TAHUKAH ANDA

Fahmi beri penjelasan mengenai parodi dan satira yang langgar ‘lampu merah’

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah memberi contoh mengenai perbuatan akhbar mingguan satira Peranchis ‘Charlie Hebdo’ pada tahun 2015 yang cetus kekecohan melakar karikatur Nabi Muhammad SAW… untuk gambarkan apa yang dimaksudkan sebagai ‘jelik melampau’.

Beliau memberi contoh berkenaan ketika menjelaskan bahawa kandongan berunsur parodi dan satira tidak lagi dikategorikan sebagai jenayah secara automatik selagi tidak dilihat ‘jelik melampau’.

Dalam wawancara bersama Astro Awani Jumaat malam menteri itu memberitahu perkara itu bakal terkandung dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia 2024 yang telah pun dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Menurut Fahmi, terma ‘jelik’ akan dikhususkan kepada ‘jelik melampau’ berserta sejumlah huraian sama ada dari aspek penguatkuasaan atau mahkamah untuk diteliti serta difahami.

“Kita hendak pertahankan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara. Pada masa sama, kita tetapkan batas-batas tertentu dan kita hendak jelaskan batas-batas ini.

“Maksudnya selepas ini satira dan parodi tidak akan menjadi jenayah tetapi ada batas-batasnya juga.

“Katalah dia sampai, kalau kita ingat sebagai contoh di Perancis dulu, kartunis Charlie Hebdo sehingga melakar gambar nabi, itu jelik melampau,” katanya.

Pada masa ini, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, adalah menjadi kesalahan untuk menggunakan kemudahan rangkaian bagi menyampaikan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Pindaan yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu antara lain menggantikan perkataan “jelik” kepada “jelik melampau”.

Ia turut menghuraikan perkara yang dianggap lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam, atau jelik melampau.

Istilah ‘jelik melampau’ kini dikhususkan kepada kandungan yang sangat menyinggung perasaan, termasuk ucapan kebencian dan keganasan.

Sesuatu kandungan tidak akan dianggap “palsu” di bawah Seksyen 233 jika ia berbentuk satira, parodi, atau karya fiksyen yang jelas.- 7/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button