
Mahkamah rekod Perintah Persetujuan selepas permohonan maaf Murray Hunter
Murray Hunter (MH) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasuki satu Perintah Persetujuan melalui prosiding dalam talian di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam pada Khamis, di hadapan Hakim Noor Hayati Mat.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, perintah berkenaan direkodkan dalam satu tindakan saman fitnah yang difailkan oleh MCMC terhadap MH.
Jelas MCMC, ia susulan penerbitan kenyataan berunsur fitnah oleh MH terhadap MCMC dan pihak-pihak berkaitan melalui platform dalam taliannya.
“Perintah Persetujuan tersebut juga merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian bertarikh 12 Januari ini yang dimasuki oleh kedua-dua pihak, berhubung prosiding jenayah terhadap MH di Thailand, yang juga berpunca daripada penerbitan kenyataan berunsur fitnah oleh MH terhadap MCMC melalui platform dalam taliannya.
“Perintah Persetujuan tersebut dimasuki susulan permohonan maaf terbuka oleh MH serta penurunan penerbitan berunsur fitnah tersebut daripada platform dalam taliannya,” jelas MCMC.
Kenyataan itu menambah, MH juga telah mengesahkan aku janjinya di dalam Perintah Persetujuan tersebut untuk tidak mengulangi penerbitan kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kandungan yang serupa berhubung MCMC dan pihak-pihak berkaitan.
Tegas MCMC, agensi itu memandang serius sebarang kenyataan palsu dan fitnah, dan akan terus mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti MCMC serta memastikan akauntabiliti berhubung penerbitan yang melulu dan tidak bertanggungjawab sedemikian.
Kenyataan itu menambah, dalam prosiding dalam talian hari ini, MCMC diwakili oleh Datuk Selva Mookiah dan Nurshafiqa Balqish Jaffri, manakala MH mewakili dirinya sendiri.-6/2/2026



