Pemimpin ASEAN mengesahkan komitmen kukuh untuk menegakkan keamanan, kestabilan, serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ketegangan maritim serantau.
Menerusi Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, pemimpin menegaskan keperluan untuk mengekalkan perintah serantau berasaskan peraturan dan menggesa semua pihak supaya melaksanakan kawalan maksimum dan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh memburukkan ancaman terhadap keamanan dan kestabilan di perairan yang menjadi pertikaian itu.
“Kami menegaskan sekali lagi kepentingan mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Blok serantau berkenaan juga menekankan kepentingan untuk membina kepercayaan dan keyakinan bersama dalam kalangan negara penuntut dan pihak berkepentingan lain.
Pemimpin ASEAN menyeru semua pihak supaya mengelakkan tindakan provokatif yang boleh merumitkan keadaan, sebaliknya memilih langkah aman untuk menyelesaikan pertikaian dengan menghormati proses perundangan dan diplomatik, serta mematuhi undang-undang antarabangsa yang diiktiraf termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Kami menekankan keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan kawalan diri dalam tindakan yang boleh menyulitkan atau memburukkan pertikaian dan menjejaskan keamanan serta kestabilan,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan serantau itu turut menegaskan keperluan untuk mengelak daripada ancaman atau penggunaan kekerasan serta menegakkan integriti undang-undang antarabangsa sebagai kerangka panduan dalam semua usaha untuk menguruskan ketegangan dan pertikaian maritim.
Pemimpin ASEAN turut menyeru pelaksanaan penuh Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), yang berfungsi sebagai komitmen politik untuk mengelakkan tindakan agresif dan menyelesaikan pertikaian melalui dialog.
Mereka mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam rundingan yang sedang berlangsung ke arah pembentukan Kod Tatakelakuan (COC) untuk Laut China Selatan, dilihat sebagai instrumen yang mengikat dari segi undang-undang untuk memastikan keamanan dan menguruskan tuntutan bertindih antara kuasa serantau, termasuk China.
“Kami menyambut baik kemajuan dalam rundingan berterusan terhadap COC di Laut China Selatan,” kata pemimpin ASEAN sambil menambah blok berkenaan kekal komited terhadap menyegerakan pencapaian persetujuan COC yang berkesan dan substantif selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.
Sidang kemuncak itu juga menyaksikan pemimpin menerima pakai Guidelines for Accelerating the Early Conclusion of an Effective and Substantive Code of Conduct in the South China Sea, sambil menyeru peningkatan momentum dalam proses rundingan dan penglibatan berterusan antara pihak.
ASEAN turut mengalu-alukan langkah praktikal bertujuan mengurangkan ketegangan maritim dan meminimumkan risiko kemalangan, salah faham dan salah anggap, khususnya dalam bidang tuntutan bertindih serta pertembungan tentera dan pengawal pantai yang kerap.
Pemimpin-pemimpin mengulangi kepentingan melaksanakan langkah-langkah membina kepercayaan dan pencegahan untuk memupuk kepercayaan dan ketelusan antara pihak terlibat di Laut China Selatan.
Kenyataan itu diakhiri dengan penegasan terhadap pendirian ASEAN sekian lama mengenai keperluan menegakkan dan menghormati undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982, sebagai rangka kerja undang-undang sejagat yang mengawal selia lautan dunia dan tatakelakuan maritim.-28/5/2025