
UMNO tolak cadangan adakan pilihanraya Datuk Bandar KL
UMNO tegas menolak sebarang cadangan untuk mengadakan pilihanraya Datuk Bandar bagi Kuala Lumpur, seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pada 1 Februari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, antara yang terawal menyuarakan bantahan supaya rancangan tersebut ditolak dan digagalkan seperti mana yang dilakukan terhadap cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), sebelum ini.
“Sebelum ini PSB, selepas itu pilihan raya PBT. Kali ini pilihan raya Datuk Bandar KL pula.
“Mereka tetap mereka. Kita jangan lalai. Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan PSB dan pilihanraya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada 2 Februari.
Bantahan itu menyusuli kenyataan Yeoh, yang mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar bagi Kuala Lumpur.
Dalam satu temu bual dengan akhbar China Press, Cik Yeoh berkata kementerian sedang mempertimbangkan pilihan raya sedemikian kerana ia dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Selain itu Berita Harian melaporkan Ketua UMNO Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata agenda melaksanakan pilihan raya PBT, didakwa sebagai tindakan politik yang berisiko merugikan rakyat.
Mengambil contoh bandar raya seperti Kuala Lumpur, beliau berkata ibu negara membangun dengan pesat dan terancang seiring dengan bandar utama dunia tanpa memerlukan pilihan raya PBT.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata daripada sudut pengurusan awam, pelaksanaan pilihan raya PBT akan menuntut peruntukan dana besar.
“Dana itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam, penyelenggaraan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Mengalihkan sumber awam kepada proses politik tambahan bukanlah satu keutamaan yang rasional dalam keadaan ekonomi dan fiskal semasa.
“Lebih membimbangkan, kuasa terhadap pembangunan bandar dan pengurusan hasil cukai akan terdedah kepada salah guna kuasa serta konflik kepentingan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, kenyataan bantahan itu kemudian dibidas oleh Yeoh, yang menjelaskan mengenai terma kajian berhubung cadangan melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar.
Beliau berkata kajian mengenainya penting bagi membolehkan penghasilan data dan fakta yang tepat sebelum sebarang keputusan untuk pilihan raya itu dilaksanakan atau sebaliknya.
“Kenapa takut dengan kajian? Kajian akan membuatkan kita lebih bijak. Kajian juga satu proses mendapatkan keputusan lebih baik.
“Perbandingan pro dan kontra membolehkan kita membuat keputusan dengan cermat, menjimatkan masa dan tenaga daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan,” tulisnya di Facebook.-3/2/2026



