr Mahathir telah bangkitkan kemarahan kalangan pimpinan masyarakat India di negara ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago kata “kaum India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi dan politik Malaysia.

“Tindakan mesti diambil ke atasnya kerana kenyataan yang memecahbelahkan itu berpotensi membahayakan masyarakat berbilang kaum ini,” kata Charles pada Sabtu.

BERIKUT IALAH LAPORAN PENUH MALAYSIAKINI.COM MENGENAI INTERBIU BERKENAAN:

Dr M anggap masyarakat India tak setia sepenuhnya pada M’sia

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu “berasimilasi sepenuhnya” menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: “Ya… mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maskud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu.”

Hos kemudian bertanya jika Mahathir mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu dan bukannya rakyat Malaysia.

“Sepatutnya begitu,” kata ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu.

Mahathir mendakwa di mana-mana negara, jika ada mana-mana individu mahu mengatakan mereka milik negara tertentu, mereka perlu dikenal pasti sebagai peribumi.

Apabila hos terbabit menegaskan bahawa ada yang berpendapat bahawa Orang Asli mempunyai lebih hak sebagai “anak peribumi”, Mahathir berkata dia memiliki pandangannya yang berbeza.

Temu bual itu kemudian beralih kepada isu asal-usul Mahathir yang didakwa mempunyai kaitan dengan India, dia menafikan kenyataan itu sepenuhnya.

“Tidak, saya bukan orang India. Saya orang Melayu kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa India, dan itu sudah lama dahulu.

“Saya kini 100 peratus Melayu, saya berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat dan tradisi Melayu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mahu semua rakyat Malaysia mengikuti langkahnya, Mahathir menjawab: “Ya, jika mereka mahu mendakwa negara ini sebagai negara mereka, mereka mesti mengenal pasti diri mereka sepenuhnya dengan negara ini.”

Ahli politik berusia 98 tahun itu juga menafikan dia tahu sebarang susur-galurnya dengan India (khususnya Kerala) dan menegaskan dia adalah “100 peratus Melayu.”

Mahathir kemudiannya ditanya pendapatnya mengenai sumbangan orang bukan Melayu kepada pembinaan negara dan ekonomi, lalu menganggap pihak terbabit sudah diberikan “pampasan yang adil”.-13/1/2024

bandungbnjir

Bandung diisytiharkan darurat banjir sehingga 20 Januari

INI khabar terbaru dari negeri sebelah, bagi pelancong Mlaysia yang hendak ke Bandung, daerah itu kini diisytiharkan mengalami darurat banjir sehingga minggu depan.

Kerajaan tempatan Jawa Barat, mengisytiharkan status respons kecemasan dari 13 Jan hingga 20 Jan 2024 yang mewajibkan semua pihak untuk kekal berwaspada terhadap risiko banjir, lapor Agensi Berita ANTARA.

“Status respons kecemasan terhadap bencana banjir telah diwujudkan sejak tiga hari lalu. Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) telah menyediakan dapur awam dan sebagainya,“ kata pegawai daerah Bandung, Dadang Supriatna, pada Isnin.

Supriatna berkata status kecemasan itu akan dilaksanakan selama tujuh hari dan mungkin dilanjutkan atau dipendekkan bergantung kepada situasi di lapangan.

“Penentuan status respons kecemasan bencana boleh dilanjutkan atau dipendekkan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan,” katanya.

Menurut Supriatna, penentuan status kecemasan itu sebagai langkah mengendalikan banjir dan bencana hidrometeorologi lain yang memberi kesan kepada kawasan itu sejak 11 Jan 2024.

Sementara itu, Ketua BNPB, Suharyanto berkata pihaknya telah menyediakan bantuan sebanyak Rp350 juta bagi menyokong pengendalian banjir di daerah Bandung.

Antara kawasan yang teredam banjir di Bandung adalah Braga, iaitu kawasan tarikan pelancongan utama di daerah tersebut.

setpol2

Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu boleh tarik nafas lega…

Ingat balik…kes bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakni Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, yang dituduh di mahkamah meminta dan menerima rasuah melebihi RM6.48 juta.

Mohd Azhar didakwa pada Oktober 2020 atas lima pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.35 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek oleh kementerian.

Pada bulan yang sama, dia kemudian dikenakan dua pertuduhan tambahan menerima rasuah berjumlah RM130,000.

Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Pada waktu itu Mat Sabu ialah Menteri Pertahanan semasa kerajaan 22 bulan selepas PRU 2018 pimpinan Tun Dr mahathir Mohamad.

Pada Isnin…peguam beliau Haijan Omar memberitahu Mohd Azhar dilepas dan dibebaskan atas semua pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rozina Ayob pada prosiding di peringkat kes pendakwaan, Jumaat lalu.

“Saya sahkan mahkamah melepas dan membebaskan anak guam saya daripada tujuh pertuduhan itu. Itu sahaja saya boleh sahkan,” kata Haijan.

Pada 15 Oktober 2020, bekas Setiausaha Politik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Elias Jemadi Tajudin.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019.

Mohd Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur antara September 2019 dan Februari 2020.- 15/1/2024

dadah2

Aset ‘raja dadah Malaysia’ dianggar RM190 juta

Nilai aset kepada seorang lelaki didakwa sebagai ‘raja dadah Malaysia’ berusia 41 tahun yang ditahan di Laos baru-baru ini dianggarkan kira-kira RM190 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berasal dari Perak itu pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) dan nilai aset itu berdasarkan sitaan peringkat awal semasa penahanannya itu sebelum ini.

“…nilai (aset) tak silap saya masa kita (polis) buat sitaan itu dalam (anggaran) RM190 juta, yang kita sita pada peringkat awal, sebahagian kita lucut hak dan sebahagian lagi kita pulangkan semula,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar Isnin.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.

Pada 8 Jan lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan sebagai berkata lelaki yang berkahwin dengan wanita Thailand itu akan menghadapi pertuduhan di Thailand.

Media sebelum ini melaporkan suspek yang dikehendaki polis Thailand itu ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos pada 29 Dis lepas.- Bernama- 15/1/2024

AG-baru

Henti pertuduhan: Pendakwa Raya tidak perlu beri alasan kepada sesiapa – Peguam Negara

PUTRAJAYA: Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata Pendakwa Raya tidak terikat untuk memberikan sebarang alasan kepada mana-mana pihak terhadap keputusannya untuk menghentikan pertuduhan terhadap orang yang dituduh.

Beliau berkata Pendakwa Raya mempunyai hak untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya ditetapkan dengan baik dan dilindungi di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Budi bicara pendakwaan untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah adalah pelaksanaan budi bicara yang sah oleh Pendakwa Raya selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan oleh badan penyiasatan dan juga mengambil kira keperluan undang-undang dan prosedur,” katanya semasa berucap di Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang bertulis, tanpa campur tangan luar yang tidak perlu, dan semua pihak berkepentingan, mesti memahami serta menghormati hak prerogatif Pendakwa Raya, dan mesti bertindak adil terhadap semua pihak tanpa bersikap selektif terhadap perkara-perkara tertentu.

Ahmad Terrirudin seterusnya berkata ia juga termasuk berkaitan perkara-perkara yang kelihatan remeh, kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) masih perlu bertindak balas terhadap setiap perkara secara profesional.

“Bagaimanapun, saya benar-benar mengiktiraf dan menghargai peranan Badan Peguam Malaysia dalam persaudaraan undang-undang kami, dan saya tidak ragu-ragu untuk bekerja secara progresif dengan Badan Peguam Malaysia dalam pelbagai perkara undang-undang, bagi meningkatkan dan menambah baik sistem perundangan kita,” katanya.

Ahmad Terrirudin berkata AGC telah berjaya mempertahankan kepentingan kerajaan dan mencapai beberapa kejayaan dalam kes-kes berkaitan kepentingan awam, termasuk petisyen pilihan raya dan saman melibatkan individu berprofil tinggi.

“Kadar kejayaan yang tinggi dalam mempertahankan kes-kes ini adalah disebabkan komitmen kerajaan dalam menegakkan Kedaulatan Undang-undang dan mengendalikan jentera kerajaan seiring dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain sedia ada.

“Saya ingin menyebut, AGC sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan hari ini diterjemahkan dengan baik ke dalam badan perundangan bagi mencapai objektif yang dihasratkan,” tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Terrirudin berkata menyalahgunakan dan memanipulasi isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) mempunyai kecenderungan mengganggu dan membahayakan kehidupan rakyat serta keselamatan negara.

“Kita sedar mengenai bahaya penyalahgunaan dan manipulasi isu berkaitan 3R. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak untuk membawa mana-mana pesalah ke muka pengadilan dan mengambil tindakan tegas, pastinya tertakluk kepada bukti, untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini, termasuk menggunakan Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang bertulis lain (jika perlu) ,” katanya.– BERNAMA-15/1/2024

ngeh-suspek

KEMASKINI : Lelaki diberkas kes bom petrol rumah Ngeh Koo Ham dibebaskan…



Nampaknya setakat ini kes lontar bom petrol ke rumah Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo ham belum beres.

Seorang lelaki yang ditahan reman selama lima hari dan kemudian disambung sehari lagi semalam…akan dibebaskan hari ini Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Perak, Selasa.

“Polis menerima arahan supaya tangkapan dibebaskan esok (hari ini) dengan jaminan polis dan menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan,” katanya Selasa malam.

Serentak dengan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut agar menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Lelaki berkenaan ditahan di Shah Alam pada pagi 12 Januari.

Kejadian di rumah Koo Ham menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Akibat dari kejadian kira-kira pukul 3 pagi 10 Januari itu siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut terbakar.- 17/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Reman lelaki diberkas kes bom petrol rumah Ngeh Koo Ham disambung sehari lagi…

UPDATE: Setakat ini identiti lelaki yang ditahan kes lontar bom petrol rumah Ahli Parlimen DAP Beruas masih menjadi tandatanya.

Tempoh reman lima hari keatas lelaki yang ditahan pada 12 Januari di kawasan Shah Alam disambung sehari lagi.

Pada Selasa di Mahkamah Seri Manjung Majistret Nurul Izalina Rajaai membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman lelaki itu sehingga esok Rabu di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri sebelum ini memberitahu seorang lelaki yang tiada rekod jenayah ditahan kira-kira pukul 4 pagi di Shah Alam dan polis merampas dua telefon bimbit miliknya.

Katanya suspek bukanlah ahli mana-mana parti politik.

“Berdasarkan siasatan, suspek juga menetap di luar daerah Manjung,” katanya.

Menurut beliau motif perbuatan itu juga masih dalam siasatan.

Dalam kejadian pada awal pagi 10 Januari lalu menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux milik keluarga Ngeh masing -masing mengalami lima peratus kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, siling dan bumbung garaj kediaman Ngeh di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut terbakar.

Siasatan polis kemudian mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran itu.- 16/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Lelaki diberkas kes serangan bom petrol rumah MP ditahan reman lima hari….

Seorang lelaki yang diberkas dalam kes serangan bom petrol keatas rumah Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo Ham telah ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan memberitahu lelaki berkenaan yang berusia 30han diberkas di Shah Alam pada jam 4 pagi Jumaat.

Polis turut merampas dua buah telefon bimbit.

Menurut Mohd Yusri lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya.

BERITA SEBELUM INI : Rumah Ahli Parlimen DAP Beruas diserang bom petrol…

Suasana kawasan rumah keluarga Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham kelam kabut awal pagi Rabu bila berlaku kebakaran di bahagian garaj dipercayai akibat serangan bom petrol.

Dalam kejadian sekitar 3 pagi di rumah terletak di Taman Semarak Jaya,Ayer Tawar kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar ialah siling dan bumbung garaj kediaman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd. Zaki Mokhtarmin, memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 pagi.

Ketika kejadian Koo Ham dan isteri berada di rumah.

Sementara itu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengecam sekeras-kerasnya apa yang dipercayai serangan bom petrol ke atas rumah Koo Ham.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” kata Loke.

“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” tambahnya.

Koo Ham baru baru ini cetus kontroversi apabila didakwa cuba campurtangan dalam urusan agama Islam.

Beliau cadang agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.-10/1/2024

aza1

Cadangan Zahid melangkah setapak lagi ke depan…

Cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu akta yang cegah ‘tebuk atap’ dan bolehkan sesebuah kerajaan kekal perintah selama satu penggal mendapat sambutan positif’
dari menteri yang jaga undang undang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang turut jaga portfolio reformasi institusi menolak dakwaan pembangkang bahawa cadangan itu satu langkah terdesak.

Baginya ia mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghormati mandat pilihan raya dan proses demokrasi.

Dalam satu kenyataan Ahad, Azalina kata kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan buat kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Katanya dapatan kajian yang menyeluruh tersebut akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Menurut Azalina kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“BHEUU menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya.

Zahid yang juga Presiden UMNO buat cadangan itu pada Sabtu.

Katanya langkah itu demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.- 14/1/2024

AIR-PBA

Gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang pulih sepenuhnya….

PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan telah berjaya memulihkan bekalan air kepada 590,000 keseluruhan pengguna yang terjejas gangguan bekalan air berjadual sejak Rabu lepas mengikut jadual yang ditetapkan hari ini.

Dalam kenyataan pada Ahad PBAPP memaklumkan tahap ketiga dan tahap keempat pemulihan bekalan air membabitkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau negeri itu serta baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau kedua-duanya selesai sepenuhnya pukul 6 pagi tadi.

Gangguan bekalan air berjadual itu disebabkan kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter (m) yang bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan projek kerja air serta penyelenggaraan pencegahan di 22 lokasi lain dan kesemuanya siap pada 10 Jan malam, iaitu lebih awal daripada jadual.

Seterusnya pemulihan bekalan air tahap satu dinormalisasi secara berperingkat membabitkan 197,025 pengguna air iaitu 33 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan kesemua pengguna selesai menerima bekalan air pada 6 pagi 12 Jan.

Pemulihan air tahap kedua pula dengan pengepaman optimum air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau bagi memulihkan bekalan air kepada 495,065 pengguna atau 84 peratus dan selesai sepenuhnya 6 pagi, 13 Januari.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, PBAPP memaklumkan ia menganggarkan kehilangan 110 juta liter sehari (JLH) air tidak berhasil (NRW) disebabkan oleh kebocoran saluran paip di bawah permukaan Sungai Perai pada Jumaat lepas.

Berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan malam tadi PBAPP menyebut jumlah itu bersamaan dengan 11 peratus daripada jumlah isi padu air terawat sebanyak 1,016 juta liter sehari (MLD) yang dipam keluar dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“Tindakan pemulihan di Sungai Perai kini berada di peringkat respons kecemasan dan sedang berterusan yang mana pemantauan rapi dilakukan oleh penyelam komersial.

“Peringkat seterusnya pula adalah penyelesaian interim, iaitu cadangan pemasangan saluran paip 2 x 600 milimeter (mm) bersebelahan dengan Jambatan Ampang Jajar bagi menggantikan saluran paip dasar sungai yang rosak,” menurut kenyataan itu.

PBAPP memaklumkan kerja-kerja awal bagi penggantian paip itu sudah pun bermula dan jangkaan siap dalam tempoh 21 hari.

Sementara itu PBAPP menjelaskan, penyelesaian kekal yang paling rasional pula adalah dengan memasang saluran paip 1,350mm baharu yang disokong oleh struktur yang teguh dan bebas.

Menurutnya, kelulusan bajet RM5 juta bagi tujuan itu akan disegerakan dan sekiranya diluluskan penyelesaian itu akan mengambil masa empat hingga enam bulan untuk dilaksanakan.— BERNAMA – 14/1/2024

taki3

PAS anggap cadangan Zahid gubal rang undang undang sekat tukar kerajaan tak masuk akal…

Seperti diduga cadangan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi agar digubal satu Rang Undang-undang (RUU) bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) mengundang polimek.

PAS terus mendakwa ia sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pada Ahad telah mengeluarkan kenyataan berikut untuk menyuarakan pendirian parti itu terhadap cadangan Zahid.

BERIKUT KENYATAAN PENUH TAKIYUDDIN:

RUU CEGAH TUKAR KERAJAAN: ZAHID MAHU “UMNOKAN” NEGARA PULA?

Cadangan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar satu Rang Undang-undang (RUU) digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.

Menurut laporan media, beliau yang juga Presiden Umno berkata, RUU itu perlu bagi mengelak berulangnya “kesengsaraan rakyat” susulan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal selepas PRU 14.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan yang terbentuk dan mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong hendaklah kekal untuk satu penggal penuh dan apa-apa perubahan sebaliknya yang berlaku adalah “tidak baik untuk negara dan rakyat”.

Adalah menjadi suatu perundangan dan amalan yang telah selesai bahawa pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di negara ini, tetapi semua negara yang lain dengan syarat pihak-pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti yang diterimanya sama ada di Parlimen atau melalui saluran-saluran lain yang dibenarkan oleh undang-undang.

Perlembagaan adalah sangat jelas dalam hal ini dan telah dimaklumi semua bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa lain.

Ia juga merupakan syarat asasi bagi memperoleh perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik menurut budi bicara Baginda seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

Tegasnya seseorang Perdana Menteri yang dilantik selepas PRU atau bila-bila masa lain tetapi kemudiannya hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat secara semula jadi sudah kehilangan keabsahan jawatannya itu dan hendaklah meletakkan jawatan bersama seluruh anggota Jemaah Menterinya melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan.

Maka dalam keadaan itu Yang Di-Pertuan Agong hendaklah menggantikan Perdana Menteri tersebut dengan pihak yang terbukti mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

PAS percaya peruntukan Perlembagaan berhubung perkara ini dan amalan berkaitnya di serata dunia adalah selari dengan idea demokrasi itu sendiri, iaitu sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah selagi ia menikmati sokongan majoriti.

Justeru sebarang usaha untuk menyekat atau memandulkan prinsip teras itu, sama ada melalui undang-undang baharu seperti yang dicadangkan atau tindakan-tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.

PAS tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Zahid membuat cadangan yang begitu novis, terutama sekali selepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mendakwa bahawa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?

Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia untuk membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden Umno walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti tersebut?

Setelah berdepan konflik berterusan dalam Umno susulan tindakan itu, apakah Zahid kini berasa layak untuk mengheret negara ke dalam krisis sama dengan berselindung di sebalik kata-kata hikmat “kepentingan rakyat dan negara” pula selepas menggunakan helah keramat “kepentingan ahli dan parti” sebelum ini?

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 14 Januari 2024

anwar-jo

Jika PM sudah ada di sana…biarlah sampai habis

Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah blok penting dalam kerajaan perpaduan.Malah gabungan yang mempunyai 23 kerusi parlimen itu sudah dianggap sebagai ‘king maker’.

Atas sebab itu gerak langkah bos GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak di celah sebarang percaturan politik nasional sentiasa mencuri perhatian.

Abang Johari atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Jo’ nampaknya tidak goyang langsung.

Beliau sekali lagi telah menyuarakan sokongan tegasnya pada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami di Sarawak berkehendakkan negara Malaysia yang kuat… kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik.”katanya.

Bercakap semasa sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak Sabtu malam beliau menegaskan Anwar harus dikekalkan untuk menerajui negara sehingga tamat penggal Parlimen.

Premier Sarawak itu berkata mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa yang menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya dan sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Jika Perdana Menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis… kalau (kita tukar Perdana Menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov 2022.

Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.

Pada PRU ke 15 pada tNovember 2022 GPS menang 23 dari 31 kerusi Parlimen.

Manakala pada pilihanraya negeri 2021 GPS menang 76 dari 82 kerusi.- 14/1/2024