
Krisis Bersatu: Muhyiddin pertahan tindakan pecat…Hamzah main teka teki
Sabtu…melangkah masuk hari kedua krisis terbaru parti Bersatu perhatian tentunya bertumpu kepada pertemuan team Tan Sri Muhyiddin Yasin dan team Datuk Seri Hamzah Zainuddin di dua tempat berasingan yang tidak jauh sangat antara satu sama lain.
Presiden Bersatu adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di rumahnya di Bukit Damansara manakala bekas Timbalan Presiden temui para penyokongnya di rumah kelab alumni Universiti Malaya.
Mood dari dua pertemuan cukup jelas.Keduanya nampaknya sudah set untuk membawa haluan politik masing-masing.
Makanya tidak ada istilah rundingan damai atau lain-lain yang sewaktu dengannya bagi meleraikan kemelut antara mereka.
Parti itu kini sudah nyata terbelah dua.
Apa yang tinggal cumalah ruang sempit bagi Hamzah dan 16 orangnya untuk merayu keatas keputusan Lembaga Disiplin Bersatu pecat mereka.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut tanpa basa basi menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat rayuan untuk kembali kepada Bersatu.
“Saya minta maaf kepada sahabat kerana tidak akan kembali kepada parti, saya tidak akan buat rayuan setelah apa yang dilakukan kepada saya,” ujarnya.
Beliau juga mendakwa tidak tahu apa sebabnya dipecat dari parti itu yang dibinanya bersama.
Muhyiddin pula tegas mempertahankan tindakan pemecatan mereka.
“Sebelum sebarang keputusan dibuat, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencari titik perdamaian serta menyelamatkan parti melalui siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. Namun demikian, ia tidak berhasil.
“Malah, terdapat segelintir pihak yang berterusan melakukan sabotaj…sekiranya perbuatan ini dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli-ahli yang setia kepada perjuangan Bersatu,”katanya menerusi satu kenyataan media.
Baginya Bersatu yang dipimpinnya kini ingin melangkah ke depan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, mesyuarat khas MPT di rumahnya hari ini turut membincangkan langkah memperkukuhkan parti susulan tindakan disiplin yang telah diambil semalam.
Beliau menlai tindakan itu adalah sebahagian daripada mekanisme bagi memastikan Bersatu kekal stabil, kukuh dan berintegriti, dan bukan diambil secara sewenang-wenangnya.
Bekas Perdana Menteri itu kata beliau bersama barisan kepimpinan Bersatu berpendirian sudah tiba masanya proses disiplin yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti dilaksanakan.
“Ini merupakan langkah yang perlu dan terbaik pada masa ini,” katanya lagi.
Menurut Muhyiddin mesyuarat khas MPT sebulat suara bersetuju melantik Datuk Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden ekoran pemecatan Hamzah.
“Saya menyeru seluruh ahli Bersatu supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang ada untuk mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asalnya dalam membela nasib rakyat.
“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan mampu mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang,” katanya.
Hamzah dalam ucapan kepada para penyokongnya tidak menyembunyikan rasa pedih berdepan pemecatan.Katanya beliau satu ketika adalah penyokong nombor satu Muhyiddin.
“Hari ini saya ingin kata saya adalah penentang nombor satu dia,”tegasnya.
Semasa sidang akhbar majlis itu Hamzah bagaimanapun bermain teka teki dan enggan menyatakan rancangannya secara khusus, sama ada menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru bersama para penyokongnnya.
Begitu juga dengan kemungkinan beliau akan menyertai PAS, seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini.
“Mengapa anda tanya soalan sebegini apabila saya sekarang seorang yang bebas?
Hamzah juga berkata beliau akan memiliki “rumah baru” yang menurutnya mungkin parti sedia ada atau parti yang baru.
“Untuk proses seterusnya, kita tak tahu sama ada (kekal) PN atau ada jajaran baru.
“Ini perkara yang akan difikirkan kemudian. Saya bukan orang yang buat keputusan secara bersendirian,” katanya lagi.
Disebalik semua ini satu fakta penting dalam kemelut ini ialah Hamzah masih pegang majoriti sokongan kalangan Ahli Parlimen Bersatu.
Dari 25 orang yang ada sebanyak 19 berada dalam kem beliau.
Hamzah bercakap tentang ini bila ditanya berkenaan pertemuannya dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di rumahnya di Rusila,Terengganu semalam.
Beliau mendedahkan Hadi bertanya berapa anggota Parlimen yang bersamanya.
“Setakat ini, termasuk saya, ada 19 anggota Parlimen bersama saya. Kalau ada 19 daripada 25 anggota Parlimen (daripada Bersatu), bermakna saya ada majoriti di (peringkat) pusat dan ia diterima dalam PN (Perikatan Nasional).
Juga jangan lupa kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen tidak tergugat dengan krisis ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata sekalipun Hamzah dipecat dari Bersatu beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang.- 14/2/2026



