
Menteri Komunikasi kena fitnah lagi… kali ini berkaitan tik tok
Black ops semakin canggih sehingga payah hendak kenal yang mana benar dan mana yang palsu.
Terbaru, konglomerat media terkemuka Media Prima Berhad menegaskan bahawa satu hantaran yang tular membabitkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan TikTok adalah palsu dan disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Syarikat gergasi media itu menegaskan tangkap layar tular yang kononnya dari platform Buletin TV3 dengan tajuk ‘TikTok Malaysia akan ditutup kerana ia merugikan negara kita – Fahmi Fadzil’ adalah palsu dan tidak benar.
“Ia adalah palsu dan direka serta disebarkan pihak tidak bertanggungjawab. Tangkap layar yang tular itu adalah fitnah semata-mata dan bukan daripada saluran rasmi kami,” kata Media Prima.
Susulan daripada itu, Media Prima juga telah membuat satu laporan polis.
Difahamkan, individu yang menyebarkan berita palsu tersebut sudah dikenal pasti dan dikenali sebagai Syafinas Abu Bakar.
Malah Fahmi menerusi akaun Facebook miliknya turut menasihatkan individu dikenali sebagai Syafinas Abu Bakar untuk insaf dan tidak menjadikan tabiat menyebarkan berita palsu sebagai amalan.
“Harap Syafinas Abu Bakar insaf. Jangan jadikan fitnah makanan ruji harian,” tegur Fahmi ringkas.-30/12/2025



