TAHUKAH ANDA

8.1 juta tebus SARA RM100, perbelanjaan cecah RM780 juta

Kira-kira 8.1 juta rakyat di negara ini sudah menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 dengan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM780 juta, setakat Jumaat lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, angka itu direkodkan dalam tempoh lima hari, selepas bantuan dikreditkan ke dalam MyKad semua warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan dan latar belakang, pada 9 Februari lalu.

Beliau berkata, kadar penebusan tinggi dalam tempoh singkat membuktikan sambutan amat menggalakkan terhadap inisiatif berkenaan, sekali gus mencerminkan keperluan rakyat terhadap bantuan bersasar disediakan kerajaan dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup.

“Kali ini kita melebarkan kategori barangan boleh dibeli seperti barangan makanan sejuk beku. Jadi kita lihat penerimaan bagi kategori itu sambutannya amat baik sekali, selain banyak perkara baharu untuk rakyat,” katanya selepas meninjau Projek Kampung Angkat MADANI Pulau Betong, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada beliau sendiri menebus SARA, Amir Hamzah berkata, terdapat individu berkemampuan memilih tidak menebus bantuan itu dengan jumlah RM150 juta bagi lebihan dana tahun lalu disalurkan kepada program membabitkan golongan rentan, termasuk orang kurang upaya (OKU) dan membiayai peralatan perubatan untuk pesakit kronik.

“Dalam pendekatan kerajaan, kita bagi SARA untuk semua, tetapi mereka yang mungkin berkemampuan, tidak gunakan SARA seperti saya pada tahun lalu, jadi lebihan itu kita pulangkan kepada rakyat yang lebih terbeban,” katanya.

Ditanya hala tuju bantuan tunai pada masa depan, Amir Hamzah berkata, kerajaan ketika ini memberi fokus kepada reformasi fiskal dan penyasaran subsidi bagi memastikan segala peruntukan disalurkan secara optimum kepada golongan sasar.

Katanya, sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel dan petrol berjaya menghasilkan penjimatan yang kemudian diagihkan semula kepada program bantuan rakyat termasuk peningkatan peruntukan bantuan tunai.

Beliau berkata, peruntukan bantuan tunai SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah kini mencecah kira-kira RM15 bilion menunjukkan peningkatan berbanding RM6 bilion Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan RM8 bilion peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia suatu masa dulu.

“Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 selain pelarasan gaji penjawat awam sehingga kenaikan purata 15 peratus dalam tempoh dua tahun.

“Mereka yang bekerja dalam GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) kita sudah berganjak daripada gaji minimum sebagai tahap paling rendah kepada gaji wajar, jadi untuk GLIC sudah mendapat gaji wajar RM3,100 sebagai gaji minimum untuk mereka.

“Kita harap dengan signal yang kerajaan lakukan begini, syarikat swasta digalak mengikut pendekatan kerajaan yang mana lebih banyak pekerja akan mendapat penggajian lebih baik untuk menangani isu yang ada sekarang,” katanya.-16/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button