DRM-INDIA

Dr Mahathir persoal kesetiaan masyarakat India pada Malaysia….

Dalam satu interbiu menerusi alam maya dengan TV satelit India, Thanthi TV,bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan kontroversi bila beliau mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Beliau memberi contoh orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil.

Dakwaan Dr Mahathir telah bangkitkan kemarahan kalangan pimpinan masyarakat India di negara ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago kata “kaum India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi dan politik Malaysia.

“Tindakan mesti diambil ke atasnya kerana kenyataan yang memecahbelahkan itu berpotensi membahayakan masyarakat berbilang kaum ini,” kata Charles pada Sabtu.


BERIKUT IALAH LAPORAN PENUH MALAYSIAKINI.COM MENGENAI INTERBIU BERKENAAN:

Dr M anggap masyarakat India tak setia sepenuhnya pada M’sia

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu “berasimilasi sepenuhnya” menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: “Ya… mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maskud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu.”

Hos kemudian bertanya jika Mahathir mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu dan bukannya rakyat Malaysia.

“Sepatutnya begitu,” kata ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu.

Mahathir mendakwa di mana-mana negara, jika ada mana-mana individu mahu mengatakan mereka milik negara tertentu, mereka perlu dikenal pasti sebagai peribumi.

Apabila hos terbabit menegaskan bahawa ada yang berpendapat bahawa Orang Asli mempunyai lebih hak sebagai “anak peribumi”, Mahathir berkata dia memiliki pandangannya yang berbeza.

Temu bual itu kemudian beralih kepada isu asal-usul Mahathir yang didakwa mempunyai kaitan dengan India, dia menafikan kenyataan itu sepenuhnya.

“Tidak, saya bukan orang India. Saya orang Melayu kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa India, dan itu sudah lama dahulu.

“Saya kini 100 peratus Melayu, saya berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat dan tradisi Melayu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mahu semua rakyat Malaysia mengikuti langkahnya, Mahathir menjawab: “Ya, jika mereka mahu mendakwa negara ini sebagai negara mereka, mereka mesti mengenal pasti diri mereka sepenuhnya dengan negara ini.”

Ahli politik berusia 98 tahun itu juga menafikan dia tahu sebarang susur-galurnya dengan India (khususnya Kerala) dan menegaskan dia adalah “100 peratus Melayu.”

Mahathir kemudiannya ditanya pendapatnya mengenai sumbangan orang bukan Melayu kepada pembinaan negara dan ekonomi, lalu menganggap pihak terbabit sudah diberikan “pampasan yang adil”.-13/1/2024

dewan-rakyat2

Zahid cadang Rang Undang Undang halang kerajaan ‘tebuk atap’

Cadangan ini sudah tentu akan mencetuskan perdebatan kerana ia satu langkah besar dalam arina politik negara.

Kalau diterima ia akan letak tanda titik dan terus tutup buku kepada sebarang langkah untuk bentuk kerajaan ‘tebuk atap’.

Sebelum ini sudah ada Akta Lompat Parti untuk bendung sebarang tindak tanduk ala katak kalangan Ahli Parlimen.

Namun terbukti ada sikit kelompongan pada akta itu.

Ini bila mana lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional baru baru ini alih sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim…tanpa lompat parti.

Apa yang jelas ialah kalau ia boleh berlaku dikalangan Ahli Parlimen pembangkang maka ia juga boleh berlaku pada Ahli Parlimen kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu muncul dengan satu idea baru.

Beliau mencadangkann agar satu rang undang-undang (RUU) khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.

Tambahan pula, kata Zahid, sesebuah kerajaan itu dapat dibentuk hanya selepas ia mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas (kemenangan) sesebuah parti itu yang dominan, atau gabungan parti politik itu dominan, dengan mendapat perkenan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

“Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” katanya dalam sidang media pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kuala Lumpur.

Beliau imbas kembali kisah negara ditabir oleh tiga Perdana Menteri selepas pilihanraya umum November 2022.

Katanya tidak wajar ia dibiarkan berulang.

Zahid kata kesannya khususnya dari sudut ekonomi dirasai oleh rakyat.

Beliau menyifatkan ia satu pengalaman yang menyakitkan.

Sejak dua minggu kebelakangan ini situasi politik negara dihangatkan oleh isu Langkah Dubai yakni gerakan untuk tumbangkan kerajaan perpaduan.- 13/1/2024

man1

Pemuda UMNO anggap dokumentari ‘Man on The Run’ satu bentuk ‘ trial by media ‘ terhadap Najib

Pemuda UMNO Malaysia ingin mengutuk sekeras-kerasnya berhubung penyiaran dokumentari berjudul ‘Man on the Run’ yang kini sedang ditayangkan di saluran Netflix.

Setelah menonton dokumentari ini, Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan dokumentari ini sebagai sebuah dokumentari yang berat sebelah, dan lebih bersifat propaganda berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.

Tanpa mahu menafikan isu kebebasan media mahupun kebebasan bersuara yang dimaktubkan, Pemuda UMNO Malaysia melihat kandungan dan kupasan menerusi wawancara yang dibuat terhadap beberapa pihak dalam dokumentari ini telah menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri, Dato Sri Najib Razak, yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah – sekaligus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan.

Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Dato Sri Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya dan Kelvin Morais.

Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk ‘trial by media’ tatkala Dato Sri Najib Razak masih berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah, dan mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi yang negatif ke atas beliau.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan, dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa YB Menteri komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari terbabit secepat mungkin.

Hakikatnya, setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah.

Pemuda UMNO Malaysia sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi. Maka atas prinsip inilah, Pemuda UMNO Malaysia menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, sepertimana yang telah dimaktubkan di dalam nas perundangan negara.

YB Dr Muhamad Akmal Bin Saleh
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia – 12/1/2024



Ini komen Anwar pasal isu ‘Man On The Run’…

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat Sepang di Masjid al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra,Sepang kata beliau serah sepenuhnya kepada Kementerian Komunikasi berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya filem dokumentari Man On The Run dikeluarkan daripada Netflix.

Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diteliti dan dipertimbangkan oleh Kementerian Komunikasi.

“Nanti diorang akan pertimbangkan,” katanya.- 12/1/2024

kempen1

Bayangkan…RM200,000 hangus untuk majlis rasmi kempen saja

Bagus…rasanya ini satu keputusan yang menarik.Ia diumum oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Cuba kira balik berapa banyak yang dibelanjakan dari tahun ke tahun pada setiap musim perayaan.

Soalnya apakah kempen demi kempen ini berkesan?

Kalau lihat pada statistik jumlah kemalangan jalanraya terus meningkat di celah segala bentuk kempen yang dibuat selama ini.

Ini baru cakap bab kempen keselamatan jalanraya saja.

Bagaimana pula tentang macam macam jenis kempen yang dibuat selama ini.

Ada diantaranya diketahui umum setakat hangat masa majlis perasmian saja….lepas itu kempen tinggal kempen.

Pada Jumaat…Anthony Loke umum mulai tahun ini majlis pelancaran kempen-kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan diadakan lagi.

Tahukah anda berapa banyak wang kerajaan yang hangus kena belanja untuk majlis perasmian kempen itu saja.

Menteri itu kata ia akan melibatkan kos hampir RM200,000 termasuk perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siar raya dan pemasangan khemah.

Katanya semua majlis pelancaran ini tidak perlu.

Namun operasi bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diteruskan.

“Ia tidak akan dihentikan. Kita hentikan majlis perasmian sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 MOT di Putrajaya.

Anthony Loke kata,“kalau syarikat swasta nak buat kempen – boleh, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik, mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya, kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” tambahnya.

Terdahulu dalam amanatnya, beliau berkata antara fokus MOT tahun ini adalah membudayakan aspek keselamatan tidak kira sektor darat, udara mahupun maritim.

Beliau memberitahu hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya tahun lepas.

Media baru ini melaporkan sebanyak 1.2 juta kemalangan jalan raya telah direkodkan di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2023 yang membabitkan sejumlah 13,516 kematian.- 12/1/2024

daim444

Aset saya bernilai lebih RM50 Bilion, jika kekal dalam perniagaan – Tun Daim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, beliau adalah ahli perniagaan yang berjaya dengan memiliki aset-aset dan hartanah melalui aktiviti perniagaan yang sah sebelum terlibat dalam kancah politik.

Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin berkata, jika beliau kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif, nilai pegangan saham cair miliknya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion.

“Sebelum menyertai politik dan memegang jawatan awam, saya merupakan seorang ahli perniagaan yang agak berjaya dan kaya. Keputusan saya menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri saya dan keluarga saya,” katanya menerusi afidavit sokongan yang difailkan pada 10 Januari lalu.

Afidavit sokongan itu difailkan bersama permohonan Daim dan ahli keluarganya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar siasatan yang dijalankan terhadap mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Daim pada atau sekitar 1969, beliau menceburi bidang perniagaan yang diasaskan bersama rakan kongsi lain iaitu sebuah syarikat pembangunan tanah dikenali sebagai Syarikat Maluri Sdn Bhd.

Katanya, syarikat itu (Maluri) bertanggungjawab membangunkan perbandaran yang dikenali sebagai Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur, dengan penilaian hari ini bernilai lebih daripada RM26 bilion.

“Saya juga merupakan pemilik Malaysian French Bank dan kemudian UMBC (kini RHB). Saya juga mempunyai kawalan serta kepentingan dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (Sime Darby sekarang), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia.

“Sebanyak 10 peratus kepentingan saya dalam Nestle Malaysia hari ini bernilai kira-kira RM3 bilion,” katanya menerusi afidavit itu.

Pada 10 Januari, Daim, 85, dan isterinya, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, serta empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta Ilham Tower Sdn Bhd, selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden pertama hingga kedua.

Dalam permohonan itu, pemohon berkata, pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat daripada ‘Pandora Papers’.

Menurut Daim, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset, dan akaun bank di luar negara yang di luar bidang kuasa Malaysia, namun beliau mendakwa fail terbabit tidak menyatakan sebarang kesalahan dilakukan olehnya dan keluarga.

Oleh itu, mereka antara lainnya memohon satu perintah antaranya supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua penyiasatan yang dimulakan terhadap mereka sejak Februari 2023 sehingga kini dan membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM. – BERNAMA- 12/1/2024

Tun Daim, isteri dan anak fail permohonan semakan kehakiman, cabar siasatan SPRM

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, isteri serta empat anaknya memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar siasatan yang dijalankan terhadap mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Daim, 85, dan isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, serta empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta Ilham Tower Sdn Bhd selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Rabu menerusi Tetuan Tommy Thomas.

Mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam notis permohonan yang diperoleh media hari ini, pemohon berkata pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat daripada ‘Pandora Papers”.

Menurut Dain, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada tahun 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset dan akaun bank di luar negara yang di kuar bidang kuasa Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mendakwa fail terbabit tidak menyatakan sebarang kesalahan dilakukan olehnya dan keluarga.

Menerusi permohonan itu, Daim dan ahli keluarganya memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua penyiasatan terhadap mereka sekiranya mahkamah memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Selain itu, mereka memohon satu perintah antaranya supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua penyiasatan yang dimulakan terhadap mereka sejak Februari 2023 sehingga kini dan membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

Pengurusan kes ditetapkan pada 16 Januari ini secara sidang video di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. – BERNAMA- 11/1/2024

anwar-parlimen

Anwar cabar pembangkang bawa usul tidak percaya di Parlimen….

Bebeza dengan sebelum ini…kali ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ulas panjang sikit isu Langkah Dubai.

Ini semasa beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah,Johor pada Khamis.

Beliau menilai dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan sudah tumbang yang dimainkan pembangkang juga hanyalah satu propaganda untuk menipu penyokong mereka sendiri agar terus kekal bersemangat.

Serentak dengan itu Anwar kata kerajaan pernah mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya ke Parlimen.

Namun ,katanya sudah lebih setahun, masih juga tidak dibangkitkan mereka.

“Sudah lama dah, dia tidak bawa ,setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada. Jadi kita tidak fikir bab itu.

“Saya tidak fikir dia ada kekuatan untuk bawa ini selain daripada propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya jangan hilang semangat,”katanya.

Menurutnya jika tidak boleh pembangkang sepatutnya cuba bawa perubahan dan bekerja untuk rakyat.

“Rakyat yang akan pilih akhirnya,” katanya.

Bagi Perdana Menteri Langkah Dubai sudah terbukti langkah itu hanya politik ‘cemas’, digunakan pihak yang sudah kehilangan modal.

“Sekarang dah terbukti bahawa itu hanya politik cemas dalam kalangan yang agak kehilangan modal.

“Saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan dan kerajaan umumnya, tumpu untuk bangunkan negara.

“Tahun 2024, fokus kita adalah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” ujarnya.- 11/1/2024

drm-muh-okkk

Reaksi Dr Mahathir dan Muhyiddin dakwaan cuba rasuah YDP Agong…

Ikut jalan ceritanya ini semua bermula dari tulisan di sebuah laman blog yang tidak dikenali pada 8 Januari baru ini.Tajuk tulisan itu ialah ‘PN cuba merasuah YDPA’.

Klik punya klik tidak ada tulisan atau laporan lain pada laman blog itu kecuali tulisan itu saja.

Tidak ada nama siapa penulis blog itu atau siapa pemilik blog itu.

Tulisan itu tidak memetik sebarang sumber.Ia dalam bentuk bercerita.

Walaupun macam bentuk surat layang sahaja namun dakwaan yang dibuat oleh tulisan itu nyata amat serius.

Apa tidaknya tulisan itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba untuk merasuah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebanyak RM1 bilion dalam usaha mereka untuk merampas kerajaan ketika ini.

Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa oleh tulisan itu mengetuai cubaan memberi rasuah kepada YDPA.

Turut dikaitkan ialah nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Kelmarin Azman Abidin, Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa polis menyiasat dakwaan terdapat pihak sanggup menyediakan dana RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan.

Dakwanya, ia sebahagian daripada usaha yang dinamakan Langkah Dubai.

Pada hari sama tulisan itu disiar ,seorang pegawai Hamzah yakni Ahmad Ikhwan Fadhli telah membuat laporan polis di PD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir sendiri tidak tunggu lama untuk jawab dakwaan itu.

Katanya di media sosial dakwa beliau cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong RM500 juta hingga RM1bilion.

“Sila buktikan bahawa saya melakukan ini. Membuat kenyataan sedemikian dan menyembunyikan identiti anda adalah pengecut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu semalam.

Beliau tafsir pihak yang melemparkan fitnah tersebut seolah-olah turut mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong ditangkap kerana menerima rasuah daripada beliau.

“Dalam rasuah, kedua-dua pemberi dan penerima sama-sama bersalah.

“Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil RM1bilion daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang,” katanya.

Sementara itu bekas Perdana Menteri yang juga pemimpin PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

“Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan.

“Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Laporan polis telah dibuat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk samada melalui pilihanraya atau di luar pilihanraya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan.

Jelas beliau, peruntukan Perlembagaan itu mesti dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan.

“Saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor ini.

“Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri,” katanya.- 11/1/2024

rts-mapxxx

Anwar dan Hsien Loong saksikan penyambungan semula RTS Link Malaysia-Singapura

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simboliknya ‘disambungkan’ antara Malaysia dan Singapura.

Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut bertemu di tapak projek berkenaan, sekali gus menguatkan komitmen kedua-dua negara terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.

Semasa majlis berkenaan, Anwar dan Hsien Loong turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Disember lepas, seperti yang dijadualkan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Projek tersebut dijangka membuka lembaran baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibincangkan. – BERNAMA-11/1/2024

sanusi-lambai

Lepas 3 jam di SPRM….Sanusi elak jumpa media

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor biasanya cukup mesra media.Namun kali ini agak lain ceritanya.

Hasrat wartawan dan jurugambar hendak menyapa beliau dan mendapat sikit komentar selepas hadir di ibupejabat SPRM di Putrajaya pada pagi Khamis gagal.

Sanusi ke situ berhubung isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu keluar dari ibu pejabat SPRM pukul 11.37 pagi selepas hampir tiga jam memberi keterangan.

Difahamkan, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz warna kelabu bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan walaupun disapa pengamal media yang menunggu di luar bangunan.

Media baru-baru ini melaporkan siasatan kes rasuah ini dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.

Pada 7 Januari lalu, Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun, menjelaskan kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.

Sementara itu Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim menerusi satu kenyataan mengesahkan Menteri Besar Kedah itu dipanggil berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah.

Beliau berkata, pihaknya kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.

Justeru, katanya Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dipanggil bagi melengkapkan siasatan berkenaan.

“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini juga, SPRM telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini,” katanya.

Hishamuddin bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.-11/1/2024

ngeh-bakar2

Insiden serangan bom petrol…PAS dan BERSATU tibai Ngeh Koo Ham

Ketika polis akan jalankan siasatan dari pelbagai sudut keatas kes serangan bom petrol di rumah Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar,Perak perang mulut semakin hangat antara Ahli Parlimen DAP kawasan Beruas itu dengan pimpinan PAS dan Perikatan Nasional.

Ini gara gara kenyataan beliau mendakwa kejadian pada awal pagi Rabu itu berpunca dari tindak tanduk PAS dan BERSATU mengapi-apikan cadangan beliau supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah pada 28 Disember lalu.

Polis Perak mengesahkan bahawa kebakaran itu disyaki sebagai perbuatan khianat.

Tiada kemalangan jiwa dalam kejadian 2.50 pagi itu.Namun tiga kenderaan dan anjung rumah Koo Ham rosak akibat kebakaran.

Semalam Koo Ham kata, beliau memaafkan pihak yang melontar bom petrol itu.

Bagaimanapun beliaumenuding jari kepada PAS dan BERSATU yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dalam reaksi beliau kata Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan membuat laporan polis terhadap Koo Ham.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan langkah ini bagi mengekang fitnah pemimpin DAP berkenaan berhubung kejadian itu.

“Kami mengucapkan takziah kepada Ngeh atas insiden yang tidak diingini ini, namun ini bukan menjadi tiket bagi Ngeh untuk membuat satu tuduhan tidak berasas.

“Ngeh tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenalpasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar insiden kali ini merupakan satu bentuk serangan,” kata Fadhli dalam satu kenyataan.

Susulan kritikan yang diterima, Koo Ham sebelum ini telah memohon maaf dan menarik balik cadangannya untuk memasukkan pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji semula bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata Ahli Parlimen DAP itu harus membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka secara bebas.

Beliau mendakwa kenyataan Koo Ham juga cuba menutup kesilapan lalu yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

“Ngeh juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu.

“Ngeh sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti kukuh.

“Justeru, sebagai langkah untuk mengawal Ngeh daripada mengulangi tindakan jahat sebegini, Pemuda PN akan menggerakkan laporan polis bagi mengekang fitnah sangkaan jahat yang cuba diwujudkan oleh Ngeh terhadap PN khususnya dan umat Islam umumnya,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyatan beliau menegaskan perbuatan khianat pihak tertentu membaling ‘molotov cocktail’ ke rumah Koo Ham sehingga menyebabkan beberapa
kenderaan pemimpin DAP itu terbakar tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang,tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni.”

Namun Hamzah anggap tindakan Koo Ham mengaitkan BERSATU dan PAS dalam insiden tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan. Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain.

Semua pihak perlu mengambil ikhtibar daripada kejadian sebegini agar berhati- hati dalam melontarkan sesuatu pandangan, apatah lagi jika ianya menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak
susu sebelangga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,”katanya.-11/1/2024